Categories
AGENDA NASIONAL

79 peratus daripada 191 kematian ibu hamil akibat tiada vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Sebanyak 79 peratus daripada 191 kes kematian akibat komplikasi jangkitan Covid-19 dalam kalangan ibu hamil pada tahun lalu, terdiri daripada mereka yang tidak menerima suntikan vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kematian dalam kalangan ibu hamil yang dilaporkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara, turut membabitkan 83 peratus daripada mereka yang mempunyai komorbiditi.

Menurutnya, bagi tahun ini sehingga 15 Feb, tiada kes kematian melibatkan ibu hamil disebabkan oleh jangkitan Covid-19 dilaporkan.

“Liputan vaksin yang tinggi iaitu 94.7 peratus pada umur 18 tahun ke atas telah tercapai pada Oktober 2021 dan ini menyumbang kepada penurunan kematian ibu hamil akibat komplikasi COVID-19,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Beliau berkata sejumlah 18,277 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan ibu hamil dilaporkan dari Mac 2020 sehingga Januari tahun ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Musibah banjir musnahkan persiapan Krismas ibu hamil

SHAH ALAM, 25 DIS: Persiapan sambutan Krismas seorang wanita yang kini hamil tujuh bulan musnah gara-gara rumahnya di Taman Sri Muda dilanda banjir, baru-baru ini.

Melina Gupie, 25, berkata bukan sahaja baju raya dihanyut arus bahkan barangan untuk menyambut kelahiran cahaya mata kedua juga tidak dapat diselamatkan.

Bagaimanapun, anak jati Sarawak itu reda dengan ujian yang berlaku selain bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan sehingga hari ini.

“Baju raya, barang perhiasan rumah termasuk barangan bayi sudah banyak dibeli tetapi semuanya musnah dihanyut banjir. Kecewa sangat tetapi kami reda.

“Sedih memang sedih ditambah pula apabila tiga tahun tidak pulang ke Sibu…tidak dapat rai Krismas bersama keluarga,” katanya ketika ditemui SelangorKini di pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST).

Melina Gupie, 25. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Mengulas sambutan perayaan di PPS, Melina berkata beliau dan suami banyak menerima ucapan daripada mangsa banjir yang lain.

“Walaupun tiada keluarga untuk rai bersama tetapi kami tetap menerima ucapan (Krismas) daripada rakan-rakan di sini yang sama-sama terperangkap,” katanya.

Sementara itu, ditanya berhubung inisiatif Kerajaan Negeri menyumbang RM1,000 kepada mangsa banjir, Melina menarik nafas lega dan berhasrat membelanjakan wang itu membeli keperluan bayi.

“Setakat ini hanya terfikir barang bayi. Terima kasih Kerajaan Selangor memberi bantuan yang sedikit sebanyak meringankan beban,” katanya.

Isnin lalu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah mulai Sabtu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana itu meliputi bantuan sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Panduan vaksin wanita hamil dan ibu menyusu, apa perlu difikirkan?

SHAH ALAM, 21 OGOS: Sejumlah 3,396 ibu hamil dijangkiti Covid-19 sejak Mac 2020 hingga Jun tahun ini. Namun kematian dalam kalangan mereka hanya direkodkan mulai Januari dan naik mendadak mulai Jun.

Kes meningkat bermula Oktober 2020 dengan purata 200 jangkitan setiap bulan, namun terdapat lonjakan pada Mei dengan 850 kes dan Jun (899 kes).

Sehingga 9 Ogos, seramai 70 ibu hamil termasuk pelakon Siti Sarah Raissuddin menghembus nafas terakhir akibat virus bahaya ini. Wartawan AFIX REDZUAN menyusun maklumat apa yang harus wanita hamil fikirkan.

Risiko akibat jangkitan

ibu hamil hadapi risiko tinggi:

  • dapat jangkitan teruk yang boleh bawa maut
  • perlukan bantuan pernafasan dan rawatan rapi

bayi berdepan risiko tinggi:

  • kelahiran pramatang (pembedahan kecemasan bagi bantu ibu)
  • mati dalam kandungan

Jika hamil, suntik atau tidak?

Jika was-was, pertimbangkan:

  • risiko terdedah kepada Covid-19
  • risiko sakit yang teruk
  • faedah vaksin yang sedia diketahui
  • bukti terhad tetapi makin bertambah mengenai keselamatan vaksin

Vaksin apa sesuai dengan saya?

Pfizer

  • vaksin jenis mRNA selamat semasa hamil tanpa tanda bahaya ketara
  • kesan sampingan jarang berlaku, ringan, sementara dan boleh dirawat

AstraZeneca

  • tiada kesan mudarat (contraindication) terhadap ibu hamil
  • dos kedua vaksin ini elok disuntik selepas 14 minggu

Sinovac

  • laporan awal benarkan vaksin ini untuk ibu mengandung
  • dos kedua setelah kandungan berusia 14 minggu

– Ibu hamil sesuai terima vaksin sewaktu usia kandungan 14 hingga 33 minggu

– Suntikan vaksin selepas kandungan 33 minggu, elok dapatkan pandangan doktor

– Ibu menyusu boleh terima suntikan tiga jenama vaksin di atas

– Vaksin antitetanus toxoid (ATT) boleh disuntik bersama vaksin Covid-19 bila-bila masa

Jika susukan bayi

  • Penerima vaksin ada antibodi dalam susu, bantu lindungi bayi
  • Bukti tunjukkan vaksin jenis mRNA dan AstraZeneca tidak datangkan risiko

Panduan umum

  • bincang dengan doktor jika timbul sebarang kebimbangan
  • maklumat terkini tentang kesesuaian vaksin dimaklumkan dari semasa ke semasa
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bilangan ibu hamil suntik vaksin bertambah sejak kematian Siti Sarah

PETALING JAYA, 13 OGOS: Kehadiran ibu hamil di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini, untuk menerima suntikan pelalian meningkat sejak kematian Siti Sarah Raissuddin akibat pandemik Covid-19.

Penyelaras PPV Tropicana Gardens Mall Mohammad Zulmajdi Basyeer berkata pihaknya menerima kehadiran tanpa janji temu antara 10 hingga 20 ibu hamil pada setiap hari sejak pemergian bintang seni tanah air itu.

“Penerimaan golongan ini amat kurang sejak bermulanya program suntikan tanpa janji temu namun meningkat sejak tiga hari lalu, mungkin golongan ini mulai sedar betapa pentingnya mengambil vaksin.

“Apabila ditanya kenapa sebelum ini enggan menerima vaksin, rata-rata mereka menyuarakan kerisauan dengan kandungan serta khuatir jika ada kesan sampingan selepas menerima suntikan,” katanya.

Beliau ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti suntikan kedua DUN Bandar Utama dan Kampung Tunku di PPV Tropicana Gardens Mall hari ini.

Mohammad Zulmajdi berkata seramai 3,200 penerima di dua DUN tersebut hadir bagi mendapatkan dos kedua selepas menerima dos pertama pada 23 Julai lalu.

“Bagi suntikan pelalian tanpa janji temu sebanyak 1,100 baucar sudah ditebus. Kita menjangkakan jumlah ini terus meningkat susulan hari ini merupakan hari terakhir Selvax Komuniti tanpa janji temu.

“Secara keseluruhan sambutan yang diterima amat menggalakkan sejak Selvax Komuniti tanpa janji temu diadakan bermula 3 Ogos lalu,” katanya.

Selangor menyediakan lima PPV khusus untuk orang ramai mendapat suntikan tanpa janji temu iaitu di Tropicana Gardens Mall; Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Aurora Place, Bukit Jalil; Hotel De Palma, Shah Alam dan Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Manakala warga asing dikhaskan pada 10 hingga 13 Ogos di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak jangkitan Covid-19, wanita hamil diseru ikuti tujuh nasihat KKM

SHAH ALAM, 11 OGOS: Wanita hamil disaran mengikut tujuh langkah pencegahan daripada mendapat jangkitan Covid-19 yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan berkata mereka juga perlu melengkapkan suntikan vaksin sebelum trimester ketiga bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti.

“Para suami mestilah memberi sokongan kepada pasangan bagi memastikan mereka mendapat suntikan vaksin Covid-19.

“Ibu hamil yang masih belum menerima janji temu boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat bagi mempercepatkan proses janji temu,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Isu ibu hamil menarik perhatian umum apabila selebriti Siti Sarah Raissuddin yang mengandung tujuh bulan meninggal dunia kelmarin setelah ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) beberapa hari sebelumnya.

Isteri pelawak Shuib Sepahtu yang melahirkan anak Jumaat lalu tidak sempat mengambil vaksin kerana sedang hamil. Pasangan itu bersama tiga cahaya mata disah positif pada 27 Julai.

Berikut adalah langkah pencegahan yang digariskan KKM:

1. Kekal berada di rumah kecuali untuk tujuan penting dan perlu sahaja;

2. Amalkan norma baharu serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam mencegah jangkitan Covid-19;

3. Ahli keluarga perlu diingatkan untuk tidak menjadi punca jangkitan kepada ibu hamil dengan mematuhi SOP ketika berada di luar rumah;

4. Jika terdapat ahli keluarga yang menjalani kuarantin di rumah, pastikan mereka patuh sepenuhnya kepada prosedur kuarantin;

5. Sekiranya telah disahkan positif Covid-19, semua ibu hamil, termasuklah yang tidak bergejala, mesti hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk menjalani penilaian oleh doktor. Ikut nasihat doktor jika perlu dipantau di fasiliti kesihatan;

6. Sekiranya ibu hamil berada di rumah dan gejala bertambah teruk, ibu perlu segera ke klinik atau CAC berdekatan;

7. Jika berlaku kecemasan, boleh hubungi talian 999 atau segera ke hospital berdekatan. Ibu hamil atau ahli keluarga boleh juga menekan butang SOS di aplikasi MySejahtera jika bantuan segera diperlukan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belum ada ketetapan ibu hamil boleh dapat vaksin tanpa janji temu

LENGGONG, 9 OGOS: Belum ada lagi ketetapan untuk membenarkan golongan ibu hamil mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara jumpa terus (walk-in) tanpa perlu menunggu tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Bagaimanapun menurutnya golongan ibu hamil tetap diberi keutamaan di bawah Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana mereka adalah kumpulan berisiko yang terdedah dengan jangkitan dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak akan mengendalikan proses vaksinasi termasuk penetapan tarikh.

“Kita belum ada lagi membuat sebarang pengumuman (ketetapan). Sekarang yang ada jumpa terus untuk yang berumur 60 ke atas dan komorbid di seluruh negara. Itu yang ada setakat ini, tapi ia (jumpa terus) adalah satu cadangan yang baik untuk ibu mengandung.

“Mereka perlu dikenal pasti khasnya daripada 14 minggu hingga 33 minggu supaya diberikan suntikan secepat mungkin. Mengandung adalah salah satu risiko komorbid,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Merdeka Lenggong hari ini.

Dr Noor Azmi diminta mengulas mengenai kebimbangan orang ramai dengan kes ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 sehingga membawa maut.

Tegasnya, walaupun tiada lagi ketetapan dibuat, namun arahan serta garis panduan dikeluarkan oleh Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) bagi proses pemberian vaksin Covid-19 kepada ibu hamil.

Pada Jun lepas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata vaksin Covid-19 keluaran Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca sesuai disuntik kepada ibu mengandung, berdasarkan panduan yang dikemas kini Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata orang ramai berhak meminta pengusaha dan pekerja premis makanan mengemukakan pengesahan sudah menerima dua dos suntikan Covid-19 susulan kebenaran kerajaan untuk aktiviti “dine-in” bagi negeri-negeri di bawah Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan fasa seterusnya yang akan bermula esok.

Beliau berkata langkah itu boleh diambil bagi memuaskan hati orang ramai yang masih ragu-ragu dan bimbang dengan status vaksin pemilik atau pekerja premis berkenaan.

“Kita berhak untuk bertanya sekiranya ragu-ragu, dan saya percaya akan ada tatacara operasi piawai (SOP) tertentu dikeluarkan untuk pekerja premis makanan. Kita juga meminta supaya golongan berisiko seperti warga emas, ibu hamil dan kanak-kanak tidak dibawa ke premis makanan untuk dine-in, biarlah mereka yang betul-betul sihat sahaja,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan aktiviti menjamu selera di premis makanan dibenarkan bagi mereka yang telah menerima vaksin lengkap, dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa Dua PPN dan seterusnya, bermula esok.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Covid-19: Derita ibu hamil 42 hari bertarung nyawa

SHAH ALAM, 19 JUN: Rabiatul Adawiah melihat sendiri troli jenazah lalu lalang ketika menerima rawatan Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.

Beliau yang hamil tujuh bulan melalui pelbagai ‘seksaan’ selepas tahap kesihatan terutama pernafasannya merosot mendadak di rumah sebelum dikejarkan ke hospital.

Beberapa kali beliau berdepan suasana cemas sejak dibawa ambulans ke hospital hingga dibenar keluar ICU. Dari kandungan tangki oksigen tidak mencukupi, kaki dan tangan diikat ketika rawatan hinggalah tiub oksigen tersumbat.

Fikiran, emosinya juga galau. Lebih-lebih lagi mengenangkan pengakuan doktor tiada jaminan tentang keselamatan anak dalam kandungan.

Kematian terasa begitu dekat. Lebih-lebih lagi saat beliau diminta mengucap kalimah syahadah sebelum ‘ditidurkan’ akibat sesak nafas keterlaluan.

Rabiatul masih ingat tanggal 15 Januari, hari beliau dijangkiti virus itu. Awalnya, beliau cuma batuk-batuk. diikuti sesak nafas. Kemudian tubuhnya terasa longlai, ada kalanya tidak mampu berjalan.

Tidak tahu punca

Tidak pula terlintas beliau dijangkiti Covid-19. Apatah lagi, doktor yang ditemui di klinik juga tidak menyarankannya membuat saringan. Alasannya, beliau bukan kontak rapat mana-mana pesakit positif.

Namun, memikirkan anak dalam kandungan, Rabiatul memutuskan untuk membuat ujian pantas polimerase masa nyata (RT-PCR), itupun setelah lima hari menanggung derita.

Benarlah, Covid-19 menyerang. Malah, beberapa jam sebelum dibawa ke hospital, beliau terasa putus nafas sebaik sahaja memberi salam pertama solat Asar.

“Saya tepuk-tepuk meja, sepak-sepak kaki cuba untuk bernafas. Tidak boleh! Saya tidak boleh sedut, tidak boleh hembus!” cerita Rabiatul, pengurus sebuah syarikat swasta.

Di dalam ambulans pula, azab belum berakhir, bahkan tambah mendebarkan. Mengikut petugas kesihatan, kandungan tangki tidak cukup untuk menampung kekurangan oksigen dalam tubuhnya.

Mujur Rabiatul sempat tiba di hospital pada 23 Januari. Mengikut doktor, beliau berada pada tahap empat yang memerlukan bantuan oksigen. Namun 24 jam kemudian, tahap itu berubah kepada lima iaitu komplikasi pelbagai organ. Beliau dimasukkan ke ICU.

“Ya, Allah! Rasa isi badan seperti disiat-siat. Panas dan sakitnya,” kata Rabiatul yang terpaksa menelan lebih 20 pil ketika rawatan bermula.

Mengikut doktor, keadaannya kritikal bahkan peluang beliau untuk hidup cuma 50-50. Keselamatan kandungannya juga belum tentu.

“Apa-apa prosedur kita dahulukan (selamatkan) ibu dulu, kemudian baru bayi. Tapi kita akan cuba selamatkan dua-dua.” Begitu pesan doktor.

Di ICU, Rabiatul juga terpaksa ‘ditidurkan’. Sebelum proses itu, beliau diminta mengucap kalimah syahadah. Pengalaman itu sungguh menakutkan. Apatah lagi, beliau melihat sendiri ada yang meninggal dunia.

Namun, Rabiatul hanya ditidurkan ketika proses intubasi menggunakan mesin pernafasan sebelum disedarkan semula.Tekaknya terasa perit. Ketika itu, kaki dan tangan beliau diikat bagi mengelakkannya meronta semasa proses membuang lendir.

“Setiap kali lendir ingin disedut keluar, nafas saya disekat. Rasa hilang nyawa,” katanya.

Rayu perut dibelah

Dalam menanggung azab sepanjang rawatan, Rabiatul bimbangkan anak dalam kandungan. Berulang kali beliau memberi isyarat kepada mereka supaya biarlah perutnya dibelah, keluarkan anaknya.

“Belahlah perut saya, selamatkan anak saya!”Hanya itu mampu diluahkannya, itupun melalui tulisan di kertas.

Barangkali tersentuh dengan rayuan itu, tiga doktor pakar hospital berkenaan memutuskan untuk membuat pembedahan bagi menyelamatkan anak Rabiatul. Akhirnya bayi perempuan seberat 1.78 kilogram lahir pada 28 Januari. Beliau bersyukur anaknya selamat.

“Air mata syukur saya mengalir. Saya terlalu letih, tertidur kembali,” katanya.

Namun, penderitaannya belum berakhir. Sakit yang ditanggung berganda. Rawatan Covid-19, kini sakit bersalin pula. Apatah lagi rawatan intubasi perlu diulang berikutan keadaannya belum stabil.

“Sungguh, saya berasa sangat teruji. Badan dipenuhi jarum. Di bahu, kanan dan kiri, leher, kedua belah kaki, kedua-dua tangan dan pelipat tangan. Semuanya dipenuhi jarum,” luah Rabiatul.

Hari-hari seterusnya begitu perit. Kaki dan tangannya bengkak seperti kaki gajah akibat masalah saluran darah. Jururawat juga memerah susu dari tubuhnya bagi mengelakkan keadaan lebih rumit.

Tubuhnya kaku. Mukanya membiru. Jururawat terpaksa membungkus beliau dengan lima helai selimut. Namun, beliau masih menggigil. Kesesakan nafasnya turut menjadi-jadi.

Selain itu, beliau berdepan pengalaman ngeri termasuk tiub oksigennya tersumbat. Mujur, perkara itu dapat diatasi segera.

Selepas dibenar keluar ICU, Rabiatul terasa lumpuh separuh badan dan tidak mampu berjalan. Terasa semput dalam kebanyakan masa.Pada 27 Februari, barulah beliau berpeluang bertemu anak yang telah sebulan lahir tanpa dapat ditatapnya.

“Betapa nikmat nyawa ini saya syukuri. Tiada apa yang boleh menggambarkan perasaan saya bertemu anak buat pertama kali selepas 31 hari melahirkannya,”kata beliau.

Selepas 42 hari bertarung nyawa, Rabiatul akhirnya dibenarkan pulang. Pesanan doktor disematnya erat-erat betapa Covid-19 bukan virus sembangan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya vaksin Pfizer-BioNTech sesuai untuk ibu hamil

PUTRAJAYA, 17 MEI: Hanya vaksin jenis Pfizer-BioNTech sesuai diberikan kepada mereka yang hamil dengan tempoh kandungan berusia 14 hingga 33 minggu, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Bercakap pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara maya hari ini, Khairy berkata dua lagi vaksin iaitu Sinovac dan AstraZeneca tidak disyorkan untuk ibu hamil buat masa ini.

Beliau berkata Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan mengkoordinasi dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan vaksin Pfizer-BioNTech diberikan kepada golongan itu.

Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi berkata pengambilan vaksin berkenaan juga boleh ditangguhkan selepas kehamilan.

Katanya, vaksin Pfizer-BioNTech juga sesuai diberikan kepada ibu menyusu namun bagi vaksin Sinovac dan AstraZeneca, data keselamatannya adalah terhad dan pengesyoran akan dibuat selepas konsultasi.

“Ini merupakan panduan klinikal semasa yang dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan orang ramai mengenai vaksin bagi golongan hamil dan menyusu, dan mereka dinasihatkan mendapatkan pandangan doktor sekiranya mempunyai keraguan berkaitan,” katanya.

Menurut Khairy, hingga kini, seramai 10.18 juta individu mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19.

Seramai 1.202 juta orang menerima satu dos manakala 733,237 orang telah lengkap menerima dua dos vaksin, dengan jumlah keseluruhan vaksin yang diberikan setakat ini ialah sebanyak 1,935,632 dos.

Mengenai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri, Khairy berkata kerajaan belum membuka PPV industri namun CITF telah meluluskan permohonan kilang Pharmaniaga untuk projek rintis.

“CITF meluluskan permohonan industri ini kerana mereka merupakan kilang vaksin yang mana mereka terlibat dalam pembotolan vaksin Sinovac. Kilang Pharmaniaga membeli vaksin mereka sendiri untuk diberi kepada pekerja kilang mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rumah dinaiki air, ibu hamil pandu dua jam cari pusat pemindahan

KOTA TINGGI, 6 JAN: Sudahlah sarat mengandung, seorang ibu muda terpaksa memandu selama dua jam setengah untuk mencari pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumahnya di Taman Kota Jaya, dekat sini, dinaiki air, awal pagi Sabtu lepas.

Meskipun keletihan, Fazila Hamdan, 29, tidak putus semangat, malah terus cekal memandu setelah satu demi satu PPS yang dikunjunginya bersama tiga anak perempuanya berusia antara tiga dan tujuh tahun, sudah penuh dengan mangsa banjir.

“Saya terpaksa memandu kereta bawa anak-anak. Mereka tidur kerana keletihan menolong mengangkat barang untuk diletakkan dalam sebuah lagi kereta dipandu suami.

“Dua PPS di Taman Daiman penuh, saya terpaksa berpatah balik ke Taman Kota Jaya. Di sini, dua PPS juga dimaklumkan penuh sehinggalah saya telefon semula Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan beritahu mereka saya sarat mengandung. Akhirnya kami dapat tempat di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS itu di sini semalam.

Fazila, yang kini mengandung enam bulan berkata setelah rumahnya di Taman Kota Jaya dinaiki air, beliau dan suami bersama tiga anaknya keluar menyelamatkan diri dan berhasrat berlindung di PPS kira-kira 1.30 pagi.

Pasangan adik beradik Alisyah Mikayla Shahabuddin, 4, (kiri) dan Aisyah Aqilah, 3, bermain dalam khemah di pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Dewan Kolej Vokasional Kota Tinggi, Johor pada 5 Januari 2021. Foto BERNAMA

Beliau menaiki kereta bersama tiga anak perempuan manakala suaminya, Shahabuddin Sakiman, 34, memandu sebuah lagi kereta yang dimuatkan dengan dokumen peribadi dan perkakasan rumah.

“(Masuk) sini (PPS) dalam pukul 5 pagi lebih, baru dapat masuk anak-anak. Semua (anak) dah tidur keletihan,” tambahnya.

Bagaimanapun, Fazila amat bersyukur kerana wanita mengandung sepertinya diberi keutamaan seperti peluang mendapatkan rawatan kecil dan kaunseling oleh jururawat yang bertugas di PPS.

Selain itu, kemudahan asas yang disediakan di PPS juga lengkap seperti tandas yang bersih, ruang khemah yang selesa dan diberi makan mengikut jadual.

Tanpa menyalahkan mana-mana pihak berikutan sukar mendapatkan tempat di PPS, suri rumah itu berkata pada hari pertama kejadian, paras air naik dengan cepat di Kota Tinggi menyebabkan banyak rumah terjejas.

Yang pasti, beliau tetap bersyukur apabila ramai mangsa banjir terdiri daripada bayi, kanak-kanak dan warga emas, tetap diberi keutamaan dalam penempatan di PPS.

-BERNAMA