Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bilangan ibu hamil suntik vaksin bertambah sejak kematian Siti Sarah

PETALING JAYA, 13 OGOS: Kehadiran ibu hamil di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini, untuk menerima suntikan pelalian meningkat sejak kematian Siti Sarah Raissuddin akibat pandemik Covid-19.

Penyelaras PPV Tropicana Gardens Mall Mohammad Zulmajdi Basyeer berkata pihaknya menerima kehadiran tanpa janji temu antara 10 hingga 20 ibu hamil pada setiap hari sejak pemergian bintang seni tanah air itu.

“Penerimaan golongan ini amat kurang sejak bermulanya program suntikan tanpa janji temu namun meningkat sejak tiga hari lalu, mungkin golongan ini mulai sedar betapa pentingnya mengambil vaksin.

“Apabila ditanya kenapa sebelum ini enggan menerima vaksin, rata-rata mereka menyuarakan kerisauan dengan kandungan serta khuatir jika ada kesan sampingan selepas menerima suntikan,” katanya.

Beliau ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti suntikan kedua DUN Bandar Utama dan Kampung Tunku di PPV Tropicana Gardens Mall hari ini.

Mohammad Zulmajdi berkata seramai 3,200 penerima di dua DUN tersebut hadir bagi mendapatkan dos kedua selepas menerima dos pertama pada 23 Julai lalu.

“Bagi suntikan pelalian tanpa janji temu sebanyak 1,100 baucar sudah ditebus. Kita menjangkakan jumlah ini terus meningkat susulan hari ini merupakan hari terakhir Selvax Komuniti tanpa janji temu.

“Secara keseluruhan sambutan yang diterima amat menggalakkan sejak Selvax Komuniti tanpa janji temu diadakan bermula 3 Ogos lalu,” katanya.

Selangor menyediakan lima PPV khusus untuk orang ramai mendapat suntikan tanpa janji temu iaitu di Tropicana Gardens Mall; Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Aurora Place, Bukit Jalil; Hotel De Palma, Shah Alam dan Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Manakala warga asing dikhaskan pada 10 hingga 13 Ogos di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Siti Sarah

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bintang seni tanah air Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia awal pagi ini akibat jangkitan Covid-19.

Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi hari ini menyatakan Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” demikian menurut hantaran itu.

Siti Sarah, 37, meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, pada pukul 5.13 pagi ini.

Allahyarhamah yang hamil tujuh bulan sebelum ini dimasukkan ke HCTM pada petang Rabu selepas mengalami batuk yang teruk dan kekurangan oksigen dalam badan akibat jangkitan virus itu.

Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak di sini pada pukul 1.45 tengah hari tadi.

Siti Sarah dan suaminya pelawak Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu, 39, serta tiga anak mereka disahkan dijangkiti wabak itu sejak 25 Julai lalu selepas menjalani ujian saringan apabila pembantu rumahnya disahkan positif virus berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jenazah Siti Sarah selamat dikebumi di Gombak

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Jenazah penyanyi Siti Sarah Raissuddin selamat dikebumikan pada jam 1.45 tengah hari, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak hari ini.

Proses pengebumian Allahyarham dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) pengurusan jenazah pesakit Covid-19 oleh petugas hospital, dibantu oleh suaminya Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu.

Terdahulu, jenazah Allahyarham ditayammum dan disolatkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, kira-kira jam 11 pagi.

Penyanyi berusia 37 tahun itu meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di hospital itu pada jam 5.13 pagi dan berita pemergian Siti Sarah dimaklumkan oleh Shuib di Instagramnya awal pagi tadi.

Suasana pilu menyelubungi pintu masuk ke tanah perkuburan, apabila van yang membawa jenazah tiba kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Ia disambut oleh ahli keluarga, kenalan dan peminat yang hadir sejak awal pagi bagi memberikan penghormatan terakhir walaupun terpaksa melihat proses pengebumian dari luar kawasan tanah perkuburan berikutan SOP yang ditetapkan.

Siti Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan dijangkiti Covid-19 sejak 25 Julai, selepas menjalani ujian saringan apabila pembantu rumahnya disahkan positif wabak berkenaan.

Allahyarham yang hamil tujuh bulan dimasukkan ke HCTM pada petang Rabu lepas apabila mengalami batuk yang teruk dan kekurangan oksigen dalam badan.

Pelantun lagu “Kesetiaan” dan “Semakin” itu kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), selepas keadaan kesihatannya semakin merosot dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungan yang diberi nama Ayash Affan pada petang Jumaat.

Pasangan selebriti itu berkahwin pada 2011, memiliki tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Martin, 6.

Siti Sarah memulakan kerjaya dalam bidang nyanyian selepas menyertai program Bintang RTM 2001 dan pernah memenangi anugerah Artis Baharu Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2003.

Anak kepada penyanyi veteran Raisuddin Hamzah itu, pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa World Championship of Performance Arts (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2009 dan membawa pulang tiga pingat emas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mark Adam sebak kenang keadaan menimpa Siti Sarah

SHAH ALAM, 8 OGOS: Penyanyi dan pelakon, Mark Adam sebak mengenang nasib menimpa rakannya, Siti Sarah Raisuddin yang masih ditidurkan berikutan masalah tahap oksigen rendah.

Menerusi program bual bicara secara langsung di Facebook Media Selangor semalam, penyanyi kelahiran Filipina itu menangis mengingati keadaan Siti Sarah yang sedang dirawat di unit rawatan rapi di HUKM sejak Jumaat akibat Covid-19.

Mark dalam perkongsian program bertajuk Semangat Juang Hijrah itu berkata pandemik Covid-19 merupakan dugaan yang diberikan supaya kita mendekatkan diri dengan pencipta.

“Disebalik semua yang berlaku ini, sebenarnya kita boleh tengok pelajaran yang diberikan. Sebelum ini kita tiada masa nak solat, sekarang ini kita sudah duduk rumah dan boleh mendekati lagi kepada pencipta kita.

“Kita kena tengok pelajaran yang diberikan di dalam dugaan itu diberikan satu benda yang kita kena fikir. Silaturrahim sebelum ini pun kita tidak tengok, tetapi sekarang kita baru sedar betapa pentingnya…,” katanya.

Mark yang popular dengan lagu ‘Marry Me’ mula rapat dengan Shuib Sepahtu yang merupakan suami Siti Sarah sejak digandingkan di dalam program Juara Parodi pada 2015.

Minggu lalu, Siti Sarah dan suami serta tiga anaknya positif Covid-19 selepas pembantu rumahnya disahkan positif pada 25 Julai lalu.

Bagaimanapun Siti Sarah yang sedang sarat mengandung tujuh bulan dikejarkan ke hospital berikutan tahap oksigen menurun dan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayinya sekitar jam 2 petang Jumaat.