Categories
NASIONAL

Kos hidup meningkat, wajar gaji minimum naik RM1,200

Oleh: Mohd Ezli Mashut

KUALA LUMPUR 8 JAN: Cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menuntut kerajaan pusat menaikkan kadar gaji minimum daripada RM900 kepada RM 1,200 wajar bagi membantu golongan pekerja swasta berhadapan kos kenaikan sara hidup yang semakin tinggi.

Senator Dewan Negara, Syed Shahir Syed Mahmud, berkata kadar RM1,200 itu sebenarnya masih lagi kecil jika dikira daripada jumlah keseluruhan kos kenaikan sara hidup di negara ini.

Syed Shahir Syed MohamudKatanya, realiti untuk pelaksanaan jumlah RM1,200 itu memerlukan kesungguhan semua pihak kerana jumlah gaji minimum RM900 sebelum ini berhadapan dengan pelbagai cabaran daripada pihak majikan dan kerajaan.

“Jumlah RM900 gaji minimum ditambah elaun sara hidup (Cola) RM300 sebulan perlu diberi kepada pekerja swasta dan kerajaan memandangkan kos sara hidup semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, majikan perlu merancang untuk memberikan elaun lain kepada pekerja seperti elaun makanan supaya kebajikan mereka terjamin.

“Selain itu, gaji pokok dengan elaun tambahan ini dapat mengurangkan kos sara hidup dan hal ini penting untuk diri dan keluarga pekerja,” katanya.

Sebelum ini, MTUC menuntut kerajaan pusat menaikkan kadar gaji minima daripada RM900 kepada RM 1,200.

Timbalan Presiden MTUC, Abdullah Sani, berkata perwakilan menggesa gaji minimum RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 bagi Sabah dan Sarawak dikaji semula dalam mesyuarat MTUC, pada 22 Disember lalu.

Abdullah Sani yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, berkata laporan Bank Dunia pada 2013 menyatakan bahawa Malaysia mampu untuk melaksanakan gaji minimum RM1,200 sebulan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kesatuan pengangkutan jangka harga barang naik mendadak dalam sebulan

Syed Shahir Syed Mohamud

SHAH ALAM 3 SEPT: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu menjangka kenaikan harga barang berleluasa dalam masa kurang sebulan berikutan peningkat kos pengangkutan.

Setiausaha Eksekutif kesatuan itu, Syed Shahir Syed Mohamud, berkata kenaikan itu berlaku apabila kos petroleum melibatkan banyak peringkat dalam pengeluaran sesuatu barang.

“Rakyat kena bersedia, tak berapa lama sahaja lagi, mungkin kurang sebulan akan menyebabkan kenaikan harga barang lain sebab petroleum melibatkan banyak peringkat,” katanya.

Kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen yang berkuat kuasa hari ini sudah dijangka Pakatan Rakyat.

Hal ini tidak akan berlaku jika Pakatan yang menawarkan penurunan harga minyak dalam tempoh 24 jam sebaik sahaja membentuk kerajaan jika menang PRU 13.

Bagaimanapun, BN yang pernah berjanji tidak akan menaikkan harga minyak jika menang, mungkir janji kurang lima bulan selepas mencatat kemenangan tipis.

“Kita memang jangka minyak akan naik jika BN menang. Kita nasihati pengundi jangan tersalah pilih tetapi ada pengundi ‘memilih’ untuk (harga) minyak naik,” kata Senator Dewan Negara itu kepada TV Selangor.

– FZL

 

Categories
SELANGOR

Ketua Kampung Nikmati Bonus RM200 Dari Kerajaan Negeri

SHAH ALAM 29 JULAI: Selain kakitangan awam Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Kampung di Negeri Selangor turut menerima bonus sebanyak RM200 menjelang perayaan Hari Raya Puasa nanti.

Menurut Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Kerajaan Selangor, Dr Yaakob Sapari bonus tersebut akan dibayar dalam bentuk simpanan di Tabung Haji atau akaun Simpanan Premium di Bank Simpanan Nasional(BSN).

“Saya tanya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, selain penjawat awam, Ketua-ketua kampung ada dapat tak Tan Sri?

“Tan Sri jawab, ada, Ketua Kampung juga akan dapat bonus RM200 itu,” kata Dr Yaakob sambil disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira 400 hadirin dalam Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Bersama Pemimpin Masyarakat Negeri Selangor malam tadi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula berkata pemberian bonus diberikan dalam bentuk simpanan merupakan merupakan satu galakkan kepada masyarakat untuk menabung.

“Tetapi sekiranya nak keluarkan duit itu pun boleh dikeluarkan, tak jadi masalah,” ujar Abdul Khalid ketika berucap di majlis tersebut.

Beberapa Ketua Kampung yang ditemui malam tadi selain menyambut baik pengumuman pemberian bonus itu, mereka turut berpendapat majlis yang diadakan itu merupakan suatu majlis yang mampu merapatkan hubungan antara pemimpin negeri dan akar umbi.

“Berita baik ini saya anggap sebagai satu penghargaan oleh Kerajaan Negeri kepada tugas-tugas yang dilaksanakan setiap Ketua Kampung.

“Begitu juga dengan majlis ini dan saya lihat ia suatu yang baik kerana ia memberi peluang kepada pemimpin akar umbi mengenali Menteri Besar kita dengan lebih dekat lagi.

“Saya rasa majlis seperti ini wajar diteruskan,” kata Ketua Kampung Batu 37 Darat, Abd Malik Alang kepada TVS dalam majlis itu.

Ketua Kampung Telok Gadong, Baharuddin Abu Bakar berkata selain menyambut baik pemberian bonus oleh Kerajaan Negeri itu beliau menganggap majlis berbuka puasa yang diadakan malam tadi selaras dengan Sunah Nabi Muhammad S.A.W.

“Majlis berbuka puasa bersama ini baik kerana ia juga diamalkan oleh Rasulullah.

“Selain itu ia dapat mempertemukan pemimpin atasan dan pemimpin akar umbi, kita boleh berkenal-kenal.

“Harap program seperti ini dapat diadakan setiap tahun,” kata Baharuddin.

Turut hadir Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong, Adun Lembah Jaya, Khassim Abdul Aziz dan Senator Syed Shahir Syed Mohamud.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Nik Aziz : Hayati Undang-undang Allah Bagi Memerangi Rasuah

SHAH ALAM 26 JUN : Undang-undang ciptaan manusia tidak akan sesekali berjaya memerangi gejala rasuah atau jenayah lain secara mutlak dan menyeluruh.

Sebaliknya, menurut Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hanya undang-undang Allah mampu mengubah keadaan tersebut asalkan setiap umat berpegang teguh kepada konsep ketakwaan terhadap-NYA.

“Hanya Allah yang mampu menjaga kita menjadi lebih baik. Sama juga dengan lembu, takkan lembu kena jaga lembu memang tidak jadi apa.

“Sebab itu, lembu ada tuan dia yang menjaga barulah lembu dapat mengawal diri, tidak tidur di tengah jalan dan sebagainya.

“Sama juga dengan kita manusia, perlu ada Tuan kita untuk menjaga dan dalam kes kita ini, Allah yang berkuasa menjaga kita agar kita selamat dunia akhirat,” ucap beliau sewaktu menghadiri Wacana Buku Rasuah yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK di sini pagi tadi.

Sambil mengulangi pentingnya memahami dan mengamalkan cara dan nilaiĀ  Islam bagi membendung rasuah, beliau menambah seseorang juga perlu mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap Islam.

“Bacalah Al-Quran berkali-kali, pakailah serban, jubah dan sebagainya tetapi selagi dalam hati tidak percaya tentang apa yang dijanjikan Allah memang sampai bila pun kita tidak akan ikut Islam.

“Janji Allah setiap yang hidup pasti akan mati, begitu juga dengan amalan, ada dosa ada pahala, jadi kalau kita yakin maka kita akan buat ikut apa yang dianjurkan Islam kerana kita percaya adanya azab yang dijanjikan bagi mereka yang mungkar.

“Samalah jika kita ingin berbuat jenayah seperti rasuah, andaikata kita beriman dan percaya akhirat, maka kita tidak akan berani memberi dan menerima rasuah. Apa sahaja perkara segalanya berbalik kepada keimanan kita,” ujarnya di hadapan kira-kira 200 tetamu yang hadir.

Program tersebut turut menyelitkan sesi forum antara Senator Dr Syed Husin Ali, Prof Sharil Md Zain dan bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Syed Shahir Syed Mohamud yang berdiskusi mengenai gejala rasuah berdasarkan buku bertajuk Rasuah yang ditulis oleh Allahyarham Syed Hussein Al-Attas.

Program anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor ini juga turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri Dr. Halimah Ali, Iskandar Abdul Samad, Dr. Ahmad Yunus Hairi serta Adun Meru, Dr Abd. Rani Osman.

 

 


 

Categories
NASIONAL

MB: Selangor Pertimbang Beberapa Tuntutan Golongan Pekerja

SHAH ALAM 31 MEI : Beberapa tuntutan utama pekerja di negeri Selangor seperti gaji minimum, pusat jagaan kanak-kanak di tempat bekerja dan 40 jam bekerja seminggu akan dipertimbangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri Besar berkata demikian sebagai respon kepada Pengerusi Penggerak Konvensyen Himpunan Pekerja Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud yang memanjangkan perkara ini semasa Konvensyen Himpunan Pekerja Selangor di Dewan Belia, Seksyen 7, di sini.

Katanya, tuntutan perlaksanaan gaji minimum di peringkat Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sememangnya dalam perlaksanaan oleh Kerajaan Negeri.

Manakala tuntutan mengadakan tempat asuhan kanak-kanak di kawasan seperti perindustrian boleh dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Cuma sekiranya berkenaan undang-undang sahaja kita tidak dapat melaksanakannya kerana ia di peringkat Kerajaan Pusat,” katanya.

Selain itu, Syed Shahir yang juga mantan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta Kerajaan Negeri mempertimbangkan menyediakan kemudahan asas seperti tempat berniaga secara kecil-kecilan sekiranya berlaku pemberhentian pekerja secara beramai-ramai.

Dalam respon awalnya, Menteri Besar berkata tuntutan itu boleh dipertimbangkan dan akan dilaksanakan sebagai usaha memperjuangkan kebajikan pekerja di negeri terbabit.

“Setakat ini dalam penelitian saya, ia tiada masalah untuk dilaksanakannya kerana pekerja merupakan pemangkin kepada pembangunan negeri.

“Kita mahu menjaga kebajikan mereka dan tidak meletakkan jurang pendapatan yang tinggi antara majikan dan pekerja,” katanya.

Beliau berkata hal itu juga penting kerana negeri Selangor merupakan negeri yang tertinggi dalam menyumbangkan ekonomi pendapatan negara iaitu sebanyak 23 peratus tahun lalu.

Kira-kira 1,000 peserta daripada 30 buah persatuan terlibat dalam konvensyen itu yang terdiri daripada pemimpin Kesatuan Sekerja dari pelbagai sektor pekerjaan dan industri di negeri ini.