Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hadkan penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Pihak yang berkenaan, terutama ibu bapa, perlu mengehadkan penggunaan peranti elektronik seperti tablet atau telefon pintar oleh anak mereka bagi mengelak penglihatan daripada menjadi rosak, kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, sebuah penyelidikan global merumuskan bahawa kanak-kanak tidak boleh didedahkan kepada peranti elektronik seperti tablet, telefon pintar atau televisyen selama lebih dua jam seminggu bagi mengelak implikasi serius terhadap mata mereka.

“Ini bermakna kanak-kanak hanya boleh dibenarkan untuk bermain peranti seperti itu kira-kira 17 minit setiap hari.

“Pada Mac 2017, Kementerian Pendidikan memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa penggunaan peranti elektronik yang berpanjangan adalah satu daripada penyumbang utama kepada kecacatan penglihatan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Menurut kementerian itu, pada 2017, 6.3 peratus pelajar Tahun Satu mengalami kecacatan penglihatan manakala pelajar Tahun Enam pula 4.1 peratus, dan Tingkatan Tiga 2.7 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lam Thye turut merujuk kepada kenyataan pensyarah Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Wan Elhami Wan Omar bahawa kanak-kanak berumur dua hingga lima tahun sangat tidak digalakkan untuk didedahkan kepada peranti elektronik.

“Mereka seharusnya didedahkan kepada aktiviti luar dan mendapat cukup cahaya matahari serta menikmati keindahan alam semula jadi.

“Sekiranya masalah ketagihan gajet tidak segera diselesaikan, saya bimbang ia bukan sahaja akan merosakkan penglihatan pelajar tetapi akan turut mengakibatkan masalah sosial yang lain seperti pornografi dan buli siber,” katanya.

Lam Thye mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, merangkap Pengerusi MCPF baru-baru ini, yang menyuarakan kebimbangannya berhubung ketagihan gajet dalam kalangan masyarakat, dengan kanak-kanak di usia seawal dua hingga tiga tahun telah mula bermain gajet atau peranti digital.

Beliau dipetik sebagai berkata masalah ‘dadah digital’ berlaku apabila seseorang individu itu menghabiskan masa lebih daripada empat jam menggunakan Internet untuk sesuatu perkara yang tidak ada kaitan dengan pekerjaan atau pembelajaran.

Merujuk kepada Kajian Pengguna Internet 2018 yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pula, beliau berkata ia mendapati purata tempoh melayari internet di Malaysia adalah 6.6 jam sehari, dengan 93.1 peratus pengguna mengakses internet melalui telefon pintar.

Timbalan perdana menteri berkata penggunaan internet yang ekstrem boleh mengakibatkan penggunanya menjadi ketagih sehingga mengancam kesihatan fizikal dan mental.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor swasta harus ke hadapan untuk galak perpaduan

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Sektor swasta harus masukkan aspek perpaduan dalam kegiatan dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mereka jalankan bagi membantu mempromosikan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini, kami kata pemegang amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee berkata, tiada tanggungjawab sosial yang lebih besar daripada memastikan negara berjaya dalam usaha menyatukan pelbagai komuniti yang membentuk masyarakat negara ini.

“Berdasarkan pengamatan saya, tidak banyak dilakukan oleh sektor korporat sebagai contoh, untuk mempromosikan perpaduan atau membantu masyarakat madani memainkan peranan mereka dalam memupuk perpaduan negara.

“Jika sektor korporat boleh melangkah ke hadapan untuk membantu masyarakat madani dalam soal perpaduan negara, ia merupakan pelaburan secara langsung terhadap kestabilan negara yang mana ini penting untuk perniagaan dan ekonomi berkembang,” katanya semasa menyampaikan ucapan mengenai perpaduan pada majlis makan tengah hari anjuran Prudential BSN di sini, hari ini.

Beliau menambah tidak dinafikan bahawa sektor korporat telah membuat sumbangan yang signifikan dalam permasalahan sosial seperti alam sekitar, pendidikan dalam penjagaan kesihatan serta membantu golongan tidak bernasib baik, namun lebih banyak yang dilakukan dalam soal perpaduan.

“Perpaduan nasional adalah satu bidang di mana kedaulatan itu harus dilaksanakan oleh rakyat Malaysia secara total dalam menentukan hal tuju negara. Sungguhpun ekonomi, sains dan teknologi maklumat merupakan faktor penggerak dalam era sekarang dan akan datang, namun kita tidak harus melupakan soal keharmonian sosial dan perpaduan,” katanya.

Lee berkata, adalah penting untuk memberi penekanan kepada sokongan daripada sektor swasta tempatan kerana pembiayaan asing untuk program perpaduan tidak digalakkan demi kepentingan negara secara keseluruhan.

“Salah satu cara yang paling berkesan bagi sektor korporat dalam mengutamakan perpaduan adalah dengan memberikan sokongan kewangan kepada usaha tulen oleh kumpulan warganegara untuk mempromosikan dan meningkatkan perpaduan negara.

“Sebagai balasan, kerajaan dan masyarakat harus memberi ganjaran dan penghormatan kepada syarikat swasta yang membuktikan menerusi amalan bahawa mereka benar-benar komited untuk perpaduan negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan biar hubungan harmoni diancam polarisasi kaum

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Seorang aktivis sosial menyeru rakyat Malaysia supaya tidak membiarkan hubungan harmoni di kalangan pelbagai kaum diancam oleh polarisasi kaum yang terus menjadi isu utama di negara ini.

Ketika menyatakan demikian pemegang amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, keperluan untuk mengukuhkan keharmonian sosial dan perpaduan menjadi bertambah penting sekarang berbanding sebelum ini dan menambah bahawa isu ini boleh menjurus kepada percanggahan kaum dan kurang kesefahaman di kalangan masyarakat.

“Rakyat Malaysia mesti menentang ketaksuban agama dan ekstremisme kaum dan sebaliknya berpegang kepada kesederhanaan. Masyarakat harus memberi perhatian serius kepada konsep perpaduan dan kebersamaan berdasarkan nilai-nilai murni dan integriti yang diajar dalam semua agama,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia, hari ini.

Menurut Lee, kepelbagaian dalam Malaysia adalah aset yang harus dibanggakan oleh negara dan semua orang dapat melihat kelebihan dan keindahan dalam kepelbagaian ini.

“Rakyat Malaysia di Semenanjung perlu belajar daripada mereka di Sabah dan Sarawak tentang cara hidup dengan harmoni manakala rakyat Malaysia di bumi kenyalang dan negeri di bawah bayu itu perlu terus menyokong integrasi sosial negara supaya kemajuan lestari dapat diteruskan untuk faedah semua orang,” kata aktivis sosial terkemuka itu.

Lee berkata, sejarah telah membuktikan bahawa Malaysia mampu mengatasi sebarang cabaran jika rakyatnya bersatu dan bersama-sama menanganinya.

“Oleh itu rakyat Malaysia tidak harus mengendalikan sebarang itu secara beremosi, tetapi sebaliknya hendaklah menghadapinya dengan kematangan, kesederhanaan dan saling faham memahami bagi mencari titik persamaan menerusi dialog dan persetujuan bersama.

“Kita harus memperbaharui rasa cinta kepada negara dan membantu menyokong resolusi negara untuk meningkatkan identitinya di arena antarabangsa. Apabila kita meraikan Hari Malaysia esok, semua rakyat Malaysia perlu bersatu untuk menjadikan negara ini lebih bersatu dan makmur,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang bertema ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’ akan diadakan esok di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.

Diadakan buat pertama kalinya di Sarawak sejak kerajaan Pakatan Harapan menerajui Kerajaan Persekutuan pada Mei 2018, sambutan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kenalpasti tapak pembuangan haram segera, elak jadi ‘bom jangka’

KULAI, 3 JUL: Kerajaan dicadang mengenalpasti semua tapak pembuangan haram termasuklah tapak pembuangan sisa kimia haram di seluruh negara dengan segera dalam usaha mencegah sebarang kejadian tidak diingini seperti di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, berulang lagi.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata ini kerana tapak pembuangan haram ini disifatkan seperti “bom jangka” yang boleh menyebabkan kehidupan ramai orang terjejas terutama pada jangka masa panjang.

“Saya sifatkan tapak pelupusan haram sebagai ‘bom jangka’. Sekarang kita bercakap mengenai Pasir Gudang tetapi bagaimana pula di tempat lain? Saya amat bimbang.

“Saya pasti negeri lain juga ada industri kimia,” kata beliau kepada pemberita selepas menutup seminar Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia 2019 peringkat negeri Johor di sini, hari ini.

Dengan kewujudan banyak tapak pelupusan haram, beliau rasa bimbang dan khuatir jika ada pihak yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil jalan singkat dengan membuang sampah dan sisa kimia di tapak-tapak ini, yang pada masa hadapan akan mendatangkan mudarat kepada masyarakat sekeliling.

Justeru itu, beliau berharap pihak berkuasa terutama agensi berkaitan lebih proaktif dalam mengenalpasti tapak pelupusan haram itu, sekaligus mengambil tindakan sebelum sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pelaksanaan sistem pengurusan kimia yang baik termasuk menggunakan strategi “cradle-to-grave” di mana setiap sebatian kimia ditangani di semua peringkat.

Strategi “cradle-to-grave” meliputi proses pengurusan bahan kimia dari mula ia dihasilkan sehingga ia dilupuskan.

Contohnya, program kawal selia komprehensif Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat, memastikan sisa berbahaya diuruskan dari masa ia mula dihasilkan, diangkut, dirawat, disimpan dan sehingga dilupuskan.

“Elemen penting untuk pelan berkesan termasuk menyediakan inventori lengkap untuk semua bahan kimia, melaksanakan strategi mengurangkan pembelian bahan kimia serta memilih bahan kurang toksik, membangunkan sistem penyimpanan dan pelabelan yang betul, mengenalpasti bahan kimia yang perlu dibuang serta memastikan pelupusan yang betul termasuk proses kitar semula,” katanya.

Lee turut menggesa syarikat kimia untuk mengawal selia industri secara kendiri dan menyokong inisiatif “Penjagaan Bertanggungjawab”, yang telah diterima pakai oleh Malaysia sejak tahun 1994 melalui inisiatif yang dipelopori Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM).

Menurutnya, “Penjagaan Bertanggungjawab” adalah etika dan komitmen yang diambil industri kimia bagi membina keyakinan dan kepercayaan dalam industri kimia global.

Selain itu, pihak pengurusan syarikat perlu mengenal pasti latihan dan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai bagi pekerja terlibat selain melaksanakan sistem.penyelenggaraan dan pembersihan mesra alam sekitar. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

NIOSH: Semua pihak terlibat perlu patuhi peraturan

JOHOR BAHRU, 2 JUL: Semua pihak yang terlibat dalam operasi pencemaran toksik perlu mematuhi peraturan berkaitan keselamatan dan kesihatan termasuk menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata pihak majikan termasuk organisasi media yang membuat liputan, perlu menyediakan PPE yang sesuai sebelum menghantar wartawan dan jurugambar ke lokasi terlibat.

“Amat malang apabila ada antara para petugas termasuk dari organisasi media, turut menjadi mangsa ketika berada di kawasan tercemar.

“Kes sebegini seharusnya menjadi peringatan kepada mereka (organisasi media) mengenai risiko yang dihadapi para petugas ketika berada di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan individu yang ingin ke lokasi pencemaran mendapatkan nasihat pakar termasuk dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan NIOSH mengenai PPE yang sesuai digunakan termasuk jenis topeng keselamatan dan respirator yang mampu menapis udara tercemar dengan berkesan.

Terdahulu, Lee melawat jurugambar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang sini hari ini.

Mohd Azren Jamaludin, 33, dimasukkan ke hospital sejak Sabtu selepas mengalami gejala muntah, demam, sesak nafas dan pitam dipercayai akibat pencemaran udara di Pasir Gudang.

Beliau, yang ditugaskan membuat liputan isu pencemaran udara sejak seminggu lepas, kini masih di bawah pengawasan doktor kerana turut disahkan dijangkiti virus Influenza B. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sifat tamak punca rasuah

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Usaha memerangi rasuah dalam sektor awam tidak seharusnya difokuskan kepada soal kenaikan gaji semata-mata, sebaliknya penekanan perlu diberikan kepada usaha mewujudkan sebuah pentadbiran lebih beretika dan berintegriti.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kenaikan gaji dan elaun tidak mampu membanteras rasuah dalam kalangan kakitangan awam jika sifat tamak dan sentiasa mahukan kemewahan melebihi kemampuan menguasai diri sendiri.

“Walaupun langkah menaikkan gaji mungkin mampu mengurangkan kecenderungan untuk mengambil rasuah, pelbagai kes besar melibatkan pegawai berpendapatan tinggi membuktikan sifat tamak boleh menjadi punca rasuah yang akan menjejaskan integriti para penjawat awam.

“Kes rasuah melibatkan kakitangan bawahan seperti menerima ‘duit kopi’ lebih memberikan kesan kepada orang awam kerana ia melibatkan mereka secara langsung berbanding kes berprofil tinggi yang melibatkan jutaan Ringgit Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya semua pihak harus membantu usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencapai sifar rasuah penjawat awam bukan sahaja perlu memaparkan perkhidmatan awam yang cekap dan beretika, tetapi juga memupuk budaya yang menekankan integriti dalam pengurusan harian.

Katanya, pegawai yang terbabit dalam aktiviti rasuah ini kebanyakannya terdiri daripada bidang penguatkuasaan undang-undang, sehubungan itu beliau menyarankan semua agensi terbabit perlu mempunyai satu sistem kawalan dalaman yang boleh mengesan penyelewengan.

Lee selain itu turut mencadangkan satu kurikulum diwujudkan di sekolah untuk mendidik pelajar tentang keburukan rasuah.

“Usaha memerangi rasuah harus bermula di sekolah melalui penekanan kepada pengajaran dan amalan nilai-nilai murni kalangan generasi muda kita terutamanya tentang keperluan untuk membangunkan satu budaya integriti serta menjadikannya sebagai satu cara hidup mereka di masa depan.

“Golongan muda harus dididik dengan nilai-nilai moral, etika dan integriti semasa mereka di bangku sekolah bagi memudahkan pembanterasan rasuah kelak,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KKM diminta fokus insurans kesihatan mental, pengamal perubatan

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Aktivis sosial dan penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye menggesa Kementerian Kesihatan memberi fokus kepada lebih ramai pengamal perubatan dan mencadangkan agar liputan insurans disediakan bagi rawatan dan penjagaan kesihatan mental.

“Selepas mendengar tuntutan daripada pihak awam berhubung isu berkenaan, saya menggesa kementerian bekerjasama dengan syarikat-syarikat insurans untuk menyediakan kemudahan insurans kepada pesakit kesihatan mental.

‘’Liputan seumpama itu disediakan di Singapura bagi lima jenis penyakit mental termasuk tekanan jiwa. Inisiatif ini adalah penting kerana ia melibatkan kos dan rawatan (besar),” katanya kepada Bernama di sini.

Lee berkata, badan-badan bukan kerajaan (NGO) perlu memikul tanggungjawab penuh demi mewujudkan kesedaran tentang kesihatan mental dan pentingnya liputan insurans.

Oleh itu mereka perlu mengemukakan memorandum kepada kerajaan dan persatuan insurans berhubung perkara itu.

Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia agak ketinggalan dalam menangani isu kesihatan mental oleh kerana kurangnya sumber dalam bidang ini terutama dari segi kemudahan dan pengamal perubatan.

“Dari segi sumber, banyak yang perlu dilakukan. Kita tidak mempunyai pusat dan klinik psikiatri yang mencukupi. Selain kurangnya bilangan pakar psikologi untuk merawat pesakit kesihatan mental,” kata beliau.

Beliau berkata, ini boleh mendatangkam impak yang besar oleh kerana rakyat Malaysia yang mengalami pelbagai penyakit mental tidak tahu di mana dan bagaimana hendak mendapatkan bantuan.

Menurut Tinjauan Mobiliti Kesihatan Kebangsaan pada 2015, kira-kira 29.2 peratus daripada 4.2 juta penduduk Malaysia yang berusia 16 tahun dan ke atas mengalami pelbagai penyakit mental.

Lee berkata, kebanyakan pelajar menderita penyakit ini, dan menyebut budaya berorientasikan peperiksaan sebagai salah satu sebab.

Namun, beliau memuji Kementerian Kesihatan yang mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi mempertingkat tahap kesihatan mental golongan pelajar menerusi program penilaian seperti Penilaian Kesihatan Mental. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengenalan kurikulum baharu keselamatan jalan raya tepat

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Langkah kerajaan memperkenalkan kurikulum baharu pendidikan berkaitan keselamatan jalan raya adalah keputusan tepat dalam usaha membudayakan keselamatan jalan raya bermula di bangku sekolah.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, nilai murni seperti menghormati undang-undang, memandu secara berhemah dan menghormati pengguna jalan raya yang lain perlu disemai di peringkat sekolah.

Beliau percaya sekiranya kanak-kanak dididik sejak kecil untuk berpegang pada nilai murni, mereka tidak akan tergamak melanggar undang-undang termasuk memandu atau menunggang secara melulu.

“Langkah Kementerian Pengangkutan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan kurikulum terbabit sebagai sebahagian sukatan pelajaran amat dialu-alukan dan perlu disokong semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kurikulum baharu pendidikan yang bakal menjadikan aspek keselamatan jalan raya sebagai sebahagian sukatan pelajaran, akan dilancarkan Februari ini bertujuan memupuk pemikiran rakyat membudayakan keselamatan jalan raya bermula di bangku sekolah.

Mengulas lanjut, Lee berkata, usaha memupuk kesedaran keselamatan jalan raya amat penting kerana kes kemalangan jalan raya masih menunjukkan peningkatan bagi tempoh sembilan tahun daripada 370,000 kes pada 2008 kepada 530,000 kes pada 2017.

“Terdapat juga kes pemandu memandu di bawah pengaruh dadah yang adalah antara faktor utama kemalangan maut,” katanya.

Beliau berkata, terdapat penurunan sebanyak 456 kes kematian pada tahun lalu berbanding 6,740 kematian bagi tahun sebelumnya.