Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Surat kebenaran operasi sektor logistik boleh terus digunakan

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Pemain industri sektor logistik dan pengangkutan boleh terus mengguna pakai surat kebenaran beroperasi Sistem Maklumat Industri Logistik (Sistem SMILE) bertarikh dari 1 Jun 2021 dan ke atas bagi pemeriksaan di sekatan jalan raya.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan semalam menyebut ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa mukim dan lokaliti di Selangor dan Kuala Lumpur dari 3 hingga 16 Julai depan serta pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagaimanapun, surat terbaharu dengan pindaan mengambil kira peralihan dari fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke PPN sedia dimuat turun pada 5 Julai dari sistem SMILE melalui laman sesawang https://application.mot.gov.my. Pemain industri digalakkan untuk memuat turun surat ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bagi aktiviti memunggah masuk atau memunggah keluar barangan bukan keperlua (non-essential) ia hanya dibenarkan di kawasan luar PKPD sahaja (di seluruh negara) berdasarkan kepada prosedur operasi standard sedia ada.

Bagi kawasan dalam PKPD, ia hanya terhad kepada syarikat pergudangan sahaja kerana syarikat ini merupakan perkhidmatan rantaian kepada pelabuhan dan lapangan terbang yang jelas dibenarkan dalam tatacara operasi piawai (SOP) PKPD Selangor.

“Bagi sektor selain pergudangan, aktiviti memunggah masuk atau keluar hanya terhad kepada syarikat yang tersenarai dalam senarai ‘keperluan’ PKPD sahaja.

Menurut kenyataan itu sektor pergudangan tidak tertakluk kepada had operasi barangan keperluan sahaja kerana ia menyediakan perkhidmatan penyimpanan dan pemunggahan barangan siap kepada pelabuhan.

“Aktiviti sektor pergudangan ini tidak melibatkan sebarang aktiviti pembuatan. Sehubungan itu, sektor pergudangan boleh terus beroperasi tanpa kekangan kepada jenis barangan keperluan dan bukan keperluan,” menurut MOT.

Kenyataan itu menyebut perkhidmatan perlu yang dibenarkan bagi sektor pengangkutan dan logistik termasuk pengangkutan laut, udara dan maritim; barangan dan pengangkutan awam serta pelabuhan dan lapangan terbang.

Selain itu, perkhidmatan kepada pelabuhan dan lapangan terbang seperti ‘off dock/on dock’ depoh; pemusnahan dagangan zon bebas; pembekalan keperluan kapal dan membekal air bersih; operasi courier/p-hailing (penghantaran barangan melalui kenderaan persendirian dan perdagangan) serta perkhidmatan terminal pengangkutan awam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Ada pekerja salah guna surat kebenaran – polis

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Polis mengesan tindakan segelintir pekerja menyalahgunakan surat kebenaran daripada majikan untuk bergerak tanpa alasan munasabah pada hujung minggu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa sejak 14 Okt lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP S Shanmugamoorthy Chinniah berkata pihaknya akan terus berhubung dengan majikan masing-masing untuk tindakan susulan.

Beliau berkata ini kerana terdapat sektor perkhidmatan yang hanya beroperasi pada hari biasa tetapi ada yang mengambil kesempatan menggunakan surat kebenaran itu untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) pada hujung minggu bagi tujuan peribadi dan tanpa alasan munasabah.

“Ada juga sebilangan pekerja yang membuat salinan surat yang sama untuk beberapa rakan sekerja tetapi tidak mungkin kesemua mereka bekerja pada masa sama pada hari tidak bekerja.

“Selain itu, pemeriksaan lebih teliti dan kerap juga akan dilakukan ke atas (sektor) perkhidmatan seperti penghantaran kurier,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan pematuhan PKPB di beberapa SJR di daerah Sentul hari ini.

Shanmugamoorthy berkata pihaknya turut mengesan beberapa individu yang memberi alasan hendak membuat penghantaran bungkusan atau barangan dengan menunjukkan dokumen berkaitan tetapi apabila diperiksa lanjut mereka bergerak dengan tangan kosong.

“Jika sebelum ini hanya kompaun atau amaran yang diberi terhadap mereka yang ingkar perintah PKPB ini, tetapi tindakan sama juga akan diambil terhadap majikan.

“Saya menyeru orang ramai supaya tidak mengambil kesempatan dengan mengaburi mata pihak berkuasa untuk tujuan peribadi bagi membendung penularan wabak Covid-19 ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekatan jalan raya di Bukit Tinggi, Taman Sri Andalas

SHAH ALAM, 8 OKT: Mana-mana individu yang ingin mengadakan perjalanan keluar atau masuk ke kawasan Bukit Tinggi dan Taman Sri Andalas, Klang perlu memohon surat kebenaran daripada polis.

Ketua Polis Dearah Klang Selatan, ASP Shamsul Amar Ramli berkata pihaknya akan mengadakan sekatan jalan raya di kawasan terbabit semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada 9 Oktober ini.

Berikut kenyataan penuh:

Lanjutan dari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berkuat kuasa pada 9 Oktober 2020, Polis Klang Selatan akan mengadakan sekatan jalan raya dan penutupan jalan seperti berikut:-

Bukit Tinggi, Klang

Sekatan jalan raya

– Persiaran Pegaga (Berhadapan Restoran Subaidah)
– Jalan Kim Chuan (Berhadapan 99 Speedmart)

Penutupan jalan

– Jalan Batu Unjur 9
– Jalan masuk berhadapan kedai elektrik Onking Chain-Store (Malaysia) Sdn. Bhd
– Lorong masuk berhadapan Kedai Motosikal Wisfatt

Taman Sri Andalas, Klang

Sekatan jalan raya

– Persimpangan masuk dan keluar Jalan Tun Dr. Ismail

Penutupan jalan

– Berhadapan Masjid Ar Rahimiah
– Jalan Sri Siantan
– Jalan Sri Siantan 41
– Jalan Sri Damak 53

Kebenaran rentas daerah

Orang ramai yang ingin keluar dan masuk ke kawasan Bukit Tinggi (Bayu Perdana, Flat Sri Angkasa, Apartment Vista Bayu dan Bayu Villa) dan Taman Sri Andalas dinasihatkan untuk mendapatkan surat kebenaran dari Polis Diraja Malaysia (Balai polis bergerak disediakan di dua lokasi tersebut).

Tiada keperluan surat kebenaran atau permit khas bagi tujuan keluar atau masuk ke lain-lain kawasan di daerah Klang setakat ini (tertakluk kepada perubahan semasa).

Masyarakat dinasihatkan agar sentiasa mematuhi PKPB. Tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada SOP PKPB. Sila hubungi Bilik Gerakan Op COVID-19 di talian 03-33762400 sekiranya ada sebarang pertanyaan atau aduan