Categories
SELANGOR

ADUN Sekinchan saran kakitangan kerajaan Selangor diberi bonus

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 21 NOV: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (Sekinchan-DAP), Ng Sue Lim menyarankan bayaran bonus kepada kakitangan kerajaan negeri sebelum musim persekolahan tahun 2014.

Sue Lim berkata, pembayaran bonus itu dijangka mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung ibu bapa bagi membiayai pelbagai keperluan persekolahan anak.

02“Saya kira Menteri Besar tentu tidak keberatan kerana mereka ini bekerja keras memastikan kejayaan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai misi untuk kesejahteraan rakyat Selangor.

“Jadi saya harap Menteri Besar dapat mengumumkan bonus sebelum bermula musim persekolahan tahun depan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2014, di sini, semalam.

Sue Lim juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di atas keputusan kerajaan negeri membayar bonus sebanyak sebulan gaji kepada kakitangannya sebelum menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri sebelum ini.

“Bonus raya itu lebih banyak berbanding pemberian Bantuan Raya RM500 oleh kerajaan pusat tetapi sudah lama dan duit bonus itu sudah tentu dibelanjakan untuk persediaan hari raya.

“Maka saya rasa wajar kerajaan negeri mengeluarkan bayaran bonus untuk kakitangannya,” katanya.

Semalam ketika membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2014, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap kakitangan kerajaan Nngeri akan menerima konsep kenaikan gaji dan pemberian bonus berdasarkan kecemerlangan prestasi, kecekapan dan keberkesanan selari dengan piawaian serta amalan terbaik antarabangsa.

Langkah memperkenalkan konsep itu dibuat bagi memastikan penjawat awam di Selangor bersikap profesional, telus, bertanggungjawab dan berintergiti setiap masa.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Sektor pembuatan nilai tambah perlu diberi penekanan

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 20 NOV : Selangor perlu memberi penekanan terhadap sektor pembuatan yang mempunyai nilai tambah dan membabitkan penggunaan teknologi serta kepakaran tinggi bagi meningkatkan pelaburan dalam juga luar negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (DAP-Kampung Tunku), Lau Weng San, berkata corak pelaburan berasaskan buruh sudah tidak sesuai bagi memastikan Selangor terus menjadi negeri unggul dalam pembangunan ekonomi negara.

Katanya, perubahan profil pelaburan di Selangor diperlukan untuk memastikan negeri itu terus menjadi pilihan pertama pelabur.

lau weng sang“Salah satu usaha untuk merangsang ekonomi negara adalah dengan merangsangkan aktiviti perniagaan di peringkat akar umbi seperti penjaja, penjual nasi lemak dan peniaga kecil-kecilan.

“Bukan sahaja infrastruktur dan kemudahan di tempat ini perlu dinaik taraf, malahan kerajaan juga harus memikirkan apakah cara untuk menarik lebih ramai pelanggan ke lokasi terbabit,” katanya.

Weng San berkata demikian ketika perbahasan Belanjawan Selangor Tahun 2014 peringkat dasar di Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sektor pembuatan harus diberi suntikan jiwa baru supaya dapat memberi sumbangan lebih besar kepada pembangunan ekonomi Selangor.

“Pihak eksekutif bercita-cita menjadikan Bukit Beruntung sebagai bandar automobil kerana terdapat beberapa syarikat pembuat kereta dan kemasukan industri kecil dan sederhana (IKS) berkaitan di kawasan itu.

“Oleh itu, untuk mempertingkatkan profil pelaburan Selangor melalui sektor automobil, pihak eksekutif harus mempunyai rancangan jangka panjang bagi menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi ke Bukit Beruntung.

“Jika Selangor hendak menonjolkan imej sebagai destinasi pelaburan, maka pihak eksekutif perlu melipat gandakan usaha yang sedia ada,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor wajar ditambah baik

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 20 NOV : Kerajaan Selangor wajar meminda beberapa perkara di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang pernah dipinda beberapa tahun dulu untuk kepentingan politik Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (DAP-Kampung Tunku), Lau Weng San, berkata usaha itu penting untuk memulihkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor supaya kembali kepada keadaan asalnya, pada 1959.

lau weng sanKatanya, antara bab yang harus diberi perhatian adalah “Bab 3 – Eksekutif” dan “Bab 5 – Badan Perundangan”.

“Selain itu, Dewan Negeri juga harus mengambil kesempatan menambahbaik beberapa peruntukan lain di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor demi menjadikannya lebih lengkap dan menyeluruh,” kata beliau.

Weng San berkata demikian ketika perbahasan Belanjawan Selangor Tahun 2014 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, laman sesawang DUN perlu ditukar untuk menjadikan lebih ringkas, interaktif dan berinformasi, selain daripada siaran langsung sidang DUN melalui internet, .

Katanya, laman sesawang DUN yang baru perlu mengandungi semua maklumat berkenaan Ahli Dewan Negeri Selangor, peraturan tetap, penyata, status dan dokumen, selain mudah dicari, diguna dan senang dimuat-turun.

“Enakmen Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor (SELESA) perlu diluluskan secepat mungkin supaya pengurusan Dewan Negeri Selangor dijalankan dengan cara bebas dan profesional tanpa dipengaruhi perkhidmatan awam,” katanya.
-NFN-

Categories
SELANGOR

BN dijangka potong belanja pembangunan sehingga 10 peratus

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 20 NOV: Kerajaan pusat dijangka akan memotong peruntukan perbelanjaan pembangunan sehingga mencecah 10 peratus dalam jangka masa dua hingga tiga tahun lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ng Sue Lim (DAP-Sekinchan), berkata hal itu berikutan kerajaan yang diteraju Barisan Nasional (BN) mengurus perbelanjaan mereka dengan amalan boros, ketirisan dan rasuah yang berlaku secara berleluasa dalam pentadbiran.

02Katanya, kerajaan pusat dilihat bertindak mengalihkan bebanan akibat amalan buruk itu kepada rakyat seperti memotong subsidi gula dan petrol serta memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“GST gasak sampai tertonggeng, gasak rakyat sampai tak boleh bernafas,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2014, di sini, hari ini.

Sue Lim berkata, kerajaan pusat juga gagal menunaikan janji untuk menaikkan Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) daripada RM500 hingga RM1,200 seperti janji BN dalam manifesto.

Dakwaan itu disanggah Halimaton Saadiah (BN-Kota Damansara) dengan alasan jumlah itu dinaikkan secara berperingkat selama lima tahun tetapi perkara berkenaan tidak dinyatakan dalam manifesto BN ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Sementara itu, Gan Pei Nei (PKR-Rawang) berkata, rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi sebelum kerajaan memberi BR1M kepada mereka.

“Rakyat terpaksa bayar harga tinggi untuk dapat BR1M kerana kenaikan harga gula dan petrol, baru-baru ini,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pembinaan jambatan ke-3 Klang bermula Julai 2014

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 20 NOV : Pembinaan jambatan ketiga Klang dengan anggaran kos mencecah RM281 juta termasuk pengambilan tanah dan yuran perunding dijangka bermula, pada Julai 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Datuk Teng Chang Khim, berkata kini Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor melalui perunding Vast Consultants Sdn Bhd sedang mereka bentuk jambatan itu dengan terperinci yang dijangka selesai, pada Februari 2014.

teng chang kimBeliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang bertanyakan perkembangan pembinaan jambatan itu, anggaran kos pembinaan dan bila akan dimulakan selain daripada peranan kerajaan pusat dalam projek berkenaan ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Chnag Kim (DAP-Sungai Pinang) berkata, kerja awal bagi tujuan pengumpulan data seperti kajian impak trafik, kerja ukur tanah dan hidrologi serta kerja penyiasatan tanah sedang dijalankan yang dijangka selesai awal Disember ini.

“Pelan pengambilan tanah serta dokumen berkenaan di bawah Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah 1960 sudah dihantar kepada Pejabat Daerah dan Tanah Klang untuk tindakan lanjut, pada pertengahan Oktober lalu,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor atasi kerajaan pusat, umum RM30 juta untuk wanita

OLEH : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 20 NOV : Kerajaan pusat melalui Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga masih gagal membentangkan peruntukan yang disediakan khusus bagi pembangunan kaum wanita di negara ini.

Hal itu berbeza dengan kerajaan negeri yang memperuntukkan RM30 juta bagi golongan wanita serta RM1.3 juta bagi tujuan program kewanitaan di dalam Belanjawan Selangor 2014, semalam.

rodziah pc green 20 jul 01Sehubungan itu, Exco Wanita dan Kebajikan negeri, Rodziah Ismail mendesak menteri terbabit, Datuk Rohani Abdul Karim supaya menjelaskan kepada seluruh golongan wanita di Malaysia berkenaan jumlah sebenar peruntukan yang disediakan dalam Bajet Negara 2014.

Rodziah berkata, Jabatan Pembangunan Negeri di bawah kementerian berkenaan masih gagal menyatakan peruntukan yang disediakan bagi tujuan pembangunan wanita di Selangor, sehingga kini.

“Saya selaku EXCO negeri ingin mendesak kerajaan pusat mengumumkan berapa bajet yang selama ini ditanya dan dituliskan kepada Jabatan Pembangunan Negeri. Sehingga kini, kita belum tahu bajet yang diperuntukkan untuk rakyat negeri Selangor khasnya kepada pembangunan wanita melalui kementerian berkenaan,” katanya.

Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (PKR-Batu Tiga) berkata demikian ketika sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Rodziah berkata, Belanjawan Selangor 2014 memberi tumpuan kepada penjanaan dan peningkatan pendapatan golongan itu yang digandingkan dengan pelan tindakan wanita negeri yang menekankan kecelikan serta penghayatan dalam meningkatkan jati diri setiap wanita di negeri itu.

Katanya, belanjawan yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah jangkaan yang menunjukkan pengurusan kewangan berhemah berdasarkan hasil dan pencapaian.

“Ketelitian Menteri Besar dalam urusan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) akan berterusan, selain dihayati dan dilaksanakan dalam belanjawan bagi golongan wanita sebanyak RM30 juta serta RM1.3 juta untuk program wanita yang sedia ada.

“Maknanya kalau kita tengok setiap tahun, RM1 juta dimasukkan dalam bajet yang disatukan dan kali ini Menteri Besar menambah peruntukan sebanyak RM30 juta untuk program pembangunan wanita,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Analogi Chang Khim jawab isu belanjawan tambahan Selangor

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 20 NOV: Pembekalan atau belanjawan tambahan yang dibuat Selangor sebelum ini bukan disebabkan kegagalan kerajaan negeri merancang dan mengurus perbelanjaan seperti belanjawan tahunan yang dibentangkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikkan, Datuk Teng Chang Khim, berkata kerajaan negeri memohon belanjawan tambahan pada pertengahan tahun disebabkan kejayaan meningkatkan hasil hingga mampu mengatasi unjuran hasil dalam belanjawan tahunan yang dibentang, pada hujung tahun.

03“Pendapatan saya RM6,000 sebulan dan sudah tentu dapat kira berapa yang akan diterima untuk setahun. Jadi saya sudah siapkan belanjawan untuk keperluan diri dan keluarga untuk setahun itu.

“Selepas itu, saya juga beritahu isteri berkenaan belanjawan keluarga yang sudah diatur untuk setahun tetapi ada pengumuman gaji dinaikkan. Kenaikan itu menyebabkan bertambahnya pendapatan dan saya akan umumkan belanjawan baru dengan menambah perbelanjaan tambahan,” katanya.

Chang Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (DAP-Sungai Pinang) berkata demikian ketika memberikan analogi mengapa kerajaan negeri memohon belanjawan tambahan sebelum ini sebagai mencelah ucapan perbahasan Belanjawan Selangor 2014 oleh Ketua Pembangkang, Shamsudin Mohd Lias (BN-Sungai Burong), di sini, hari ini.

Shamsudin mendakwa belanjawan tambahan itu menunjukkan kerajaan negeri mengamalkan belanjawan defisit.

ADUN (DAP-Sekinchan), Ng Sue Lim pula ketika mengulas isu sama mengingatkan supaya Shamsuddin tidak terus berulang kali memainkan perkara terbabit yang sudah dijawab sebelum ini.

ng suee lim dun red hands 02“Tak payah ungkit, apa yang penting kerajaan negeri mempunyai pendapatan yang cukup untuk dibelanjakan untuk rakyat Selangor,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu kerajaan negeri berjaya meningkatkan kutipan hasil cukai semasa dan tertunggak yang gagal dilaksanakan BN sebelum ini.

Abdul Khalid (PKR-Pelabuhan Klang) berkata, kejayaan itu adalah penyumbang kepada peningkatan hasil dan rizab negeri serta bukan melalui cara menaikkan cukai yang dikenakan terhadap rakyat Selangor.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB dedah ‘resepi’ kejayaan tingkat hasil dan rizab negeri

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 20 NOV: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan rahsia kejayaan Selangor meningkatkan hasil dan menambah rizab kepada RM2.76 bilion adalah dengan memperkemaskan kutipan cukai semasa serta tertunggak tinggalan Barisan Nasional(BN).

Kerajaan negeri mengambil langkah melaksanakan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah dengan kerjasama Perbendaharaan Negeri Selangor, pejabat daerah, Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Bahagian Teknologi Maklumat, Setiausaha Kerajaan Negeri dalam operasi yang dinamakan Ops Kutip.

09Abdul Khalid (PKR-Pelabuhan Klang) berkata, kerajaan negeri turut memberi hadiah kepada agensi di bawahnya yang berjaya mengutip hasil cukai tertinggi dan dan bukannya dengan menaikkan cukai terhadap rakyat bagi tujuan itu.

“Dua minggu lalu, saya beri hadiah kepada pejabat daerah yang berjaya meningkatkan kutipan cukai tanah sehingga 95 peratus daripada hasil yang sepatutnya seperti Pejabat Daerah Gombak dan Pejabat Daerah Petaling,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (BN-Permatang), Sulaiman Abdul Razak.

Antara polisi yang diambil dalam Ops Kutip seperti memperkenalkan polisi mengetuk pintu bagi menghantar notis tuntutan dan surat peringatan, mengadakan siri perbincangan, memberikan peluang membayar secara ansuran berjadual serta konsisten, sebelum mengambil tindakan undang-undang jika penunggak tegar masih berdegil.

Pejabat Daerah dan Tanah juga berusaha meningkatkan kutipan cukai membabitkan kaedah mengenal pasti dan mengasingkan semua hak milik tertunggak yang bermasalah untuk diambil tindakan susulan, membuka kaunter kutipan luar pejabat di kawasan pendalaman, membuka kaunter pada waktu rehat serta menambahkan saluran atau kaedah bayaran atas talian juga pusat pembayaran di kaunter PBT.

Abdul Khalid berkata, langkah lain yang turut diambil adalah mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri bagi memastikan pengurusan lebihan tunai dengan lebih efisyen dan memberi pulangan faedah yang optimum.

“Kalau dalu ketika pemerintahan BN boleh bina dua masjid tetapi hari ini dengan kos sama kita boleh bina tiga masjid yangberpunca daripada hasil penjimatan dan kutipan yang meningkat,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Konsep ‘bersetuju membeli, bersetuju menjual’ tindas rakyat

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 20 NOV : Pendirian kerajaan pusat yang menetapkan konsep ‘bersetuju membeli, bersetuju menjual’ bagi penstrukturan dan pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menjadikan ia semakin berkuasa memeras ugut Selangor dan menindas rakyat.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Datuk Teng Chang Kim, berkata konsep berkenaan bertentangan dengan penggubalan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang menyatakan perkhidmatan air perlu diurus agensi kerajaan bukan syarikat swasta.

03Katanya, sehingga kini, rundingan berkenaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor masih belum dapat dimuktamadkan kerana pendirian dan konsep yang ditetapkan kerajaan pusat dalam menentukan nilai tawaran kepada kepada syarikat konsesi air.

“Kerajaan pusat dalam beberapa surat kepada kerajaan negeri masih menegaskan dalam merealisasikan pelaksanaan Model Holistik yang dicadangkan, Selangor perlu menyelesaikan sebarang isu pengambilalihan syarikat konsesi air melalui transaksi komersial ‘bersetuju membeli, bersetuju menjual,” katanya.

Chang Kim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram) ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Katanya, Akta 655 tidak mensyaratkan secara mutlak bahawa rundingan antara kerajaanpPusat, negeri dan syarikat konsesi diadakan berasaskan konsep ‘bersetuju membeli, bersetuju menjual’.

“Dalam pengambilalihan syarikat konsesi air, kerajaan negeri sentiasa menekankan sebahagian besar aset yang digunakan syarikat berkenaan dibina sejak zaman Jabatan Bekalan Air Selangor dan Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) melalui cukai yang dikutip daripada rakyat di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

“Kepentingan rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya wajar dibela dan bukan mengutamakan syarikat konsesi berkenaan melalui konsep ‘bersetuju membeli, bersetuju menjual’ dalam menetapkan tawaran pengambilalihan itu,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri tidak berupaya menawarkan nilai pengambialihan bseperti yang dituntut syarikat konsesi air itu jika berdasarkan konsep berkenaan.

Beliau menegaskan, jika syarikat konsesi air berkeras tidak menerima tawaran yang dikemukakan itu masalah berkenaan boleh dirujuk kepada Tribunal Timbang Tara yang berpusat di London, United Kingdom.

“Rujukan kepada Tribunal Timbang Tara adalah langkah yang adil dan saksama dalam menyelesaikan sebarang pertikaian ke atas nilai tawaran oleh kerajaan negeri,” katanya lagi.

Sehingga kini, Selangor kekal dengan tawaran sebanyak RM9.651 bilion untuk dikemukakan kepada empat syarikat yang mengendalikan industri air di negeri itu iaitu ABASS, SPLASH, PUNCAK, SYABAS.

-NFN-