Categories
PBT SELANGOR

Jom ke Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Bandar MBSA

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjemput orang ramai untuk hadir ke Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Bandar pada 15 hingga 17 Mac ini.

Ia bakal diadakan di Dewan MBSA Seksyen 19 dan Dewan Dahlia Seksyen 24, di sini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kejohanan itu julung kali diadakan dan penyertaan terbuka kepada semua regu seluruh Malaysia.

“Kejohanan ini adalah landasan untuk mencungkil bakat baharu dan secara tidak langsung dapat melahirkan atlet berkualiti serta berdaya saing.

“Menerusi program ini, ia juga dapat mempromosikan MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan yang prihatin dan mengambil berat berkenaan aktiviti sukan selari dengan matlamat menjadikan Shah Alam bandar raya sukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebarang pertanyaan berhubung kejohanan berkenaan, boleh dihubungi Pengurus Sepak Takraw MBSA, Ahmad Chairil Zen Mostafa di talian 03-55105133 sambungan 1539.

 

Categories
PBT SELANGOR

Sambutan Hari Wanita tema Jom Picnic Dhuha MBSA

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 12 MAC: Sambutan Hari Wanita menjadi tema dalam program Jom Picnic Dhuha sempena Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam, Ahad lalu.

Program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, membincangkan topik bertajuk ‘Pengorbanan dan Kegigihan Seorang Wanita’.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program bertempat di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 itu, turut diserikan dengan penampilan seperti Fazleena Hishamuddin (aktivis teater) dan Farrah Adeeb (pengacara/personaliti tv).

“MBSA mengadakan Jom Picnic Dhuha bertemakan sambutan Hari Wanita sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan pada 10 Mac lalu.

“Jom Picnic Dhuha kali ini membincangkan topik ‘Pengorbanan dan Kegigihan Seorang Wanita’ serta cabaran perlu dihadapi mereka,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, MBSA turut mengadakan pertandingan memasak membabitkan warga kerja MBSA dan juga wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

“Selain itu, turut diadakan aktiviti menarik seperti acara ‘Fun Walk’, acara berbasikal, senamrobik, senaman taichi, Klinik Frisbee, Hydrogel Games, Futsal 3On3, Wall Climbing, Obstacles.

“Persembahan pakaian beragam dan aktiviti kebudayaan serta kesenian, persembahan pentas oleh kombo MBSA juga pemeriksaan kesihatan percuma,” katanya.

Beliau berkata, program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan adalah inisiatif MBSA ke arah mempromosikan gaya hidup sihat dan mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya yang menyebabkan pelepasan gas karbon monoksida sekali gus mencemar alam sekitar.

Categories
PBT SELANGOR

SAOW di AEON Big Bukit Rimau Sabtu ini

OLEH NOR UMIRAH IZRIN

SHAH ALAM, 26 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak “Shah Alam On Wheel” (SAOW) di Pasaraya AEON Big Bukit Rimau, Seksyen 32 di sini, Sabtu ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, perkhidmatan disediakan bermula jam 11 pagi hingga 5 petang adalah bagi kemudahan orang ramai berurusan dengan pihak berkuasa tempatan itu.

“Orang ramai berpeluang untuk membayar cukai taksiran, pembayaran kompaun tempat letak kereta dan sebagainya pada hari cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Melalui perkhidmatan ini, saya berharap dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan MBSA untuk manfaat masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Categories
PBT SELANGOR

Eco Free Market MBSA tarik lebih 1,000 pengunjung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 FEB: Program Eco Free Market anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima sambutan menggalakkan dengan menarik lebih 1,000 pengunjung di Dataran Kemerdekaan Seksyen 14 di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program julung kali diadakan tahun ini turut menarik penyertaan seramai 92 penyumbang dengan membawa barang keperluan yang masih berada dalam keadaan baik seperti pakaian, kasut dan peralatan rumah.

“Matlamat penganjuran program ini adalah untuk memperkenalkan konsep Free Market kepada orang ramai selain diharapkan dapat memupuk semangat dan sifat bersedekah kepada golongan yang memerlukan.

“Penyaluran dan edaran semula barangan terpakai secara percuma adalah alternatif bagi mengelakkan pembaziran serta mengurangkan pembuangan barangan terpakai ke tapak pelupusan.

“Ia juga dapat mengurangkan barangan yang tidak digunakan daripada dibuang dan barangan dibuang akan menyumbang kepada peningkatan sampah di tapak pelupusan sampah,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, pihaknya juga menampilkan kelainan dengan menyediakan kupon VIP kepada pengunjung yang memeriahkan program bersempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan itu.

Katanya, penerima kupon VIP membuat pertukaran barang kitar semula seperti botol air, botol kaca, tin aluminium dan surat khabar lama.

“Kita berjaya mengumpul sebanyak 74.8 kilogram (kg) barang kitar semula iaitu 36.3 kg botol plastik, 8.5 kg botol kaca, 21 kg surat khabar dan 9 kg aluminium,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

 

Categories
PBT SELANGOR

Lebih 3,000 meriahkan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 FEB: Lebih 3,000 orang memeriahkan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini, semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, program itu adalah inisiatif ke arah mempromosikan gaya hidup sihat selain mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya yang boleh mencemarkan alam sekitar.

“Program ini juga selaras dengan hala tuju MBSA untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

“Turut diadakan aktiviti riadah seperti berbasikal, berjalan kaki, senamrobik, senaman taichi, persembahan pentas oleh kombo MBSA dan pemeriksaan kesihatan percuma,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, orang ramai turut mengambil peluang mencuba permainan wall climbing, senaman Taichi, Mobile Library, Shah Alam On Wheels, Food Truck, chu chu train, Klinik Frisbee, Hydro Gel Games, Futsal On 3 dan Fruit Eating Challenge.

“Menariknya, mereka turut menyertai Pertandingan Pakaian Beragam Terbaik membabitkan dua kategori iaitu Kategori Keluarga dan Individu.

“Selain itu, program bual santai Jom Picnic Dhuha bertajuk ‘Sembang Santai Penghijrahan’ bersama Mel Wings dan Amira Ann Lee serta Program Eco Free Market turut diadakan.

“Manakala, majlis pelepasan larian pula disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

SAOW di Tesco Setia Alam Sabtu ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 FEB : Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheels (SAOW) akan beroperasi di Tesco Setia Alam, Seksyen U13, di sini, pada 16 Februari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, SAOW adalah kemudahan disediakan MBSA untuk orang ramai berurusan pada hari cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Pejabat bergerak yang mula beroperasi bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang itu menyediakan kemudahan seperti semakan dan pembayaran cukai taksiran, semakan dan pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan, jualan kupon parkir dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Melalui perkhidmatan itu, MBSA optimis dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan Majlis untuk manfaat masyarakat.

Categories
PBT SELANGOR

Enam laluan ditutup sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 FEB: Sebanyak enam laluan akan ditutup selama tiga jam mulai 6.30 hingga 9.30 pagi bersempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), esok.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, antara laluan terbabit adalah Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai.

“Program ini akan bermula di Dataran Kemerdekaan bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kota Shah Alam.

“Sehubungan itu, MBSA menyeru orang ramai supaya tidak menggunakan jalan yang dinyatakan pada tempoh terbabit untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi arahan dari masa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, MBSA juga memohon agar pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi yang hendak dituju.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA di talian 03-5522 2734.

Categories
SELANGOR

Jalan Persiaran Bandaraya ditutup mulai esok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 DIS : Jalan Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan) akan ditutup esok hingga 1 Januari ini bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam.

Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, penutupan jalan itu disebabkan penganjuran program Menangani Gejala Sosial : Smart Selangor, Safe Community sempena Ambang Tahun Baru 2019.

Katanya, sehubungan itu MBSA akan menutup sementara sebahagian jalan untuk tujuan persiapan dan semasa program berlangsung.

“Kami berharap supaya orang ramai tidak menggunakan jalan dinyatakan pada tempoh berkaitan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi arahan dari masa ke semasa.

“MBSA turut memohon supaya pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi hendak dituju,” katanya dalam kenyataan.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA di talian 0355222734.

Categories
SELANGOR

SAOW di Plaza Shah Alam esok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 JUN: Shah Alam On Wheel (SAOW) kembali beroperasi menanti orang ramai di Plaza Shah Alam, Seksyen 9, esok.

Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, orang ramai boleh mengunjungi SAOW bagi membuat semakan cukai taksiran, membuat bayaran kompaun tempat letak kereta serta membeli jualan kupon parkir.

“Perkhidmatan SAOW ini merupakan inisiatif yang disediakan oleh MBSA untuk memudahkan orang ramai berurusan pada hari cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter di Wisma MBSA di Seksyen 14.

“Ia juga bagi memastikan orang ramai terutama warga bandar raya ini mendapat perkhidmatan terbaik menerusi konsep turun padang MBSA,” katanya dalam kenyataan.

SAOW merupakan bas yang diubahsuai MBSA untuk beroperasi secara bergerak, bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang.

“Kami berharap supaya sistem ini dapat memantapkan lagi sistem penyampaian dan perkhidmatan untuk manfaat masyarakat. SAOW yang dimulakan beberapa tahun lalu mendapat sambutan orang ramai yang sibuk pada hari bekerja.

“Justeru itu kita akan meneruskan perkhidmatan ini demi untuk memudahkan orang ramai berurusan dengan MBSA sekali gus dapat meningkatkan lagi sistem penyampaian MBSA kepada komuniti khususnya untuk warga Shah Alam,” katanya.

Categories
SELANGOR

MBSA wakil malaysia pertandingan OPCC

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 13 MEI: Bandar Raya Shah Alam bakal mewakili Malaysia apabila berjaya menjadi salah satu finalis dalam pertandingan ‘One Planet City Challenge’ (OPCC) anjuran World Wide Fund For Nature (WWF).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, MBSA akan bersaing bersama 133 bandar raya dari 23 buah negara dari seluruh dunia.

“Bandar Raya Shah Alam juga turut menyertai pertandingan ‘We Love Cities’ bertujuan memberikan inspirasi dan menggalakkan komuniti di bandar bersama memberi sokongan serta berkongsi idea bagi tujuan penambahbaikan tadbir urus di banda raya ini.

“Kita perlu mengumpul seberapa banyak undian daripada orang ramai untuk memenangi pertandingan ini. Pautan (URL) undian akan mula dibuka pada 7 Mei 2018 hingga 30 Jun 2018,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, orang ramai diseru memberi sokongan dengan memberikan undian kepada pihak MBSA denga melayari portal www.welovecities.org/shah-alam untuk mengundi bandar raya Shah Alam.

“Melalui portal itu, orang ramai juga digalakkan memberikan sebarang cadangan dan komen bernas untuk menambahbaik perkhidmatan MBSA.

“Mereka juga boleh mengimbas QR Code untuk mengundi dimana ia akan dimuat naik di sosial media MBSA iaitu Facebook (Majlis Bandaraya Shah Alam), Instagram (sacitycouncil) dan Twitter (sacitycouncil),” katanya.

Untuk rekod, pada 2015, bandar raya Shah Alam berjaya mendapat tempat ketiga dari 47 bandar raya di seluruh dunia untuk Pertandingan ‘We Love Cities’.

Bersandarkan kepada pencapaian itu, MBSA meletakkan sasaran sebagai pemenang utama untuk tahun ini.

Categories
SELANGOR

MBSA: Jangan bimbang, haiwan anda selamat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 APR: Orang ramai tidak perlu bimbang dengan keselamatan haiwan peliharaan yang ingin diserahkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi program‘Jom Serah Haiwan Anda Tak Mahu Kami Terima’.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, ini kerana haiwan yang diserahkan itu akan dihantar kepada beberapa pusat jagaan kebajikan atau dijadikan haiwan angkat kepada pemilik baru.

“Malah, MBSA juga akan membersihkan kucing dan anjing dipilih sebelum dijadikan haiwan angkat.

“Sementara orang ramai yang teringin memiliki haiwan peliharaan baru, dialu-alukan untuk melihat haiwan angkat ini ketika Program Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam yang dijangka bermula pada 8 April,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Bermula hari ini, MBSA menganjurkan program ‘Jom Serah Haiwan Anda Tak Mahu Kami Terima’ bertujuan mengawal peningkatan populasi anjing dan kucing terbiar di sekitar Shah Alam.

Shahrin berkata, program kali kedua diadakan itu mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat.

“Bagaimanapun, program ini hanya terbuka kepada penduduk bermastautin di kawasan pentadbiran MBSA sahaja.

“Orang ramai juga diminta membawa salinan bil elektrik, bil air atau cukai taksiran sebagai bukti pengesahan semasa membawa kucing atau anjing untuk dihantar ke stor MBSA,” katanya.

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Persekitaran, MBSA di talian 03-55222794.

Categories
SELANGOR

Mohd Izzat juara Lelaki Terbuka Kriterium Shah Alam

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 MAC: Pelumba Sapura, Mohd Izzat Abdul Halil mengatasi cabaran Che Ku Mohammad Nazmie Che Ku Romli (TSG Terengganu) untuk menjuarai Kategori Basikal Lumba Lelaki Terbuka di Kejohanan Kriterium Shah Alam 2018, Sabtu lalu.

Akmal Hakim (Sapura) terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas ketinggalan kepada kedua pelumba itu dalam perlumbaan sejauh 26.4 kilometer disertai 82 peserta.

Kejohanan Kriterium Shah Alam 2018 menawarkan hadiah keseluruhan RM11,950 diadakan di Persiaran Tasik, di sini, membabitkan kira-kira 400 peserta.

Kejohanan turut mempertandingkan kategori Lelaki bawah 15 tahun, Lelaki bawah 18 tahun, Lelaki Junior Veteran (36 hingga 45 tahun), ‘Push Bikie’ Kanak-kanak Lelaki dan Perempuan (empat hingga lima tahun) dan Wanita Terbuka (lapan tahun ke atas).

“Pertandingan ini antara usaha berterusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuka peluang kepada semua golongan di Shah Alam untuk bergiat aktif dalam aktiviti sukan berbasikal seterusnya menggalakkan masyarakat mengamalkan kehidupan sihat dan cergas.

“Pada masa sama, ia membantu dalam menilai tahap prestasi pelumba serta meningkatkan daya saing dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta,” kata Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Datuk Bandar, Shukri Mohamad Hamin; Ahli Majlis MBSA, Tan Ah Kow dan Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar.

Turut hadir, Ahli Majlis dan Pengarah Jabatan MBSA.