Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN sifatkan pemulihan Muhyiddin ‘pelan mengaku kalah’

SHAH ALAM, 16 JUN: Pelan Pemulihan Negara yang melibatkan empat fasa ke arah membuka semula sektor ekonomi dan sosial hujung tahun ini ibarat “pelan mengaku kalah”, kata Pakatan Harapan (PAKATAN).

Majlis Presiden gabungan pembangkang itu menyifatkan rancangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai strategi lengkap bagi memulihkan syarikat dan orang ramai yang terjejas.

“Ia bagaikan satu ‘pelan mengaku kalah’ pada pandemik Covid-19,” kata tiga presiden gabungan tersebut dalam kenyataan bersama sehari selepas pembentangan pada 15 Jun.

“Malah lebih mengejutkan ialah siri fasa ‘pelan’ tersebut kononnya berasaskan sains dan data, namun realitinya data yang dimaksudkan tidak telus, tidak terbuka dan tidak terperinci untuk diteliti orang ramai, dan mudah termanipulasi seperti yang pernah kita saksikan sebelum ini,” kata majlis tersebut.

Kenyataan ringkas itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“(Pelan) ini adalah satu pengumuman tergesa-gesa yang cuba mengalih pandangan rakyat daripada keadaan kepimpinan yang terumbang-ambing, hilang arah, dan gagal berkali-kali untuk mengawal pandemik ini dengan baik,” kata mereka lagi.

Berdepan kritikan ramai susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh mulai 1 Jun, kerajaan mengumumkan pelan tersebut yang memperinci rancangan pembukaan ekonomi dan kegiatan sosial.

Setiap fasa akan beralih berdasarkan tiga petunjuk utama: jumlah purata harian kes Covid-19, jumlah katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan kadar vaksinasi seluruh negara.

Fasa kedua misalnya akan dibuka jika 10 peratus penduduk menerima dua dos vaksin, purata kes harian bawah 4,000 dan penggunaan katil di UC di paras sederhana.

Dalam fasa ini, semua kegiatan sosial masih dilarang tetapi kegiatan ekonomi dibuka sedikit untuk syarikat yang dibenarkan, termasuk meningkat jumlah tenaga industri kepada 80 peratus.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor Kerjaya mampu lahir tenaga kerja mahir – MTUC

SHAH ALAM, 22 JULAI: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri yang bertindak segera menangani masalah pengangguran akibat pandemik Covid-19.

Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata Selangor Kerjaya di bawah pelan pemulihan ekonomi negeri dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi sesuai dengan Industri 4.0.

“Tindakan diambil Kerajaan Selangor untuk membantu 10,000 orang dengan menyalurkan peruntukan besar adalah tepat pada masanya, ramai hilang pekerjaan.

“Bukan sahaja mereka dapat kembali bekerja, mungkin boleh juga menjadi usahawan dengan kemahiran baharu dimiliki,” katanya kepada Selangorkini.

Inisiatif membabitkan perbelanjaan RM58 juta dalam tempoh tiga tahun menyediakan sistem profil dan pangkalan data yang mengambil kira kesesuaian minat, keperibadian, kompetensi dan kemahiran tenaga kerja di negeri ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia bulan lalu, jumlah individu menganggur meningkat ketara kepada 778,800 orang setakat April, tertinggi sejak 1989.

Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor Kerjaya tawar kemahiran baharu

SHAH ALAM, 13 JULAI: Selangor Kerjaya bakal memberi manfaat kepada 10,000 rakyat negeri ini yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan itu membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM58 juta dalam tempoh tiga tahun.

“Melalui Selangor Kerjaya, sistem profil dan pangkalan data yang mengambil kira kesesuaian minat, keperibadian, kompetensi dan kemahiran tenaga kerja di Selangor.

“Ia dapat memadankan permintaan industri dan mengisi kekosongan jawatan serta mengurus bakat rakyat Selangor dengan lebih tepat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Katanya tawaran ini khusus buat mereka yang diberhentikan kerja untuk diberi latihan kemahiran baharu sesuai dengan Industri 4.0.

Categories
SELANGOR

Inisiatif Rakan Digital bimbing warga emas, peniaga babit sosioekonomi

SHAH ALAM, 13 JULAI: Inisiatif Rakan Digital diperkenal bagi membantu warga emas dan peniaga belum celik digital mendapat bimbingan terlibat dalam sosioekonomi masa kini.

Dato’ Menteri Besar berkata ia dilaksanakan bersama universiti awam, swasta, badan bukan kerajaan, Kolej INPENS, Unisel dan Team Selangor dengan peruntukan RM3 juta.

“Digitalisasi memberi ruang kepada masyarakat seluruh dunia melawan ombak besar Covid-19. Namun, tanpa bantuan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan, sudah pasti akan ada yang tertinggal,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga, hari ini

Amirudin berkata pelan pemulihan ekonomi itu menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan.

Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pelan ini ialah RM55.85 bilion.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Pelan pulih ekonomi RM56 bilion bantu rakyat terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 13 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini membentang pelan pemulihan ekonomi bagi membantu golongan terjejas akibat penularan Covid-19.

Pelan itu, sinambungan dua fasa pakej Selangor Prihatin pada Mac lalu, berasaskan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan.

Bertema Menyemarak Kebingkasan Rakyat, Memacu Kesejahteraan Negeri, keseluruhan nilai ekonomi pelan tersebut adalah RM55.85 bilion. Sehingga kini, sebanyak RM260,144,464.54 dibelanjakan untuk manfaat kepada 3.5 juta rakyat Selangor.

Berikut inisiatif pemulihan jangka pendek dan panjang:

Jaminan bekalan makanan

– Inisiatif AgroData Selangor melengkapkan permintaan bahan makanan asas menerusi pembangunan di tanah berkeluasan 5,000 ekar yang berpotensi sebagai gedung simpanan dan pengeluaran makanan serta produk asas tani negeri.

– Program bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi peruntukan RM50 juta untuk projek pertanian makanan dan penternakan dengan mengoptimumkan penggunaan tanah seluas 300 ekar

– Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) berperanan memasarkan hasil pertanian dan produk secara meluas termasuk di luar bandar menerusi jualan dalam talian dengan sistem penghantaran berkesan

Kemampanan Ekonomi

– Insentif galakan pembinaan rumah mampu milik pascawabak Rumah Selangorku Harapan berjumlah RM7.5 bilion membenarkan pemaju meminda penjenisan rumah kepada hanya berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi dengan harga jualan tidak melebihi RM250,000 seunit.

– Inisiatif Rumah Idaman dengan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bernilai RM12 bilion untuk menggerakkan  semula kitaran ekonomi

– Skim Smart Sewa To Ownership (2Stay) dengan jangkaan harga jualan rumah tidak melebihi RM200,000 melalui dua fasa iaitu penyewaan maksimum lima tahun atau pemilikan ‘Rent to Own’ (Penyewaan kepada Pemilikan)

– Keseluruhan pelaburan Industri Bekalan Air Selangor bernilai RM35.41 bilion untuk tempoh 30 tahun dengan unjuran pembangunan 2020 adalah RM429 juta dan RM3.2 bilion pada 2021

– Sukuk Kelestarian Air Selangor bernilai terbitan RM10 bilion dengan tempoh matang antara satu hingga 20 tahun untuk membiayai projek infrastruktur air yang mesra alam

– Selangor e-Dapur diteruskan dengan menyasarkan 1,000 usahawan dengan nilai jualan RM12 juta dan ia diperluas ke sektor runcit, restoran, farmasi dan produk usahawan melalui sokongan inisiatif digital

– Inisiatif Pelaburan WAAQAF berjumlah RM50 juta dilaburkan menerusi mekanisme patuh syariah sebelum diagihkan Perbadanan Wakaf Selangor kepada golongan sasaran

– Subsidi baucar pelancongan bagi premis perhotelan, taman tema dan homestay berlesen di kawasan pihak berkuasa tempatan negeri ini  berjumlah RM2 juta

– Insentif khas pemandu pelancong, pengusaha homestay dan hos komuniti secara sekali bayar bernilai RM1,000 dengan peruntukan RM600,000

Pembangunan keupayaan

– Inisiatif Selangor Kerjaya dengan peruntukan RM58 juta untuk memberi latihan kemahiran baharu kepada 10,000 individu dalam masa tiga tahun

– Peruntukan Inisiatif Rakan Digital Selangor RM3 juta bagi membantu rakyat celik ekonomi digital menerusi bimbingan universiti awam, swasta, badan bukan kerajaan dan Team Selangor

– Inisiatif Data Internet Selangor peruntuk RM18 juta untuk memberi manfaat kepada 40,000 penerima

– Penambahan peruntukan RM1 juta kepada program Roda Darul Ehsan (RIDE), menjadi keseluruhan RM2 juta sebagai subsidi lesen memandu percuma B2 untuk membantu hampir 3,000 anak muda

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelan pulih ekonomi tumpu jana sektor utama pascawabak

SHAH ALAM, 7 JULAI: Pelan pemulihan jangka sederhana yang dibentangkan pada hari pertama persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) Isnin depan menumpukan usaha mempertahan struktur ekonomi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan itu juga bagi menjana semula sektor utama dalam tempoh enam bulan terakhir tahun ini susulan impak Covid-19.

“Pelan pemulihan ini lanjutan terhadap pakej sebelum ini. Ekonomi negeri sedikit sebanyak terkesan dengan penularan Covid-19, jadi kita tunggu perinciannya nanti,” katanya ditemui pemberita selepas menjalani saringan di perkarangan Bangunan Annex, SUK hari ini.

Pelan tersebut dijangka memberi tumpuan kepada isu perumahan, pendidikan dan pekerjaan. Sebelum  ini, Selangor menyediakan dua fasa Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin, masing-masing berjumlah RM127.78 juta dan RM272.5 juta.

Melalui pakej itu, penjaja dan peniaga kecil berlesen antara penerima bantuan sekali bayar RM500, petugas barisan hadapan (RM200), pesakit Covid-19 (RM1,000) dan mahasiswa (RM200).

Ahli Dewan Negeri diberi kelonggaran untuk menggunakan peruntukan RM30,000 bagi membantu orang ramai yang kesempitan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Pakej itu juga memberi pengecualian dan penangguhan bayaran tertentu termasuk Projek Perumahan Rakyat, Skim Smart Sewa dan sewa premis pihak berkuasa tempatan.

Selangor turut menganjurkan e-Bazar Raya dan Ramadan bagi membolehkan usahawan beroperasi. Pasar Agro Selangor turut diadakan bagi membantu petani memasarkan produk mereka.