Categories
BERITA UTAMA

Masyarakat diseru manfaat Saringan Komuniti, halang Covid-19 merebak

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerajaan Negeri melancarkan Saringan Komuniti Covid-19 bertujuan untuk menghalang wabak merebak dengan lebih parah.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata masyarakat perlu mengambil peluang tersebut kerana program itu adalah percuma.

“Kerajaan Selangor giat buat saringan di komuniti sebab itu kes semakin meningkat. Misi kita adalah untuk memastikan virus ini tidak menular dan dapat dicegah awal,” katanya menerusi rancangan bual bicara Piknik Keluarga Maya di Facebook semalam.

Menurutnya, orang ramai juga perlu memberi kerjasama kepada petugas kesihatan dengan memanfaatkan program berkenaan di kawasan mereka.

“Yang penting adalah kerjasama, kita perlu bersama memutuskan rantaian wabak ini, jangan panik terus patuhi tatacara operasi piawai (SOP)” tambahnya.

Selangor melancarkan Saringan Komuniti Covid-19 sejak 12 April lalu bermula di Hulu Langat. Terdapat dua pelaksanaan iaitu pandu lalu dan pemeriksaan ke kawasan komuniti.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

STFC pergiat Saringan Komuniti, sasar kadar jangkitan bawah lima peratus

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerajaan Negeri mempergiat Saringan Komuniti bagi memastikan kadar jangkitan Covid-19 di bawah paras lima peratus.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata setakat ini kadar jangkitan berada pada paras tujuh hingga 25 peratus.

“Sekiranya 20 kes positif dikesan dalam kalangan 100 individu yang menjalani saringan, ini bermaksud masih banyak kes belum dikesan dalam kalangan komuniti.

“Justeru kita perlu melakukan langkah pencegahan bagi memastikan kadar jangkitan di bawah paras lima peratus seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bekas menteri kesihatan berkata STFC bakal melaksanakan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mengekang gelombang ketiga wabak.

“Program ini merupakan kerjasama antara Kerajaan Selangor, majikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengesan jangkitan pandemik di kawasan panas dan perimeter.

“Inisiatif ini bagi mengelak penularan di luar kawalan sehingga memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata kepadatan penduduk tinggi termasuk bilangan pekerja warga asing seramai 1.6 juta (tidak termasuk 1.5 juta pendatang tanpa izin) turut mempengaruhi peningkatan kes di Selangor.

“Justeru STFC mengingatkan masyarakat untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sementara menunggu vaksin yang dijangka tiba pada bulan depan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk Klang jalani Saringan Komuniti Covid-19 percuma

KLANG, 23 DIS: Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri sekitar Klang berlangsung pagi ini di Jalan Batu Unjur 3A, Taman Bayu Perdana.

Seramai 35 petugas kesihatan Klinik Selcare dan Pejabat Kesihatan Daerah Klang lengkap mengenakan sut perlindungan diri memulakan proses saringan pada jam 9 pagi.

Penduduk sekitar Klang menyukat suhu badan sebelum memulakan proses saringan Covid-19 di Taman Bayu Perdana pada 23 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Seperti saringan di Meru awal bulan lalu, kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) digunakan untuk mengesan jangkitan Covid-19 dalam tempoh kurang 30 minit.

Penduduk yang hadir perlu mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menyukat suhu badan.

Kawasan berhampiran yang terlibat ialah Taman Bayu Perdana, Prima Bayu Apartment, Bayu Villa Apartment, Bandar Bukit Tinggi dan Taman Sri Andalas.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggesa orang ramai menjalani saringan bersasar Covid-19 yang diadakan sehingga jam 4 petang.

Selangor mencatatkan 1,014 kes baharu Covid-19 pada 22 Disember dengan Klang kekal merekodkan kes tertinggi iaitu 713.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan Komuniti diperluas, kes Covid-19 dijangka naik di Selangor

SHAH ALAM, 23 DIS: Kes Covid-19 dijangka naik mencanak susulan peningkatan program Saringan Komuniti, kata pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC).

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya memperluas saringan dan kit ujian pantas (RTK) bagi mengawal jangkitan pandemik.

“Fokus STFC buat saringan komuniti ini agar kadar jangkitan kurang lima peratus, setakat ini masih berada pada paras tinggi iaitu lapan peratus.

“Ia memang angka cemas namun kita kena akui bahawa virus itu wujud dalam komuniti, yang penting patuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya dalam wawancara ‘Cabaran Tangani Peningkatan Kes Covid-19 di Selangor’ di Astro Awani malam tadi.

Dr Dzulkefly menambah pelaksanaan saringan dan ujian RTK bertujuan mendapat keputusan segera.

“Kita juga mahukan proses saringan ini mudah dan mesra buat semua masyarakat di Selangor,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tunjuk rakaman video pujuk anak kembar buat saringan Covid-19

KLANG, 3 DIS: Seorang ibu terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk memujuk anak kembarnya menjalani Saringan Komuniti Covid-19 di Meru, semalam.

Siti Zuhanariah Mohd Haniff, 37, berkata antara kaedah digunakan ialah menujukkan rakaman video proses calitan yang mudah dan tidak menyakitkan.

Katanya, keputusan membawa Nur Auni Insyirah Mohd Nazri dan Nur Auni Irdinah Mohd Nazri, 8, menjalani ujian itu berikutan bimbang terhadap peningkatan kes Covid-19.

Siti Zuhanariah Mohd Haniff

“Memang anak-anak tidak mahu buat saringan tetapi disebabkan rumah kami berhampiran kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), jadi saya terus pujuk mereka.

“Saya tunjuk video saringan yang dirakam jiran dan terangkan prosesnya. Mereka kemudian bertambah yakin dan terus dibawa ke sini,” katanya ketika ditemui.

Siti Zuhanariah turut memuji usaha Kerajaan Negeri mengadakan Saringan Komuniti percuma demi keselamatan rakyat sekali gus membendung wabak berkenaan.

Seorang lagi penduduk Maryana Naharudin, 37, tidak berdepan masalah untuk membawa dua orang anaknya melakukan saringan yang mengambil masa kurang seminit.

Maryana Naharudin

“Walaupun mereka nampak takut tetapi semuanya berjalan lancar. Terima kasih Kerajaan Negeri kerana menyediakan inisiatif ini,” katanya.

Saringan Komuniti percuma dilaksana kepada penduduk Taman Meru 3, Taman Seri Meru, Taman Bayu dan Taman Desa Permai di sini susulan jumlah kes tinggi di kawasan berkenaan.

Taman perumahan ini berdekatan kawasan PKPD asrama pekerja syarikat pengeluar sarung tangan terkenal Top Glove yang mencatatkan ribuan kes sehingga Majlis Keselamatan Negara mengarahkan 28 kilangnya ditutup.

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan Komuniti Meru mungkin lanjut, sasar 1,000 individu

KLANG, 2 DIS: Saringan Komuniti Covid-19 percuma terhadap penduduk Meru mungkin dilanjutkan dua hari lagi bagi mencapai sasaran 1,000 individu.

Pengarah Selcare Management Sdn Bhd berkata perkara itu akan diputuskan selepas laporan lengkap saringan diserahkan kepada Kerajaan Negeri petang ini.

Muhammad Azfizam Hamzah memaklumkan seramai 430 penduduk menjalani ujian pengesanan Covid-19 setakat ini menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

“Sasaran awal ditetapkan antara 600 hingga 1,000 individu (membuat saringan). Kita akan beri laporan kepada Dr Siti Mariah Mahmud (EXCO kesihatan awam) dan sedia untuk sambung jika diarah melengkapkan jumlah sasaran ditetapkan,” katanya.

Beliau ditemui Media Selangor selepas meninjau program saringan Covid-19 bersasar di perkarangan Dewan Masyarakat Taman Meru di sini hari ini.

Muhammad Azfizam berkata seramai 35 petugas Klinik Selcare dan Pejabat Kesihatan Daerah Klang bertugas membuat saringan di kawasan tersebut.

Saringan Komuniti bersasar memfokuskan penduduk Taman Meru 3, Taman Seri Meru, Taman Bayu dan Taman Desa Permai susulan kenaikan mendadak kes Covid-19 melalui Kluster Teratai.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Selangor pelopor saringan pandu lalu jejak jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 10 JUN: Selangor mendahului pelaksanaan Saringan Komuniti secara pandu lalu bagi mengesan individu yang dijangkiti Covid-19 di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha melalui anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Selcare mengutamakan warga emas dan individu bergejala.

“(Usaha) ini memudahkan pengesanan Covid-19 di Selangor. Terima kasih kepada semua yang terlibat,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari melalui hantaran di Facebook hari ini.

Saringan pandu lalu khusus di kawasan zon merah turut dilakukan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengekang penularan pandemik itu.

Selangor melancarkan Saringan Komuniti Covid-19 melalui dua pelaksanaan iaitu pandu lalu dan pemeriksaan ke rumah secara bersiri bermula 11 hingga 23 April lalu.

Sebanyak 5,433 sampel diuji dan 10 daripadanya disahkan positif dengan lapan pesakit tidak bergejala.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan Komuniti di Selayang catat satu kes tiada gejala

SHAH ALAM, 9 MEI: Seorang daripada 1,653 individu didapati positif Covid-19 melalui Saringan Komuniti bersasar di Bandar Baru Selayang pada 22 hingga 23 April lalu.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan pesakit tersebut tidak bergejala.

“Saringan Komuniti bersasar dijalankan sebagai satu pendekatan ‘Kesan Awal, Asing Awal, Rawat Awal’ bagi menurunkan kadar penularan dan kematian ke tahap lebih rendah,” katanya di Facebook hari ini.

STFC memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor turut terlibat dalam mesyuarat gerak kerja operasi dan bersetuju dengan tatacara operasi piawai (SOP) mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada 28 April lalu, seramai 10 daripada 5,433 individu yang disaring dalam beberapa siri pemeriksaan komuniti bersasar disahkan positif Covid-19. Lapan daripadanya tidak bergejala.

Kerajaan Negeri memulakan Saringan Komuniti bersasar di kawasan zon merah bagi membantu melandaikan keluk dan memutuskan rantaian wabak.

Saringan secara pandu lalu dan dari rumah ke rumah dilakukan secara berperingkat membabitkan kawasan Hulu Langat, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Petaling dan Klang, Shah Alam, Sepang, Hulu Selangor serta Gombak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan Komuniti di Sepang catat sifar kes Covid-19

SHAH ALAM, 8 MEI: Tiada kes Covid-19 dikesan dalam Saringan Komuniti bersasar membabitkan 397 individu di Salak Tinggi pada 21 April lalu.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor berkata saringan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) menggunakan kit ujian diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Seramai 397 orang disaring dan sukacitanya tiada kes. SOP disandarkan kepada tatacara KKM dan menggunakan kit ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi berbalik masa nyata (rRT-PCR),” tulisnya di Twitter malam tadi.

Dato’ Menteri Besar pada 28 April lalu memaklumkan sebanyak 5,433 sampel diuji dengan 10 daripadanya disahkan positif Covid-19 termasuk lapan kes tanpa gejala.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sampel diambil berdasarkan siri pemeriksaan bersasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri di enam kawasan sejak 11 hingga 23 April lalu.

Saringan secara pandu lalu dan dari rumah ke rumah dilakukan secara berperingkat membabitkan kawasan Hulu Langat; Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam; Petaling dan Klang; Shah Alam; Sepang; Hulu Selangor serta Gombak.

Laporan pemeriksaan boleh dimuat turun di http://www.selangorprihatin.com mulai 1 Mei lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lepasi sasaran, 5,400 sertai Saringan Komuniti

SHAH ALAM, 24 APRIL: Program Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri bagi mengesan penularan Covid-19 di zon merah berjaya melepasi sasaran apabila 5,400 individu mengikuti ujian berkenaan, kata Dato’ Menteri Besar.

“Sambutan dan kerjasama yang baik daripada rakyat sepanjang Saringan Komuniti ini, kita berjaya malah melepasi sasaran yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, laporan penuh berhubung Saringan Komuniti akan dikeluarkan dalam bentuk kenyataan pada Ahad ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui selepas mesyuarat berhubung perkembangan Covid-19 di bangunan SUK hari ini.

Ditanya sama ada program saringan berskala besar itu akan diteruskan. Amirudin berkata ia hanya akan diputuskan selepas mendapat pandangan mufti Selangor.

“Ini kerana ujian yang dilakukan melibatkan proses pengambilan calitan menerusi rongga (mulut dan hidung). Jadi kita cuba dapatkan pandangan mufti Selangor berhubung perkara ini.

“Kita juga masih menunggu tempahan 5,000 kit ujian daripada Korea sampai,” katanya.

Lebih 5,000 orang menyertai program Saringan Komuniti kendalian Selcare Clinic Sdn Bhd sepanjang tempoh hampir dua minggu sejak ia dilancarkan pada 11 April lalu.

Saringan yang dijalankan di Gombak dan Hulu Selangor pada 22 April menyaksikan penyertaan lebih 1,200 orang. Program di dua daerah itu berlangsung selama dua hari.

Sementara itu di Klang dan Petaling pula, lebih 1,800 orang berjaya disaring sepanjang dua hari yang berakhir 19 April lalu.

Sebelum itu, saringan awal yang dijalankan di Hulu Langat membabitkan 649 individu sepanjang dua hari berakhir 12 April.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Saringan Komuniti temui pesakit Covid-19 tanpa gejala

SHAH ALAM, 21 APRIL: Sebanyak 34 peratus individu positif Covid-19 di Selangor tidak mempunyai sebarang gejala wabak menyebabkan Kerajaan Negeri mengambil langkah agresif melakukan Saringan Komuniti, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bagi mengelakkan ia terus menular dalam kalangan masyarakat dan hasil saringan hari pertama mendapati empat daripada lima kes positif tidak menunjukkan tanda wabak.

“Ini sangat berbahaya kerana mereka boleh menjadi ejen membawa wabak Covid-19,” katanya ketika sesi dialog dikendalikan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Pakatan Harapan (Pakatan) hari ini.

Sesi Interaksi Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Selangor, Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ketua Menteri Pulau Pinang menerusi Facebook pada 21 April 2020. Foto ASRI SAPFIE SELANGORKINI

Beliau berkata pendekatan itu menumpukan lokasi zon merah di seluruh negeri berbanding menunggu data pesakit semata-mata kerana ia akan melewatkan usaha mengekang Covid-19.

Katanya, sasaran kini adalah menghabiskan 5,000 alat saringan menjelang Khamis ini dengan keutamaan kepada warga emas menerusi pemeriksaan percuma secara pandu lalu.

Dalam perkembangan sama Amirudin turut mencadangkan supaya semua negeri ditadbir Pakatan bekerjasama dan bertukar pandangan bagi menangani Covid-19 dengan lebih berkesan susulan perkembangan positif penuruan kes mutakhir ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Tiga kes positif baharu di Selangor

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kes positif Covid-19 di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak tiga orang setakat jam 12 tengah hari tadi, mengikut data Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Menurut Twitter STFC, jumlah keseluruhan kes di Selangor setakat ini 1,343 manakala kes di seluruh negara pula seramai 5,389 individu.

“Walaupun naik sedikit namun masih baik kerana digit tunggal. Tolong patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia belum lagi habis, belum lagi menang,” katanya.

Semalam Selangor menunjukkan pertambahan hanya dua kes baharu positif yang merupakan angka paling rendah minggu ini.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan 95 kes di Malaysia pulih dan pesakit dibenarkan pulang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes sembuh sepenuhnya 3,197 iaitu bersamaan 59.32 peratus dari keseluruhan kes positif.