Categories
AGAMA AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sambutan Maal Hijrah dalam norma baru, majlis ringkas 20 Ogos

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M akan berlangsung dalam majlis ringkas di Masjid Negara pada 20 Ogos ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata sambutan diadakan mengikut kebiasaan baharu dengan jumlah peserta dihadkan selain perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pihak berkuasa bagi mengekang penularan Covid-19.

“Untuk sambutan peringkat Wilayah Persekutuan dan kebangsaan, kita buat dalam bentuk amat ringkas iaitu pada sebelah petang dan Insya-Allah akan selesai selepas solat maghrib dan pada malamnya diadakan solat hajat.

“Anugerah (Maal Hijrah) akan dibuat di peringkat kebangsaan di Masjid Negara pada malam tersebut dalam kapasiti yang amat terhad, ringkas tetapi tujuannya untuk meninggikan syiar agama dan menzahirkan semangat hijrah Rasulullah SAW diadaptasikan dan dilaksanakan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Semasa Agama di Media Sosial Bil 1/2020, di sini hari ini.

Zulkifli berkata sambutan Maal Hijrah bagi peringkat negeri pula tertakluk kepada pengurusan di negeri masing-masing.

Sementara itu, beliau berharap penubuhan Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Semasa Agama di Media Sosial tersebut akan dapat menghasilkan penyelesaian kepada isu-isu berkaitan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), penghinaan terhadap agama Islam, ajaran sesat dan ateisme (fahaman tidak mengakui kewujudan tuhan).

“Saya berharap pelaksanaan yang berkesan dapat dimuktamadkan, bukan untuk menghukum semata-mata tetapi menyelesaikan masalah umat Islam untuk menuju kehidupan yang lebih harmoni,” katanya.

Menurutnya, persidangan itu diadakan bagi meneliti dan mengkaji secara mendalam langkah boleh diambil terhadap isu menghina agama Islam di media sosial dengan mengambil kira aspek tarbiah, penerangan, pemulihan, pencegahan dan undang-undang.

Persidangan sehari itu disertai ahli mesyuarat yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan antaranya wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan belum muktamadkan sambutan Maal Hijrah

NILAI, 11 OGOS: Kerajaan kini dalam peringkat akhir perbincangan bagi memutuskan sama ada mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 1442H/2020M atau sebaliknya, berikutan penularan pandemik Covid-19 yang masih berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sambutan Maal Hjrah yang jatuh pada 20 Ogos ini, merupakan acara kebesaran umat Islam dan amat penting dalam menyebarkan syiar Islam meskipun ia diadakan dalam skala yang kecil.

“Insya-Allah kita akan muktamadkan dan kita akan isytiharkan. Kita akan cuba melihat sambutan Maal Hijrah yang mematuhi sepenuhnya tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Penyelidikan Pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini yang turut dihadiri Naib Canselor USIM Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Menurut Zulkifli jika diadakan sambutan Maal HIjrah tahun ini, jumlah peserta dan masa sambutan akan dihadkan.

Mengenai seminar berkenaan, Zulkifli berkata ia diadakan bertujuan mengumpul maklumat dan kajian bagi memperkasa, menambah baik serta mentransformasi pengurusan hal ehwal Islam dalam menghadapi cabaran dan keperluan semasa ummah.

-BERNAMA