Categories
AGENDA NASIONAL

SPR: 239 calon daripada 11 parti, bebas layak bertanding PRN Johor

JOHOR BAHRU, 26 FEB: Seramai 239 calon layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata selain itu, tiada pencalonan yang ditolak selepas proses penamaan calon.

“Daripada 239 calon layak bertanding, 202 adalah lelaki dan 37 lagi adalah wanita,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, selepas selesai proses penamaan calon hari ini.

Terdapat kira-kira 2.5 juta pemilih berdaftar pada PRN Johor yang melibatkan pertandingan di 56 kerusi.

Beliau berkata calon tertua pada pilihan raya itu berusia 71 tahun iaitu daripada Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai manakala calon termuda berumur 26 tahun di DUN Mengkibol yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan DUN Tangkak daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Abdul Ghani berkata terdapat lapan calon berusia bawah 30 tahun bertanding pada PRN kali ini.

Seramai 52 calon berusia 30 hingga 39 tahun, 72 calon berusia 40 hingga 49 tahun, 64 calon berusia antara 50 hingga 59 tahun manakala 43 calon berusia 60 tahun ke atas.

Daripada keseluruhan 239 calon, 56 masing-masing adalah calon BN dan PN, Pakatan Harapan (30), Pejuang (42), PKR (20), Bebas (16), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (7), Parti Warisan (6), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (4), dan masing-masing satu mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon oleh pegawai pengurus hingga 11.59 malam 11 Mac.

Sementara itu, SPR dalam kenyataan memaklumkan ia telah menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen.

SPR turut memaklumkan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Johor telah diluluskan akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses perjalanan pilihan raya iaitu proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

Maklumat lanjut mengenai SOP berkenaan boleh diperoleh di portal spr.gov.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Proses penamaan calon PRN Johor bermula

JOHOR BAHRU, 26 FEB: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung di 56 pusat penamaan yang akan dibuka pada 9 pagi.

Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.

Sebaik urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding bagi PRN berkenaan.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti tidak dibenarkan di pusat-pusat penamaan calon.

Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Pakatan Harapan (PH) bersama rakan strategiknya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA); Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Parti Warisan (Warisan); Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sudah mengesahkan bertanding pada PRN Johor.

Menerusi pengumuman calon yang dibuat, dijangka 223 calon dari parti-parti berkenaan akan mengemukakan borang pencalonan hari ini.

Setakat Khamis lepas, sejumlah 894 borang penamaan calon telah pun terjual.

Berbeza dengan PRN sebelum ini, SPR membenarkan penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah sepanjang tempoh 14 hari berkempen.

Bagaimanapun ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi, dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang serta penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tempoh setiap sesi ceramah, syarahan, kempen hanya selama dua jam dan tidak melebihi pukul 10 malam manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan adalah tidak melebihi lima orang, namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah dan aktiviti mengedarkan risalah perlu dibuat di luar pagar.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di satu dua tempat di Johor pada pagi, petang dan malam.

SPR menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac.

Seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN itu.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 22,531 orang merupakan pengundi awal melibatkan 10,955 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,576 pula anggota polis selain 376 pengundi tidak hadir luar negara.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Penamaan calon PRN Sarawak bermula esok pagi

KUCHING, 5 DIS: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 bermula esok dengan proses penamaan calon di 82 pusat penamaan calon (PPC) seluruh negeri bermula pukul 9 pagi.

Tidak seperti sebelum ini, PRN ke-12 ini diadakan dalam suasana berbeza susulan pandemik Covid-19 iaitu setakat ini hanya Sarawak dan Kelantan masih berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara, manakala negeri-negeri lain sudah beralih ke Fasa Empat.

Bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hanya calon, pencadang dan penyokong calon atau mana-mana dua orang daripada mereka dibenarkan masuk ke PPC bagi mengemukakan kertas pencalonan calon.

Penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak dibenarkan masuk, begitu juga sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.

Bakal calon pula diberi tempoh sejam untuk mengemukakan borang pencalonan dan bagi memudahkan proses penamaan calon, bakal-bakal calon diseru agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Calon-calon dan parti politik diberi tempoh 12 hari untuk berkempen sebelum tarikh mengundi pada 18 Dis sepertimana ditetapkan SPR.

Undi awal pula ditetapkan pada 14 Disember.

Tatacara operasi piawai untuk proses berkempen bagaimanapun sehingga hari ini belum diumumkan.

PRN Sarawak sebelum ini tidak dapat diadakan sebaik tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir 6 Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari 11 Januari sehingga 1 Ogos bagi mengekang penularan Covid-19.

Apabila darurat di seluruh negara berakhir, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022.

Darurat ini ditarik balik pada 3 November yang menyaksikan DUN Sarawak terbubar secara automatik dan memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak dilaksanakan SPR.

Sebanyak 82 kerusi DUN dipertandingkan dan setakat semalam, jurucakap SPR memaklumkan 1,268 borang penamaan calon telah terjual.

PRN kali ini akan menyaksikan seramai 1,252,014 pengundi layak mengundi terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan; 10,458 anggota polis serta pasangan dan 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 dengan 3,666 tempat mengundi/saluran dan seramai 46,565 individu dilantik bagi mengendalikan PRN Sarawak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Proses penamaan calon PRN Melaka berlangsung dalam suasana norma baharu

MELAKA, 8 NOV: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung dalam suasana norma baharu di 28 pusat penamaan yang akan dibuka pada pukul 9 pagi.

Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat persiapan rapi di semua pusat penamaan calon itu yang akan menyaksikan tatacara operasi piawai (SOP) ketat dilaksanakan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Setakat ini, lima parti iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta seorang calon bebas, telah menyatakan hasrat bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Dijangka seramai 91 calon akan mengemukakan borang pencalonan.

Tidak seperti sebelum ini, proses penamaan calon dalam suasana norma baharu kali ini berlangsung tanpa perarakan penyokong-penyokong yang mengiringi calon.

Kebenaran hanya diberikan kepada calon, pencadang dan penyokong calon atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka untuk masuk ke dalam pusat penamaan bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Sebaik urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding.

Sementara itu, cuaca cerah dan baik walaupun sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca hujan di satu dua tempat pada sebelah pagi di kesemua tiga daerah iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: 447 calon disahkan bertanding 73 DUN

KOTA KINABALU, 12 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 447 kertas pencalonan untuk bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini selepas tempoh penamaan berakhir  jam 10 pagi tadi.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata daripada jumlah itu 404 calon adalah lelaki manakala 43 lagi calon wanita.

Beliau berkata daripada 447 calon itu, seramai 73 adalah daripada Parti Cinta Sabah (PCS), diikuti Parti Warisan Sabah (Warisan) (53), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) (47), Parti Liberal Demokratik (LDP) (46), Barisan Nasional (BN) (41), Perikatan Nasional (PN) (29), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) (28), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (23) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) (22).

“Selain itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebanyak 12 calon, KEADILAN (tujuh), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) (lima), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) (dua) dan masing-masing satu calon bagi Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) serta Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Pertubuhan).

“Sepanjang tempoh penamaan calon, hanya terdapat satu kertas penamaan telah ditolak atas sebab calon tidak layak bertanding kerana telah diisytihar bankrap,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata seramai 56 calon Bebas turut disahkan bertanding pada PRN Sabah.

Beliau berkata DUN Bengkoka, menyaksikan calon terbanyak bertanding iaitu 11 penjuru diikuti Inanam dengan pertandingan 10 penjuru.

“Sebanyak 26 DUN akan menyaksikan pertandingan enam penjuru, 15 DUN (lima penjuru) dan 13 DUN (tujuh penjuru).

“Selain itu, enam DUN (lapan penjuru), lima DUN (empat penjuru) dan tiga DUN (tiga penjuru),” katanya.

Beliau berkata calon termuda pada PRN Sabah kali ini berusia 22 tahun yang bertanding di Tandek, manakala calon tertua berumur 75 tahun bertanding di DUN Bugaya.

“Kita menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRN Sabah kali ini boleh mencecah kira-kira 75 peratus dan keputusan pengiraan undi dijangka boleh diselesaikan sebelum pukul 12 malam 26 September ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPR: Borang calon PRU14 dibuka hingga esok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 APR: Individu berhasrat menjadi calon Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) masih boleh mendapatkan borang pencalonan sehingga esok.

Timbalan Setiausaha Strategik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Norzawatil Amali Alias berkata, borang boleh didapati di SPR negeri masing-masing dan SPR ibu pejabat di Putrajaya sehingga jam 5 petang.

“Pembelian borang dibuka buat mereka yang ingin menjadi calon bagi kerusi Parlimen dan DUN.

“SPR juga sudah bersedia sepenuhnya untuk hari penamaan calon dengan menempatkan pegawai pengurus berpengalaman di 222 pusat pencalonan,” katanya.

Norzawatil menasihatkan, semua calon supaya datang awal ke pusat penamaan calon masing-masing kerana kelewatan menghantar kertas pencalonan boleh menyebabkan mereka tidak layak bertanding dalam pilihan raya kali ini.

“Pusat penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini dibuka selama sejam bermula 9 pagi sebelum ditutup untuk memberi peluang kepada pegawai pengurus pilihan raya menyemak setiap kertas penamaan calon.

“Ini bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar dan kemudiannya SPR boleh mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding sebaik semua semakan selesai,” katanya.

Dalam masa sama, Norzawatil turut berharap penyokong bagi calon-calon bertanding menjaga perlakuan dan sentiasa bersabar bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang provokasi.

Penamaan calon PRU14 ditetapkan pada Sabtu ini dan pengundian pada 9 Mei, manakala pengundian awal 5 Mei.