Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor sedia RM76 juta, berazam bantu belia dapat kerja

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Selangor serius membantu golongan belia mendapatkan pekerjaaan apabila menyediakan RM76 juta menerusi Belanjawan Selangor 2021.

EXCO pembangunan generasi muda berkata peruntukan lebih besar kali ini dilihat bertujuan mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan di negeri ini.

“Ia satu usaha yang baik, selain memberi peluang pekerjaan Kerajaan Negeri bercadang menyediakan kemahiran untuk mereka bersesuaian dengan pasaran.

“Semoga usaha sebegini dapat mengurangkan jumlah pengangguran ketika pandemik Covid-19 seterusnya meningkatkan ekonomi rakyat,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini.

Terdahulu, menerusi Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selangor Kerjaya menyasarkan 10,000 peluang pekerjaan, Inisiatif Selangor Automotif TVET, 1,000 Rakan Digital Selangor akan dilantik untuk membiasakan rakyat kepada aplikasi digital serta Inisiatif Selangor Freelancers.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor Kerjaya mampu lahir tenaga kerja mahir – MTUC

SHAH ALAM, 22 JULAI: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri yang bertindak segera menangani masalah pengangguran akibat pandemik Covid-19.

Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata Selangor Kerjaya di bawah pelan pemulihan ekonomi negeri dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi sesuai dengan Industri 4.0.

“Tindakan diambil Kerajaan Selangor untuk membantu 10,000 orang dengan menyalurkan peruntukan besar adalah tepat pada masanya, ramai hilang pekerjaan.

“Bukan sahaja mereka dapat kembali bekerja, mungkin boleh juga menjadi usahawan dengan kemahiran baharu dimiliki,” katanya kepada Selangorkini.

Inisiatif membabitkan perbelanjaan RM58 juta dalam tempoh tiga tahun menyediakan sistem profil dan pangkalan data yang mengambil kira kesesuaian minat, keperibadian, kompetensi dan kemahiran tenaga kerja di negeri ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia bulan lalu, jumlah individu menganggur meningkat ketara kepada 778,800 orang setakat April, tertinggi sejak 1989.

Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor Kerjaya tawar kemahiran baharu

SHAH ALAM, 13 JULAI: Selangor Kerjaya bakal memberi manfaat kepada 10,000 rakyat negeri ini yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan itu membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM58 juta dalam tempoh tiga tahun.

“Melalui Selangor Kerjaya, sistem profil dan pangkalan data yang mengambil kira kesesuaian minat, keperibadian, kompetensi dan kemahiran tenaga kerja di Selangor.

“Ia dapat memadankan permintaan industri dan mengisi kekosongan jawatan serta mengurus bakat rakyat Selangor dengan lebih tepat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Katanya tawaran ini khusus buat mereka yang diberhentikan kerja untuk diberi latihan kemahiran baharu sesuai dengan Industri 4.0.