Categories
AGENDA SUKANKINI

Pandelela Rinong dapat gelaran Datuk

KUCHING, 9 OKT: Bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abang Ahmad Urai Datu Abang Mohideen mendahului senarai 1,326 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Sarawak sempena ulang tahun kelahiran ke-85 Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, hari ini.

Abang Ahmad dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) yang membawa gelaran “Datuk Amar”.

Turut menerima darjah kebesaran sama ialah bekas anggota Kabinet Pertama Sarawak Allahyarham Datuk Seri Pengiran Hipni Pengiran Annu.

Sementara itu enam penerima dianugerahkan darjah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran “Datuk Seri” iaitu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin.

Tiga lagi penerima PNBS ialah Peguam Besar Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid, Setiausaha Kewangan Negeri Datuk Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Pengasas KKB Engineering Berhad Datuk Kho Kak Beng.

Dua penerima dianugerahkan darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran “Datuk” iaitu Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Abdullah Saidol dan Pengarah Urusan syarikat kumpulan Shin Yang James Ling Lu Kiong.

Seramai 13 penerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran ‘Datu’ termasuk Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Kameri Affendi dan Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Edwin Abit.

Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg adalah antara 17 individu dianugerahkan darjah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran “Datuk” selain Senator Zaiedi Suhaili, Senator Dr Nuing Jeluing serta Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Mancha Ata.

Selain itu, pingat Johan Bintang Sarawak dianugerahkan kepada tujuh penerima, Johan Bintang Kenyalang (16), Johan Perkhidmatan Cemerlang (4), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (Emas) (18), Pegawai Bintang Sarawak (44), Pegawai Bintang Kenyalang (101) dan Pingat Perkhidmatan Bakti (Perak) (177).

Pingat Ahli Bintang Sarawak pula dianugerahkan kepada 253 penerima, Ahli Bintang Kenyalang (155), Pingat Perkhidmatan Terpuji (Gangsa) (260) dan 251 menerima Bentara Bintang Sarawak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik: Ratu terjun negara tamatkan saingan di kedudukan ke-12

TOKYO, 5 OGOS: Kesilapan pada terjunan pertama mengundang padah sekali gus menyebabkan ratu terjun negara Pandelela Rinong terlepas peluang meraih sebarang pingat dengan menamatkan kedudukan di tempat ke-12 acara 10 meter (m) platfrom wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Penerjun berusia 28 tahun yang beraksi di Olimpik keempatnya selepas kali pertama pada edisi 2008 di Beijing, jauh ketinggalan selepas kesilapan pada terjunan pertamanya yang hanya meraih 18.00 mata di Pusat Akuatik Tokyo hari ini.

Atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu kembali menemui rentak dengan memperoleh 71.05; 60.80; 52.80 dan 43.20 mata dalam setiap terjunan, namun tidak dapat membantu memperbaiki kedudukan di tempat ke-12, sekali gus meranapkan impian pingat buat kem terjun negara.

Tanpa dapat digugat, dua penerjun muda dari China Quan Hongchan, 14, dan Chen Yuxi, 15, terus menguasai acara terjun dengan masing-masing meraih pingat emas dan perak dengan pungutan mata sukar digugat 466.20 dan 425.40 sementara penerjun Australia Melissa Wu memperoleh gangsa dengan 371.40.

Pada edisi kali ini, kem terjun negara pulang dengan tangan kosong selepas berjaya menyumbang pingat di dua temasya terdahulu – pingat gangsa melalui Pandelela dalam acara 10m platform edisi London 2012 dan perak melalui gandingan Pandelela dan Cheong Jun Hoong dalam 10m platfrom seirama di Rio 2016.

Pandelela layak ke separuh akhir semalam, selepas menduduki tempat ke-18 pusingan kelayakan dengan 284.90 mata, manakala rakan senegara Cheong Jun Hoong terkandas dengan menamatkan saingan di kedudukan ke-26 dengan 251.80 mata.

Pandelela adalah satu-satunya harapan kem terjun Malaysia, selepas gandingannya bersama Leong Mun Yee menamatkan kedudukan di tempat kelapan acara 10m platform seirama pada 27 Julai lepas, manakal Nur Dhabitah Sabri di tempat keempat acara 3m papan anjal pada Ahad.

Pandelela muncul atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat di Sukan Olimpik selepas meraih pingat gangsa acara 10m platform wanita pada edisi 2012 di London.

Acara terjun, badminton dan berbasikal trek adalah antara sukan yang disasarkan bakal menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia di Olimpik Tokyo.

Pasangan utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih pingat gangsa acara beregu lelaki pada Sabtu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pandelela sebak mara ke separuh akhir selepas berdepan detik cemas

TOKYO, 4 OGOS: Ratu terjun negara Pandelela Rinong jelas tidak dapat menyembunyikan perasaannya selepas layak ke peringkat separuh akhir acara 10 meter platform wanita di Pusat Akuatik Tokyo, petang ini.

Penerjun berusia 28 tahun itu tidak dapat menahan sebak, sambil mengucapkan syukur kerana mendapat ‘peluang’ beraksi di pentas separuh akhir yang akan berlangsung pada 10 pagi waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia) Khamis (5 Ogos).

Pandelela berkata selepas melakukan terjunan kelima dan terakhir, beliau tidak senang duduk kerana kedudukannya sentiasa berubah sedangkan beberapa penerjun belum membuat terjunan masing-masing.

“Syukur dan terima kasih sangat-sangat kepada mereka yang mendoakan saya (layak ke separuh akhir),” katanya ketika ditemui selepas acara berkenaan.

Pada saingan hari ini, Pandelela yang memenangi pingat gangsa dalam acara itu pada edisi London 2012, mengutip 284.90 mata selepas lima terjunan.

Pandelela berdepan detik cemas sehingga ke penghujung saingan sebelum layak ke separuh akhir apabila kedudukannya sentiasa berubah, sedangkan beberapa penerjun lain belum membuat terjunan masing-masing di pusingan kelima dan terakhir itu.

Penerjun kelahiran Sarawak itu, akhirnya layak apabila menamatkan pusingan kelayakan tersebut di kedudukan ke-18 yang juga slot terakhir ke separuh akhir.

“Saya seperti nak sakit jantung, cemas hari ini. Kedudukan saya turun naik sebab saya layak pun selepas menduduki tempat ke-18,” katanya yang tekad menampilkan aksi terbaik pada saingan separuh akhir esok.

Pandelela berkata beliau berpuas hati dengan dua terjunan awalnya, namun pada terjunan ketiga beliau tidak dapat mengawal pergerakan kerana membuat lonjakan terlalu tinggi sebelum membuat gerakan terjunan.

“Ketika pertandingan macam-macam boleh berlaku kerana kita terlalu teruja. Saya buat apa yang perlu dibuat tetapi lompatan saya pada terjunan ketiga terlalu tinggi daripada biasa, jadi saya tidak boleh kawal terjunan.

“Mujur pada terjunan keempat dan kelima saya dapat membuat terjunan yang baik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerjun negara, Cheong Jun Hoong terkandas di pusingan kelayakan selepas menamatkan aksi di tempat ke-26 setelah mengumpul 251.80 mata.

Penerjun China, Chen Yuxi mengungguli saingan kelayakan itu selepas mengumpul keseluruhan 390.70 mata diikuti rakan senegaranya, Quan Hongchan dengan catatan 364.45 mata manakala penerjun Amerika Syarikat Delaney Schnell di tempat ketiga dengan 360.75 mata

Jun Hoong berkata walaupun gagal mara ke peringkat separuh akhir, beliau tetap bangga kerana dapat beraksi di pentas Olimpik kali ini.

Atlet berusia 31 tahun dari Perak itu berkata pelbagai dugaan dihadapinya sebelum dapat beraksi di Tokyo, termasuk hanya dimaklumkan kembali layak ke temasya tersebut pada Jun lepas oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

“Bukan senang dapat bertanding di Olimpik, malah perjalanan karier saya dalam tempoh dua, tiga tahun ini pun sukar berikutan kecederaan, nama saya sebelum ini sekejap ada sekejap tiada, itu pun di saat akhir saya boleh beraksi di sini.

“Jadi saya agak kesuntukan masa untuk mempersiapkan diri menghadapi Olimpik kali ini. Apa pun inilah keputusan yang saya peroleh dan tiada siapa perlu dipersalahkan. Saya sudah memberi yang terbaik dan tidak berputus asa hingga ke penghujung pertandingan,” kata juara dunia 2017 itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Agong zahir tahniah, bangga kejayaan Pandelela raih emas kejohanan dunia

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada penerjun negara, Pandelela Rinong atas kejayaan meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform individu wanita, pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Jepun, semalam.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Pandelela meraih pingat emas pertama buat skuad negara di kejohanan itu, sekali gus melakar sejarah baharu buat sukan terjun negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda menyifatkan pencapaian Pandelela ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada beliau untuk meneruskan buruan pingat di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan dimuat naik di Instagram Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah pencapaian cemerlang penerjun kebangsaan kelahiran Sarawak itu sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber serta bertaraf antarabangsa.

“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Pandelela turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di negara ini untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing sama ada di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Pandelela dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama negara di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan itu.

Pandelela, 28, mempamerkan terjunan bertenaga dan meyakinkan untuk mengungguli final yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun dengan mengumpul 355.70 mata selepas melengkapkan tujuh terjunan dan mengatasi penerjun tuan rumah, Matsuri Arai (342.00 mata) dan Caeli McKay dari Kanada (338.55 mata) masing-masing di tempat kedua serta ketiga.

Kejayaan meraih pingat emas itu menjadikan Pandelela satu-satunya atlet yang menyumbang pingat buat pasukan terjun negara yang menggalas cabaran ke Piala Dunia kali ini.

Pandelela, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Cheong Jun Hoong bakal menggalas cabaran negara dalam acara terjun di temasya Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

Pada Temasya Sukan Olimpik London 2012, Pandelela meraih pingat gangsa dalam acara yang sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik Tokyo 2020: Pandelela tidak gentar

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Biarpun sudah sekian lama berada di gelanggang pertandingan, ratu terjun negara Pandelela Rinong tidak menafikan perasaan gemuruh itu tetap akan hadir dan jika ‘dilayan’ boleh membunuh prestasi pada hari pertandingan.

Justeru, atlet kelahiran Bau, Sarawak itu mengambil pendekatan lebih santai melalui minatnya terhadap dendangan lagu K-pop dan juga Inggeris sebagai alternatif untuk membantunya menepis perasaan itu.

Setahun menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020, atlet berusia 26 tahun itu mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan serta mahu memastikan kekuatan mental yang ada pada dirinya sekarang dapat dikekalkan hingga waktu bertandingan nanti.

Pandelela meraih dua slot ke temasya empat tahun sekali itu pada Kejohanan Terjun Dunia ke-18 di Gwangju, Korea Selatan menerusi acara 10m platfrom individu dan 10m platform seirama ketika bergandingan dengan Leong Mun Yee.

“Saya sering mengingatkan diri sendiri sekiranya saya berasa gementar saya tidak akan dapat membuat yang terbaik jadi kenapa perlu berasa gementar? Saya sepatunya berasa seronok menyertai pertandingan ini dan itu membuatkan prestasi saya lebih baik.

“Selepas Olimpik Rio 2016 tamat, saya terus membuat persiapan untuk Olimpik Tokyo. Sukan Olimpik adalah impian setiap atlet jika kita tidak mahu menunggu dan menyesal kemudian hari. Saya fikir saya lebih kuat dari segi mental sekarang berbanding pada Olimpik sebelum ini dan ini semua hasil latihan dan pertandingan yang saya sertai, saya kini lebih berpengalaman,” katanya kepada Bernama.

Pandelela ditemui selepas muncul dalam rancangan Nine11 di Wisma Bernama, hari ini.

Kejohanan Terjun Dunia baru-baru ini menyaksikan skuad terjun negara meraih tiga slot ke temasya Olimpik – dua daripadanya menerusi Pandelela dan Mun Yee – manakala satu lagi slot menerusi Wendy Ng Yan Yee dalam acara 3m papan anjal wanita individu.

Untuk rekod, Pandelela menang pingat gangsa dalam acara 10m platform di Sukan Olimpik 2012 di London, menjadi atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat sukan Olimpik dan meneruskan prestasi baiknya di Sukan Olimpik Rio 2016 dengan memenangi pingat perak bagi acara terjun 10m platform seirama bersama Cheong Jun Hoong.

Sementara itu, gadis Bidayuh itu juga berharap lebih ramai penerjun negara dapat sama mengiringi beliau ke Tokyo, membawa cabaran negara di temasya berprestij itu.

Katanya, skuad terjun mempunyai dua lagi peluang untuk ‘mencuri’ slot ke Olimpik 2020 menerusi Kejohanan Terjun Piala Asia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 6 hingga 8 Sept dan juga Piala Dunia, April tahun depan.

“Piala Asia adalah pusingan kelayakan kedua untuk ke Olimpik. jadi skuad akan berusaha untuk menambah slot melalui kejohanan itu. Kekurangan yang ada di kejohanan dunia sebelum ini boleh diperbaiki dalam sesi latihan di China nanti,” katanya.

Skuad terjun negara akan ke Sichuan, China untuk menjalani sesi latihan selama seminggu sebelum menghadapi Kejohanan Terjun Piala Asia.

– BERNAMA