Categories
AGENDA NASIONAL

Pekilang gesa import, eksport dibenar ketika sekatan pergerakan penuh

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk membenarkan aktiviti sektor import dan eksport diteruskan – termasuk pelabuhan, penggudangan dan penghantaran barang sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

Dalam kenyataan hari ini, FMM turut berharap agar industri pembuatan dengan pesanan eksport berkontrak dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus, meskipun tidak terbabit dalam sektor ekonomi perlu.

Ia turut menyarankan kerajaan memberi kebenaran kepada industri yang menjalankan penyelenggaraan loji, sambil menambah, mereka yang mempunyai relau dan tanur yang perlu beroperasi selama 24 jam seminggu dan tidak boleh dihentikan, mesti dibenarkan beroperasi dengan kapasiti tenaga kerja 20 peratus.

“Dalam hal ini, FMM sedar kerajaan selama ini sentiasa mengekalkan keseimbangan antara melindungi nyawa dan punca pendapatan, namun, lonjakan jumlah kes pada minggu ini menyebabkan tindakan mengenakan sekatan pergerakan penuh itu dibuat.

Menurut FMM, ia turut menarik nafas lega dengan kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat bahawa Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

“FMM mengulangi bahawa kerajaan harus segera menyokong industri pada saat yang genting ini menerusi bantuan dan inisiatif kewangan yang diperlukan termasuk memperuntukkan Dana Bantuan Khas untuk membantu syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana.

Selain moratorium automatik selama tiga bulan mulai 1 Jun 2021, ia turut berharap agar kerajaan mewujudkan semula Program Subsidi Upah kepada semua industri dan menangguhkan atau melanjutkan tarikh bayaran bagi semua caruman berkanun berikutan penutupan sepenuhnya operasi, melainkan mereka yang disenaraikan dalam sektor perlu.

Pihaknya turut menggesa kerajaan untuk mengecualikan caj Permintaan Maksimum Tenaga Nasional Bhd untuk Mei 2021 memandangkan industri telah mengurangkan sebanyak 60 peratus tenaga kerja sejak 25 Mei 2021 dan meneruskan rebat elektrik untuk tempoh enam bulan akan datang mulai Julai hingga Disember tahun ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kerajaan Negeri, kilang teliti kaedah ambil vaksin pekerja industri

SABAK BERNAM, 27 MAC: Kerajaan Selangor dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FFM) meneliti kaedah serta format sesuai pengambilan vaksin Covid-19 oleh pekerja industri.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu membantu pekerja menerima suntikan lebih awal bagi membolehkan sektor itu beroperasi sepenuhnya dan kembali merancakkan ekonomi.

“Pihak kilang tidak ada masalah dan mereka memang mahu pekerja mendapat imunisasi. Jadi kita sedang uruskan perkara ini dengan pemilik (kilang).

“Sebenarnya memang Kerajaan Negeri rancang pembelian (vaksin) tumpu kelompok industri kerana kita mahu sektor ini kembali berjalan dengan kapasiti penuh. Sekarang operasi hanya libatkan antara 30 hingga 40 peratus pekerja sahaja,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perpustakaan Awam Selangor di Dataran Sabak, Sabak Bernam semalam.

Pada Khamis, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan jemaah menteri mengarahkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diutamakan kepada Selangor memandangkan negeri ini merupakan pemacu ekonomi negara selain memiliki kawasan industri yang besar.

Susulan itu kerajaan akan jalin kerjasama dengan sektor perindustrian bagi melaksanakan proses suntikan di kilang atau asrama pekerja.

Categories
SELANGOR

MDKL & pekilang jalin kerjasama banteras denggi

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 13 FEB: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) jalin kerjasama dengan pekilang bagi membersihkan kawasan industri dalam usaha mengatasi pencemaran sampah sarap dan tempat pembiakan nyamuk aedes di wilayah itu.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, MDKL sentiasa berhasrat mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat dan mengurangkan risiko pencemaran di kawasan perindustrian dalam masa sama mencegah kejadian banjir.

“Usaha menjaga kebersihan dan pemuliharaan alam sekitar tidak hanya terletak di bahu MDKL tetapi harus digembeling semua pihak bagi mencapai hasrat murni ini,” katanya dalam satu kenyataan.

unnamedUsaha itu diambil selaras dengan pelan tindakan penjagaan serta kualiti alam sekitar di bawah Jawatankuasa Kecil Kesihatan dan Persekitaran Local Agenda 21 MDKL.

Dalam gotong-royong itu, sebanyak 600 pokok dari jenis “Muraya Paniculata” turut ditanam selain aktiviti kutipan sampah dan semburan lalat serta aktiviti membaling 500 biji ‘EM Mudball’ ke dalam parit monsun yang berperanan mengurangkan bau busuk longkang.

Program itu turut disertai kakitangan jabatan dan agensi tempatan, pelajar sekolah, penduduk kampung serta pekerja kilang.

unnamed (1)“Melalui program seperti ini, semua pihak dapat memainkan peranan meningkatkan lagi mutu alam sekitar di samping mengawal suhu bumi serta bencana alam, selain membendung penularan wabak denggi dan pembiakan haiwan liar yang boleh mengancam nyawa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, MDKL menghantar 12 kakitangannya menyertai Gerak Gempur Denggi 3.0 sebagai tanda sokongan kepada usaha Kerajaan Negeri memusnahkan penularan wabak denggi di Selangor.

“Semua kakitangan MDKL yang terlibat diberikan tugasan menjalankan kerja pembersihan kawasan dan memusnahkan tempat yang disyaki menjadi tempat pembiakan jentik-jentik,” katanya.

-NFN-