Categories
BUDAYA RENCANA

Mat

Ada kiamat terbias di cermin matanya.

Buah catur teragak-agak
menghitung petak
Ada pertandingan
tapi bukan dengannya
Kerana di bibirnya
ada wisel sangkakala.

Dia diberhala bidak-bidak
yang mahu jadi permaisuri
Tapi di papan caturnya
Permaisuri tak selalu memilih warna petak.

Mat!
Sebiji raja terkejur
Salib di kepalanya patah.

Fakhrull Halim

Categories
BUDAYA RENCANA

Biri-biri dan pengembala


Oleh Ariff Mustaffa Hamzah

kota sebuah lembah tempur
sekalian biri-biri biru.

mereka harus menang
dalam siri survival berdarah
licik menipu, bijak manipulasi,
memijak sesama sendiri
mendaki tangga hierarki
demi usia sehari lagi
banyak yang kalah
diludah, tak bermaruah
menjadi stik atas meja
atau pakaian mewah
manusia-acah-raja.

leher terikat tali
pelbagai warna dan harga
mereka taat pada kurungan waktu:
siang berperang nasib di padang
senja berlumba pulang ke kandang
malamnya tidur tanpa peduli
musuh misteri menyusup
dengan pisau siap diasah.

cerita berkumandang segenap jihat
tentang angka korban, kehilangan
dan pertambahan bilangan.

penggembala – sang pemangsa apeks
bersila panggung di puncak menara
menyusun khabar angin esok
sementara di luar pejabatnya
serigala putih mengetuk pintu
datang menuntut bulu biru gebu.

Categories
BUDAYA RENCANA

Penantian (Puisi Covid-19)

Pagi ini pipinya basah lagi. Melankoli.
Padang rezekinya telah menjadi tanah larangan
wabak sedang memamah nyawa
di setiap inci negeri.
Bayangan maut tiba-tiba muncul
mengacah-acah sehingga dia tersedar
cangkulnya masih di genggaman
lalu dia mengais-ngais tanah
di belakang rumah. Dia menanti
benih harapan yang ditabur baja usaha
berbuah mewah. Batinnya menjerit
“Bilakah bencana ini akan berakhir?”
bayangan maut tidak lagi menggerunkan
ketakutannya ditenggelami bunyi keroncong
dari perut anak dan isteri.

Isterinya di rumah sedang menunggu
suami pulang membawa mimpi
seperti mimpi malam tadi –
tong beras melimpah-limpah,
bekas gula dan garam sarat,
dapurnya berbau aneka menu.
Penantiannya kucar tatkala terbayang
wajah-wajah polos yang masih nyenyak
dia pantas mencari-cari lebihan semalam
untuk diadun menjadi sarapan
sebelum dia mendengar, “Ibu, kami lapar.”

 

Marini Azahri

Categories
BUDAYA RENCANA

Keabadian perawan musim

Musim lama tertunda, aku kembali pulih dalam lorong-lorong yang lama kehilangan tanda jernih, bukan tersesat bagi sebuah kepulangan pasti bermukim di puncak lengkap, naluriku pernah menghafalmu sebagai embun berahi membasah nafas pagi, mengarca tubuh siang menjadi patung kenangan, waktu lainnya aku nikmati berulang-ulang, lantas ia ialah sebuah malam gelap gagal menyembunyikan bayang; amat jarang dan sepasang hujan tanpa guruh namun cukup buat tujuh lengkung pelangi berwarna penuh.

Jendela mataku bertukar disihir ketika nekad mencintaimu lebih anggun usai terkeluar dari perut racun, angin selingkuh liar mengisi  dedahi hari mendatang apabila tengkujuh keliru untuk memilih malam atau siang, malah aku lincah mengekor mata panas agar kesetiaan berbahang dalam nafas.

Keabadianku tidak gugur dalam lanjut usia dingin persis sepotong pawaka marak dalam kencang angin, dirimu merenung kagum tika lusuh terserlah pada sepatu dan busana kudandan berwajah anggun dan aku pulang bukan sebagai wanita, namun bidadari mencatat peluang telahmu lewat laluinya, bukan terakhir kali, hadirku akan kembali bersenggama atas perawan musim tanpa dirimu damba di pucuk ingin.

 

Clariessa Kesulai

 

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Resipi kuarantin masam manis

 

Air sejuk dilumurkan secukupnya
kalimah cinta ditambah bancuhan doa
sedikit sinar sang mentari
udara segar ekstra dari bumi
rendam kuarantin beberapa hari dalam minda
sehingga mengembang lembut ke jiwa
tumis kreativiti, kerja, hobi sampai garing
larutkan masalah dengan senyuman di wajah
tambah perasa gula dengan keluarga sakinah
gaul sebati segala bahan sehingga empuk.

Hidang buat keluarga dan sanak-saudara
serta rakyat jelata seantero dunia
bungkus, hantar bersama-sama sekeping doa
moga kuarantin masam manis berjaya
menghasilkan manusia yang bersyukur sentiasa.

 

Asyiqin Adir

Categories
BUDAYA RENCANA

P[i]lih

 

serangkai dekri digazet pemerintah:
tatkala pawaka wabak membahang
mengerdip bara derita diunggun merana
membakar setiap keangkuhan
membunuh seluruh keegoan insan
hangus bersama kepintaran memilih

rupanya kedangkalan meruap ganas
kedegilan bak prahara tersebar pantas

(bagaikan Sisyphus; di daun keladi
air terjirus, sebatas nihil usaha diurus,
digalang lewa dipandang tak endah,
ingkar pun ditekuni—menolak dekri)

ah! begitu juga kedunguan
jelas mendebu kebebalan

(ayuh! p[i]lih untuk p[u]lih)


AttOkz Dikulgai

Categories
BUDAYA RENCANA

Setiap malam (sahaja) dia lupa merapatkan

(tak siapa tau jam berapa)

menggelora keheningan, seperti itu
ingatan memilih menjelaskan rindu
memencar kantuk yang cuba mengabu:

lelehan air titik
demi titik dari muncung paip
setiap ia jatuh memecah
pertanyaan-pertanyaan baru.
dan dia mahu meyakinkan
kalau yang sedikit tertakung
di dasar menjawab
sebagaimana laut — berani dan berahi
mengombak apa-apa keresahan ketepi.

apalah ingatan, kalau bukan hukum
yang sentiasa mendinding dari akan
dengan masih:

dan banyak kali, masih
bererti jagapaksa
malam hari, rayau somnambulis
diselirati igau sesesatnya.
tanpa henti dan kerawakan
titik demi titik, suara
mengocak dalam kepala.

Suatu pagi di atas ranjang
yang asing, siang dan kesedaran
celik di matanya sebagai luka.

Meor Izzat Mohamad
Errachidia, Maghribi

Categories
BUDAYA RENCANA

Kuarantin

 

langit dikarati nafas matahari. pagi
menyangkut topeng pada muncungnya;
mengetuk setiap pintu rumah
tapi tak siapa yang membuka.

kota berkulit pucat
meminjam warna jendela.
sunyi menanggalkan pijama
dan berbaring
di jalan raya.

khuatir tak mengenal
tangga gaji atau warna uniform.
gedung-gedung berpintu murung
tak lagi mengunyah pengunjung.
mesin tunai tersedak
meludah
resit-resit kosong.

di sofa apartmen
orangorang kenyang
sibuk berdebat
tentang angka kematian.

di dapur PPR
orangorang lapar
menumis
angka dari muka jam.

 

Fahd Razy

Categories
BUDAYA RENCANA

Mensemayam rajuk

 

Seperti cuaca yang sentiasa beralih
kau cenderung tersasar
aku memilih daerah yang paling jauh
mensemayamkan rajuk
hujan masih menghantar simpati
ke rekah yang paling lekuk
debu-debu menggeliat
bawah lokos tempurung yang dibedal taufan
masihkah ada pelangi tumbuh di langit setia
membenihkan rindu saat berpaling kasih
disambar guruh yang selingkuh?

 

Siti Zaiton Ahmad

Categories
BUDAYA RENCANA

Bagaimana kita menanggapi rusuh (dalam kemelut Covid-19)

Bagaimana kita mahu menanggapi
rusuh musim yang mengingkari, teguh
alun di perbukitan, atau
meluruhkan dedaun tanpa
peduli lidah banir.

Alam tidak pernah menzalimi
memilih murkanya
dia mencabul tanpa mengenal bebutang
di baju
atau corak warna topeng
di wajah.

Alam sejuk di perjabatan tangan
kerana akur pada Tuhannya
bahawa kemurungan bukan pakaian
mutlak
dan dosa buta pada ukir nisan
di kuburan.

Lalu bagaimana kita memilih untuk menanggapi
rusuh musim yang mengingkari
sedang alam sejuk di perjabatan
kerana akur;
Tuhan berkehendak memanusiawikan
segala ciptaan-Nya.

 

Matahati

Categories
BUDAYA RENCANA

Tetamu

 

Keterasingan adalah sosok pagi
yang merawat malam
dengan mimpi-mimpi berbalut
atau hening yang telah sekian lama
membenci kekalutan, dan rumah
menjadi mahligai tidak berpintu
tidak berjendela, tiada sesiapa
ingin keluar melainkan doa-doa
yang menggigil memanjat langit;
“Pintu rumah yang mana
akan IzrailMu ketuk hari ini, Tuhan?”

 

Dayana Dian

Categories
BUDAYA RENCANA

Kepada kekasih kupuisikan pertanyaan

 

di antara jarak dan sunyi
kataku, adalah dirimu-
yang bersembunyi
di debar dadaku.

di antara sunyi dan jarak
katamu, adalah aku-
yang berkepak
di semesta kalbu.

kekasih,
cahayaku bayangmu
bayangku cahayamu
lalu benarkah sunyi
tak sempat nyala
dan jarak pun padam
tak benar ada?

Aina Nabila Ahmad
Shah Alam