Categories
AGENDA NASIONAL

Senarai hitam doktor jual sijil vaksin palsu, komplot sebar penyakit

SHAH ALAM, 3 FEB: Kerajaan Negeri menyarankan Kementerian Kesihatan Malaysia menyenarai hitam pengamal perubatan terbabit kegiatan penjualan sijil vaksin palsu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dianggarkan 5,000 individu sedang disiasat dan bakal didakwa di mahkamah kerana menipu serta berkomplot menyebarkan penyakit berjangkit dalam negara.

“Agak malang kes ini berlaku di Selangor. Walaupun bermula di Terengganu namun menerusi komputer riba yang dirampas mendapati ada ribuan kes mendapatkan vaksin secara tidak sah di Selangor.

“Kita sedang kenal pasti adakah mereka mengambil vaksin atau sekadar mengemas kini MySejahtera tanpa menyuntik vaksin,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia khususnya di Selangor supaya tidak terpengaruh dengan sindiket penjualan sijil vaksin tersebut.

Sementara itu, Amirudin berkata kempen pemberian dos penggalak akan dipergiat bagi mengurangkan kesan jangkitan Covid-19 terhadap masyarakat.

“Sebanyak 150,000 dos disediakan Kerajaan Negeri dengan 60,000 daripadanya telah diagihkan,” katanya.

Pada 29 Januari lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita susulan kegiatan tidak bermoral segelintir pengamal perubatan yang menawarkan serta menjual sijil digital vaksin Covid-19 palsu kepada orang ramai.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj meminta pihak berkuasa negeri ini menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati menyalahguna kuasa sebagai pengamal perubatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Doktor swasta jual sijil vaksin palsu direman lagi

MARANG, 14 JAN: Seorang doktor klinik swasta yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes menjual sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan sebenar, hari ini direman lagi di Mahkamah Majistret di sini berhubung kes penipuan.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan lelaki berusia 51 tahun itu direman sehingga esok bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Lelaki itu yang memakai kemeja-T berwarna kelabu dan berseluar jeans biru tiba di Mahkamah Marang di sini pukul 9.40 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt M Zambri Mahmud ketika dihubungi berkata permohonan reman itu dibuat selepas doktor itu didakwa menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan sebenar dengan kadar bayaran tertentu, tetapi gagal menyediakan sijil tersebut kepada pelanggannya.

“Laporan ke atas doktor itu melibatkan pengadu yang menggunakan perkhidmatannya dengan membayar sebanyak RM450 dan dijanjikan dalam masa 14 hari status di MySejahtera mereka (tertera) sebagai penerima vaksin, namun status tersebut tidak bertukar,” katanya.

Pada Sabtu lepas doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 tanpa suntikan sebenar, namun dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Bagaimanapun polis menahan semula doktor tersebut pada 12 tengah hari semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa sebelum ini berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik berkenaan untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi tanpa suntikan.

Doktor berkenaan dipercayai mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM600 kepada individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi tanpa melakukan suntikan yang sebenar.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sijil palsu: Rasuah sukarelawan pusat vaksin, seorang lelaki direman tujuh hari

KOTA KINABALU, 12 JAN: Seorang pembantu pejabat direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah daripada orang awam bagi tujuan pendaftaran Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 di dalam aplikasi MySejahtera pada Oktober tahun lepas.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Jessica Ombou Kakayun di sini hari ini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam di pejabat SPRM di sini ketika hadir untuk memberi keterangan.

Suspek juga dipercayai memberi rasuah kepada sukarelawan di satu pusat pemberian vaksin sebagai balasan mendaftarkan nama individu yang tidak menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi mendapatkan sijil digital berkenaan.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan kesihatan Terengganu kesan individu beli sijil vaksin palsu

KUALA TERENGGANU, 11 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang mengenal pasti individu yang membeli sijil vaksinasi Covid-19 palsu daripada seorang doktor klinik swasta di Marang.

Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata golongan terbabit perlu diberi nasihat serta penjelasan supaya mereka menyedari bahawa tindakan itu boleh mengancam keselamatan awam.

“Aktiviti mengenal pasti pembeli ini perlu dilakukan secara teliti, kami perlu dapatkan maklumat terperinci dan kalau terbukti barulah kami akan ambil tindakan seperti memberi kaunseling,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mereka juga digalakkan supaya mengambil suntikan vaksin Covid-19 secepat mungkin demi keselamatan diri sendiri, keluarga serta masyarakat.

“Kami menyeru agar mereka ini datang ke pusat pemberian vaksin (PPV) sama ada klinik kerajaan atau swasta dan dapatkan segera suntikan vaksin ini, nasihat ini termasuklah untuk sesiapa sahaja yang belum menerima vaksinasi,” katanya.

Sementara itu Dr Kasemani berkata klinik swasta berkenaan telah memohon untuk menjadi PPV dan kelulusan baru sahaja diberikan, namun belum beroperasi sebagai PPV.

Sabtu lepas, seorang doktor lelaki berusia 51 tahun yang mendakwa dirinya antivaksin ditahan polis selepas disyaki menjual sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dilaporkan berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik tersebut untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapatkan sijil vaksinasi palsu.

Katanya, doktor berkenaan mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM600 kepada individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi tanpa melakukan suntikan yang sebenar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Reman doktor jual sijil vaksin palsu disambung

MARANG, 11 JAN: Perintah tahanan reman terhadap seorang doktor klinik swasta yang didakwa menjual sijil vaksinasi Covid-19 palsu di Terengganu disambung dua hari lagi oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan tahanan reman dilanjutkan sehingga Khamis ini terhadap doktor lelaki berusia 51 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dijalankan pihak polis.

Sabtu lepas doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dilaporkan berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik berkenaan untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi palsu itu.

Doktor berkenaan dipercayai mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM600 kepada individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi tanpa melakukan suntikan yang sebenar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam miliki sijil vaksin palsu berdepan tindakan

KUALA NERUS, 10 JAN: Kerajaan Negeri Terengganu akan memantau dan mengambil tindakan sekiranya terdapat penjawat awam negeri yang didapati memiliki sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata pihaknya memandang serius isu berkaitan sijil vaksinasi palsu ini memandangkan ia melibatkan keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Kita akan arahkan jabatan-jabatan kerajaan untuk memantau golongan yang terutamanya antivaksin satu hal, yang keduanya dia beli pula sijil vaksin palsu. Ini satu kesalahan yang serius dan perkara ini akan dipantau oleh jabatan-jabatan berkenaan, untuk pastikan perkara ini (pembelian sijil vaksin palsu) tidak berulang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang doktor sebuah klinik swasta oleh pihak polis Terengganu di Marang pada Sabtu lepas, selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Dr Alias berkata kerajaan negeri juga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memantau dan mengenal pasti sekiranya terdapat lagi pengamal perubatan di negeri ini yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Terdahulu, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dalam sidang media hari ini memberitahu doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

Rohaimi berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik tersebut bagi tujuan vaksinasi, dan daripada jumlah itu pihak polis masih menyiasat jumlah sebenar individu yang tidak mendapatkan suntikan, namun hanya mendapatkan sijil vaksinasi palsu.

-BERNAMA