Categories
AGENDA NASIONAL

PGA tambah kawat duri di tebing Sungai Golok

KOTA BHARU, 17 FEB: Sebanyak lapan lagi lokasi di tebing Sungai Golok dekat sempadan Malaysia-Thailand akan dipasang kawat duri dalam usaha kerajaan membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara SAC Hasan Basri Ahmad Safar berkata, pemasangan kawat duri sebelum ini dilakukan di beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan utama bagi penyeludupan.

Beliau berkata tahun lepas PGA sudah memasang kawat duri sepanjang 343 meter di 12 lokasi dan akan membuat tambahan lagi pada tahun ini.

“Kita mendapati pemasangan kawat duri atau ‘concertina wire’ ini amat efektif dan berjaya mengurangkan kegiatan lintas sempadan di kawasan itu.

“Susulan itu, kami bercadang akan memasang beberapa lagi kawasan ‘hot spot’ yang kini dikenal pasti berlakunya kegiatan penyeludupan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, setakat ini sebanyak 128 pangkalan haram sudah dikenang pasti di sepanjang lebih 40 kilometer (km) sempadan sungai dari Pasir Mas ke Tumpat.

“Antara pangkalan haram yang dikenal pasti aktif dengan kegiatan penyeludupan termasuklah pangkalan haram Tok Deh, Syed Agil, Motong, Jeram Perdah, Pok Mat, Tanjong, Kebun, Ujar, Kuala Tat dan Simpangan.

“Paling aktif dengan kegiatan penyeludupan adalah pangkalan haram Abe Li Posmen,” katanya menambah sebanyak 149 kes penyeludupan direkodkan di kawasan berkenaan, tahun lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Banjir di Terengganu, Kelantan semakin pulih, cuaca baik

KUALA TERENGGANU, 6 DIS: Terengganu dan Kelantan terus pulih daripada banjir dengan cuaca semakin baik dan bilangan mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di Terengganu, jumlah mangsa terus berkurang kepada 295 orang daripada 73 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 437 mangsa daripada 107 keluarga, petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata hanya lima PPS beroperasi ketika ini, masing-masing dua di Besut dan Setiu dan satu di Marang.

“Mangsa paling ramai ketika ini ialah di Besut iaitu 199 orang diikuti Setiu (61) dan Marang (35). Lebih ramai dijangka akan pulang ke rumah masing-masing sekejap lagi kerana cuaca yang semakin baik hari ini,” katanya.

Di Kelantan, bilangan mangsa banjir juga berkurangan kepada 108 orang daripada 22 keluarga berbanding 109 orang semalam.

Kesemua mereka ditempatkan di empat PPS membabitkan dua jajahan, masing-masing dua di Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pasir Mas menjadi daerah mencatat jumlah tertinggi mangsa banjir dengan 58 mangsa daripada 12 keluarga yang dipindahkan di dua PPS, manakala di Pasir Puteh melibatkan 50 orang daripada 10 keluarga di dua PPS.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), http://publicinfobanjir.water.gov.my, setakat 8 pagi ini menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.39 meter (m) (bahaya 9m).

Cuaca di Kelantan keseluruhan cerah tanpa hujan pada pagi ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Paras air Sungai Golok kini lepasi tahap bahaya

KOTA BHARU, 28 NOV: Penduduk yang tinggal di tebing Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas diingatkan supaya berwaspada kerana paras air di sungai itu kini telah melepasi paras bahaya susulan hujan yang berlarutan sejak semalam.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat pukul 10 pagi ini paras air di sungai itu berada pada bacaan 9.02 meter iaitu melepasi sedikit paras bahaya 9 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Imran Ismail berkata paras air di Sungai Golok di sini ketika ini meningkat disebabkan hujan lebat sekali-sekala di kawasan berkenaan sejak semalam.

“Ia adalah bacaan paras air tertinggi setakat ini. Peningkatan paras air sungai naik secara mendadak berikutan berlaku taburan sesekali hujan lebat di daerah ini selain di Hulu Golok sejak semalam.

“Sekiranya paras air mencapai bacaan 10 meter, ia akan mengakibatkan banjir dan akan terdapat pemindahan mangsa-mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Imran berkata beberapa penempatan di kawasan rendah sekitar Rantau Panjang termasuk Kampung Kusar, Kampung Lanchang, Kampung Bongor dan Kampung Terusan sudah dinaiki air sekitar 0.4 meter.

“Setakat ini masih tiada penduduk dipindahkan dan pihak kami menasihatkan kepada penduduk terutamanya di kawasan rendah dan tebing sungai diminta berwaspada dengan kemungkinan banjir akan melanda daerah ini jika keadaan hujan lebat berterusan.

“Malah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Rantau Panjang juga sudah bersiap sedia sepanjang masa dengan anggota dan juga aset-aset, terhadap sebarang kemungkinan banjir,” katanya.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sehingga pukul 8 pagi tadi, tiada pusat pemindahan dibuka di seluruh negeri, dan cuaca di seluruh Kelantan pada pagi ini adalah mendung di beberapa kawasan dengan sesekali hujan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemuda Malaysia ditemui mati dengan kesan tembakan di Sungai Golok

NARATHIWAT, 27 OKT: Seorang rakyat Malaysia ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan di hadapan sebuah tanah perkuburan di Sungai Golok, Narathiwat, selatan Thailand awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi (waktu tempatan), mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Faisal, 28, dari Rantau Panjang, Kelantan dipercayai ditembak selepas bertengkar dengan sekumpulan lelaki.

Penolong Ketua Polis Bahagian Siasatan Balai Polis Sungai Golok, Kapt Pol. Jaturon Thongkliang berkata lima das tembakan dari jarak dekat dilepaskan ke bahagian kepala, muka, dada dan kaki mangsa.

“Polis menemui lima kelongsong peluru di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jaturon berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Golok untuk bedah siasat dan pihak polis turut menghubungi waris mangsa.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati sebelum kejadian mangsa pernah bertengkar dengan lima lelaki berhampiran tempat kejadian.

“Saksi memberitahu bahawa mangsa cuba melarikan diri dari buruan lima lelaki tersebut. Dua daripada mereka telah melepaskan tembakan ke arah mangsa sehingga menyebabkannya rebah.

“Lima lelaki itu melarikan diri dengan menaiki dua buah motosikal,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis tingkat kawal sempadan ekoran Sungai Golok cetek

PASIR PUTEH, 1 APR: Polis Kelantan sentiasa siap siaga mengawal kawasan sempadan Malaysia-Thailand berhubung kemungkinan berlaku penyeludupan pelbagai barangan terlarang ke negara ini ekoran keadaan Sungai Golok yang cetek berikutan cuaca panas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hasan berkata, air sungai yang cetek sehingga ke paras lutut memudahkan penjenayah mengambil kesempatan menyeludup barangan terutama dadah ke negara ini.

“Polis tidak memandang mudah mengenai situasi sekarang, terutama membendung kemasukan dadah dari negara jiran dan tidak kira situasi apa pun kita tetap bersedia,” katanya kepada pemberita pada majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Pasir Puteh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Pada majlis itu Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Ganti Jimmy menyerahkan tugas kepada DSP Azmin Damiri sebagai Ketua Polis Daerah yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Hasanuddin berkata, sebelum ini mereka sukar memboloskan diri kerana terpaksa menggunakan perahu, tetapi kini mereka hanya berjalan kaki untuk membawa barangan seludup ke negara ini.

“Lebih-lebih lagi pasukan keselamatan tidak boleh lagi menggunakan bot seperti biasa meronda sepanjang sungai itu untuk menghalang kegiatan mereka berikutan paras air sungai yang cetek,” katanya.

Katanya, polis termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasukan penguatkuasa agensi berkaitan, masih mampu mengawal keadaan menerusi darat apabila sehingga kini tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun katanya berdasar situasi itu terdapatnya cadangan membina segera pagar di kawasan sempadan sebagaimana di Perlis, Kedah ke Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata jika berpagar, ia akan menyukarkan sedikit pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan pada keadaan dan musim tertentu menyeludup masuk barangan.

– BERNAMA