Categories
SELANGOR

Futsal Piala Datuk Bandar Shah Alam kembali lagi

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sekali lagi menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Datuk Bandar Shah Alam 2014 untuk kali kesembilan yang juga antara acara sukan tahunan popular terutama di kalangan belia dan remaja.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad, berkata kejohanan itu bertujuan menyediakan lebih banyak aktiviti sukan dan rekreasi bagi golongan muda, di samping melahirkan bakat baru sukan futsal yang boleh diketengahkan di peringkat dalam negeri dan antarabangsa.

Katanya, kejohanan itu juga mampu membudayakan amalan kehidupan yang sihat dan cergas serta memberi peluang kepada golongan muda di Shah Alam menunjukkan bakat dalam sukan futsal.

MBSA-Shahrin Ahmad“Dengan adanya aktiviti sukan seperti ini, secara tidak langsung dapat menarik orang ramai terutama golongan muda di sekitar Selangor untuk berkunjung ke Shah Alam.

“Ia membolehkan mereka membabitkan diri dalam aktiviti yang boleh memberi manfaat dan mengelakkan diri daripada terjerumus dengan aktiviti negatif seperti melepak dan gangsterisme,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kejohanan berkenaan akan diadakan bertempat di Frenzy Sport Arena, Seksyen 16, Shah Alam selama dua hari iaitu pada 12 dan 13 April ini.

Sehubungan itu, Shahrin berkata, MBSA mengalu-alukan warganegara Malaysia menghantar penyertaan sebelum ditutup pada 10 April dan terhad kepada 32 pasukan terawal sahaja.

“Setiap pasukan perlu terdiri daripada lapan peserta iaitu lima orang pemain utama dan tiga pemain simpanan. Terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu kategori terbuka lelaki, terbuka wanita dan bawah 12 tahun,” katanya.

Shahrin berkata, MBSA menyediakan hadiah wang tunai lumayan keseluruhan RM17,500 sebagai habuan kepada pasukan yang berjaya.

Johan-Futsal-Lelaki-1Bagi kategori terbuka lelaki, pasukan bergelar johan layak menerima wang tunai RM3,000, tempat kedua RM2,500 dan ketiga RM1,000, manakala kategori terbuka wanita pula, johan bakal menerima RM2,500, tempat kedua RM2,000 dan ketiga RM5,000.

Untuk kategori bawah 18 tahun pula johan akan memenangi wang tunai RM2,000, kedua RM1,500 dan ketiga RM500, manakala bagi kategori bawah 12 tahun, johan memenangi wang tunai RM1,000, tempat kedua RM800 dan ketiga RM 200.

Sesiapa yang berminat untuk menyertai kejohanan boleh mendapatkan borang penyertaan daripada urusetia pertandingan di Bahagian Sukan dan Rekreasi, Jabatan Korporat, MBSA atau hubungi Jaid Idham di talian 012-3706636 dan Azreen Naim (019–2576897).

Borang penyertaan juga boleh dimuat turun di laman sesawang MBSA di alamat www.mbsa.gov.my.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBSA beri payung percuma kepada pembayar cukai taksiran

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM 17 JAN : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menghadiahkan payung secara percuma kepada setiap pemilik harta yang menjelaskan cukai taksiran dengan mematuhi syarat ditetapkan.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad, berkata pemilik harta yang layak untuk menerima payung perlu membuat pembayaran cukai taksiran untuk tempoh setahun (2014) dengan jumlah melebihi RM100 serta tidak ada tunggakan bagi tahun sebelum ini.

Shahrin berkata, MBSA juga menyediakan 44 saluran bagi memudahkan orang ramai menjelaskan cukai taksiran antaranya pembayaran di Kaunter Utama, Wisma MBSA dan Pejabat Cawangan MBSA di Kota Kemuning, Sungai Buloh dan Setia Alam.

MBSA-Shahrin Ahmad“Pemegang harta juga boleh menjelaskan bil cukai taksiran mereka di semua kaunter Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor dengan secara tunai sahaja.

“Pemegang harta juga boleh menjelaskan bil cukai taksiran di pusat agensi setempat seperti Pejabat Pos bagi kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya; Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia Berhad bagi kawasan Shah Alam sahaja dengan membawa bersama bil cukai taksiran yang asal, pada atau sebelum 28 Februari ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Shahrin turut mengingatkan pemegang harta di kawasan pentadbiran MBSA untuk menjelaskan cukai taksiran bagi penggal pertama bagi mengelakkan tindakan diambil terhadap mereka yang gagal melunaskan bayaran cukai taksiran, sebelum atau pada tarikh 28 Februari ini.

“Pembayaran cukai ini penting bagi membolehkan MBSA menguruskan kutipan sampah domestik, pembersihan kawasan dan menyelenggara infrastruktur awam seperti jalan, lampu jalan, longkang serta membina lebih banyak taman awam serta taman permainan.

“Melalui kutipan cukai taksiran ini juga dapat membantu MBSA untuk menguruskan bandar raya Shah Alam dengan lebih cekap dan efisyen, sekali gus memberi keselesaan, kesejahteraan serta keharmonian hidup masyarakat khususnya yang bermastautin di sini,” katanya.

Saluran lain yang disediakan MBSA adalah di semua cawangan Bank Simpanan Nasional, Ambank dan Bank Muamalat yang perlu dijelaskan secara tunai sahaja, manakala pembayaran di Agro Bank, Affin Bank, Bank Islam dan EON Bank boleh dijelaskan secara tunai atau cek.

MBSAPemegang harta juga boleh membuat pembayaran menggunakan cek, wang pos, kad kredit dan ‘charge card’ seperti Master Kad, Visa, America Express dan Dinners Club.

Selain itu, bayaran cukai taksiran juga boleh dijelaskan secara atas talian di www.mbsa.gov.my, www.maybank2u.com, www.payonline.com.my, www.mbfcards.com, www.citibank.com, www.ambg.com.my, www.rhbbank.com.my, www.bizchannel.com.my, www.hsbc.com.my, www.cimbclicks.com.my, eonbank.com.my, www.phebank.com.my dan www.i-muamalat.com.my.

MBSA turut menyediakan perkhidmatan pembayaran dan pertanyaan baki cukai taksiran melalui laman sesawang MBSA di alamat www.mbsa.gov.my.

Sebarang pertanyaan berhubung cukai taksiran boleh hubungi Jabatan Pengurusan Hasil dan Pelaburan MBSA di talian terus 03-5522 2882 atau 03-5510 5133 sambungan 1520 atau 1521 atau 1522 atau 1477.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBSA iktiraf komuniti laksana amalan 5S MBSA

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM 11 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus unggul bergelar satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memberi pengiktirafan kepada komuniti yang menjalankan aktiviti amalan 5S.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad, berkata program pengiktirafan pensijilan kepada komuniti itu adalah salah satu program tanggungjawab terhadap sosial (CSR) MBSA kepada komuniti di bawah pentadbiran majlis berkenaan.

MBSA-Shahrin AhmadKatanya, inisiatif itu juga khusus dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kebaikan dan kepentingan Amalan 5S.

“Amalan 5S adalah pengetahuan teknikal dan praktikal untuk penambahbaikan di dalam kehidupan seharian khusus untuk memantapkan sistem kerja dan persekitaran yang lebih kondusif dalam kehidupan harian.

“Kejayaan MBSA dalam mengamalkan Amalan Persekitaran 5S ini juga menjadi contoh atau ‘benchmark’ kepada organisasi lain dan kejayaan ini dikongsikan bersama komuniti di bawah pentadbiran MBSA,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Shahrin berkata, program yang bermula pada tahun 2012 itu membabitkan penyertaan sembilan organisasi dan syarikat yang beroperasi di bawah pentadbiran MBSA.

“Setiap organisasi atau syarikat yang terbabit ini juga dibantu oleh mentor yang terdiri daripada jabatan di MBSA.

“Antara organisasi dan syarikat yang menyertai program ini adalah Klinik Dr. Rosli Seksyen 18, Hospital Salam Seksyen 19, Sekolah Rendah Kebangsaan Raja Muda Seksyen 4, Rumah Rahmah Seksyen 11, Kelab Warga Emas Seksyen 24, Tadika Nuh’s Ark, Pasar Moden Seksyen 6, Sekolah Intergrasi Seksyen 18 dan Restoran KFC Seksyen 13,” katanya.

Pada 27 Disember lalu, Majlis Penyampaian Pensijilan dan Anugerah Amalan Persekitaran Berkualiti QE5S Peringkat Komuniti 2013 diadakan di Dewan Bankuet, MBSA dan disempurnakan Timbalan Datuk Bandar, Mohtar Hani.

-NFN-

SELANGORKU – MBSA : Misi Dan Visi

MBSA membuka tirai 2014 dengan pelbagai aktiviti dalam menjadikan Shah Alam sebagai bandaraya yang gemilang. Temubual bersama Timbalan Pengarah Korporat, Shahrin Ahmad menceritakan visi dan misi yang telah dirancangkan oleh MBSA untuk tahun 2014

Categories
SELANGOR

MBSA : Trek basikal bakal dibuka dalam masa terdekat

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM 7 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini dalam proses akhir menyediakan laluan trek basikal sejauh hampir 10 kilometer sekitar bandar raya itu yang dijangka akan mula dilancarkan dan dibuka kepada orang awam, selewat-lewatnya Februari ini.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad, berkata inisiatif itu diambil bagi memupuk gaya hidup sihat di kalangan warga Shah Alam, khususnya mereka yang gemar dengan aktiviti berbasikal.

Katanya, selain menjadi trek laluan basikal, laluan sama juga boleh digunakan untuk aktiviti jogging di kalangan warga Shah Alam.

MBSA-Shahrin Ahmad“Kebiasaannya, pada hari minggu atau cuti persekolahan, kita dapat lihat ramai warga Shah Alam yang berbasikal di laluan jalan raya biasa.

“Atas sebab itu, MBSA usahakan laluan trek basikal ini khusus untuk mereka menjalankan aktiviti riadah bersama rakan dan keluarga dalam keadaan yang lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi temubual di studio TV Selengor dalam rancangan Selangorku Bersama MBSA, khusus bagi membicarakan program MBSA sepanjang tahun 2014.

Shahrin berkata, laluan trek basikal itu juga dilengkapi besi penghadang, ‘outdoor gym’, penanda arah jalan, jambatan kecil dan pondok rehat di lokasi terpilih.

Antara kawasan laluan trek adalah sekitar Masjid Negeri, Taman Tasik Shah Alam, Taman Kesenian Islam dan Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

peta trek basikal mbsa“Setiap laluan bersambung antara satu sama lain dan memberi kemudahan selesa kepada masyarakat untuk berbasikal atau berjogging.

“Harapan MBSA supaya setiap warga bandar raya ini mempunyai ruang dan kemudahan selesa bagi menjalani gaya hidup sihat serta sejahtera,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Diskaun 80 peratus kompaun, MBSA lanjutkan tempoh

32

SHAH ALAM 14 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melanjutkan Program Pengurangan Kompaun yang menawar diskaun sehingga 80 peratus, kepada 6 September ini, kata Shahrin Ahmad.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA itu berkata, lanjutan itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai bagi menjelaskan tunggakan kompaun sebelum mereka disenarai hitam.

Katanya, antara kompaun yang layak mendapat pengurangan itu ialah Undang-Undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang- Undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-Undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan (MBSA) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pasar (MBSA) 2007.

“Kempen ini bagi mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dan tidak melengah-lengahkan masa untuk menjelaskan kompaun,” katanya pada kenyataan media.

Untuk sebarang pertanyaan dan semakan kompaun, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Hasil Dan Pelaburan MBSA melalui talian 03-55105133 sambungan 522 atau 203 ataupun melayari sesawang MBSA di www.mbsa.gov.my.

Categories
NASIONAL SELANGOR

‘My Best Ramadhan’ Perhebat Aktiviti Ibadah – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 11072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang.Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penduduk di lapan kawasan Selangor termasuk bandar utama seperti Shah Alam dan Klang dan pinggiran bandar seperti Selayang dan Sepang bakal menikmati perkhidmatan bas komuniti tidak lama lagi.

2. Kerajaan Selangor akan mengadakan karnival ibadah besar-besaran peringkat negeri bermula 11 Julai – 5 Ogos dengan pelbagai pelaksaan program Ihya’ Ramadhan.

3. Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM2.7 juta sempena sambutan Ramadhan ini kepada masjid dan surau di
seluruh negeri bagi melaksanakan program Ihya Ramadhan pada tahun ini.

4. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pulau Pinang perlu menjalankan siasatan semula terhadap dakwaan isu pemberian wang melalui baucer cabutan bertuah oleh pihak berkepentingan dalam Pilihanraya Umum ke 13 lalu yang berlaku di
Pulau Pinang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Seksyen 7 Bimbang Kren Pembinaan Terlalu Hampir Dengan Rumah

Kren Seksyen 7 03

SHAH ALAM 10 JULAI : Penduduk Perumahan di Jalan Plumbum 7/103 Seksyen 7 di sini hidup dalam keadaan kebimbangan ekoran kren pembinaan yang terlalu hampir dengan kawasan perumahan mereka.

Menurut penduduk, Rahim Salib,54, kren pembinaan untuk sebuah projek komersil dan kediaman itu mendatangkan ancaman kepada mereka.

“Ia amat berbahaya tumbang jika ditiup angin kencang atau ribut, projek ini terlalu hampir dengan kawasan perumahan sehinggakan antara projek pembinaan bangunan 35 tingkat itu dan rumah terdekat mempunyai sempadan yang terlalu hampir.
Kren Seksyen 7 02
“Sepatutnya sempadan itu perlu diperbesarkan lagi jarak antara bangunan 35 tingkat itu dan rumah yang mana perlu dikaji semula.

“Apabila terlalu hampir maka dari segi pemandangan dan teknikalnya sudah tidak berapa baik jika berlaku apa-apa yang buruk, ” kata beliau ketika ditemui di rumahnya di sini.

Tambah beliau masalah kesihatan jangkitan demam denggi juga mengancam penduduk kerana disebabkan kawasan pembinaan itu yang dikhuatiri tidak diurus dengan baik.

“Kita bersama persatuan penduduk sudah membuat aduan kepada pihak berkenaan agar kerja pembinaan mempunyai tempoh masa.

“Namun apa yang menghairankan terdapat kerja-kerja sehingga jam 10 malam, jadi saya mengharapkan agar pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) agar membuat penguatkuasaan yang baik,” kata beliau.

Ujar beliau lagi sudah berlaku keretakkan rumah dan kegelinciran tanah di kawasan perumahan ini kesan langsung daripada pembinaan daripada projek itu.

Beliau mencadangkan agar kren pembinaan yang terlalu hampir itu dialihkan ke kawasan yang lebih jauh dan selamat daripada kawasan perumahan agar keselamatan penduduk lebih terjamin.

Sementara itu menurut penduduk, Rosiah (bukan nama sebenar) berkata, projek itu mendatangkan pencemaran bunyi dan udara kepada kawasan perumahan di kawasan itu dengan gangguan habuk dan bising yang berlaku.

“Kita amat bimbang dengan projek berkenaan tetapi projek ini masih berjalan lagi, saya mengharapkan agar projek ini terus dipantau oleh pihak berkenaan,” kata beliau.

Sementara itu menurut Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad mengulas perkara itu berkata, pihak MBSA akan mendapatkan maklumbalas daripada  Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja (JKKP) dalam masa terdekat.

Kren Seksyen 7 01

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Serius Banteras Tanggal Iklan Haram

SHAH ALAM24 JUN : Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) dengan kerjasama orang ramai menjalankan operasi menanggal iklan tanpa kebenaran di Seksyen 10 dan 11 di sini hari ini dalam usaha menjaga kebersihan sekaligus menghindarkan kawasan bandaraya itu dengan pemandangan mencacatkan.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya amat serius dan komited untuk memerangi masalah iklan tanpa kebenaran itu kerana iklan yang ditampal di merata tempat seperti lampu jalan, pokok dan papan tanda jalan akan mencacatkan pemandangan di bandaraya itu.

Menurutnya, keadaan itu juga boleh menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya kerana sukar untuk mengecam lokasi atau kawasan yang ingin dikunjungi kerana papan tanda jalan ditampal dengan iklan tanpa kebenaran.

“Operasi ini adalah inisiatif MBSA secara gotong royong dengan penduduk tempatan bagi mendidik masyarakat supaya menyayangi bandaraya ini dan turut sama berperanan serta bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan kawasan sekitar.

“Melalui kerjasama secara menang-menang ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan mendekatkan masyarakat setempat bersama MBSA selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mentadbir Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Operasi dijalankan itu turut disertai Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan bersama warga kerja MBSA dari pelbagai jabatan dan penduduk di kawasan seksyen berkenaan.

Shahrin selanjutnya berkata, dari Januari hingga Mei lalu, sebanyak 31,267 iklan tanpa kebenaran seperti kain rentang, poster, bunting dan papan pandu arah ditanggal MBSA melalui operasi diadakan di seluruh bandaraya itu.

Tambahnya, iklan tanpa kebenaran itu kebiasaannya mengenai perkhidmatan pinjaman wang, penyewaan lori, sewa rumah, perkhidmatan kelas tuisyen, perkhidmatan perubatan tradisional dan sebagainya.

“Majlis ingin memaklumkan tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menampal iklan tanpa kebenaran akan diambil melalui Undan-Undang Kecil Iklan MBSA 2007,” katanya.

Sehubungan itu, MBSA ingin menyeru pihak yang ingin mempromosikan perkhidmatan, program, produk atau barangan kepad orang awam perlu mendapatkan kebenaran serta berhubung dengan Jabatan Pelesenan dan Penjaja, MBSA di talian 03-55105133 sambungan 408/485/303.