SHAH ALAM 28 NOV : Usul Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mahu Kerajaan Negeri membatalkan terus permohonan Pembangunan Tanah Padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kelana Jaya akan dibincangkan bersama Exco dan pihak yang terlibat, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut Nik Nazmi permohonan dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) itu juga tidak perlu dibawa ke lembaga rayuan kerana terbukti terdapat pemalsuan dokumen pada permohonan tersebut.
“Jika boleh, Kerajaan Negeri perlu menghentikan serta merta permohonan ini kerana pendirian rakyat jelas mahu padang itu diselamatkan.
“Bagi saya elok jika Kerajaan Negeri dapat menunjukkan contoh yang baik dengan menarik permohonan pembangunan tanah PKNS ini,” jelas beliau.
Mengulas lanjut Abdul Khalid berkata, pihaknya akan mengambil pandangan Jawatankuasa Pilihan Keupayaan, Kebertanggungjawaban Ketelusan Selangor(SELCAT) dan Lembaga Rayuan juga.
Laporan SELCAT minggu lepas mendapati tiada bukti kukuh untuk mengatakan bahawa terdapat elemen penipuan dalam isu pembangunan padang tersebut.
Bagaimanapun, Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim tidak menyangkal dalam laporan itu bahawa Pegawai Jabatan Perancangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya melaksanakan tugas mereka secara melulu, tidak cekap dan tidak profesional dalam menyediakan draf RTPJ 2.
Sebelum ini, isu terbabit dibangkitkan apabila padang PKNS di SS7 Kelana Jaya berhampiran Lebuhraya Damansara Puchong ingin dimajukan PKNS sebagai projek komersial.
Kerajaan Negeri kemudian mengambil keputusan membawa isu tersebut ke pendengaran awan SELCAT selepas diusulkan oleh Adun Seri Setia pada Jun lalu.