Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Tekanan PR Paksa Najib Batal SPBA

SHAH ALAM, 8 MAC: Kesan tekanan hebat dari Pakatan Rakyat yang mahukan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SPBA) dihapuskan kerana tidak membantu golongan berpendapatan rendah akhirnya tercapai apabila Perdana Menteri bertindak memansuhkannya hari ini.

MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata PKR mengalu-alukan pembatalan skim terbabit dengan mengguna pakai kembali Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Katanya pembatalan ini jelas menunjukkan kegagalan berterusan Kerajaan Umno-BN dalam mengambil kira pendapat golongan yang terkesan sebelum merangka dan mengumumkan sesuatu dasar.

“Kegagalan Kerajaan Umno-BN untuk prihatin akan kewujudan jurang pendapatan yang menekan penjawat awam yang di tangga yang paling rendah, iaitu di antara gred 1 hingga 54, benar-benar mempamerkan sikap sambil lewa dan elitis pemerintah. Ini berlaku di persekitaran di mana jurang pendapatan antara gaji terendah dan tertinggi yang pada waktu ini dianggarkan pada 19.5 kali.

“Hanya setelah didesak menerusi kritikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat berserta wakil-wakil pekerja CUEPACS barulah tindakan seraya ?sudah terhantuk baru terngadah? diambil oleh Perdana Menteri hari ini.” Jelas beliau yang juga Naib Presiden PKR.

Nurul Izzah turut menggariskan lima prinsip yang seharusnya diterima pakai bagi membantu nasib golongan pekerja.

1) SSM yang lebih adil dan saksama dengan mengutamakan golongan peringkat bawahan dahulu sebelum peringkat atasan. Kenaikan gaji bagi golongan penjawat awam gred terendah haruslah membolehkan mereka menerima gaji “sara hidup” (“living wage”), dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 seperti yang dicadangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012

2) SSM yang mengambil kira prinsip merapatkan jurang dan mengutamakan majoriti, tetapi dengan kenaikan atau apa yang sepatutnya dipanggil penyelarasan gaji minima perkhidmatan awam.

3) SSM yang lebih komprehensif termasuk perancangan peningkatan produktiviti yang melibatkan perbincangan dengan semua pihak secara terbuka dan bukan secara tertutup dan kemudian diumum secara serang hendap seperti sebelumnya.

4) SSM yang mengambil kira beberapa prinsip penilaian prestasi dan piawaian perkhidmatan termasuk usaha mengurangkan pembaziran, ketirisan dan amalan rasuah wang rakyat dengan menggalakkan penggunaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta pemberian saguhati di atas laporan salah laku kewangan didalam kerajaan.

5) SSM akan disemak secara interim setiap lima tahun, dan semakan utama setiap sepuluh tahun; semakan harus melibatkan semua pihak berkepentingan di dalam siri perbincangan dan keahlian jawatankuasa kecil dan teknikal semakan skim saraan.

Pagi tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman membatalkan SPBA yang dijangka dilaksanakan Januari lalu dan menerima kembali SSM.