Categories
AGENDA NASIONAL PBT SELANGOR

MBSA bersihkan lebih 31,000 tan metrik sampah banjir

SHAH ALAM, 4 JAN: Sebanyak 31,374 tan metrik sampah banjir dibersihkan dari kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setakat semalam.

Berdasarkan laporan semasanya, pihak berkuasa tempatan itu mengutip 2,868 tan metrik sampah sehari dengan pecahan 314 tan metrik di daerah Petaling, manakala 2,554 tan metrik lagi di Klang.

Dibantu beberapa agensi, ia berjaya membersihkan 12 lokasi di Seksyen 25 sehingga pukul 1 petang tadi.

Kerja tersebut turut dibantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pengendali sisa pepejal, SWCorp dan sukarelawan beberapa pertubuhan bukan kerajaan serta syarikat korporat.

Di daerah Petaling, kerja pembersihan selesai sepenuhnya di sembilan lokaliti banjir  iaitu Seksyen 13, Seksyen 19, Seksyen 22 (Kampung Kebun Bunga), Seksyen 23, Seksyen 28 (Kampung Lanchong Jaya), Seksyen U1, Seksyen U3, Seksyen U6 dan U17.

Di Klang pula, empat lokaliti sempurna dibersihkan melibatkan Seksyen 32, Seksyen 33 (Alam Indah), Seskyen 35 (Taman Desa Kemuning) dan Seksyen 36 (Taman Sri Wangi, Sungai Kandis).

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

PKPB: Urus makanan secara bijak, elak pembaziran

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Sering kali kita mendengar rungutan orang ramai tentang kesukaran untuk mendapatkan makanan tertentu seperti roti, air galian, beras dan telur ayam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Apatah tidaknya! Setiap kali pengumuman kerajaan untuk melaksanakan ataupun mengaktifkan semula PKP di kawasan tertentu, pastinya tercetus fenomena ‘pembelian panik’ di pasar raya dan kedai runcit.

Maka panjanglah barisan orang yang beratur di kaunter pembayaran malah di luar pintu masuk lagi. Apatah lagi dengan keperluan diambil suhu badan serta mengimbas kod QR atau MySejahtera.

Meskipun kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh PKP, namun ada anggota masyarakat masih berpegang kepada ‘sediakan payung sebelum hujan’ dengan berbelanja besar terlebih dahulu bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Penghantar makanan perlu mengimbas kod QR data peribadi sebelum mengambil makanan yang ditempah melalui Plats dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Secara tidak langsung, pembelian panik itu mencetuskan pembaziran makanan secara besar-besaran. Makanan yang tidak boleh disimpan lama berakhir di tapak pelupusan sampah.

Buktinya, gambar yang tular di media sosial ketika PKP mengenai pembuangan bungkusan roti yang masih belum disentuh namun tamat tempoh, mencetuskan kemarahan netizen kerana sikap individu yang pentingkan diri sendiri itu.

Menurut data 2019 Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sektor isi rumah menjana 44.5 peratus daripada sisa makanan di Malaysia berjumlah 16,667.5 tan setiap hari secara keseluruhan.

Daripada jumlah itu, 4,005 tan atau 24 peratus daripada sisa makanan adalah yang boleh dielakkan iaitu yang masih elok dan boleh memberi makan kepada 2,970,000 orang untuk tiga kali makan setiap hari.

Hikmah PKP

Ketiadaan penganjuran bazar ramadan, kenduri kahwin dan sebarang majlis keramaian ketika PKP akibat pandemik Covid-19, menjadi faktor penurunan kadar penghasilan sisa makanan ke tapak pelupusan sampah.

Selain itu, masyarakat juga semakin menghayati serta menghargai nilai makanan semasa PKP dan ini menyumbang kepada penurunan jumlah sisa secara drastik.

Di sekitar Lembah Klang misalnya, penghasilan sisa makanan terutamanya dari pusat komersial dan restoran juga turut berkurangan disebabkan waktu operasi pendek dan pergerakan terhad orang awam.

Menurut Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan Mohd Zahir Shari, penjanaan sisa makanan dilihat menurun sebanyak 26 peratus berbanding sebelum pelaksanaan PKP di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagi tempoh Mac ambil kira dua minggu sebelum PKP, purata janaan sisa pepejal adalah 2.1 tan sehari dan apabila pada bulan April selepas PKP dilaksanakan, purata janaan adalah 1.7 tan sehari iaitu menurun kira-kira 0.3 tan sehari.

“Selain pusat membeli-belah dan restoran hanya menyediakan perkhidmatan ‘take away’, kebanyakan orang berada di rumah sepanjang hari, jadi apabila mereka memasak ataupun membungkus makanan dari luar, mereka akan menghabiskannya.

“Namun, apabila beralih dari PKP ke Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP), angka itu dilihat naik sedikit iaitu antara 2.2 hingga 2.3 tan pada bulan Jun dan Julai kerana pergerakan mula bebas dan sektor ekonomi sudah pulih seperti sediakala,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Zahir berkata, hidangan bufet di restoran dan hotel adalah antara penyumbang terbesar sisa makanan ke tapak pelupusan saban tahun.

“Atas hikmah PKP, menurut kajian komposisi sisa kami, purata janaan sisa makanan semasa Ramadan dan PKP 2020 berkurang sebanyak 40.9 peratus berbanding 2019.

“Justeru, kita mengharapkan rakyat mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dengan berusaha untuk terus mengambil inisiatif dan sedar pengurangan sisa pepejal boleh dijayakan dengan kawalan kendiri dan perubahan sikap,” katanya.

Urus Sisa Makanan Dengan Sistematik

Sisa makanan boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu yang boleh dielakkan dan tidak boleh dielakkan.

Sisa makanan yang boleh dielakkan adalah makanan yang dibazir dan tidak boleh dihabiskan serta yang mempunyai tarikh luput ataupun tercemar, manakala sisa makanan tidak boleh dielakkan adalah sisa dapur seperti kulit buah dan tulang-tulang daging.

Bagi sisa makanan yang tidak boleh dielakkan, ia sebenarnya boleh dikomposkan menjadi baja untuk tanaman di rumah ataupun di kebun-kebun.

“Kami bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat konsesi Alam Flora untuk pengkomposan sisa makanan yang tidak boleh dielakkan itu dalam mesin Anaerobic Digestor untuk menghasilkan baja.

“Anaerobic Digestor yang boleh memuatkan sehingga 50 kilogram sisa makanan itu kini di tempatkan di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di Presint 5, Putrajaya, “ kata Mohd Zahir.

Menurut beliau, pihaknya menggalakkan penduduk di sekitar untuk memanfaatkan kemudahan itu dengan mengasingkan sisa makanan ke dalam mesin itu.

“Bukan semua makanan yang luput tarikhnya tidak boleh dimakan langsung jika ia disimpan dengan cara yang betul.

“Misalnya, roti yang sudah hampir luput tarikhnya boleh disimpan di dalam freezer peti sejuk yang boleh bertahan sehingga tiga bulan dan boleh dipanaskan atau digoreng,” katanya.

Mohd Zahir berkata, menerusi kempen kesedaran seperti ‘MYSaveFood’, selain mendidik pengguna supaya tidak membazirkan makanan, pihaknya turut ‘menyelamatkan’ makanan daripada menjadi sisa buangan daripada restoran, gerai serta medan selera untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Kami bercadang untuk mengadakan program ini setiap musim perayaan namun disebabkan PKP, ia tidak dapat dijalankan secara fizikal melainkan menerusi hebahan dan perkongsian daripada media sosial.

“Pada tahun lepas, sebanyak 2,385.6 kilogram makanan di Wilayah Persekutuan berjaya ‘diselamatkan’ daripada menjadi sisa buangan daripada gerai bazar Ramadan terpilih,” katanya.

Foodbank Malaysia Selamatkan Makanan

Selain restoran dan isi rumah, pasar raya dan pasar borong juga turut menyumbang kepada pembaziran makanan organik secara besar-besaran apabila lebihan makanan yang tidak habis dijual terpaksa dilupuskan.

Justeru, Yayasan Foodbank Malaysia dengan kerjasama beberapa NGO lain serta pasar raya berusaha untuk ‘menyelamatkan’ lebihan makanan ini daripada dibuang begitu sahaja, dan disalurkan kepada golongan sasar yang terdiri daripada penghuni PPR, rumah kebajikan serta warga gelandangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Wahab Long berkata, pihaknya mengumpul lebih 1,000 kilogram makanan yang selamat dan masih boleh dimakan setiap hari daripada hotel, pasar raya dan kilang makanan untuk disumbang kepada golongan miskin dan gelandangan, di sekitar Lembah Klang.

“Di pasar borong misalnya, banyak sayur-sayuran, buah-buahan serta makanan mentah lain yang masih elok lagi dimakan tetapi dibuang begitu sahaja kerana tidak habis dijual dan ia mengundang kepada pembaziran.

“Justeru, kami turun padang untuk ‘menyelamatkan lebihan makanan ini daripada berakhir di tapak pelupusan sampah, sama ada digunakan untuk memasak kepada golongan memerlukan ataupun menyalurkan kepada golongan asnaf dan rumah kebajikan,” katanya.

Selain itu, barangan harian dan makanan kering yang sudah dekat dengan tarikh luput juga turut ‘diselamatkan’ untuk disalurkan sebagai bantuan makanan kepada golongan mahasiswa yang terkandas di kampus sepanjang tempoh PKP.

“Penghasilan sampah yang begitu banyak akibat daripada sisa pepejal industri mahukan makaan akan menghasilkan gas karbon yang memudaratkan kesihatan sejagat.

“Oleh itu, kami bukan sahaja menyelamatkan makanan yang masih boleh dimakan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan tetapi juga turut membantu mengembalikan bumi hijau dengan mengurangkan sampah,” katanya.

Ab Wahab berkata pihaknya turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan ‘Bulan Foodbank Kebangsaan’ bermula tahun ini (2020) bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk tidak melakukan pembaziran makanan setiap hari.

“Foodbank Malaysia ditubuhkan sejak Januari 2019 dengan misi utama mengurangkan pembaziran makanan dan menangani masalah kebuluran serta kekurangan nutrisi menerusi menyelamatkan makanan lebihan.

“Lebihan makanan daripada operator makanan, pengusaha industri makanan, pengilang atau pengeluar makanan, pasar raya besar dan sederhana, pengimport makanan dan pemborong bahan makanan dengan status halal akan kami selamatkan.

“Sebenarnya makanan dikumpul ialah lebihan produk seperti makanan sejuk beku, ramuan dan bahan mentah, produk bermusim yang masih elok, tetapi mungkin disebabkan kesilapan label, dipulangkan pelanggan serta sebagainya mereka tidak boleh menjualnya semula,” katanya.

Setakat ini, Foodbank Malaysia berjaya membantu sebanyak 622,726 isi rumah, 77,251 orang mahasiswa dari 195 buah universiti seluruh negara sejak ditubuhkan tahun lepas hasil daripada makanan yang diselamatkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SWCorp tingkat sasaran kitar semula 40 peratus menjelang 2025

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) kini meningkatkan sasaran kadar kitar semula di enam negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di bawah seliaannya kepada 40 peratus menjelang 2025.

Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Teknologi SWCorp Ir Zulkifli Tamby Chik berkata pihaknya yakin sasaran itu boleh dicapai susulan perkembangan positif dalam peningkatan kutipan barangan kitar semula, selain telah mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan tahun ini.

“Berdasarkan cerapan data yang dibuat, terdapat peningkatan kutipan kitar semula yang ‘ketara’ pada tahun 2020 berbanding 2019.

“Misalnya jumlah kutipan barangan kitar semula pada Mei tahun ini adalah sebanyak 307.63 tan berbanding (tempoh sama) Mei tahun lepas yang berjumlah 163.15 tan,” katanya kepada Bernama.

Zulkifli berkata trend positif itu juga dilihat ketara ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lepas, yang mana ia dilihat dipengaruhi sikap dan kesedaran masyarakat terhadap budaya kitar semula yang sekali gus membantu mengurangkan sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah.

“Walaupun perkhidmatan lain (seperti pusat kitar semula) yang menjadi penyumbang utama barangan kitar semula ditutup (semasa PKP), namun masih terdapat peningkatan dalam kutipan kitar semula dan “penggerak” peningkatan adalah peranan masyarakat,” katanya sambil menambah perbandingan antara dua tahun itu juga dilihat meningkat pada bulan yang lain.

Perkembangan positif itu juga membantu mempengaruhi penurunan janaan sisa pepejal terutama mencecah 40 peratus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu daripada 582,585 tan sebelum PKP kepada 343,061 tan selepas PKP.

“Semasa PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), jumlah janaan sisa pepejal menurun pula kepada 209,207 tan dan semasa PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) (setakat 30 Jun) ia menurun lagi kepada 166,058 tan,” katanya yang juga berpandangan penurunan itu berikutan penutupan sektor komersial, perindustrian dan keinstitusian (ICI) sejak PKP diumumkan .

Ditanya adakah agensi tersebut menjangkakan jumlah janaan sisa pepejal itu akan menunjukkan penurunan selepas PKPP, Zulkifli berkata ia bergantung kepada sikap masyarakat untuk mengekalkan amalan positif tersebut.

“Kerajaan menghabiskan hampir RM1.9 billion setahun untuk kerja-kerja kutipan, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ini, jika trend positif (pengurangan janaan sisa pepejal) ini dikekalkan, ia juga dapat menjimatkan perbelanjaan negara selain menyumbang kepada kelestarian alam,” katanya.

Dalam pada itu, SWCorp juga akan memperluas dan mempertingkatkan penggunaan teknologi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dalam memastikan kualiti perkhidmatan berkualiti tinggi dan pengurusan kos yang efektif.

Zulkifli berkata pihaknya akan meneliti aspek fasiliti dan tapak pelupusan yang semakin terhad dan mencemarkan alam sekitar melalui kolaborasi dengan pihak industri dan tenaga pakar dalam mencapai tahap kos operasi yang cekap dalam jangka masa panjang.

“Kita tidak boleh bergantung kepada tapak pelupusan , kerana tapak pelupusan di Malaysia dah agak banyak dan tepu, jadi kita akan lihat balik strategi dan pelan tindakan komprehensif, dengan mewujudkan fasiliti ke arah penukaran sisa pepejal kepada tenaga (Waste to Energy), rawatan sisa binaan dan rawatan sisa makanan,” katanya.

Buat masa ini terdapat empat tapak penunu mini yang dalam projek perintis masing-masing di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Cameron Highlands dan Pulau Tioman.

“SWCorp juga berhasrat meneroka pembangunan dalam bidang perawatan sisa makanan dengan teknologi ‘Anaerobic Digester’ memandangkan ia merupakan komposisi terbesar sisa pepejal di Malaysia iaitu 44.5 peratus,” katanya.

SWCorp bertanggungjawab mengawal selia enam negeri yang menerima Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) iaitu Kedah, Perlis, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta Kuala Lumpur dalam perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Agensi itu turut mengawal selia Tapak Pelupusan Tertak Batu, Terengganu, untuk pelupusan sisa pepejal.

-BERNAMA