Categories
AGENDA NASIONAL

Isu orang tidak bernegara perlu perhatian antarabangsa

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Isu orang tidak bernegara adalah masalah kritikal yang memerlukan perhatian masyarakat antarabangsa kerana ia boleh memberi impak negatif bukan sahaja kepada negara terbabit bahkan seluruh rantau.

Bercakap di Geneva, Switzerland, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia sendiri berhadapan dengan masalah lambakan orang tidak bernegara dari rantau Asia sejak sekian lama.

“Walaupun kita tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, kita sebaliknya telah menerima sejumlah besar orang tidak bernegara dari rantau Asia terutama dari Myanmar, dan jumlahnya semakin bertambah.

“Kesannya, kita bukan sahaja terpaksa menanggung beban kewangan sebagai tuan rumah malah perlu menangani pelbagai risiko keselamatan dan masalah sosial,” kata Muhyiddin pada Isnin dalam ucapan wakil negara tentang orang tidak bernegara di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di bandar raya Eropah itu.

Sungguhpun begitu, beliau menegaskan kerajaan Malaysia tetap komited memperkukuhkan kerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi PBB Mengenai Pelarian (UNHCR)(United Nations High Commissioner for Refugees) dalam usaha menangani masalah itu.

Teks ucapan beliau diedarkan kepada media di sini.

Muhyiddin tiba pada 6 Oktober lalu dalam lawatan kerja empat hari ke Geneva untuk menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi Berhubung Orang Tanpa Negara yang merupakan antara program sempena sesi ke- 70 jawatankuasa eksekutif (ExCom) UNHCR.

Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Filippo Grandi, Pesuruhjaya Tinggi UNHCR bagi membincangkan peranan Malaysia dalam menyokong pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan serta membincangkan tentang pengurusan pelarian dan pencari suaka di Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Muhyiddin saran negara maju bantu tanggung kos urus pelarian

NEW YORK, 22 SEPT: Negara maju perlu bersama menanggung sebahagian kos menguruskan pelarian yang berada di negara seperti Malaysia bagi membantu meringankan beban yang ditanggung dalam soal itu.

Ini ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan pihak Pertubuhan Antarabangsa Mengenai Migrasi (IOM) yang merupakan antara atur cara lawatan kerja beliau ke bandar raya ini.

Muhyiddin berkata, beliau menjelaskan bahawa Malaysia perlu mengutamakan ramai rakyatnya yang masih memerlukan bantuan kerajaan, namun pada masa sama terpaksa berdepan isu pelarian seperti membabitkan etnik Rohingya dari Myanmar.

“Saya menyarankan IOM mengangkat perkara ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya negara maju berkongsi dengan negara seperti Malaysia dalam soal kos menyediakan kemudahan kesihatan, pendidikan dan sebagainya kepada golongan berkenaan,” katanya.

Muhyiddin bercakap kepada Bernama pada Sabtu di akhir lawatan kerjanya ke Washington DC dan New York bertujuan mengukuhkan jalinan kerjasama keselamatan antara Malaysia dan Amerika Syarikat, bermula 15 September lalu.

Katanya, IOM harus mengambil kira beban yang ditanggung Malaysia dalam menguruskan pendatang dan pelarian, dan hakikat ia berbuat demikian supaya tidak dituduh negara tidak bertanggungjawab.

Beliau menarik perhatian bahawa walaupun Malaysia tidak menyertai Suruhanjaya Tinggi PBB Bagi Pelarian (UNHCR), ia tetap membantu pelarian atas dasar perikemanusiaan.

Malaysia dilaporkan mempunyai sejumlah 180,000 pelarian, dan bilangan itu dikatakan kian meningkat.

Muhyiddin membuat pengamatan banyak negara maju yang menempatkan pelarian di negara mereka sebelum ini, kini bertindak mengurangkan jumlah pengambilan bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata, Malaysia akan mengkaji kewajaran negara menyertai IOM seperti yang dibangkitkan dalam pertemuan dengan Pengarah IOM Ashraf El Nour.

“Perkara ini disuarakan sejak dulu tapi belum diluluskan kerajaan Malaysia. Jadi kami akan kaji lebih mendalam kewajaran kami berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau berpuas hati dengan lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat (AS) yang disifatkan sebagai berjaya.

Lawatan itu antara lain dipenuhi dengan pertemuan bersama pegawai atasan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Agensi Perisikan Pusat (CIA), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman AS.

Muhyiddin turut mengunjungi agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, Pusat Saringan Pengganas dan Jabatan Polis Bandar Raya New York (NYPD).

Beliau menjadi tumpuan pada forum kepimpinan anjuran Centre for Strategic and International Studies (CSIS) dan berinteraksi dengan diaspora Malaysia di Washington DC dan New York.

“Dapat disimpulkan bahawa pihak AS cukup berminat untuk bukan setakat meneruskan kerjasama dengan pentadbiran baharu iaitu kerajaan Pakatan Harapan (PH) malah membawanya ke tahap lebih tinggi,” kata Muhyiddin.

Katanya, ia satu petanda mereka amat berminat memperkukuh kerjasama di bidang seperti keselamatan, pertahanan, ekonomi dan sebagainya.

“Ada yang membangkitkan supaya lawatan dari Malaysia sebegini dilakukan lebih kerap bagi menjelaskan dasar dan pendirian negara,” kata Muhyiddin sambil menambah beliau sempat berbuat demikian dalam sesi pertemuan yang diatur bersama rakyat Malaysia di kedua-dua bandar raya itu.

“Antara lain, saya menjelaskan tentang hala tuju kerajaan PH, masa hadapan negara dan Wawasan Kemakmuran Bersama.

“Nampak mereka cukup berminat dan menyatakan sokongan termasuk dalam soal membanteras rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jitukan perpaduan, tekankan sikap saling menghormati

WASHINGTON DC, 16 SEPT: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa rakyat Malaysia memberi penekanan kepada aspek memperkukuh semangat perpaduan dan sikap saling menghormati dalam berdepan cabaran mendatang yang lebih besar.

Menteri Dalam Negeri itu, yang tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja ke ibu negara Amerika Syarikat ini sehingga Rabu sebelum meneruskannya di New York, turut melahirkan harapan agar semangat bekerjasama dan saling bantu-membantu antara semua rakyat terus dipertingkat.

Berkongsi mesejnya sempena Hari Malaysia 2019 kepada Bernama, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia menegaskan bahawa masyarakat perlu melihat ke hadapan berhubung apa yang mereka harus lakukan secara bersama untuk memajukan negara dalam semua bidang.

“Yang ini (sememangnya) telah kita jayakan sejak Malaysia tertubuh puluhan tahun dulu namun cabaran masa depan adalah lebih besar lagi.

“Maka perkara yang harus kita tekankan ialah soal kerjasama, semangat perpaduan lebih jitu, saling hormat menghormati antara kaum dan bangsa di Malaysia serta menjalin hubungan lebih erat untuk membina negara Malaysia yang lebih berjaya lagi,” kata Muhyiddin.

Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan dijadual berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak pada Isnin malam dengan kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan tetamu lain dan bakal dimeriahkan dengan penyertaan masyarakat pelbagai kaum.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kompromi pihak bangkit isu sensitif-Muhyiddin

PUTRAJAYA, 3 SEPT: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan isu sensitif melalui penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak menyekat hak bersuara rakyat, namun maklumat yang dikongsi perlu disahkan kebenarannya.

Katanya, ia bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang menimbulkan fitnah dan kebencian sehingga menyebabkan rakyat merusuh.

“Terdapat garis yang halus antara kebebasan bersuara dengan ucapan yang menggalakkan kebencian dan keganasan,” katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Dalam hal itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu lebih tegas dalam mengambil tindakan ke atas pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dalam negara.

“Tindakan yang diambil perlu adil tanpa mengira siapa atau latar belakang individu yang cuba untuk memainkan isu sensitif dengan bertujuanmemporak-perandakan negara,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan khususnya KDN sedang berhadapan pelbagai isu terutama membabitkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R) yang disensasikan dengan tujuan untuk menggugat kerajaan baharu supaya dilihat tidak melindungi ketiga-tiga aspek berkenaan.

“Isu ini semakin hangat apabila tindakan kerajaan dipertikaikan seolah-olah kerajaan gagal melaksanakan fungsinya.

“Saya percaya peranan kita terutama warga KDN sangat penting bukan sahaja sebagai agensi penguat kuasa, malah berperanan penting dalam memberi kefahaman kepada rakyat untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar,” katanya.

Katanya, dengan peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat daripada 86.3 peratus pada 2017 kepada 96.5 peratus pada 2018, penggunanya seharusnya lebih beretika dan bertanggungjawab.

Muhyiddin berkata, pengguna diingatkan supaya tidak menyalahgunakan landasan itu untuk memanipulasi maklumat, menularkan berita palsu dan fitnah yang hanya akan mengelirukan pemikiran masyarakat.

Berhubung pencapaian KDN, beliau berkata, kementerian itu mencapai penarafan lima bintang dalam prestasi pengurusan kewangan dengan skor 94.84 peratus pada 2018 berbanding 88.38 peratus pada 2017.

Katanya, KDN juga mencapai tahap cemerlang dalam Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan, iaitu kekal lima bintang dari tahun 2018.

Dari segi pencapaian setengah tahun Indikator Prestasi Menteri 2019 pula, KDN mencapai 90.80 peratus sehingga 30 Jun lalu, katanya.

“Daripada 27 aktiviti yang ditetapkan, 20 aktiviti yang melebihi 80 peratus dan lima aktiviti berada di antara 50 hingga 70 peratus dan dua aktiviti hanya akan dinilai pada penghujung tahun,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau percaya semua Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan pada tahun ini akan dapat dicapai seperti disasarkan berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Status PR tidak terlepas undang-undang negara

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Sesiapa yang menyentuh sensitiviti kaum sehingga mencetus ketidakstabilan negara tidak akan terlepas daripada undang-undang negara, termasuk mereka yang mendapat status Pemastautin Tetap (PR), kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sekiranya warganegara tertakluk kepada undang-undang, mereka yang berstatus PR lebih-lebih lagi perlu patuh kerana taraf PR dianggap sebagai satu anugerah.

“Dr Zakir Naik sama semua…ada masyarakat Islam nak pertahan dia, betul, dia seorang penceramah dan tokoh (Islam) tetapi kalau dia sentuh hal-hal tertentu macam sekarang, kita tak boleh biar juga. Kalau sebab itu tercetus keadaan ketidakstabilan kerana rasa tidak puas hati yang merebak meluas, adakah kita nak berdiam diri.

“Ada sempadan yang dia harus patuh, sama ada PR atau warganegara, dia tak terkecuali, tak mengatasi undang-undang yang ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Mengenai Nilai Keagamaan dalam Mencegah dan Membalas Ekstremisme Keganasan (PCVE), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan polis terhadap penceramah bebas warganegara India, Zakir yang dilapor membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia ketika ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan.

Zakir sebelum ini telah dipanggil polis untuk memberi kenyataan sebanyak dua kali, masing-masing pada 16 dan 19 Ogos lepas.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, pendirian Malaysia mengenai Zakir kekal sepertimana kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menghantar pulang penceramah berkenaan ke negara asalnya sekiranya beliau tidak menimbulkan sebarang masalah.

Ditanya sekiranya ‘keputusan’ kerajaan sekarang akan menjejaskan siasatan polis ke atas Zakir, beliau berkata, siasatan yang polis sedang lakukan sekarang adalah berkaitan kes dalam negara, mengenai ucapannya berdasarkan laporan polis yang dibuat terhadapnya.

“Ia takkan jejaskan siasatan polis…,” tegas beliau.

“Bagaimanapun, kita juga mendapat pandangan daripada Perdana Menteri dan itu menjadi salah satu panduan kita sama ada wajar atau tidak beliau dihantar disebabkan tuntutan dari India itu. Itu hak kita, undang-undang tidak nyatakan bila satu-satu negara itu tuntut, kita mesti respons, kalau ada sebab-sebab tertentu kita rasa tak wajar, maka kita tak perlu respons kepada tuntutan mana-mana negara,” katanya.

Kerajaan India sebelum ini telah menyerahkan nota ekstradisi terhadap Zakir kerana beliau dihendaki di negara itu atas dakwaan pengubahan wang haram berjumlah lebih 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta).

Ditanya mengenai perjumpaan antara lain, Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan penceramah berkenaan, Muhyiddin berkata, bukan Syed Saddiq seorang yang bertemu Zakir, malah pihak pembangkang juga ada membuat pertemuan.

“Bagi saya tak apalah, itu tak bermakna kami terikat dengan pandangan mereka, kami bertindak berdasarkan kedaulatan undang-undang, undang-undang sedia ada jika ia sesuai, undang-undang itu diguna pakai,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin: Setiap kaum ada sumbangan kepada negara

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Setiap kumpulan kaum dan masyarakat di Malaysia ada memberi sumbangan masing-masing kepada negara dan ia bukan sesuatu yang perlu dibangkitkan.

Ketika membuat penegasan itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hakikatnya masyarakat di negara ini memerlukan satu sama lain.

“Kita kena ingat balik bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang didukung perjuangannya sejak awal sampai hari ini oleh pelbagai kumpulan, kaum, agama dan sebagainya.

“Ia sebahagian daripada sejarah Malaysia, (ketika) kita akan menyambut hari kemerdekaan ini tak boleh kita nafikan bahawa setiap kumpulan kaum, masyarakat mempunyai sumbangan masing-masing (kepada negara),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada program Bicara Kemerdekaan Kedua anjuran badan bukan kerajaan Akademi Harimau Asia, di sini hari ini.

“Tak payahlah kita nak nilai berapa peratus sama ada 60 peratus, 30 peratus atau 10 peratus (misalnya) – tetapi kita secara bersama memberikan sumbangan.

“Tak boleh kata ada kumpulan tertentu sahaja menyatakan mereka yang menyumbang. Kita perlukan satu sama lain,” katanya.

Atas sebab itu, beliau mengingatkan bahawa sebarang rasa tidak puas hati tidak harus menjurus kepada tindakan mempersoal hal yang dipersetujui sebelum ini.

Ini termasuk perkara berkaitan bahasa, agama, hak Bumiputera dan hak kaum lain, institusi raja, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta hak beragama kaum lain.

“Ini adalah sebahagian dalam kehidupan kita, ia bukan sahaja termaktub dalam Perlembagaan tetapi kita amalkan selama lebih 60 tahun,” katanya.

Beliau sekali gus menyatakan kebimbangan sebagai menteri yang menjaga soal keselamatan negara berhubung tindakan membangkitkan isu berkaitan 3R iaitu bangsa, agama dan raja sejak akhir-akhir ini yang membawa kesan tidak baik.

Muhyiddin berkata, ramai yang bertanya kepadanya apa yang sedang berlaku kepada Malaysia dan ini membawa maksud bahawa masyarakat merasa terkesan dengan isu perkauman yang sudah mula membara dengan ‘suhu’ yang dilihat semakin meningkat.

Beliau berkata, perkembangan sebegini perlu dikawal dan bagi tujuan itu, beliau telah mengarahkan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memandang berat tentang perkara yang menyentuh isu-isu sensitif yang dibangkitkan tidak kira oleh sesiapa termasuk tokoh agama.

Pada sidang media kemudian, Muhyiddin memberitahu laporan yang diterima pihak berkuasa berkaitan 3R didapati meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, arahan juga dikeluarkan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan atau kenyataan yang menggugat keamanan dan kesejahteraan negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggajian pekerja asing subsektor perkhidmatan lain ditutup

PUTRAJAYA, 8 OGOS: Kerajaan bersetuju dengan cadangan penutupan penggajian pekerja asing bagi subsektor perkhidmatan lain iaitu dobi, tekstil, tukang gunting dan tukang emas yang dibekukan sejak 2009, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikannya bersama M. Kula Segaran di sini, hari ini.

Katanya, dalam cadangan yang dibentangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu, dasar semasa yang membenarkan penggantian pekerja asing bagi subsektor itu turut akan dihentikan dalam masa tiga tahun lagi secara berperingkat mulai tahun ini sehingga 2021.

“Justifikasi penutupan adalah berdasarkan kepada keutamaan penggajian rakyat tempatan dan fokus kepada sumber ekonomi yang lebih memberangsangkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu.

Muhyiddin berkata, mesyuarat turut memutuskan supaya Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) melaksanakan kajian lanjut bagi menentukan keperluan penggajian pekerja asing di bawah subsektor gudang darat seperti dicadangkan Kementerian Pengangkutan.

“Berdasarkan hasil kajian itu, kerajaan akan menentukan semula agensi kerajaan yang bersesuaian sebagai agensi kawal selia (AKS) bagi subsektor gudang darat,” katanya.

Katanya, permohonan pekerja asing sebagai pemandu penggerak utama di Pelabuhan Barat (Westports) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas akan dipertimbangkan mengikut prosedur sedia ada dengan mengambil kira keperluan sebenar syarikat.

“Pada masa akan datang, syarikat perlu mempertimbangkan faktor seperti kadar gaji, elaun dan insentif yang boleh menarik minat pekerja tempatan serta bergerak ke arah automasi serta mekanisasi,” katanya.

Katanya, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan Kementerian Kerja Raya berhubung kadar yuran penilaian kompetensi kemahiran untuk pekerja asing sektor pembinaan di negara sumber iaitu RM750 per tred (pengkhususan) bagi tred biasa dan RM850 per tred bagi tred minyak dan gas.

“Kerajaan juga prihatin dengan masalah para pengusaha sawah yang menanggung kos operasi yang lebih tinggi ketika ini.

“Oleh itu, mesyuarat pada hari ini bersetuju untuk meluaskan skop tempoh kemasukan pekerja asing di bawah Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Jangka Pendek untuk sektor pertanian khusus bagi tanaman padi untuk tempoh enam bulan,” katanya.

Muhyiddin berkata, mesyuarat turut mengambil maklum situasi industri sarung tangan getah yang sedang mengalami masalah kekurangan tenaga kerja khususnya melibatkan isu kesesuaian pekerja asing dari negara-negara sumber tertentu seperti Bangladesh dan Nepal.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia sebagai tumpuan dalam proses rundingan terakhir dengan Kerajaan Bangladesh dan hasil rundingan akan dimaklumkan kepada jemaah menteri supaya hala tujunya dapat diputuskan.

“Sementara itu, usaha bagi penggajian pekerja asing dari Nepal juga akan diteruskan,” katanya.

Katanya, mesyuarat turut membincangkan cadangan Kementerian Sumber Manusia supaya Independent Social Compliance Audit (ISCA) dilaksanakan sebagai satu bentuk kawal selia kendiri oleh majikan.

“Walaupun cadangan ini satu inisiatif yang baik, sesi libat urus perlu diadakan dengan lebih menyeluruh bersama dengan pihak berkepentingan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Henti spekulasi kehilangan remaja Ireland

MUAR, 6 OGOS: Semua pihak perlu berhenti membuat spekulasi sendiri berhubung kehilangan remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, di The Dusun, Pantai, Nilai, sejak Ahad lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tanggapan yang mendakwa remaja itu menjadi mangsa culik adalah tidak tepat, bahkan dibimbangi akan menimbulkan salah faham, serta boleh menganggu siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

“Jangan memandai-mandai. Pakailah kenyataan rasmi yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih-lebih lagi kejadian ini membabitkan warga asing.

“Apa orang lain kata itu tidak penting, kerana polis lebih tahu apa yang berlaku. Supaya siapa pun yang datang ke negara kita selamat dan tidak menghadapi masalah.

“Saya diberitahu Timbalan Ketua Polis Negara, setakat ini kes berkenaan dianggap sebagai ‘missing person’ dan kita tidak anggap ada pihak lain terbabit. Remaja ini berusia 15 tahun dan apa yang dilaporkan bapanya dia tidak seperti kanak-kanak biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kejohanan Gimrama Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Bandar Universiti Pagoh, di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan dengan kekuatan lebih 150 anggota termasuk PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta penduduk tempatan.

Ahad lalu, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada 8 pagi.

Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran, malah berita kehilangannya turut disiarkan media antarabangsa.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop menafikan kes itu sebagai penculikan seperti dilaporkan media asing.

Katanya, tiada sebarang unsur jenayah dikesan, justeru kes itu masih diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan itu kini memasuki hari ketiga.

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, perlu ada konsultasi daripada pelbagai pihak supaya semua berpuas hati terhadap pelaksanaan tulisan jawi dan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular.

“Sewajarnya ada konsultasi dan input pandangan yang kita kena ambil bukan sahaja persatuan atau pertubuhan bahkan ibu bapa dan sebagainya. Paling penting asalkan ia tidak membebankan.

“Persoalan sama ada mahu menjadikan ia sebagai suatu subjek wajib atau pilihan terserah kepada Kementerian Pendidikan dan sudah tentu mereka sudah meneliti dan mengkajinya,” katanya yang juga bekas menteri pendidikan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM3.6 juta baik pulih kediaman polis di Kompleks IPK Sarawak

KUCHING, 29 JUL: Kerajaan Pusat memperuntukkan RM3.6 juta untuk kos baik pulih kediaman anggota polis di Kompleks Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, Jalan Badruddin di sini yang dibina pada tahun 1968, yang dilihat sudah terlalu uzur dan perlu dibaik pulih dengan segera.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau difahamkan kos keseluruhan untuk baik pulih kompleks itu menelan belanja RM7 juta, namun kerajaan hanya mampu meluluskan sebahagian daripada jumlah itu disebabkan masalh kekangan kewangan.

“Bakinya akan usahakan selewat-lewatnya menjelang tahun hadapan. Kita bersimpati dengan situasi dan kesulitan yang dihadapi oleh 800 orang penghuni di sini dimana kebanyakkan lif sudah tidak berfungsi, rosak selain menghadapi pelbagai lagi masalah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat ke kompleks berkenaan di sini, hari ini, antara yang turut bersama beliau ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Yusof dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Muhyiddin berkata setakat ini, kerja-kerja baik pulih telahpun berrmula dan memerlukan sedikit masa untuk disiapkan, dan menurutnya tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM200 juta untuk kos baik pulih kompleks perumahan anggota polis di seluruh Malaysia.

Terdahulu beliau turut mengambil peluang menziarah salah seorang anggota polis yang menghidapi penyakit kronik dan menyerahkan sumbangan. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KDN kaji semula SOP permohonan kewarganegaraan

KUCHING, 29 JULAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) permohonan kewarganegaraan bagi memastikan setiap permohonan dapat dipertimbangkan secara lebih teliti, adil dan cepat.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, di bawah SOP baharu yang dirangka KDN, terdapat garis panduan lebih jelas dalam pengendalian dan pertimbangan permohonan kewarganegaraan khususnya di bawah Perkara 15A.

Langkah itu bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira faktor kebajikan anak yang memohon taraf kewarganegaraan dan membabitkan tempoh masa yang dipendekkan daripada tiga tahun kepada paling lama hanya satu tahun.

“Saya amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh mereka yang terpaksa menjalani kehidupan tanpa status warganegara untuk sekian lama,” katanya pada majlis penyampaian surat kelulusan kewarganegaraan Malaysia kepada 31 orang di UTC Kuching di sini, hari ini.

Majlis berkenaan sebahagian daripada janji dalam manisfesto Kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan yang dihadapi oleh penduduk di negara ini termasuk di Sarawak.

Muhyiddin turut menegaskan tidak ada pintu belakang dalam meluluskan permohonan kewarganegaraan sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Dalam membuat keputusan sama ada meluluskan atau tidak meluluskan sesuatu permohonan, saya dibantu pegawai yang profesional dalam menjalankan tugas mereka dan setiap satu permohonan beserta dokumen pembuktian akan diteliti dengan rapi,” katanya.

Berhubung inisiatif, Muhyididn berkata KDN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani isu pengenalan diri dan kewarganegaraan terutama di Sarawak.

Ini termasuk menambahbaik penyampaian perkhidmatan secara berterusan menerusi pelaksanaan Program Turun Padang dan perkhidmatan Unit Mobile dan Bus Mobile di negeri ini.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan untuk memastikan setiap permohonan yang layak dapat diterima, di samping memberi kesedaran dan kefahaman kepada pemohon melalui khidmat nasihat berkaitan permohonan kewarganegaraan.

“Sehubungan itu, saya amat menyambut baik penglibatan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri PAKATAN di Sarawak untuk bekerjasama dengan JPN Negeri Sarawak dalam memudahcara permohonan kewarganegaraan bagi penduduk di negeri ini,” katanya.

Kemudian beliau turut mengadakan walkabout sekitar UTC Kuching untuk melihat sendiri urusan yang dijalankan di kaunter JPN dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Muhyiddin nafi tandatangan surat akuan sumpah sokong peralihan PM

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau menandatangani surat akuan bersumpah menyokong peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, surat akuan bersumpah bertarikh 2 Julai itu adalah palsu dan disifatkan bertujuan mencemarkan namanya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya menandatangani satu dokumen akuan bersumpah berhubung perlaihan jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang tular di media sosial semalam. Dokumen terbabit adalah palsu.

“Saya meminta polis supaya menyiasat penularan dokumen palsu ini yang saya fikir bertujuan untuk mencemarkan nama baik saya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.

Lewat petang semalam, tular di media sosial gambar dua surat akuan secara bersaingan yang masing-masing menyebut Muhyiddin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong peralihan jawatan itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga menerusi kenyataan di Facebook turut menafikan beliau telah menandatangani akuan bersumpah yang tular itu.

“…dengan tegas saya menafikannya. Saya tidak menandatangi surat berkenaan. Ini merupakan fitnah jahat yang dilakukan oleh mereka yang terdesak dan tidak bertanggungjawab bagi merosakkan diri saya selaku Presiden UMNO.

“Saya ingin nyatakan semua keputusan besar dan pendirian UMNO akan dibuat secara berpasukan. Bukan oleh saya secara individu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Siasatan video seks dikait menteri masih berjalan

KUALA LUMPUR, 7 JUL: Polis masih menyiasat kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri dan tidak menetapkan tempoh tertentu untuk menyelesaikan siasatan, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Biar PDRM (Polis Diraja Malaysia) menjalankan tugasnya sebelum ia (hasil siasatan) diserahkan kepada saya dan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Abdul Hamid Bador),” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama warga PDRM di Pulapol di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes video seks yang melibatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan dikaitkan dengan seorang menteri.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata siasatan kes berkenaan memerlukan tempoh masa yang panjang dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

“Kami tidak mahu ada individu teraniaya akibat siasatan yang tergesa-gesa dan terdapat prosedur tertentu harus diikuti.

“Kami juga amat berhati-hati dalam siasatan ini serta mendapatkan panduan dari pejabat Peguam Negara dalam kes ini,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, Haziq mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, kementerian akan menambah seorang lagi anggota pasukan petugas khas bagi menyiasat kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat, selain akan melantik pengganti Datuk Mokhtar Mohd Noor yang menarik diri secara sukarela daripada pasukan itu.

“Di peringkat kementerian, kami akan menamakan pengganti dan saya fikir kami perlu menambah seorang lagi… selain pengganti, ada seorang lagi bukan Melayu yang sesuai untuk dibawa dalam pasukan petugas itu,” katanya.

Pasukan Petugas Khas yang ditubuh bagi menyiasat kes kehilangan Koh dan Amri itu sebelum ini melibatkan enam anggota diketuai bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Rahim Uda.

Koh, 64, dilapor diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya, dekat sini, pada 13 Februari 2017, manakala Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 November 2016.

April lepas, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengeluarkan laporan yang membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas terlibat terhadap kehilangan Koh serta Amri, dan susulan laporan itu, Kabinet pada 23 Mei bersetuju sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi meneliti laporan Suhakam itu. – BERNAMA