Categories
ADN PBT SELANGOR

MPK teliti kebenaran merancang elak perkara buruk

KLANG, 21 JULAI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) meneliti semula kebenaran merancang bagi mengelak kejadian marabahaya serta merugikan penduduk.

Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin memaklumkan pihaknya akan mencuba sebaik mungkin menyusun perancangan di daerah tersebut.

“MPK sangat prihatin dengan komuniti kawasan. Lepas ini bila buat kelulusan kita akan lihat lebih lanjut dan nilai laporan lengkap. Ini babit pembinaan, kita kena telus,” katanya ketika ditemui di lokasi tanah mendap di Johan Setia.

Semalam, insiden tanah mendap berlaku kira-kira jam 3 petang ketika pekerja projek pembinaan Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) menanam cerucuk di kawasan tidak rata hingga menjejaskan laluan utama dari arah Klang ke Banting.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri meminta anggota MPK memantau laluan alternatif dilencongkan ke kawasan perumahan Kota Bayuemas serta Bandar Parkland.

“Penduduk mengadu ada kenderaan berat menggunakan laluan itu sedangkan ia hanya untuk kenderaan ringan. Ini mendatangkan risiko dan kita tidak mahu perkara buruk berlaku,” katanya.

Wakil rakyat Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni pula berharap masalah tanah mendap diatasi segera kerana ia menjejaskan bekalan air kira-kira 1,500 pengguna di kawasannya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Tindakan lanjut lepas terima laporan lengkap tanah mendap

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan lanjut selepas menerima laporan lengkap insiden tanah mendap di Jalan Klang-Banting semalam.

Dato’ Menteri Besar berkata pihak yang menjadi punca kejadian perlu bertanggungjawab kerana ia turut mengakibatkan gangguan bekalan air di kawasan sekitar.

“Kita tunggu laporan bagaimana ia berlaku kerana melibatkan kawasan pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas merasmikan program RiDE di Foyer Bangunan SUK hari ini.

Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pemaju projek tersebut perlu membentang laporan forensik, Khamis ini sebelum dibawa ke Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor.

Insiden tanah mendap berlaku kira-kira jam 3 petang semalam ketika pekerja projek menanam cerucuk di kawasan tidak rata hingga menjejaskan laluan utama dari arah Klang ke Banting.

Kejadian tersebut turut menyebabkan beberapa kawasan di Klang dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran paip pecah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemaju LRT3 bentang laporan tanah mendap Khamis ini

KLANG, 21 JULAI: Pemaju projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) perlu membentang laporan forensik kejadian tanah mendap di Jalan Klang-Banting berdekatan tapak stesen Johan Setia, Khamis ini.

EXCO kerajaan tempatan berkata siasatan menyeluruh insiden itu perlu dibuat sebelum dibawa ke Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor.

“Kerajaan Negeri kesal dengan kejadian kedua dalam tempoh kira-kira sebulan membabitkan tapak pembinaan LRT3 di Klang. Sepatutnya penelitian teknikal dibuat sebelum bermula sesuatu projek,” kata Ng Sze Han selepas meninjau lokasi tersebut hari ini.

Beliau turut meminta pemaju menghubungi pengendali Waze dan Google Maps bagi mengemas kini laluan berhampiran lokasi untuk mengelak kesesakan jalan raya.

“Kita harap masalah air dan jalan yang menguhubungkan Klang dan Banting dipulihkan segera selain kawasan berhampiran perlu diperiksa untuk keselamatan semua,” katanya lagi.

Insiden tanah mendap berlaku kira-kira jam 3 petang semalam ketika pekerja projek menanam cerucuk di kawasan tidak rata hingga menjejaskan laluan utama dari arah Klang ke Banting.

Jun lalu, kerangka besi projek LRT3 di Jalan Meru tumbang semasa pekerja sedang menuang konkrit.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah mendap, Jalan Klang – Banting berhampiran Johan Setia ditutup

SHAH ALAM, 20 JULAI: Jalan Klang-Banting berhampiran Johan Setia ditutup ekoran kejadian tanah mendap dipercayai akibat kerja-kerja menanam cerucuk bagi pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisoner Shamsul Amar Ramli berkata mendapan itu dikesan berlaku kira-kira 3 petang di persimpangan lampu isyarat Kampung Johan Setia menghala ke Banting. Pada awal kejadian, polis membuka lorong kontra bagi kegunaan kenderaan yang menghala ke arah Banting.

“Bagaimanapun selepas beberapa jam, mendapan turut dikesan berlaku di laluan kontra berkenaan dan kini lorong bagi kedua-dua arah ditutup sepenuhnya.

“Pengguna bagi laluan tersebut dilencongkan ke arah Jalan Bayu Emas dan ke Lebuhraya Shah Alam atas faktor keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, insiden itu juga menjejaskan laluan utama dari arah Klang ke Banting.

Tambah Shamsul Amar, Jabatan Kerja Raya dan MRCB George Kent (MRCBGK) selaku kontraktor projek berkenaan sedang menyiasat kejadian itu dan pengguna laluan berkenaan diminta mematuhi arahan polis demi kelancaran lalu lintas.

Sementara itu, MRCBGK dalam kenyataan memaklumkan arahan berhenti kerja (SWO) telah dikeluarkan kepada kontraktor pakej kerja (WPC), SN Akmida Sdn Bhd yang melakukan aktiviti pengorekan.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dimaklumkan dengan segera. Tiada laporan kemalangan jiwa dan kawasan yang terjejas telah ditutup,” menurut kenyataan itu.

MRCBGK menambah, bagi melindungi keselamatan awam, WPC telah memberi taklimat kepada penduduk Kampung Johan Setia yang tinggal berhampiran kawasan itu dan melaksanakan segera Pelan Pengurusan Trafik (TMP) untuk menutup jalan terjejas dan melencongkan lalu lintas sehingga diberitahu kelak.

“Kami masih menyiasat punca sebenar kejadian ini dan ingin memohon maaf kepada orang ramai atas kesulitan yang timbul buat masa ini,” menurut MRCBGK.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

11 kereta menggelongsor jatuh, punca ‘hydrostatic pressure’

OLEH SHEEDA FATHIL

SERI KEMBANGAN, 22 NOV : Kejadian tanah runtuh membabitkan 11 kenderaan menggelongsor jatuh di sini mungkin berpunca daripada ‘hydrostatic pressure’.

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk sekitar dan Unit Pengurusan Bencana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kira-kira jam 6.45 petang (Isnin) berkenaan kejadian itu.

“Pada pemerhatian awal, kami syaki kejadian berpunca daripada ‘hydrostatic pressure’ yang mungkin terdapat aliran air namun belum dapat dipastikan sama ada ia daripada paip utiliti atau penyambungan bekalan dilakukan secara haram.

“Tindakan jangka pendek akan dilakukan dengan mengeluarkan semua 11 kenderaan bagi mengurangkan bebanan mendapan tanah,” katanya.

Beliau berkata pada Sidang Media kawasan tanah runtuh di Jalan 1 A/2 Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan, di sini, semalam.

Sementara itu, Azfarizal berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian terbabit.

“Walau bagaimanapun, premis bangunan yang terletak hampir 20 meter dari lokasi kejadian ini masih selamat dihuni dan arahan pengosongan belum dikeluarkan.

“Malah 11 kenderaan yang menggelongsor jatuh ini dilaporkan kenderaan lama yang tersadai dan setakat ini dua pemilik sahaja datang untuk menuntut selain sembilan lagi belum ada pemilik, katanya.

Azfarizal berkata, sebarang perkembangan akan diberitahu dari semasa ke semasa serta mesyuarat khas diadakan nanti bersama agensi terbabit bagi mengenal pasti punca dan langkah yang perlu diambil.

Terdahulu, difahamkan 11 kenderaan menggelongsor selepas berlaku rekahan jalan dalam kejadian tanah runtuh di Jalan 1A/2 Taman Lestari Perdana yang berlaku sekitar jam 6.20 petang, Isnin.

SelangorKini difahamkan, sehingga kini agensi terbabit giat menjalankan kerja pembersihan dan kanvas dipasang bagi tujuan keselamatan sementara.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Penduduk perlu waspada tanah mendap

SHAH ALAM, 28 DIS: Penduduk di Jalan Raja Abdullah, Seksyen 9, di sini, dinasihatkan supaya berwaspada ekoran kawasan di taman perumahan itu didapati mengalami mendapan tanah yang teruk, semalam.

Pegawai Operasi Kanan Unit Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Selangor, Mohd Saiful Munir Mohd Isa berkata, penduduk di kawasan itu perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana dikhuatiri berlaku runtuhan kedua.

“Berdasarkan hasil pemantauan, mendapan tanah itu mengakibatkan tanah di bahagian tebing perumahan berkenaan mengalami keretakan dan runtuh.

“Namun, pada waktu ini, jalan berdekatan masih selamat untuk digunakan dan pihak berwajib sudah menerima laporan berkenaan kejadian itu,” katanya ketika melawat kawasan terbabit.

Beliau berkata, sebahagian jalan berkenaan sudah ditutup menggunakan kon sebagai tanda amaran kepada orang ramai.

“Saya berharap penduduk sekitar tidak mengalihkan kon itu untuk keselamatan pengguna jalan raya lain dan menghubungi pihak berkuasa jika berlaku runtuhan,” katanya.

Mendapan itu mengakibatkan tebing bukit berdekatan kediaman berkenaan runtuh sehingga mengganggu sebahagian daripada laluan kenderaan.

Difahamkan, runtuhan pada awal bulan itu berpunca daripada takungan air dalam tanah, namun ia tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa setakat ini.

-AA-