Categories
PBT SELANGOR

MBSA: 62 permit niaga sementara dilulus, bantu penjaja kecil

SHAH ALAM, 29 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meluluskan 62 permit penjaja sementara di kawasan selatan bandar raya itu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata kelulusan itu diberikan semasa pembukaan kaunter permohonan permit itu di Dewan Liparis Seksyen 31 Shah Alam pada 19 dan 20 Disember lalu.

“Ia memudahkan penjaja kecil di sekitar kawasan selatan mendapatkan lesen sementara manakala tapak dikenal pasti untuk tujuan itu di Seksyen 26, 27, 28, 31 dan 35 Shah Alam.

“Pembukaan kaunter ini juga merupakan komitmen berterusan MBSA untuk membantu mereka berniaga secara sah dan mengurangkan beban yang terjejas akibat Covid-19,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Untuk makluman, sehingga 30 November sebanyak 808 permit penjaja sementara telah dikeluarkan di seluruh Shah Alam.

“MBSA berharap inisiatif pembukaan kaunter secara berperingkat dapat memudahkan serta menggalakkan penjaja berniaga dengan kebenaran dan mematuhi peraturan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA buka kaunter, mudahkan pemilik baharui lesen

SHAH ALAM, 10 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuka kaunter bayaran bagi memudahkan pemilik lesen memperbaharui permit tahun hadapan.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata lokasi membabitkan kaunter utama dan Jabatan Perlesenan Wisma MBSA serta di cawangan Sungai Buloh, Kota Kemuning dan Setia Alam.

“Pihak kami sedang memproses pembaharuan lesen. Sebelum ini pemilik diberikan tiga bulan untuk memperbaharui lesen mereka yang tamat 31 Disember ini.

“Caj pengaktifan lesen selepas tarikh tersebut dikenakan sebanyak RM50 untuk lesen perniagaan termasuk lesen anjing manakala RM100 untuk perindustrian,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Menurutnya, pemilik boleh memperbaharui lesen masing-masing sehingga tiga tahun tertakluk kepada jenis lesen.

“Pembayaran boleh dilaksanakan secara tunai, cek, draf bank, kad kredit atau kad debit. Pemilik lesen diminta membuat pembaharuan mengikut tarikh ditetapkan bagi mengelakkan kompaun,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA sedia 275 tong RORO sempena Deepavali

SHAH ALAM, 10 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 275 tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) bagi memudahkan orang ramai membuang sampah pukal sempena sambutan Deepavali.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata tong bersaiz tiga tan berkenaan diletakkan berperingkat di sekitar Shah Alam iaitu di Seksyen 1 hingga 36 dan Seksyen U1 hingga U20 secara percuma bermula 2 hingga 22 November hadapan.

“Tujuan pelaksanaan perkhidmatan tong ini adalah untuk memberikan kemudahan kepada penduduk melaksanakan aktiviti gotong royong secara persendirian di setiap kediaman masing-masing.

“Selain itu, penyediaannya juga bertujuan memberikan didikan kepada warga Shah Alam tentang pengurusan sampah pukal dengan cara yang betul,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Beliau berharap penduduk memberikan kerjasama dengan meletakkan sampah berkaitan di dalam tong RORO disediakan bagi memudahkan pihak kontraktor membuat kutipan dan menjaga kawasan sekitar supaya berada dalam keadaan bersih.

Sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan tong RORO boleh hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1316.

Categories
PBT SELANGOR

Kemudahan laluan basikal usaha MBSA capai bandar rendah karbon 2030

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan laluan basikal bagi mencapai sasaran perkongsian 40 peratus penggunaan pengangkutan awam dan Shah Alam Bandar Rendah Karbon menjelang 2030.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata inisiatif bermula sejak 2015 juga memberikan kemudahan rekreasi kepada orang awam dan peruntukan RM4 juta digunakan bagi pembinaan laluan basikal fasa I sepanjang sembilan kilometer (KM).

“Laluan basikal fasa I memberi tumpuan kepada jalan basikal di kawasan kejiranan seperti di Seksyen 4, 5 dan 6 ke pusat bandar yang disediakan berasingan dari jalan raya yang lebih fokus kepada penyediaan kemudahan riadah.

“Lanjutan daripada itu, laluan basikal fasa IA disediakan di pusat bandar, Seksyen 14 menggunakan sebahagian rizab jalan berkelebaran satu meter kerana kawasan yang terhad. Laluan fasa itu tertumpu memberi kemudahan capaian di sekitar pusat bandar,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan laluan dengan kos RM1.6 juta sepanjang 15KM itu siap sepenuhnya pada Disember 2018 menghubungkan kawasan tumpuan seperti Kompleks PKNS, perumahan dan komersil Vista Alam, Studio 14, hotel, Dataran Shah Alam, Tasik Shah Alam dilengkapi 15 unit kemudahan tempat letak basikal diintegrasikan dengan pondok bas.

Shahrin berkata MBSA turut melaksanakan laluan basikal fasa II di Seksyen 7 dengan kos RM1.9 juta dilengkapi empat unit tempat letak basikal, lintasan basikal dan papan tanda selain menjadi pelengkap perkhidmatan bas terutama bas Smart Selangor disediakan MBSA.

“Projek laluan basikal fasa II adalah kesinambungan kepada projek terdahulu seperti dirancang di dalam Kajian Penyediaan Trek Basikal Shah Alam. Laluan basikal ini disediakan secara berasingan mengunakan rizab jalan dan longkang terbuka dan sepanjang 5KM.

“Jajaran cadangan laluan basikal ini dipilih berdasarkan sesi perbincangan berkumpulan dilaksanakan MBSA bersama pihak berkepentingan seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Selangor (Unisel) dan penduduk Seksyen 7 pada 17 Disember 2018,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA: Jangan serah premis niaga kepada warga asing

SHAH ALAM, 8 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberi amaran kepada pemilik premis supaya menjalankan perniagaan sendiri dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain tanpa kelulusan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata ketika pemeriksaan dijalankan pemilik tidak berada di premisnya kerana dipercayai dikendalikan warga asing dan ia melanggar syarat serta peraturan MBSA.

“Tindakan tegas boleh diambil ke atas pemilik berkaitan jika didapati melakukan kesalahan tersebut,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

MBSA menyita dua premis perniagaan yang disyaki dijaga warga asing dalam satu operasi bersepadu di Seksyen 7, Shah Alam, semalam serta merampas barangan seperti peralatan elektrik, tong gas dan makanan ringan.

Sitaan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MBSA) 2007.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Langgar syarat MBSA, dua premis dikendali warga asing diarah tutup

SHAH ALAM, 4 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengarahkan dua premis perniagaan dikendali warga asing di Kampung Baru Sungai Buloh, Seksyen U4 di sini ditutup semalam kerana melanggar syarat dan peraturan.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata arahan penutupan dibuat menerusi operasi bersepadu oleh anggota penguat kuasa Pejabat Cawangan Sungai Buloh MBSA, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“11 premis diperiksa dan dua premis ini disyaki dikelola warga asing kerana pemilik tiada semasa pemeriksaan dilakukan,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan.

Sembilan kompaun dikeluarkan iaitu satu kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBSA) 2007 serta lapan kompaun di bawah UUK Establisymen Makanan (MBSA) 2007.

Shahrin turut mengingatkan semua pihak mematuhi arahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya dapat memutuskan rantaian Covid-19 dan mematuhi peraturan serta syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tawar diskaun kompaun letak kereta 50 peratus

SHAH ALAM, 30 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan pengurangan kompaun letak kereta sehingga 50 peratus sepanjang Syawal bermula 24 Mei hingga 22 Jun ini, kata ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya.

Shahrin Ahmad berkata kempen itu bagi menggalakkan Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan sebelum tindakan tegas diambil seperti sekatan urus niaga di kaunter MBSA atau membawa kes ke mahkamah.

“MBSA menyeru orang ramai yang memiliki tunggakan kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) mengambil peluang kempen ini untuk menyelesaikan kompaun masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Pembayaran kompaun boleh dibuat di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan Setia Alam.

Orang ramai juga digalakkan membuat pembayaran secara dalam talian di eps.mbsa.gov.my

Categories
PBT SELANGOR

Tiada kes Covid-19 pada 5 dan 12 April, komitmen warga Shah Alam dihargai

SHAH ALAM, 14 APRIL: Tiada kes positif Covid-19 direkodkan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 5 dan 12 April lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata pihaknya yakin keputusan itu adalah hasil kerjasama dan komitmen semua pihak termasuk warga Shah Alam yang sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kami ingin ucapkan tahniah dan terima kasih kepada warga Shah Alam kerana bekerjasama membantu dalam menangani wabak Covid-19 ini.

“Teruslah kekal di rumah, tidak melakukan aktiviti luar, mengamalkan kebersihan dengan sentiasa basuh tangan dengan air dan sabun serta gunakan cecair pembasmi kuman. Tidak lupa jaga jarak sosial selamat,” katanya kepada SelangorKini.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor turut memaklumkan Selangor mencatatkan penurunan kes baharu daripada 53 pada 12 April kepada 13 semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata justeru penurunan itu sekali gus memberi keyakinan rantaian wabak Covid-19 mampu diputuskan.

Categories
PBT SELANGOR

Festival Buskers Shah Alam himpun penggiat muzik jalanan

SHAH ALAM, 21 FEB: Festival Buskers 2020 bakal berlangsung di pusat beli-belah SACC, Seksyen 14 di sini esok dan Ahad ini, kata ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bermula dari 9 pagi hingga 6.30 petang, Shahrin Ahmad berkata festival sempena sambutan ulang tahun bandar raya ini yang ke-20 menghimpunkan pemuzik jalanan dan menampilkan kumpulan terkenal Caliph Buskers.

 

Beliau berkata kumpulan-kumpulan akustik pula bakal berentap bagi merebut gelaran Juara Battle of Acoustic 2020 dan hadiah wang tunai keseluruhan RM14,000.

“Festival ini juga menjadi medium kepada orang kelainan upaya (OKU) untuk berkarya serta mengekspresikan seni masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata seniwati Fauziah Ahmad Daud pula dijadual berkongsi panduan menjadi artis, komposer DJ Fuzz mendedahkan teknik menarik minat syarikat rakaman serta artis Syaffiq Erwin mengadakan kelas vokal dan seni persembahan.

Acara lain yang dijangka menarik minat ramai adalah diskusi “Perjalanan Hidup Seorang Buskers”.

Categories
PBT SELANGOR

Penutupan jalan sempena ‘TG Run 2019’ esok

SHAH ALAM, 20 DIS: Sebahagian jalan di sekitar bandar raya Shah Alam di sini akan ditutup bagi memberi laluan kepada acara ‘TG Run 2019’ anjuran Top Glove Sdn Bhd, esok.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, jalan terbabit akan ditutup selama hampir lima jam mulai 6.30 hingga 11 pagi.

“Antara jalan terlibat adalah Jalan Persiaran Setia Dagang, Jalan Persiaran Setia Wawasan, Jalan Persiaran Setia Perdana dan Jalan Setia Duta U13/21,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Shahrin menyeru orang ramai supaya tidak menggunakan laluan dinyatakan pada tempoh berkenaan bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi arahan diberikan dari semasa ke semasa.

“Kita juga memohon pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi dirancang,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

SAOW di Kampung Melayu Subang Ahad ini

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 24 JUN: ‘Shah Alam On Wheel’ (SAOW) dikelolakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal menemui orang ramai di Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang, Seksyen U6 di sini, Ahad ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, waktu pengoperasian pejabat bergerak itu bermula pada jam 8 pagi hingga 6 petang.

“Perkhidmatan ini adalah medium disediakan MBSA bagi memudahkan orang ramai berurusan pada hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Antara kemudahan perkhidmatan adalah seperti semakan dan pembayaran cukai taksiran, semakan dan pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan, jualan kupon parkir juga sebagainya,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya berharap dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan MBSA untuk manfaat masyarakat.

Categories
PBT SELANGOR

SAOW di Giant Seksyen 18 Sabtu ini

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 9 APR: Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheels (SAOW) kembali beroperasi kepada umum di tempat letak kereta Pasaraya Giant, Seksyen 18, pada Sabtu ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, waktu pengoperasian SAOW itu bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang.

Perkhidmatan SAOW adalah platform disediakan MBSA untuk memudahkan orang ramai berurusan pada hari cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Pejabat Bergerak ini akan menyediakan kemudahan perkhidmatan seperti semakan dan pembayaran cukai taksiran, semakan dan pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan dan jualan kupon parkir,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, katanya, menerusi inisiatif itu, MBSA optimis dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan Majlis untuk manfaat masyarakat.