Categories
SELANGOR

Hakim Syarie, Perkim Antara Tokoh Maal Hijrah Selangor 1434H

SHAH ALAM, 14 NOV : Bekas Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Johdi Toha telah dipilih selaku Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1434H/2012M.

Pemilihan Johdi dibuat sebagai penghargaan ke atas sumbangannya sepanjang perkhidmatan cemerlang selama 37 tahun.

Beliau yang ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur diatas penghargaan tersebut yang diberikan selepas beliau menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-66.

“Sebenarnya saya tidak menyangka mendapat anugerah yang begitu besar pada diri saya berbanding dengan khidmat saya yang begitu kecil sangat kepada Negeri Selangor.

“Patik menjunjung kasih diatas kurniaan ini dari Duli Tuanku diatas anugerah ini.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Jais yang berusaha mengaturkan semua ini sehingga dipilih menjadi Tokoh Maal Hijrah 1434H,” katanya yang akan bersara bulan ini.

Beliau yang kini bertugas di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), mula berkhidmat sebagai kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada tahun 1975.

Beliau juga pernah menyandang jawatan qadi sepanjang berkhidmat di Jais sehingga tahun 1991.

Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat di Mahkamah Syariah Selangor dan beliau telah dilantik menjadi Ketua Hakim Syarie dari tahun 2003 sehingga bersara pada tahun 2010.

Selain itu, beliau juga telah menghasilkan beberapa buku berkaitan undang-undang dan keagamaan yang menjadi rujukan dan panduan.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 sumbangan Kerajaan Selangor, RM10,000 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, trofi Maal Hijrah, spersalinan pakaian dan anugerah mengerjakan umrah.

Selain Johdi, sebanyak empat lagi penerima anugerah dipilih bagi menghargai jasa mereka kepada pembangunan Islam dan masyarakat Islam Selangor.

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Negeri Selangor dipilih menerima Anugerah Pertubuhan/Badan Dakwah Sukarela Negeri Selangor 1434H/2012M.

Hadiah berupada wang tunai RM 5,000 sumbangan Kerajaan Selangor, RM5,000 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan dan baucar pembelian buku ilmiah berjumlah RM50,000.

Perkim ditubuhkan pada tahun 1964 dan aktif melakukan aktiviti seperti seminar, halaqah, karnival, kuliah agama perdana, kursus pengajian Al-Quran, klinik khidmat kesihatan dan lain-lain.

Sepanjang tempoh 48 tahun penubuhannya, ia telah berjaya membuka 24 cawangan seluruh Selangor termasuk di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Anugerah Tokoh Saudara Kita pula diberikan kepada Professor Taufiq Yap Yun Hin yang telah mendapat hidayah nur Islam pada 26 November 1983 ketika berusia 15 tahun.

Sementara itu, Harun Hasan dipilih sebagai Tokoh Aktivis Masyarakat manakala Mohd Yaakob Zakaria dan Rusnah Jamali dipilih sebagai Tokoh Keluarga Mithali.

Mereka bertiga masing masing menerima hadiah wang tunai RM5,000 sumbangan Kerajaan Selangor, RM5,000 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, trofi Maal Hijrah, spersalinan pakaian dan anugerah mengerjakan umrah.

Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Selangor 1434H disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Bertempat di Masjid Negeri, sambutan kali ini bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’.

Turut hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Khusrin Munawi dan Ketua Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin.

Majlis perasmian dimulakan dengan acara bacaan doa akhir tahun 1433H dan awal tahun 1434H oleh Imam Masjid Negeri, Sheikh Abdulkarim Al-Fatani yang turut mengetuai solat Maghrib berjemaah.

Acara perasmian ini turut diserikan dengan majlis tazkirah ringkas oleh pencermah jemputan, Ustaz Muhamad Abdullah sebelum diakhiri dengan solat Isyak berjemaah.