Categories
AGENDA NASIONAL

Tarif elektrik pengguna domestik, industri kekal

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Kerajaan telah bersetuju mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna-pengguna domestik di Semenanjung Malaysia untuk tempoh kawal selia bermula pada 1 Februari 2022 hingga 31 Disember 2024 di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).

Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata kadar tarif ini yang telah digunakan sejak 1 Januari 2014 apabila mekanisme IBR diperkenalkan sebagai dasar baru dalam penetapan tarif elektrik dan keputusan itu juga terpakai kepada pengguna komersial dan industri.

“Bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disdember 2021, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1.67 bilion, ekoran daripada kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran sehingga mencecah US$200 per tan.

Oleh itu di bawah mekanisme mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang disemak setiap enam bulan, kerajaan turut memutuskan pelaksanaan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Februari hingga 30 Jun 2022.

Ini termasuk pemberian rebat 2 sen/Kilowatt jam (kWj) dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan dan untuk itu, tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna pengguna domestik di Semenanjung.

Selain itu menurut ST, surcaj 3.70 sen/kWj dikenakan kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri.

“Bagi mengekalkan pemberian rebat dan tanggungan kos surcaj ICPT sepenuhnya kepada semua pengguna domestik, Kerajaan telah memperuntukkan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos tersebut,” jelasnya.

Menurut ST lagi di bawah mekanisme ICPT, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam bulan dan dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terlibat.

“Kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 45 peratus dan memberi impak yang besar kepada tarif elektrik di Semenanjung kerana 59 peratus sumber penjanaan adalah arang batu.

“Peningkatan harga bahan api arang batu adalah di luar kawalan Kerajaan kerana ia adalah berasaskan harga pasaran global,” katanya.

Sebagai langkah untuk meminimumkan kesan kenaikan bil elektrik disebabkan oleh surcaj ICPT, para pengguna elektrik di Semenanjung digalakkan melanggan Tarif Elektrik Hijau (GET) iaitu bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) supaya dapat menikmati pengecualian daripada surcaj ICPT elektrik untuk tempoh setahun, kata ST.

ST berkata pelanggan GET akan turut memiliki Sijil Tenaga Diperbaharui (REC) yang akan dapat membantu bagi memenuhi komitmen amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan menyokong agenda Tenaga Boleh Baharu negara.

Selain itu, pengguna boleh memanfaatkan Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) bagi membantu mengurangkan kos bil elektrik, katanya.

ST berkata pengguna turut digalakkan untuk melaksanakan langkah-langkah penggunaan elektrik dengan cekap antaranya melaksanakan audit penggunaan tenaga, membeli peralatan elektrik yang mempunyai penarafan 5-Bintang yang memberikan lebih banyak penjimatan elektrik, memastikan suis ditutup apabila tidak digunakan dan menggunakan peralatan elektrik dengan lebih cekap.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

SIRIM bangun kaedah periksa status barangan elektrik, elektronik

SHAH ALAM, 15 FEB: SIRIM QAS International sedang membangunkan kaedah untuk pengguna memeriksa status barangan elektrik atau elektronik yang dibeli secara dalam talian bagi memastikan barangan terbabit mempunyai kelulusan SIRIM dan Suruhanjaya Tenaga (ST).

Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Nur Fadhilah Muhammad berkata usaha itu dilihat perlu memandangkan pada masa ini pengguna tidak mempunyai cara untuk berbuat demikian sebelum membuat pembelian barangan terbabit.

“Kaedah tersebut sedang bangunkan dan akan disiapkan secepat mungkin kerana ia amat penting bagi melindungi hak pengguna.

“Buat masa ini, SIRIM hanya mempunyai aplikasi untuk memudahkan pengguna memeriksa barangan elektrik dan elektronik yang dibeli di kedai sahaja,” katanya pada sidang media pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan SIRIM-ST 2021 secara maya hari ini.

Turut hadir pada sidang media maya itu ialah Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani dan Ketua Pegawai Eksekutif ST Abdul Razib Dawood.

Kempen selama tiga bulan bermula hari ini menerusi platform media sosial SIRIM dan ST itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan membeli barangan elektrik dan elektronik yang mendapat kelulusan kedua-dua agensi berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Fadzil dalam ucapannya semasa melancarkan kempen tersebut mengingatkan pengguna supaya sentiasa peka dan hanya membeli peralatan elektrik serta elektronik yang diluluskan oleh SIRIM-ST.

“Langkah ini bagi mengelakkan kemalangan atau kebakaran sehingga mengakibatkan kecederaan dan kematian. Hanya label SIRIM-ST dapat mengesahkan barangan yang dibeli pengguna selamat untuk digunakan,” katanya.

Abdul Razib pula berkata sebanyak 45 kes kemalangan berpunca daripada barangan elektrik dan elektronik dilaporkan tahun lepas dengan 28 daripadanya mengakibatkan kematian.

“Kita lihat jumlah kemalangan melibatkan jenis barangan tersebut semakin menurun,” katanya.

Tambah Abdul Razib, sebarang peralatan elektrik dan elektronik yang akan dijual di pasaran perlu mendapat Perakuan Kelulusan (COA) daripada ST dan menjalani ujian serta pensijilan oleh SIRIM.

“Peralatan elektrik yang melepasi ujian ditetapkan akan diberikan label SIRIM-ST atau mempunyai tanda pensijilan SIRIM. COA dikeluarkan ST pula untuk pengeluar serta pengimport perkakas yang memenuhi standard dan keperluan keselamatan di bawah Peraturan-peraturan Elektrik 1994”, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

26 premis wang kripto disyaki curi elektrik di Sepang diserbu

SEPANG, 12 OGOS: Sebanyak 26 premis yang disyaki terdapat aktiviti mata wang kripto di sekitar Daerah Sepang diserbu dalam satu operasi bersepadu hari ini kerana disyaki “mencuri elektrik” melalui penyambungan haram.

Operasi yang diketuai Suruhanjaya Tenaga (ST) itu turut disertai unit Special Engagement Against Losses (SEAL) Tenaga Nasional Bhd (TNB), Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia , Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Bercakap kepada pemberita di lokasi operasi yang awal di Sunsuria City di sini, Ketua Pegawai Operasi ST Abdul Rahim Ibrahim berkata premis-premis yang diserbu disiasat jika melakukan apa-apa perbuatan yang menyalahi Akta Bekalan Elektrik 1990.

Antaranya ialah kesalahan di bawah Seksyen 37(1) iaitu mengganggu pepasangan elektrik yang boleh menyebabkan bahaya dan Seksyen 37(3) iaitu mengambil bekalan elektrik secara curang dan merosakkan pepasangan elektrik yang menyebabkan bekalan elektrik tidak direkodkan, katanya.

Menurut pegawai TNB yang menyertai operasi itu, aktiviti mencuri elektrik di premis mata wang kripto melalui penyambungan secara haram antaranya menyebabkan bil yang dicatatkan hanya RM30 sedangkan penggunaan elektrik bulanan sebenarnya mencecah RM30,000.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Mohd Fauzi Mohd Yatim dalam kenyataannya berhubung operasi itu berkata kesemua 26 premis yang diserbu disita selain dikenakan kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen serta membuat perubahan mana-mana bahagian dalam bangunan.

Sebanyak 3,120 mesin bitcoin disita daripada kesemua premis yang diserbu itu, katanya.

Ketika serbuan ke premis di Sunsuria City, pasukan operasi terpaksa menggergaji mangga untuk memasuki premis yang ketika itu tiada pekerja di dalam premis namun mesin melombong bitcoin kelihatan beroperasi dan disejukkan dengan kipas besar yang dipasangkan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

TNB serbu premis di Klang curi elektrik lombong kripto

PELABUHAN KLANG, 8 JULAI: Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerbu dua premis perniagaan matawang kripto di Taman Pendamar Indah di sini, kerana disyaki beroperasi dengan mencuri bekalan elektrik.

Serbuan Ops Bitcoin selama hampir dua jam bermula kira-kira 9 pagi itu, dijalankan 40 kakitangan SEAL (Special Engagement Against Losses) TNB bersama 12 penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan 15 kakitangan ST.

Pengarah Unit Perancangan dan Penyelarasan Penguatkuasaan ST Ir Shafie Mohamed berkata, siasatan selama sebulan yang dijalankan TNB menemukan satu pendawaian haram diwujudkan, untuk menyalurkan bekalan elektrik ke premis terbabit.

“Pendawaian haram ini dilakukan supaya bekalan elektrik disambung secara terus dan tidak melalui meter TNB. Dianggarkan premis ini telah beroperasi sejak tiga bulan lepas,” katanya kepada pemberita selepas serbuan berkenaan di sini, hari ini.

Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan kerja pemotongan bekalan elektrik dalam Operasi Pengekangan Kes Penggunaan Elektrik Secara Curang oleh Premis Cryptocurrency di One Kesas pada 8 Julai 2020. Operasi bersepadu ini dijalankan bersama Suruhanjaya Tenaga dan Majlis Perbandaran Klang. Foto: BERNAMA

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Elya Marini Darmin.

Tambah Shafie, pihaknya menganggarkan TNB mengalami kerugian kira-kira RM30,000 setiap bulan bagi sebuah premis yang melakukan kegiatan mencuri elektrik berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 dan jika didapati bersalah, mereka boleh didenda dan dihukum penjara,” katanya.

Sementara itu, Elya Marini berkata, MPK mengenal pasti 21 premis di sekitar kawasan pentadbiran majlis perbandaran itu, yang melakukan kegiatan mencuri bekalan elektrik.

Katanya, MPK akan mengenal pasti pemilik premis berkenaan dan maklumat mengenainya akan disalurkan kepada ST serta TNB, untuk siasatan lanjut bagi dikenakan tindakan undang-undang.

“Siasatan dijalankan oleh ST dan TNB kerana mungkin sambungan itu dibuat sama ada oleh pemilik, penyewa atau penceroboh.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarif elektrik bukan domestik turun 0.55 sen/kWj bermula 1 Januari

PUTRAJAYA, 10 DIS: Tarif elektrik pengguna domestik kekal, manakala kadar surcaj tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik turun 0.55 sen/kWj bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020, menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).

ST berkata melalui keputusan yang dipersetujui kerajaan itu, sebanyak 7.4 juta pengguna domestik akan diberi pengecualian surcaj tarif elektrik manakala pengguna bukan domestik akan menikmati pengurangan surcaj iaitu pengurangan kadar efektif tarif elektrik dalam bil elektrik mereka.

ST berkata semakan menunjukkan RM376.45 juta perlu dilepaskan kepada pengguna di Semenanjung Malaysia melalui surcaj Imbalance Cost Pass Through (ICPT) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020.

“RM62.95 juta perlu dilepaskan untuk kategori pengguna domestik manakala RM313.50 juta perlu dilepaskan untuk pengguna komersial dan industri,” kata ST dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi pengguna domestik, sebanyak RM62.95 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) akan digunakan untuk menampung surcaj ICPT supaya tiada surcaj dikenakan kepada pengguna domestik.

“Ini bermakna pengguna domestik tidak mengalami sebarang peningkatan tarif elektrik selama 18 bulan berturut-turut,” katanya.

Mengenai kategori pengguna komersial dan industri pula, menurut ST surcaj sebanyak 2.55 sen/kWj telah dikenakan untuk tempoh Julai hingga Disember 2019.

“Oleh kerana terdapat penurunan kos bahan api untuk tempoh enam bulan ini (Julai-Disember 2019), kadar surcaj pengguna komersial dan industri akan diturunkan sebanyak 0.55 sen/kWj daripada 2.55 sen/kWj kepada 2.00 sen/kWj,” katanya.

Menurut ST, terdapat penurunan dalam kos arang batu sebenar bagi tempoh Julai hingga Disember 2019, namun purata harga arang batu sebenar bagi tempoh itu masih melebihi paras harga penanda aras yang ditetapkan dalam tarif asas bagi tempoh kawal selia kedua (RP2) mekanisme Incentive-Based Regulation (IBR) dari tahun 2018 hingga 2020.

“Peningkatan harga ini adalah di luar kawalan kerajaan kerana ia adalah berdasarkan kepada harga pasaran global. Di samping itu, permintaan elektrik yang lebih tinggi turut menyumbang kepada kenaikan kos bahan api dan kos yang berkaitan bagi tempoh Julai hingga Disember 2019,” katanya.

Di bawah mekanisme IBR, tarif elektrik asas bagi tahun 2018 hingga 2020 ditentukan dengan menetapkan harga penanda aras bahan api arang batu dan gas dalam tempoh itu.

Menurut ST, sebarang perbezaan kos sebenar dengan harga penanda aras bahan api dalam penetapan tarif asas akan diselaraskan setiap enam bulan di bawah mekanisme ICPT, sama ada dalam bentuk surcaj atau rebat, bergantung kepada kos bahan api dan kos penjanaan lain dalam tempoh itu.

“Ini bermakna kadar efektif tarif elektrik ialah kadar asas ditambah dengan surcaj ataupun kadar asas ditolak dengan rebat dan penyelarasan kos bahan api ICPT untuk tempoh enam bulan melalui surcaj atau rebat akan dilakukan pada enam bulan seterusnya.

“Dengan erti kata lain, kadar surcaj atau rebat ICPT, untuk Januari hingga Jun 2020 ditentukan oleh harga bahan api Julai hingga Disember 2019,” menurut ST.

-BERNAMA