Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH PILIHAN MINGGUAN

MBI peruntuk RM27,300 bantu mangsa banjir, beri manfaat 91 keluarga

KAJANG, 30 JAN : Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sejumlah RM27,300 bagi membantu 91 keluarga terkesan banjir di mukim Beranang, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata setiap rumah menerima wang tunai RM300 dan diharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban mereka.

“Sebanyak tujuh kampung di mukim ini terlibat dengan banjir pada 22 November tahun lalu. Bencana ini juga menyebabkan banyak kerosakan dan kerugian dialami penduduk.

“Justeru, MBI terpanggil untuk menyampaikan sedikit sumbangan tunai ini kepada mereka. Semoga bantuan dapat meringankan beban mangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir Beranang oleh MBI di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Minangkabau.

Selain bantuan kewangan kepada mangsa banjir, Norita berkata MBI turut mengagihkan bakul makanan serta menyediakan sukarelawan bagi membantu kerja pembersihan pascabanjir.

“Banyak bantuan sudah diagihkan, insya-Allah ia akan diteruskan dari semasa ke semasa. Semua bantuan ini juga adalah peruntukan daripada RM1.5 juta seperti diumumkan sebelum ini,” katanya.

Pada 22 November tahun lalu, tujuh kampung sekitar Beranang terjejas banjir iaitu Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Kampung Sesapan Batu Rembau, Kampung Sungai Jai, Kampung Jalan Enam Kaki Kampung Paya Tanjung, Kampung Sesapan Kelubi dan Kampung Bukit Kepong.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MBI belanja RM2.8 juta bantu mangsa bah seluruh negeri

SHAH ALAM, 12 JAN: Sejumlah RM2.8 juta dibelanjakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk membantu mangsa banjir negeri ini, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.3 juta disumbangkan beberapa syarikat MBI yang diserah kepada Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit, jelas Norita Mohd Sidek.

Beliau memaklumkan Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat pula memperuntuk RM1.5 juta untuk agihan wang ihsan, makanan, keperluan asas dan alatan pembersihan.

“Diharap semua sumbangan ini dapat mengurangkan beban dan kesedihan mangsa banjir untuk bangkit semula membina kehidupan,” katanya selepas menyerahkan bantuan kepada staf terkesan bah di sini.

Selain itu, Norita berkata kakitangan MBI turut terlibat menyediakan makanan bermasak kepada mangsa banjir pada Disember lalu melalui program Dapur Ehsan.

Kerajaan Selangor melaksanakan program berkenaan selama 12 hari mulai 20 hingga 31 Disember bagi memudahkan mangsa banjir mendapat keperluan makanan.

Sepanjang tempoh itu, kira-kira 14,000 bungkusan makanan diagih kepada mangsa sekitar Taman Sri Muda, Padang Jawa dan Puchong termasuk di pusat pemindahan sementara.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Kerjaya: Peserta ditawar kerja jalani kursus khas

SHAH ALAM, 8 MAC: Pemohon program Selangor Kerjaya yang mendapat tempat dalam pasaran kerja berpeluang mengikuti kursus khas selama setahun.

Ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berkata kursus secara maya dipilih majikan bagi meningkatkan kemahiran serta kualiti kerja dan sijil akan diberikan kepada mereka selepas menamatkan latihan.

“Untuk rekod, seramai 38 daripada 80 individu yang melepasi sesi temuduga dalam talian dan fizikal berjaya ditempatkan ke pelbagai sektor pekerjaan,” kata Norita Mohd Sidek kepada SelangorKini.

Beliau berkata Selangor Kerjaya mempunyai ciri unik berbanding saluran carian pekerjaan lain seperti pemohon perlu melalui ujian profil untuk proses saringan bagi memahami minat, kemahiran dan jenis kerja sesuai.

“Laporan ini akan dikongsikan dengan mereka sebagai rujukan, malah latihan asas dijalankan untuk menyediakan tenaga kerja yang dipilih untuk ditemuduga.

“Justeru, MBI berharap lebih ramai warga Selangor mengambil peluang mendaftar diri dan membina kerjaya melalui program ini,” katanya.

Pada 26 Januari, Kerajaan Negeri melancarkan laman sesawang www.selangorkerjaya.com.my untuk menangani isu penggangguran dalam jangka masa pendek dan panjang.

Usaha tersebut turut dikhususkan kepada individu yang hilang pekerjaan susulan penularan Covid-19.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MBI belanja RM30 juta laksana CSR tahun ini – MB

GOMBAK, 28 NOV: Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) memperuntukkan hampir RM30 juta bagi menggerakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan itu lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya pada sekitar RM25 juta berikutan penularan Covid-19.

“Sumbangan ini meliputi bantuan Aidilfitri kepada golongan memerlukan, nazir dan imam masjid serta surau termasuk lembu korban sempena Aidiladha.

“Dana juga disediakan bagi membantu mengukuhkan institusi agama seperti surau dan masjid kerana melalui kehidupan dirahmati, kita dapat meneruskan agenda kecemerlangan ekonomi serta kemakmuran negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan pembinaan dataran serbaguna Surau Al-Mukmin Mutiara Gombak di sini hari ini yang juga dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menanam pokok sebagai gimik pelancaran kebun organik di Surau Al Mukmin Mutiara Gombak, Gombak pada 28 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata pihaknya percaya program CSR dilaksana MBI mampu memberi manfaat kepada masyarakat di negeri ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: RM100,000 bantu jawatankuasa surau bina dataran serbaguna

GOMBAK, 28 NOV: Kerajaan Negeri mengagihkan RM100,000 bagi menampung sebahagian kos pembinaan dataran serbaguna di Surau Al-Mukmin Mutiara Gombak di sini.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu sebagai memenuhi hasrat jawatankuasa surau bagi mewujudkan gelanggang sukan dan aktiviti kemasyarakatan di dataran tersebut.

“Sumbangan ini meliputi 45 peratus daripada jumlah sebenar diperlukan untuk tujuan berkenaan manakala selebihnya melalui derma dan sumbangan orang ramai.

“Kita berharap komuniti dan pihak lain juga dapat membantu merealisasikan hasrat ahli jawatankuasa surau untuk membina dataran itu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas majlis penyerahan cek cura kepada surau berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan cek cura kepada Surau Al Mukmin Mutiara Gombak, Gombak pada 28 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata Kerajaan Negeri berazam sentiasa mengukuhkan surau dan masjid kerana institusi berkenaan menjadi pusat komuniti serta transformasi rakyat.

“Walaupun kita berdepan ancaman lebih besar dengan kemajuan teknologi namun hari ini masih mampu meneguhkan institusi berkaitan.

“Setiap kali jelajah ke daerah di Selangor, saya akan melawat surau dan masjid untuk memastikannya dibela sekali gus memberi kesan positif kepada masyarakat,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pengalaman 35 tahun bantu Norita teraju MBI

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pengalaman 35 tahun bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meyakinkan Norita Mohd Sidek mengendalikan sebuah lagi syarikat besar milik Kerajaan Negeri.

Ketua pegawai eksekutif baharu Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu berkata kemahiran dalam pembangunan hartanah membolehkannya lebih fokus mengendalikan aset negeri.

“Ini tangungjawab besar diberi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kepada saya dan amanah daripada kerajaan untuk bersama membangunkan Selangor.

“Matlamat saya supaya dapat meningkatkan kecekapan MBI dan anak-anak syarikatnya sekali gus meletakkan Selangor terus di hadapan,” kata figura berusia 60 tahun itu kepada SelangorKini.

Pagi tadi, Norita bertemu Amirudin di pejabat Dato’ Menteri Besar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri dan menerima watikah pelantikan.

Pada 3 Ogos lalu, Norita yang juga bekas Ketua Pegawai Operasi PKNS dilantik menggantikan YM Raja Shahreen Raja Othman yang tamat kontrak pada 30 November 2019.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Norita teraju MBI, bukti keterbukaan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pemilihan Norita Mohd Sidek sebagai peneraju baharu Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) membuktikan keterbukaan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata pengalaman luas bekas ketua pegawai operasi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dapat memperkukuhkan fungsi konsortium anak syarikat Kerajaan Negeri itu terutama selepas berdepan Covid-19.

“Ini adalah bukti keterbukaan Kerajaan Negeri dan saya berharap ketua pegawai eksekutif (CEO) dapat terus memajukan MBI dan melengkapkan misi Selangor bergelar negeri pintar menjelang 2025,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada SelangorKini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) Norita Mohd Sidek menandatangani watikah pelantikan sambil disaksikan Dato Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Pejabat Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 5 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu, Norita bertemu Amirudin di pejabat Dato’ Menteri Besar serta menerima watikah pelantikannya.

Pada 3 Ogos lalu, Norita dilantik sebagai CEO MBI yang baharu bagi menggantikan Raja Shahreen Raja Othman yang tamat kontrak pada 30 November tahun lalu.

Categories
SELANGOR

PKNS lancar sistem maklum balas pelanggan secara digital

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 13 APR: Selari dengan perkembangan Internet of Things (IoT), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan sistem maklum balas pelanggan secara atas talian, hari ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Norita Mohd Sidek berkata, langkah berkenaan dilihat lebih efektif yang membolehkan pelanggan mengisi maklum balas pada bila-bila masa secara dalam talian.

 

 

Katanya, tujuannya supaya membolehkan pelanggan khasnya dan masyarakat menggunakan saluran betul bagi membuat sebarang aduan.

“Maklum balas pelanggan sama ada positif atau negatif penting kepada PKNS kerana ia menjadi kayu pengukur kepada prestasi kita.

“Segala maklum balas pelanggan, PKNS akan menjadikannya sebagai input untuk perancangan, penambahbaikan dan penilaian Bahagian Perkhidmatan Pelanggan selaras dengan nilai bersama ‘Pelanggan Diutamakan’ dan ‘Komited ke arah Kecemerlangan’,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Bersama Pelanggan PKNS Siri 1/2019 di Dewan Komuniti Seksyen 7, di sini.

Hadir sama, pegawai PKNS termasuk Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Selatan, Lokman Abd Kadir; Pengurus Besar Perhubungan Korporat, Roziah Ahmad dan Pengurus Perkhidmatan Pelanggan, Mohamad Safri Mohd Yatim.

Mengulas lanjut, Norita berkata, hampir 80 peratus aduan pelanggan berjaya diselesaikan sepanjang tahun lalu membabitkan kerosakan dan juga masalah kecil lain.

Katanya, PKNS turut komited menyelesaikan kes dalam tempoh kurang 24 jam terutama membabitkan kerosakan rumah akibat cuaca buruk.

“Malah mengikut piagam pelanggan PKNS, segala aduan dikemukakan perlu direspon dalam tempoh sekurang-kurangnya dua hari.

“Justeru saya berharap supaya melalui pelaksanaan aduan atas talian ini akan digunakan sebaiknya oleh pengguna,” katanya.

Categories
SELANGOR

PKNS RaudhahVille lancar 300 unit kediaman, berciri Islamik

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 9 APR: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan 300 unit rumah eksklusif atau multi generasi, PKNS RaudhahVille bagi fasa pertama yang dibina di dalam bandar Islam moden pertama di dunia, Raudhah City, di sini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, projek kediaman mewah mampu milik itu adalah kerjasama pintar antara PKNS selaku pemaju projek dan Raudhah City Sdn Bhd sebagai rakan pemasaran strategik.

Beliau berkata, projek perumahan RaudhahVille berkonsepkan ‘modern tropical’ dan mewah itu dibina di atas tapak seluas 12.10 hektar dengan menawarkan rekabentuk seluas 2,227 kaki persegi sehingga 3,796 kaki persegi.

“RaudhahVille ini bukan sahaja dilengkapi ciri kemudahan bandar pintar, namun pembeli bakal menikmati pelbagai kemudahan dan pembangunan yang sudah siap serta sedang dibina dalam bandar seluas 213.2 hektar ini.

“Bertemakan ‘Bandar Keamanan dan Kasih Sayang’, Raudhah City dibangunkan secara berperingkat meliputi pembangunan kluster pendidikan awal berasaskan montesori Islam iaitu kita sudah membangunkan kampus Sekolah Islam Antarabangsa Brainy Bunch.

“Selain itu, kita akan teruskan dengan pembangunan kluster pendidikan tinggi dan hab pelancongan perubatan, kluster multimedia kreatif dan hab halal, kluster komersial dan kluster kediaman,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, pihaknya menyasarkan 50,000 penduduk akan menetap di Raudhah City termasuk daripada segenap lapisan komuniti termasuk bukan Muslim.

Katanya, beliau percaya bandar itu akan menjadi contoh ciri bandar Islam moden selain patuh syariah, penekanan aspek keselamatan, kelestarian bandar dan perhubungan pintar antara bandar.

“Projek PKNS RaudhahVille mencatatkan kemajuan pembinaan sebanyak 75 peratus dan kini sudah dibuka dengan harga jualan dari RM1.2 juta sehingga RM2.1 juta sebelum diskaun serta dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

“PKNS optimis projek ini bakal menepati citarasa rakyat berdasarkan konsep rekabentuk dan pemilihan lokasi yang dilihat amat strategik dengan pelbagai jaringan akses kemudahan logistik melalui Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Lembah Klang Selantan (SKVE), Lebuhraya ELITE dan Lebuhraya MEX,” katanya.

Terdahulu, majlis pelancaran RaudhahVille itu dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin di Selangor Cyber Valley, Sabtu lalu.

Categories
SELANGOR

PKNS Ambil Tindakan Terhadap NGO Hasut Penduduk

 

SHAH ALAM 4 OKT : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dikenal pasti terbabit dalam demostrasi di hadapan Ibu Pejabatnya baru-baru ini.

Ketua Pegawai Integriti PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, NGO terbabit dilihat memperdayakan penduduk dengan menghasut supaya penduduk membuat tuntutan yang tidak berasas.

Pihaknya percaya penduduk terbabit dipergunakan untuk mencapai agenda tertentu dan menyakinkan mereka kononnya PKNS perlu mengambil alih hutang rumah mereka.

“Sebagai sebuah agensi Kerajaan Negeri yang berpengalaman 48 tahun dalam pembangunan hartanah, PKNS tidak akan sewenang-wenangnya membuat keputusan yang boleh membawa kerugian atau tanggapan negatif terhadap syarikat itu.

“Kami tidak menyalahkan penduduk berkenaan. Mereka sebenarnya diperdayakan NGO-NGO tertentu yang menyakinkan mereka kononnya PKNS perlu mengambil alih hutang rumah mereka.

“Namun, kami ingin menasihatkan semua penduduk perumahan PKNS supaya jangan terperdaya dengan hasutan ini kerana ia adalah tidak benar,? katanya dalam kenyataan media.

Norita menegaskan bahawa PKNS tidak pernah mengeluarkan walau sesen untuk menyelamatkan Talam Corporation seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Selain itu, PKNS turut mengingatkan semua penduduk perumahan PKNS agar tidak memberikan maklumat peribadi mereka seperti nama penuh, alamat rumah, nombor kad pengenalan dan nombor telefon kepada NGO terbabit.

“Kami melihat adanya borang yang diedarkan oleh NGO tertentu yang meminta penduduk mengisi maklumat peribadi mereka sebagai desakan kepada PKNS untuk melangsaikan hutang rumah mereka. NGO itu juga dipercayai mengutip RM10 bagi setiap borang.

“Kami tidak mahu maklumat itu akan disalahguna. Jika ada mana-mana penduduk yang keliru mengenai isu ini, sepatutnya mereka datang terus ke PKNS dan kami bersedia untuk menjawab sebarang pertanyaan. Tidak perlu melalui orang tengah atau berdemonstrasi kerana ia hanya akan mengeruhkan keadaan,” katanya.

Baru-baru ini, seramai 350 pembeli rumah PKNS menuntut perbadanan itu mengambil alih hutang rumah mereka yang keseluruhannya berjumlah RM50 juta.

Categories
SELANGOR

Tiada Pertindihan Kuasa Antara Exco Dan Ahli Perbadanan PKNS

SHAH ALAM, 4 JULAI : Tidak wujud pertindihan kuasa antara jawatankuasa Exco dan Ahli Perbadanan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), tegas Ketua Pegawai Integriti PKNS, Norita Mohd Sidek.

Norita berkata, PKNS diterajui oleh Ahli Perbadanan yang dilantik oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengikut peruntukan Enakmen PKNS.

Ahli-ahli jawatankuasa Perbadanan adalah seimbang dengan wakil-wakil daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.

“Penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sekarang ialah melantik Ahli Perbadanan Bebas yang profesional bagi memastikan proses membuat keputusan dibuat secara profesional.

“Manakala wakil Kerajaan Pusat pula terdiri daripada dua orang wakil yang dilantik oleh Kementerian Kewangan dan seorang wakil yang dilantik oleh Jabatan Perdana Menteri,” kata Norita dalan kenyataan media.

Tambah Norita, bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran PKNS, Ahli-ahli Perbadanan telah menubuhkan beberapa jawatankuasa peringkat Perbadanan.

Ia meliputi Jawatankuasa Kewangan, Jawatankuasa Tender, Jawatankuasa Perjawatan dan Tatatertib, Jawatankuasa Exco, Jawatankuasa Audit serta Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti.

“Jawatankuasa Audit dipengerusikan oleh mantan Ketua Akauntan Negara dan Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti pula dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Kesemua jawatankuasa ini mempunyai bidang kuasa masing-masing namun semua keputusan yang dibuat di peringkat jawatankuasa perlu diluluskan di dalam Mesyuarat Ahli Perbadanan PKNS dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah Pengerusi Ahli Perbadanan.