Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Kehakiman Syariah tangguh operasi beberapa negeri hingga 9 Okt

PUTRAJAYA, 7 OKT: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menangguhkan perkhidmatan dan operasi di beberapa negeri termasuk prosiding perbicaraan, sebutan kes, majlis sulh serta pendaftaran kes yang melibatkan orang awam, bermula hari ini hingga Jumaat.

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) yang terlibat ialah Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, JKSN Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak kecuali Mahkamah Tinggi Syariah Sarawak serta Mahkamah Syariah Daerah Sibu.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata keputusan itu dibuat susulan ada kontak rapat beberapa pegawai syariah yang terlibat pada Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara (PKPSN) 2020.

Perkhidmatan dan operasi di JKSN Pahang, Kedah, Perlis, Johor, Kelantan dan Makhamah Syariah Melaka pula berjalan seperti biasa, katanya dalam kenyataan hari ini.

PKPSN 2020 yang berlangsung pada 29 dan 30 Sept lalu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Mohd Na’im yang juga Ketua Hakim Syarie JKSM berkata pengurusan kes rayuan yang melibatkannya juga ditangguhkan sementara waktu sehingga keputusan rasmi saringan Covid-19 diperoleh daripada Kementerian Kesihatan.

Beliau juga berkata semua program latihan, muzakarah dan bengkel yang melibatkan JKSM di mana-mana tempat yang melibatkan kehadiran secara fizikal ditangguhkan hingga 31 Oktober ini.

Selaras dengan pengumuman kerajaan mengenai sekatan rentas negeri di Sabah, beliau berkata kes rayuan di JKSN Sabah yang melibatkan panel rayuan JKSM bermula 12 Oktober ini juga ditangguhkan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Agong terima menghadap Ketua Hakim Syarie

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Istana Negara, di sini.

JKSM dalam satu kenyataan menyatakan pertemuan selama 45 minit itu berlangsung dalam suasana yang sangat mesra.

“Banyak perkara berkaitan syariah dan perundangan syariah dibincangkan.

“Mohd Na’im juga berkesempatan menyampaikan ucapan tahniah mewakili warga JKSM, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Mahkamah Syariah Negeri atas pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16,” menurut kenyataan itu.

Mohd Na’im dilantik memegang jawatan tersebut pada Mac lepas bagi menggantikan Datuk Mukhyuddin Ibrahim yang menerajui JKSM sejak 2017.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Hakim Syarie, Perkim Antara Tokoh Maal Hijrah Selangor 1434H

SHAH ALAM, 14 NOV : Bekas Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Johdi Toha telah dipilih selaku Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1434H/2012M.

Pemilihan Johdi dibuat sebagai penghargaan ke atas sumbangannya sepanjang perkhidmatan cemerlang selama 37 tahun.

Beliau yang ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur diatas penghargaan tersebut yang diberikan selepas beliau menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-66.

“Sebenarnya saya tidak menyangka mendapat anugerah yang begitu besar pada diri saya berbanding dengan khidmat saya yang begitu kecil sangat kepada Negeri Selangor.

“Patik menjunjung kasih diatas kurniaan ini dari Duli Tuanku diatas anugerah ini.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Jais yang berusaha mengaturkan semua ini sehingga dipilih menjadi Tokoh Maal Hijrah 1434H,” katanya yang akan bersara bulan ini.

Beliau yang kini bertugas di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), mula berkhidmat sebagai kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada tahun 1975.

Beliau juga pernah menyandang jawatan qadi sepanjang berkhidmat di Jais sehingga tahun 1991.

Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat di Mahkamah Syariah Selangor dan beliau telah dilantik menjadi Ketua Hakim Syarie dari tahun 2003 sehingga bersara pada tahun 2010.

Selain itu, beliau juga telah menghasilkan beberapa buku berkaitan undang-undang dan keagamaan yang menjadi rujukan dan panduan.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 sumbangan Kerajaan Selangor, RM10,000 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, trofi Maal Hijrah, spersalinan pakaian dan anugerah mengerjakan umrah.

Selain Johdi, sebanyak empat lagi penerima anugerah dipilih bagi menghargai jasa mereka kepada pembangunan Islam dan masyarakat Islam Selangor.

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Negeri Selangor dipilih menerima Anugerah Pertubuhan/Badan Dakwah Sukarela Negeri Selangor 1434H/2012M.

Hadiah berupada wang tunai RM 5,000 sumbangan Kerajaan Selangor, RM5,000 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan dan baucar pembelian buku ilmiah berjumlah RM50,000.

Perkim ditubuhkan pada tahun 1964 dan aktif melakukan aktiviti seperti seminar, halaqah, karnival, kuliah agama perdana, kursus pengajian Al-Quran, klinik khidmat kesihatan dan lain-lain.

Sepanjang tempoh 48 tahun penubuhannya, ia telah berjaya membuka 24 cawangan seluruh Selangor termasuk di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Anugerah Tokoh Saudara Kita pula diberikan kepada Professor Taufiq Yap Yun Hin yang telah mendapat hidayah nur Islam pada 26 November 1983 ketika berusia 15 tahun.

Sementara itu, Harun Hasan dipilih sebagai Tokoh Aktivis Masyarakat manakala Mohd Yaakob Zakaria dan Rusnah Jamali dipilih sebagai Tokoh Keluarga Mithali.

Mereka bertiga masing masing menerima hadiah wang tunai RM5,000 sumbangan Kerajaan Selangor, RM5,000 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, trofi Maal Hijrah, spersalinan pakaian dan anugerah mengerjakan umrah.

Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Selangor 1434H disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Bertempat di Masjid Negeri, sambutan kali ini bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’.

Turut hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Khusrin Munawi dan Ketua Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin.

Majlis perasmian dimulakan dengan acara bacaan doa akhir tahun 1433H dan awal tahun 1434H oleh Imam Masjid Negeri, Sheikh Abdulkarim Al-Fatani yang turut mengetuai solat Maghrib berjemaah.

Acara perasmian ini turut diserikan dengan majlis tazkirah ringkas oleh pencermah jemputan, Ustaz Muhamad Abdullah sebelum diakhiri dengan solat Isyak berjemaah.