Categories
AGENDA NASIONAL

YaPEIM lancar tabung bantuan ringankan beban kewangan Zoo Negara

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melancarkan Tabung Bantuan Pemuliharaan Haiwan bermula hari ini hingga 28 Februari depan bagi membantu meringankan beban kewangan pengurusan Zoo Negara.

YaPEIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelancaran tabung itu sebagai tindak balas terhadap situasi penularan pandemik Covid-19 yang memberikan kesan kepada sektor pelancongan seperti Zoo Negara yang menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

“Situasi semasa ini menyaksikan operasi Zoo Negara tidak dapat dijalankan seperti biasa dan kesan pemberhentian operasi juga memberi impak kepada semua haiwan yang terdapat di dalam Zoo Negara yang memerlukan makanan dan penjagaan harian.

“Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke dalam tabung yang disediakan di 203 cawangan Ar-Rahnu YaPEIM di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan bermula 2 Disember hingga 28 Februari 2021,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan kos operasi Zoo Negara secara puratanya mencecah RM1 juta sebulan, meliputi pembayaran gaji kakitangan berjumlah RM400,000, keperluan makanan (RM350,000), bil elektrik (RM140,000) dan bil air RM40,000.

YaPEIM berharap usaha berkenaan akan mendapat sambutan daripada masyarakat serta pencinta haiwan sekali gus membantu meringankan beban pihak pengurusan Zoo Negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tabung Covid-19 kumpul RM40.2 juta

PUTRAJAYA, 9 MEI: Tabung Covid-19 yang dilancarkan pada 11 Mac lepas mengumpul dana sumbangan pelbagai pihak berjumlah RM40.2 juta setakat 7 Mei lalu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sumbangan itu disalurkan membantu rakyat negara ini yang terkena jangkitan wabak berkenaan menerusi Bantuan Khas Hilang Pendapatan dan Bantuan Ihsan Kematian.

Dalam sidang media harian di sini, hari ini, Ismail Sabri menjelaskan Bantuan Khas Hilang Pendapatan, diberikan kepada mereka yang dirawat kerana positif Covid-19 atau kontak rapat kepada pesakit yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PPP).

“Mereka yang layak memohon bantuan ini adalah warga Malaysia yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan PPP dan diarahkan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Ismail Sabri berkata selain itu bantuan itu juga layak dipohon oleh mereka yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani menjalani rawatan di wad hospital ekoran Covid-19 dan akan diberi RM100 sehari bagi 14 hari tempoh kuarantin.

Bagaimanapun, mereka yang berada di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan tidak layak menerima bantuan itu.

Menurut beliau, setakat ini seramai 94 individu telah menerima bantuan ini berjumlah RM125,700.

Bagi Bantuan Ihsan Kematian pula, sebanyak RM5,000 diberikan kepada waris mereka yang telah terkorban akibat jangkitan virus berkenaan dan mengikut rekod seramai 71 waris telahpun menerima bantuan itu berjumlah RM355,000.

Pada masa sama sebanyak RM25.2 juta disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Yayasan Kebajikan Negara sebagai bantuan kepada rakyat negara ini yang terjejas akibat wabak itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan tubuh Tabung Harapan Malaysia terima derma rakyat

PUTRAJAYA, 30 MEI: Kerajaan akan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia untuk menerima derma rakyat bagi mengukuhkan kewangan kerajaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata penubuhan tabung itu adalah bagi memastikan derma rakyat Malaysia yang patriotik akan sampai kepada Kementerian Kewangan.

“Terdapat ramai rakyat Malaysia apabila tahu kedudukan kewangan negara yang buruk, mereka sanggup memberi derma kepada kerajaan.”

“Kita mengalu-alukan sikap patriotik mereka dan mengucapkan terima kasih,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Perdana Putra, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata nombor akaun sumbangan itu akan diumumkan dalam sedikit masa lagi.

Pengumuman mengenai hutang negara yang berjumlah RM1 trilion telah mendapat perhatian rakyat Malaysia baru-baru ini dengan ramai antara mereka menyatakan kesediaan untuk menderma kepada kerajaan bagi mengurangkan hutang tersebut di media sosial.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tubuhkan tabung bantu pengurusan rumah kos rendah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JAN: Kerajaan Negeri disaran menubuhkan tabung bantu pengurusan rumah kos rendah bagi tujuan penyelenggaraan dan pembersihan unit kediaman kos rendah yang lebih komprehansif serta berkesan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Haniza Talha berkata, keperluan tersebut perlu dilaksanakan supaya pengurusan rumah kos rendah tidak terikat dan bergantung sepenuhnya di bawah kawal selia Badan Pengurusan Bersama (JMB) kawasan.

“Cadangan ini sudah dibuat sejak persidangan Dewan Negeri lalu bagi membolehkan penyelenggaraan unit rumah kos rendah diurus secara sistematik.

haniza“Tabung ini berupaya membantu pengurusan rumah kos rendah menyelenggara sebarang kos pembersihan atau fasiliti persekitaran kawasan secara efektif dan membantu penduduk,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, keberkesanan dasar baru itu juga diyakini membolehkan sebarang kos penyelenggaraan dan pembersihan unit kediamaan jenis kos rendah termaktub di bawah seliaan program tersebut.

Dalam perkembangan lain, Haniza memaklumkan, pihaknya komited memastikan kapasiti pembangunan di kawasan Dun Taman Medan diusahakan secara konsisten.

Katanya, komitmen tersebut dizahirkan menerusi pengumuman belanja pembangunan yang diumumkan Kerajaan Negeri pada pembentangan Belanjawan Negeri, Oktober lalu.

“DUN Taman Medan juga tidak terkecuali untuk menikmati bentuk pembangunan baru menerusi pengumuman belanjawan negeri oleh Dato’ Menteri Besar sebelum ini.

“Ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri menggalakan pembangunan mampan di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

-NFN-

Selangor sumbang RM30 ribu kepada mangsa serangan warga asing

Sinopsis:

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali berkata, kerajaan negeri menerusi tabung Wira Selangor memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada anggota keselamatan yang terkorban (Koperal Raja Aizam Raja Mohd ) dan RM10,000 kepada anggota tercedera (Koperal Mohd Aidil Mustaffa) ketika menjalankan tugas bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka.