Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik Tokyo: Zii Jia mohon maaf kepada rakyat Malaysia

TOKYO, 29 JULAI: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal menyumbangkan pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, setelah tersingkir dalam saingan pusingan 16 terbaik acara perseorangan lelaki, malam ini.

Pemain berusia 23 tahun itu, tumpas kepada pemenang pingat emas edisi Rio 2016, Chen Long dari China, mengakui bahawa ramai peminat sukan tanah air mengharapkan beliau untuk menghadiahkan pingat pada Olimpik kali ini.

“Sekarang ini lockdown (sekatan pergerakan), ramai yang tidak boleh keluar atau pergi ke mana-mana, asyik tengok televisyen dan beri sokongan kepada kita (atlet negara). Saya memohon maaf kerana tidak dapat menghadiahkan pingat seperti diharapkan,” katanya selepas perlawanan tersebut.

Pada aksi di Musashino Forest Sport Plaza di sini malam ini, Zii Jia tumpas kepada juara bertahan Chen Long meskipun pada awalnya mempamerkan rentak permainan yang bertenaga.

Zii Jia bermula cemerlang di set pertama dengan kemenangan 21-8, namun tumpas 19-21 di set kedua sebelum hilang tumpuan pada set penentuan apabila kecundang 5-21.

Zii Jia, yang membuat penampilan pertama pada temasya Olimpik, sebelum ini adalah antara atlet Malaysia diletakkan sandaran untuk meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Tokyo.

Sementara itu, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengakui pada perlawanan tersebut, hanya pengalaman yang membezakan beliau dengan pemain China yang berada di ranking keenam dunia itu.

“Pada set pertama, saya menguasai keseluruhan permainan. Tetapi pada set kedua, saya banyak membuang mata dan cuba mengejar untuk mendapatkan mata bagi meraih kemenangan penting itu tetapi gagal.

“Bermula set ketiga, saya hilang fokus. Dalam situasi itu, Chen Long dengan pengalamannya dapat mengawal keadaan. Banyak lagi yang perlu saya belajar,” katanya.

Zii Jia, bagaimanapun berkata kekalahan itu bukan penamat kepada kariernya, sebaliknya beliau akan bangkit untuk meraih kejayaan demi kejayaan pada kejohanan akan datang.

“Tidak perlu fikir banyak. Saya tidak menyesal, tiada alasan…seperti yang saya katakan, ini Olimpik pertama saya, dan saya perlu banyak berusaha dan benar-benar bersedia pada kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Chong Wei tidak ke Olimpik Tokyo atas faktor kesihatan

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Ketua kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo Datuk Lee Chong Wei tidak akan ke Jepun atas faktor kesihatan dan nasihat doktor yang tidak membenarkannya ke luar negara.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengesahkan perkara itu berkata Chong Wei akan mengekalkan jawatan CDM berkenaan berdasarkan pendirian dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau berkata Chong Wei akan memantau perjalanan atlet di Tokyo selain memberi nasihat serta kata-kata semangat secara maya dari sini sehinggalah temasya sukan terbesar dunia yang bermula 23 Julai ini melabuhkan tirainya pada 8 Ogos.

“Kami tetap pendirian dengan MOM untuk mengekalkannya sebagai CDM kerana Chong Wei merupakan nama yang amat besar dan signifikan serta cukup kuat dalam hati, sanubari dan minda rakyat Malaysia.

“Aspek pengurusan atlet di Tokyo pula akan dikelolakan Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan beliau juga akan tinggal bersama mereka di perkampungan sukan di sana nanti,” katanya dalam satu audio dikongsi kepada media hari ini.

Reezal Merican berkata demikian selepas meninjau persediaan dan persiapan akhir kem badminton negara bagi Sukan Olimpik di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini.

Beliau berkata ketiadaan Chong Wei di Tokyo bukanlah satu masalah kerana hakikatnya, edisi kali ini berlangsung dalam keadaan yang cukup berbeza ekoran pandemik Covid-19 dan memberi jaminan pemenang tiga pingat perak berturut-turut Olimpik itu akan terus berhubung dengan kem Malaysia tanpa sebarang kekangan.

Beliau pada masa sama menghargai kegigihan dan kesungguhan Chong Wei untuk kekal bersama kontinjen Malaysia dan diharap semangatnya mampu memberi kejayaan kepada atlet membawa pulang pingat di Sukan Olimpik Tokyo.

Sementara itu, Reezal Merican memaklumkan akan membuat pengumuman mengenai sasaran pingat kontinjen negara pada Sukan Olimpik Tokyo kira-kira seminggu sebelum temasya sukan itu bermula.

Mengenai tinjauannya hari ini, beliau dimaklumkan oleh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann bahawa tahap persediaan kem badminton negara ke Tokyo Olimpik kini berada pada tahap 95 peratus dan pemain dijangka mencapai tahap kemuncak prestasi sebelum berlepas ke Jepun pada 17 Julai.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan selain giat menjalani program latihan yang khusus, para pemain turut mengikuti sesi perkhidmatan psikologi yang menjadi aspek utama dalam fasa akhir ini bagi membantu mereka mengekalkan tahap motivasi dan fokus kepada latihan serta pertandingan.

Seramai lapan pemain badminton bakal menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik Tokyo terdiri daripada Lee Zii Jia (perseorangan lelaki); Soniia Cheah (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki); Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Liu Ying optimis peluang ke Sukan Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Pemain beregu campuran profesional negara Goh Liu Ying optimis mampu menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun berdepan ketidaktentuan dalam penyertaan kejohanan antarabangsa susulan penularan pandemik Covid-19.

Bekas pemain kebangsaan itu mendedahkan beliau dan pasangannya Chan Peng Soon tidak mahu berada pada zon selesa walaupun kini menduduki ranking ketujuh dalam ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Saya rasa memang akan ada persaingan di antara kami dengan dua lagi pasangan negara (Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai) bagi merebut dua slot ke Olimpik, tapi belum tahu lagi siapa yang layak kerana kami sendiri tidak pasti mengenai kejohanan yang bakal diadakan disebabkan Covid-19,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Liu Ying dan Peng Soon bakal menyertai dua kejohanan antarabangsa pada bulan ini iaitu Yonex Terbuka Thailand dari 12-17 Jan, serta Toyota Terbuka Thailand dari 19-24 Jan ini.

Namun kedua-dua kejohanan berkenaan yang masing-masing menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah US$1 juta (RM4.022 juta) tidak dikira sebagai mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos.

“Kami sertai dua kejohanan ini untuk mendapatkan semula rentak permainan setelah hampir sembilan bulan tidak menyertai sebarang kejohanan antarabangsa akibat pandemik Covid-19,” jelas pemain kelahiran Melaka itu yang kali terakhir menyertai Kejohanan Badminton Seluruh England pada Mac lalu.

Pasangan beregu campuran nombor satu negara itu pernah beraksi pada Sukan Olimpik Rio 2016 yang menyaksikan mereka memenangi pingat perak pada penampilan sulung temasya sukan terbesar dunia itu.

Baru-baru ini, BWF mengumumkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo akan dikira bermula dengan Kejohanan Terbuka Switzerland yang dijadualkan berlangsung dari 2-7 Mac 2021, sebelum Kejohanan Terbuka India dari 11-16 Mei nanti menjadi peluang terakhir pemain negara memburu slot ke Tokyo.

Keputusan pemain yang layak ke Tokyo bakal ditentukan menerusi ranking Race to Tokyo yang bakal dikeluarkan BWF pada 18 Mei 2021 dan kedudukan ranking berkenaan turut akan digunakan BWF bagi menentukan kedudukan pemain pilihan pada Sukan Olimpik nanti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Orang ramai perlu terus waspada, elak penularan jangkitan

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Orang ramai diingatkan berwaspada terutamanya yang berada di kawasan awam bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti susulan jumlah kes positif kini kembali mencecah dua angka.

Meskipun hanya tiga kes penularan tempatan dilaporkan semalam namun, kawalan kendiri memainkan peranan penting dalam memutuskan rantaian jangkitan wabak itu dalam masyarakat.

Selagi tiada vaksin ditemui untuk merawat pandemik itu, tiada istilah ‘bebas’, orang ramai masih perlu membiasakan diri dengan kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 10 kes positif yang dilaporkan, tujuh daripadanya adalah kes import melibatkan warga tempatan.

Justeru, rakyat tempatan yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di rumah perlu memandang serius arahan kerajaan iaitu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutamanya menjalani ujian saringan kedua Covid-19 pada hari ke-13 kuarantin.

Sementara itu, latihan harian sepenuh masa melibatkan atlet di bawah program ‘ Road To Tokyo’ (RTT), Program Podium, Program Pelapis Kebangsaan akan bermula esok.

Seramai 539 atlet dan 142 jurulatih di bawah program RTT untuk Sukan Olimpik, Podium dan Pelapis Kebangsaan dipanggil balik bagi menjalani latihan harian di semua pusat latihan yang ditetapkan iaitu di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Kompleks Sukan MSN Keramat dan Pusat Pelayaran MSN Langkawi.

Dalam pada itu, 135 atlet Paralimpik dan 31 jurulatih daripada program RTT dan Podium turut melaporkan diri di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan esok.

Temasya Sukan Olimpik Tokyo yang sepatutnya berlangsung pada tahun ini terpaksa ditunda pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 berikutan penularan pandemik COVID-19.

-BERNAMA