Categories
ADN SELANGOR

ADN Kampung Tunku jumpa polis bincang isu keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 29 JULAI: Polis memberi jaminan untuk menangani isu keganasan rumah tangga bagi mengelak wanita didera, kata Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku.

Lim Yi Wei berkata sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pihaknya menerima beberapa laporan kes penderaan.

“Polis memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Kita harap masalah ini dapat diatasi sebaik mungkin,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Yi Wei bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) All Women’ Action Society dan Pertubuhan Pertolongan Wanita mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal bagi membincangkan perkara itu.

Yi Wei berkata pihaknya akan menganjurkan forum pada September bagi menyedarkan masyarakat mengenai keburukan keganasan rumah tangga.

“Forum turut disertai anggota polis sebagai panel. Kita akan mendidik masyarakat bagaimana cara mengelakkan keganasan selain langkah yang perlu diambil,” katanya.

Pada 13 Julai lalu, EXCO Wanita Dr Siti Mariah Mahmud berkata Selangor merekodkan 90 kes keganasan rumah tangga sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mesyuarat, seminar dibenarkan, tidak lebih 250 peserta

SHAH ALAM, 17 JUN: Sektor Kerajaan dan swasta dibenarkan untuk menganjurkan mesyuarat, seminar dan bengkel dengan syarat mematuhi penjarakan sosial satu meter.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran untuk kawasan hijau sahaja itu turut membenarkan program kursus, latihan dan persidangan berlangsung dengan jumlah maksimum 250 peserta mengikut kapasiti ruang penganjuran.

“Semua peserta perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengimbas kod QR sewaktu proses pendaftaran. Penganjuran majlis di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun pesakit di bawah siasatan (PUI) dan orang di bawah pengawasan (PUS) tidak dibenarkan menyertai sebarang aktiviti berkenaan.

Ismail Sabri berkata penganjur juga perlu menyediakan makanan secara bungkus sahaja sepanjang aktiviti berlangsung bagi mematuhi SOP penjarakan sosial.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan benarkan anjur mesyuarat, seminar patuhi SOP

SHAH ALAM, 12 JUN: Kerajaan membenarkan penganjuran mesyuarat, seminar, kursus dan latihan diadakan seperti biasa, namun perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

“Bagaimanapun tatacara operasi piawai (SOP) mengenai perkara itu sedang diperhalusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya akan umumkan SOP tersebut (nanti),” katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksana pada 18 Mac lalu, kerajaan tidak membenarkan acara berkenaan dianjurkan bagi membendung penularan Covid-19.

Categories
SELANGOR

Pengurusan bangunan berstrata perhalusi JMB & MC

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 16 JUN: Kira-kira 200 Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) menyertai Seminar Pengurusan Bangunan Berstrata di Dewan Banquet, Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata ia bertujuan memberi penerangan lebih jelas kepada badan pengurusan pangsapuri berkenaan peraturan dan tanggungjawab mereka terhadap penyelenggaraan.

Ahmad Zaharin Mohd Saad“Mereka juga diberi penerangan dalam menangani pemilik harta yang gagal menjelaskan caj penyelenggaraan, keperluan menubuhkan JMB dan pengurusan kutipan sampah di kawasan berstrata,” katanya.

Katanya, seminar itu juga bagi memberi penerangan berkenaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab mengawal selia pihak terlibat dalam pengurusan bangunan berstrata.

“MBSA mahu JMB dan MC tahu bahawa kita turut terlibat dalam menyelesaikan masalah serta mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

-NFN-