Categories
AGENDA EKONOMI

Pasaran getah dijangka terus momentum positif

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan aliran peningkatannya minggu depan, didorong oleh unjuran kukuh pasaran niaga hadapan getah serantau serta sentimen ekonomi tempatan dan global yang mencatat prestasi lebih baik, kata peniaga.

Beliau memberitahu Bernama, sentimen pasaran niaga hadapan getah serantau itu semakin memberangsangkan selepas pengumuman mengenai bantuan kewangan tambahan dari China dan Kesatuan Eropah.

“Bank pusat China dilapor menyuntik sejumlah 150 bilion yuan (RM90.2 bilion) dalam sistem perbankan pada Jumaat menerusi perjanjian pembelian balik selama tujuh hari, di samping mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada 2.20 peratus.

“Bank pusat Eropah pula pada Khamis mengumumkan ia akan meningkatkan Program Pembelian Kecemasan Pandemik sebanyak 600 bilion euro (RM2.9 trilion) untuk merangsang ekonomi berikutan krisis Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkata permintaan getah dunia akan kembali mencatatkan pertumbuhan positif pada bulan ini dengan jangkaan penggunaan getah asli berkembang sebanyak 0.4 peratus selepas merosot pada April (-23.1 peratus) dan Mei 2020 (-10.1 peratus).

Dalam satu kenyataan semalam, LGM berkata permintaan dari China selaku pengguna terbesar getah asli dunia dijangka meningkat untuk menyokong perkembangan sektor automotif, manakala penjualan kenderaan pada April menokok 4.4 peratus tahun ke tahun selepas mencatatkan pertumbuhan negatif sejak 21 bulan sebelumnya.

“Situasi itu menggambarkan pasaran getah dijangka bergerak positif sejajar dengan peningkatan permintaan getah asli dunia memandangkan kebanyakan negara di dunia telah melonggarkan perintah berkurung dan membuka semula aktiviti ekonomi mereka secara berperingkat,” menurut LGM.

Pasaran getah akan ditutup pada Isnin bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan fizikal LGM bagi gred tayar SMR 20 melonjak 11 sen kepada 485.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal naik 21 sen kepada 471.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 naik 8.5 sen kepada 486.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal menambah 22.5 sen kepada 474 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Insentif pengeluaran getah bagi Mei 2020 diaktifkan

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi Mei 2020 diaktifkan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pekebun kecil membuat tuntutan pembayaran berdasarkan pengeluaran pada Mei.

Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam kenyataan hari ini, pengaktifan itu berikutan harga purata getah peringkat ladang pada Mei 2020 bagi getah sekerap berada pada RM1.65 sekilogram di Semenanjung, RM1.35 sekilogram di Sabah dan RM1.50 sekilogram di Sarawak.

“LGM juga memaklumkan IPG teraktif bagi Mei 2020 dengan bayaran di Semenanjung pada RM0.85 sekilogram, RM1.15 sekilogram di Sabah serta RM1.00 sekilogram di Sarawak,” katanya.

Sejak Januari 2019, IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan getah SMR 20 Percuma Atas Kapal (FOB) berada pada paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang mencecah RM2.50 sekilogram ke bawah.

“Pekebun kecil boleh membuat tuntutan IPG berdasarkan pengeluaran Mei 2020 mulai 1 Jun hingga 30 Jun, 2020,” menurut LGM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Pasaran getah Malaysia dijangka mencatat aliran peningkatan minggu depan berikutan pertambahan permintaan terhadap komoditi itu susulan pembukaan semula hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata industri sarung tangan getah terus menerima pesanan yang besar di peringkat antarabangsa, menyebabkan permintaan ke atas lateks pukal meningkat.

“Banyak industri kembali beroperasi seperti biasa dan apabila China meningkatkan operasi kilang-kilang dan logistik mereka, permintaan terhadap getah turut melonjak.

“Sebarang tindakan oleh industri berasaskan getah misalnya tayar untuk kenderaan bermotor sudah tentu akan meningkatkan permintaan terhadap komoditi itu memandangkan permintaan terbesar penggunaan getah adalah untuk tayar kereta,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah menyaksikan dagangan bercampur-campur berikutan para peniaga terus tidak memasuki pasaran di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global akibat ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China, berikutan peniaga kembali ke pasaran selepas cuti umum panjang di China dan Jepun.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Khamis, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 naik 3.5 sen kepada 4645.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 12 sen kepada 423.0 sen sekilogram.

Pasaran tempatan akan ditutup pada Isnin sempena cuti umum Nuzul al-Quran yang jatuh pada Ahad.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan kecil minggu depan berikutan operasi dua pasaran utama – China dan Jepun ditutup selama hampir seminggu bersempena cuti umum.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata harga getah akan turut dijejaskan oleh unjuran ekonomi yang kurang memberangsangkan di serata dunia.

“Harga SMR 20 dan lateks pukal sepatutnya meningkat berikutan stok simpanan petani serta pihak pemproses yang tidak banyak.

“Jumlah simpanan lebih rendah daripada jangkaan itu kebanyakannya disebabkan oleh tekanan harga rendah sejak berminggu-minggu lamanya yang tidak menggalakkan penoreh untuk kembali melakukan kegiatan itu,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah dipengaruhi oleh prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau serta data pembuatan China.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Khamis, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi gred tayar SMR 20 susut 16.5 sen kepada 461.5 sen sekilogram manakala lateks pukal berkurangan 8.5 sen kepada 410.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 susut 14 sen kepada 461 sen sekilogram dan lateks pukal turun enam sen kepada 411 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Pasaran getah dijangka terus susut minggu depan

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan aliran penurunannya pada minggu depan berikutan kekurangan permintaan berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan oleh Thailand dan Indonesia bagi membendung penularan Covid-19.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata ketidaktentuan itu turut menjejaskan jumlah dagangan yang dijangkakan rendah.

“Masih tidak jelas sama ada kerajaan Thailand dan Indonesia akan membenarkan aktiviti menoreh getah dan pergerakan komoditi itu.

“Oleh itu, kami perlu melalui minggu yang tidak pasti dan menyebabkan pasaran akan menjadi lengang (pada minggu depan),” katanya kepada Bernama.

Malah, Low berkata terdapat kecenderungan untuk harga getah mencatat penurunan.

Bagaimana pun, harga itu berkemungkinan meningkat sekiranya ketiadaan aktiviti menoreh akan menyebabkan kekurangan komoditi tersebut.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April, 2020.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah mengalami tempoh sukar dengan indeks penanda aras SMR 20 susut ke paras terendah sejak Februari 2016.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 jatuh 49.5 sen kepada 465.5 sen sekilogram manakala lateks pukal susut sembilan sen kepada 415.5 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Pasaran getah dijangka alami dagangan berhati-hati minggu depan

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami dagangan berhati-hati minggu depan, berikutan pertambahan kes Covid-19 baharu meningkatkan kebimbangan mengenai penularannya dan impak ke atas ekonomi global, kata peniaga.

Menurut laporan Persatuan Pengilang-pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), industri sarung tangan getah terus mencatatkan prestasi kukuh pada 2020 memandangkan permintaan global terhadap sarung tangan dijangka merekodkan kadar pertumbuhan tahunan pada 12 peratus.

“Unjuran itu akan meningkatkan keperluan pengilang sarung tangan terhadap salutan lapisan polimer bagi pengeluaran sarung tangan terutama sarung tangan bebas serbuk,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata permintaan terhadap getah dijangka bergantung kepada pergerakan harga minyak mentah serta ringgit.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan bagi getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk gred tayar SMR 20 meningkat 17.5 sen kepada 568.00 sen sekilogram, manakala susu getah pukal turun setengah sen kepada 465.00 sen sekilogram.

Pada jam 5 petang, harga rujukan getah fizikal LGM bagi SMR 20 menokok 13.5 sen to 567.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 1.5 sen kepada 465.00 sen sekilogram .

-BERNAMA