Categories
AGENDA NASIONAL

Neelofa, suami dilepas kes langgar SOP di Nilai

SEREMBAN, 1 DIS: Selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada pertuduhan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Nilai pada Mei lepas.

Majistret Mohd Firdaus Saleh mengeluarkan perintah itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara telah mempertimbangkan representasi yang dikemukakan oleh Noor Neelofa dan suami berhubung pertuduhan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember bagi perintah dilepas dan dibebaskan (DNA) daripada pertuduhan itu.

“Dimaklumkan bahawa representasi tersebut telah dipertimbangkan oleh Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) dan  saya memohon supaya kedua-dua kes ini di DNAA terlebih dahulu bagi membolehkan tindakan lain diambil terhadap kedua-dua OKS (orang kena saman),” kata Nor Azizah.

Pada 21 Oktober lepas, Noor Neelofa dan Muhammad Haris telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara, memohon pertuduhan terhadap mereka berkaitan pelanggaran SOP PKPB tersebut ditarik balik.

Sementara itu, peguam pasangan tersebut, Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah ketika ditemui kemudiannya berkata pihak pendakwaan hari ini menarik balik semua pertuduhan iaitu dua pertuduhan terhadap Muhammad Haris dan satu pertuduhan terhadap Noor Neelofa.

“Satu proses kompaun akan berlaku sama ada hari ini atau esok. Kami akan kembali pada 21 Disember ini supaya DNAA dijadikan DNA (dilepaskan dan dibebaskan).

“Kami gembira, sungguhpun ketiga-tiga pertuduhan ini boleh lawan, mungkin dengan cara senang boleh menang tetapi ia akan berlarutan, keadaan Noor Neelofa yang sedang hamil tidak sesuai untuk kita menjalankan kes ini,” katanya kepada pemberita.

Pasangan itu turut diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Pada 20 Mei lepas, Noor Neelofa dan Muhammad Haris mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua pertuduhan iaitu gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di sebuah kedai karpet di Kawasan Perindustrian Nilai 3.

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat pemilik akaun Facebook muat naik ‘Nilai 3 terletak di Selangor’

SEREMBAN, 23 MEI: Polis membuka kertas siasatan berhubung kes seorang pemilik akaun Facebook, disyaki menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegentaran awam mengenai isu Nilai 3 terletak di negeri Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata pemilik akaun tersebut dikenali sebagai N9 RADAR akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Pemilik akaun itu memuat naik status ‘Nilai 3 terletak di negeri Selangor’. Kita menegaskan bahawa Nilai 3 merupakan kawasan dalam pentadbiran IPD Nilai, Negeri Sembilan dan bukannya terletak di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berlata kenyataan dikeluarkan oleh pemilik akaun Facebook berkenaan boleh menyebabkan kegentaran awam dan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menghentikan sebarang penyebaran gambar atau berita tidak tepat untuk dimuat naik atau dikongsi di laman sosial masing-masing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan belum muktamadkan sambutan Maal Hijrah

NILAI, 11 OGOS: Kerajaan kini dalam peringkat akhir perbincangan bagi memutuskan sama ada mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 1442H/2020M atau sebaliknya, berikutan penularan pandemik Covid-19 yang masih berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sambutan Maal Hjrah yang jatuh pada 20 Ogos ini, merupakan acara kebesaran umat Islam dan amat penting dalam menyebarkan syiar Islam meskipun ia diadakan dalam skala yang kecil.

“Insya-Allah kita akan muktamadkan dan kita akan isytiharkan. Kita akan cuba melihat sambutan Maal Hijrah yang mematuhi sepenuhnya tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Penyelidikan Pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini yang turut dihadiri Naib Canselor USIM Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Menurut Zulkifli jika diadakan sambutan Maal HIjrah tahun ini, jumlah peserta dan masa sambutan akan dihadkan.

Mengenai seminar berkenaan, Zulkifli berkata ia diadakan bertujuan mengumpul maklumat dan kajian bagi memperkasa, menambah baik serta mentransformasi pengurusan hal ehwal Islam dalam menghadapi cabaran dan keperluan semasa ummah.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

31,931 Anak Selangor Terima RM31.7 Juta Hadiah Pengajian IPT

SHAH ALAM, 13 DIS: Sejumlah RM31.7 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri Selangor dalam program Hadiah Pengajian IPT sejak ia diperkenalkan pada 2008 lalu.

Dalam program tersebut, seramai 31,931 anak Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)  dan swasta  menerima manfaat program itu.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, langkah tersebut diambil berikutan keprihatinan Kerajaan Negeri bagi memastikan anak Selangor tidak ketinggalan menuntut ilmu di mana-mana institusi pengajian tinggi di negeri itu.

Abdul Khalid berkata demikian ketika melancarkan Hari Mahasiswa di Dewan Bankuet Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam malam tadi.

Menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri menganggap golongan mahasiswa harus dihargai dan tidak boleh dipinggirkan kerana mereka merupakan bahagian terpenting dalam sesebuah masyarakat di negara ini dan Selangor khasnya.

“Kerajaan Negeri, walaupun dalam kesibukan meneruskan usaha membangunkan negeri, menambah hasil negeri menerusi kutipan cukai dan pelaburan demi kesejahteraan rakyat, namun kami dalam barisan kepimpinan kerajaan masih ada ruang dan peluang untuk memikirkan ehwal dan kebajikan mahasiswa negeri ini,” kata Abdul Khalid.

Sementara itu, pelajar jurusan Sains Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Adzkia Amana, berkata, Kerajaan Pusat dan negeri lain wajar mencontohi langkah kerajaan Selangor mewujudkan Hari Mahasiswa bagi menghargai golongan tersebut.

“Saya sangat gembira dengan inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri untuk mengadakan Hari Mahasiswa dan berterima kasih kerana begitu mengambil berat serta tahu menghargai golongan yang bernilai yang perlu dijaga ini,” ujar Adzkia.

Pelajar jurusan Sains Sumber Manusia, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Helmy Khusairy pula, langkah Kerajaan Negeri mewujudkan Hari Mahasiswa merupakan suatu suntikan semangat kepada mahasiswa untuk menjadi mahasiswa yang diimpikan Kerajaan Selangor.

Sebelum itu, majlis Pelancaran Hari Mahasiswa 2012 dengan tema ‘Mahasiswa Cemerlang, Tonggak Negara’ malam tadi, dianggarkan dihadiri  lebih seribu mahasiswa dari seluruh IPTA dan IPTS seluruh Selangor dan negeri berdekatan.

Antaranya mahasiswa dari Universiti Malaya (UM), Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor,  Kolej Antarabangsa Industri Pendidikan Negeri Selangor (INPENS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan lain-lain.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad, Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman.

Hari Mahasiswa yang dipelopori oleh Kerajaan Negeri Selangor itu juga bakal dijadikan sebagai acara tahunan pada setiap 12 haribulan Disember setiap tahun.