Categories
AGENDA NASIONAL

BAM nafi dakwaan pemain Israel dibenar beraksi di Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menepis dakwaan yang tular di media sosial bahawa pemain Israel dibenarkan beraksi pada kejohanan Terbuka Malaysia 2021.

Menjawab soalan netizen di laman Facebook dan Twitter rasmi badan induk itu, BAM memaklumkan bahawa entri pemain seperti yang tular tidak pernah diluluskan oleh persatuan berkenaan.

“Tidak benar. Untuk pengetahuan, entri pemain-pemain ini tidak pernah diluluskan sejajar dengan dasar negara kita.

“Undian pula dibuat oleh pihak BWF (Persekutuan Badminton Dunia) berdasarkan laporan M&Q (Main and Qualifications) dan tidak pernah juga diluluskan,” menurut BAM.

Terdahulu, tular di media sosial pasangan beregu campuran ibu-anak dari Israel, Misha Zilberman, 32, dan Svetlana Zilberman, 63, bakal menyertai Terbuka Malaysia, yang sebelum ini merupakan antara kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai ini.

Menurut tangkap layar laman sesawang BWF yang ditularkan, pasangan nombor 141 dunia itu diundi menentang pasangan nombor tiga dunia Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China pada pusingan pertama.

Kejohanan yang dijadualkan dari 25 hingga 30 Mei di Axiata Arena, Bukit Jalil itu bagaimanapun ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia dan tidak lagi merupakan kejohanan menawarkan mata ke Olimpik.

Difahamkan, BAM telah menolak permohonan pasangan itu yang dibuat menerusi sebuah kelab pada bulan lepas kerana bertentangan dengan dasar negara tiada hubungan diplomatik dengan Israel.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini dibatalkan hak untuk menganjurkan Kongres FIFA 2017, yang turut menyaksikan pengundian tuan rumah Piala Dunia 2026 kerana tiada jaminan untuk mendapatkan visa perjalanan bagi delegasi dari Israel.

Pada awal 2019, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) pula melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan di Kuching, Sarawak dari 29 Julai hingga 4 Ogos tahun sama kerana kerajaan Malaysia gagal memberi jaminan kepada perenang Israel.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang turut menafikan perkara itu menyatakan: “KBS tidak pernah dan tidak akan memberi sebarang kelulusan penyertaan warganegara Israel” dalam sebarang kejohanan sukan termasuk Terbuka Malaysia 2021 yang ditangguh itu.

Kenyataan KBS menyebut bahawa BAM sedia maklum mengenai perkara itu serta ia telah disampaikan kepada BWF dan undian yang dikeluarkan di laman sesawang BWF tidak pernah diluluskan oleh BAM mahupun KBS untuk tujuan kemasukan ke Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ia merupakan syarat yang telah lama terpakai selari dengan dasar luar negara.

“Saya juga sentiasa mengingatkan bahawa semua kelulusan penganjuran kejohanan sukan antarabangsa oleh KBS melalui Pesuruhjaya Sukan adalah tertakluk kepada dasar luar negara, ini termasuklah larangan penyertaan atau penglibatan dari negara Israel tanpa sebarang kompromi,” menurutnya dalam kenyataan sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Terbuka Singapura: Kejohanan kelayakan terakhir badminton ke Tokyo dibatalkan

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Terbuka Singapura yang merupakan kejohanan kelayakan terakhir badminton ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah dibatalkan, hari ini.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan menyatakan, keputusan untuk membatalkan kejohanan yang dijadualkan dari 1 – 6 Jun itu merupakan keputusan bersama antara BWF dan Persatuan Badminton Singapura (SBA).

Kejohanan Super 500 dalam Jelajah Dunia BWF itu, merupakan kejohanan terakhir yang menawarkan mata ranking ‘Race to Tokyo’ (RTT) dalam sesi kelayakan ke Olimpik yang akan berakhir pada 15 Jun.

“BWF mengesahkan yang kejohanan itu tidak akan dijadualkan semula. BWF akan mengeluarkan kenyataan berkaitan kelayakan acara badminton untuk Sukan Olimpik 2020 pada satu tarihk lain,” menurut kenyataan itu lagi.

Badan dunia badminton itu menyatakan, kesemua usaha telah dilakukan oleh penganjur dan BWF dalam memastikan situasi kejohanan yang selamat untuk semua peserta.

“Bagaimanapun, peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia, menyebabkan cabaran yang sukar dalam menguruskan perjalanan masuk ke Singapura. Oleh sebab itu demi kepentingan keselamatan dan kesihatan kesemua pemain, kakitangan kejohanan dan komuniti tempatan, maka kejohanan ini dibatalkan,” menurut kenyataan itu.

Pada Jumaat, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan penangguhan Terbuka Malaysia yang dijadualkan dari 25 – 30 Mei, selepas satu lagi kejohanan dalam RTT iaitu Terbuka India yang dijadualkan 11 – 16 Mei ditangguhkan dua minggu lepas, kedua-duanya akibat peningkatan kes Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Tiga pemain badminton paralimpik negara menang di Dubai

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Pemain badminton paralimpik negara memenangi tiga gelaran di kejohanan Antarabangsa Badminton Para Fazza-Dubai di Emeriah Arab Bersatu (UAE), hari ini.

Juara Dunia perseorangan lelaki enam kali Cheah Liek Hou mengungguli acara SU5 (Berdiri/ kemerosotan anggota badan atas) selepas mengalahkan pemain Indonesia Dheva Anrimusthi 14-21, 22-20, 21-18 dalam perlawanan yang berlangsung lebih satu jam.

Perlawanan akhir Kategori WH1 (kerusi roda) pula menyaksikan Muhammad Ikhwan Ramli menewaskan David Toupe dari Perancis 23-21, 21-13, menurut laman sesawang rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF); https://bwfpara.tournamentsoftware.com.

Sementara Noor Azwan Noorlan memenangi perseorangan lelaki WH2 (kerusi roda) selepas mengalahkan Rick Cornell Hellman dari Jerman 18-21, 21-18, 21-12, pada perlawanan yang berlangsung selama satu jam tujuh minit.

Bagaimanapun Didin Taresoh yang bertanding dalam kategori gabungan SH6, terpaksa berpuas hati di tempat kedua, selepas tewas kepada Nagar Krishna dari India 17-21, 18-21 pada perlawanan akhir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pemain Malaysia berdepan laluan sukar hadapi Jelajah Dunia Akhir BWF

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Pemain badminton Malaysia diundi laluan sukar pada Kejohanan Akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) HSBC 2020 yang dijadualkan bermula esok selama lima hari di Impact Arena, Bangkok.

Naib juara Terbuka Thailand Toyota 2021, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik diundi dalam Kumpulan B bersama-sama pasangan beregu tinggi lampai Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov dari Rusia, bekas juara dunia Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan (Indonesia), serta beregu nombor lapan dunia Choi Solgyu dan Seo Seung Jae dari Korea Selatan.

Proses undian itu berlangsung hari ini dan disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube BWF.

Sementara itu, perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia juga berdepan tugas sukar apabila beliau bersama-sama tiga pemain utama dunia diundi dalam Kumpulan A, iaitu nombor dua dunia Chou Tien Chen dari Taiwan, nombor enam dunia Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia) dan bekas juara dunia Viktor Axelsen dari Denmark yang baru sahaja menjuarai Terbuka Thailand Yonex dan Terbuka Thailand Toyota.

Berdasarkan format kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan US$1.5 juta (RM6.065 juta) itu, dua pemain terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir.

Malaysia tidak mempunyai wakil dalam kategori perseorangan wanita pada kejohanan penutup musim itu selepas pemain negara gagal berada dalam kelompok lapan terbaik dalam ‘HSBC BWF Road to Bangkok Rankings’.

Perseorangan Lelaki:

Kumpulan A: Viktor Axelsen (DEN), Chou Tien Chen (TPE), LEE ZII JIA (MAS), Anthony Sinisuka Ginting (INA)

Kumpulan B: Anders Antonsen (DEN), Wang Tzu Wei (TPE), K. Srikanth (IND), Angus Ng Ka Long (HKG)

Beregu Lelaki:

Kumpulan A: Lee Yang-Wang Chi-Lin (TPE), ONG YEW SIN-TEO EE YI (MAS), Ben Lane-Sean Vendy dan Marcus Ellis-Chris Langridge (kedua-dua beregu dari England)

Kumpulan B: AARON CHIA-SOH WOOI YIK (MAS), Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (INA), Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov (RUS), Choi Solgyu-Seo Seung Jae (KOR)

Perseorangan Wanita:

Kumpulan A: Carolina Marin (ESP), An Se Young (KOR), Michelle Li (CAN), Evgeniya Kosetskaya (RUS)

Kumpulan B: Tai Tzu Ying (TPE), Ratchanok Intanon dan Pornpawee Chochuwong (kedua-duanya dari Thailand), P. V Sindhu (IND)

Beregu Wanita:

Kumpulan A: Greysia Polii-Apriyani Rahayu (INA), Lee So Hee-Shin Seung Chan (KOR), CHOW MEI KUAN-LEE MENG YEAN dan VIVIAN HOO-YAP CHENG WEN (MAS)

Kumpulan B: Kim So Yeong-Kong Hee Yong (KOR), Chloe Birch-Lauren Smith (ENG), Linda Efler-Isabel Herttrich (GER), Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai (THA)

Beregu Campuran:

Kumpulan A: Marcus Ellis-Lauren Smith (ENG), Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (THA), Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti (INA), Seo Seung Jae-Chae Yujung (KOR)

Kumpulan B: Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich (GER), Thom Gicquel-Delphine Delrue (FRA), GOH SOON HUAT-SHEVON JEMIE LAI (MAS), Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja (INA)

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tiba masa pemain badminton guna bulu tangkis sintetik – Perangsang Selangor

SUNGAI BULOH, 13 DIS: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) memulakan satu inisiatif pembangunan mampan dan mesra alam, iaitu dengan mempromosikan penggunaan bulu tangkis sintetik, untuk permainan badminton

Pengarah Bersekutu Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik Perangsang Selangor Mohd Fauzi Mohd Ghazali hari ini, menggesa para penganjur kejohanan dan pemain untuk menggunakan bulu tangkis sintetik, yang lebih tahan, murah dan mengurangkan kekejaman terhadap haiwan.

“Untuk menghasilkan satu dozen bulu tangkis, bulu daripada 48 ekor angsa dicabut daripada haiwan itu ketika ia masih hidup. Jadi hari ini kita mula mempromosikan penggunaan bulu tangkis sintetik.

Pengarah Bersekutu Perangsang Selangor (Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik) Mohd Fauzi Mohd Ghazali (dua, kanan) bersama peserta ketika melakukan gimik perasmian bagi perlawanan persahabatan mempromosikan penggunaan bulu tangkis sintetik pada Kempen Pengunaan Bulu Tangkis Tiruan Untuk Mengurangkan Kezaliman Terhadap Haiwan pada 13 Disember 2020. Foto: BERNAMA

“Bulu tangkis ini adalah kira-kira 40-50 peratus lebih murah dan boleh tahan lebih lama. Ini satu peluang untuk semua pihak terlibat dalam badminton, untuk memainkan peranan mereka dalam menjaga persekitaran dan mengurangkan kekejaman terhadap haiwan,” katanya kepada Bernama selepas pelanaran kempen itu di sini hari ini.

Kira-kira 50 peminat badminton menyertai kempen itu secara fizikal dan juga maya, termasuk dua pemain badminton pekak negara Boon Wei Ying dan Muhammad Shafiq Hassan, selain pemain beregu negara Chow Mei Kuan, yang bersiaran daripada Akademi Badminton Malaysia.

Mohd Fauzi berkata kedua pemain pekak itu ditaja oleh Perangsang Selangor akan mula menggunakan bulu tangkis sintetik untuk latihan mereka bermula tahun hadapan.

Beliau berkata, kumpulan itu juga terlibat dalam pelbagai usaha penjagaan persekitaran termasuk sisa kumbahan, pengurusan air, kecekapan tenaga, pembersihan pantai dan penanaman pokok.

Sementara itu Muhammad Shafiq yang mencuba bulu tangkis tiruan itu, menerusi seorang juru bahasa menyatakan, bola itu lebih berat, tahan lama dan bagus untuk penjagaan persekitaran berbanding penggunaan bulu tangkis biasa.

Pada Januari tahun ini, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) meluluskan penggunaan bulu tangkis sintetik untuk kejohaan bermula awal 2021, selepas ia diuji dalam tiga kejohanan antarabangsa pada 2018, namun disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, tidak dapat dipastikan sama ada badan dunia itu akan terus mengekalkan keputusan tersebut.

Selalunya dihasilkan menggunakan bulu angsa dan itik, sehingga 24 bulu tangkis boleh digunakan dalam perlawanan ketika pertandingan, di mana BWF mendakwa boleh dikurangkan sehingga 25 peratus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: BWF tangguh final Piala Thomas, Uber

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menangguhkan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020 yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 11 Oktober ini di Aarhus, Denmark susulan penularan pandemik Covid-19.

Dalam kenyataannya hari in, BWF berkata keputusan dibuat selepas berunding dengan Badminton Denmark, namun menegaskan kejohanan berprestij tersebut akan berlangsung pada tahun ini juga.

Badan sukan badminton dunia itu juga mengakui tindakan beberapa pasukan menarik diri daripada kejohanan susulan kebimbangan akan pandemik tersebut turut menyumbang kepada penangguhan kejohanan.

“Walaupun kembalinya aksi badminton dunia kekal sebagai keutamaan kami, kesihatan dan keselamatan seluruh komuniti badminton lebih diutamakan,” kata badan itu.

Keputusan itu tidak memeranjatkan memandangkan beberapa negara seperti Thailand, Australia, Taiwan selain juara Piala Thomas 13 kali Indonesia menarik diri lebih awal daripada kejohanan.

Bagaimanapun menurut BWF, Kejohanan Terbuka Denmark di Odense dari 13 hingga 18 Oktober ini akan berlangsung seperti yang dijadualkan.

Kejohanan itu akan dimanfaatkan untuk melaksanakan protokol keselamatan dan prosedur operasi Covid-19 bagi kejohanan-kejohanan akan datang.

“Kejohanan kedua yang dijadualkan berlangsung di Odense iaitu Victor Denmark Masters 2020 dari 20 hingga 25 Oktober ini bagaimanapun dibatalkan,” kata BWF yang turut memaklumkan yang ia akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan terhadap tiga kejohanan Asia berdasarkan kalendar Jelajah Dunia yang telah diubah suai.

Sejak diperkenalkan masing-masing pada 1949 dan 1957, kejohanan Piala Thomas dan Uber tidak pernah dibatalkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: BWF batal empat kejohanan antarabangsa

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memutuskan untuk membatalkan empat kejohanan antarabangsa selepas mengadakan rundingan dengan tuan rumah setiap kejohanan, susulan penularan Covid-19.

Empat kejohanan yang dibatalkan ialah Terbuka Taiwan 2020 dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 6 Sept, Terbuka Korea (8 hingga 13 Sept), Terbuka China (15 hingga 20 Sept) dan Terbuka Jepun (22 hingga 27 Sept).

Setiausaha Agung BWF Thomas Lund dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berkata keputusan itu dibuat demi kepentingan kesihatan pemain, penonton, sukarelawan dan ahli gabungan mereka.

“Kami sangat kecewa terpaksa membatalkan kejohanan ini, tetapi merasakan kesejahteraan semua yang terlibat adalah yang paling penting pada masa ini.

“Saya menghargai usaha yang dilakukan oleh ahli persatuan di rantau ini sepanjang proses ini atas kesabaran dan komitmen terhadap BWF,” katanya.

Lund juga menegaskan badan induk dunia itu akan terus menyelaraskan sebarang aktiviti sukan badminton agar mematuhi sepenuhnya peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pihak berkuasa kesihatan tempatan serta larangan perjalanan antarabangsa dan domestik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BWF akan laksana tempoh kelayakan Olimpik lanjutan

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan melaksanakan tempoh kelayakan Olimpik lanjutan bermula minggu pertama hingga ke-17 2021, merangkumi kejohanan terpilih yang ditunda, dibatal atau digantung susulan wabak Covid-19.

Dalam kenyataannya, badan badminton dunia itu berkata kejohanan yang layak mesti diselesaikan menjelang minggu ke-17 2021, bagaimanapun kejohanan yang dijadualkan semula bagi penghujung 2020 di bawah Kalendar Kejohanan BWF yang dirombak dan diumumkan minggu lepas tidak termasuk dalam proses kelayakan.

“Hanya kejohanan edisi 2021 akan diambil kira untuk kelayakan,” demikian menurut kenyataan itu.

BWF juga berkata pemain dari China dan Hong Kong layak meraih mata daripada Kejohanan Berpasukan Asia 2021 selaku wakil benua Asia.

Kedua-dua negara itu tidak menyertai edisi 2020 pada Februari lepas setelah kerajaan Filipina mengenakan sekatan perjalanan terhadap atlet kedua-dua negara disebabkan pandemik Covid-19.

“Pendekatan ini hanya untuk kejohanan berpasukan ini sahaja yang terjejas akibat Covid-19 memandangkan tiada kejohanan berpasukan lain tersenarai di bawah tempoh kelayakan Olimpik lanjutan,” katanya.

Sementara itu, BWF dalam kenyataan sama berkata Kejohanan Antarabangsa Badminton Para Sepanyol 2020 yang dibatalkan akibat Covid-19 kini dimasukkan di bawah sistem kelayakan yang diubah suai bermula 1 Januari hingga 28 Mac 2021.

Tarikh baharu kejohanan akan diumumkan kelak, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

BWF pandang serius isu pemain terbabit judi, atur perlawanan

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memandang serius laporan berhubung pemain yang terbabit dengan aktiviti judi dan mengatur perlawanan.

Setiausaha Kehormat BWF, Thomas Lund berkata, badan itu memandang isu berkenaan sama serius seperti kes doping, dan menggesa pemain badminton di seluruh dunia supaya menjauhinya.

“Kita ada program menyeluruh anti-doping, dan perkara yang sama kita lakukan dengan kes manipulasi perlawanan, yakni menggunakan pendekatan berbeza.

“Kita bersemuka dengan pemain, jurulatih, tetapi itu tidak bermakna mereka berbuat sesuatu yang salah, cuma kita nak tahu apa yang sedang berlaku atau dengar cerita sepenuhnya.

“Kita cuma mahu pastikan para atlet tahu kita sedang memerhati dan sedar ada sesuatu yang ‘tidak kena’ sedang berlaku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di ibu pejabat BWF hari ini.

Sebuah portal sukan baru-baru ini melaporkan dua pemain badminton kebangsaan dibebani masalah hutang selepas meminjam wang daripada Ah Long untuk berjudi.

Menurut laporan itu, dua pemain badminton dipercayai gagal melunaskan hutang mereka dengan Ah Long yang didakwa menjangkau sehingga ratusan ribu selepas terbabit dengan judi bola sepak.

Susulan laporan itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memanggil kedua-dua pemain yang nama mereka dirahsiakan itu, untuk disoal siasat.

BAM menafikan dakwaan laporan berkenaan, namun mengakui memberikan kerjasama kepada BWF dalam siasatan mereka.

Lund bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan kes itu masih dalam siasatan BWF.

-BERNAMA