Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa tangguh

PUTRAJAYA, 15 MAC: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran (MTHQA) Peringkat Antarabangsa Tahun 1441H dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 6 hingga 11 April ini ditangguhkan ke tarikh dimaklumkan kelak.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Paimuzi Yahya dalam kenyataan berkata langkah itu diambil susulan keputusan kerajaan agar semua perhimpunan termasuk acara melibatkan penyertaan dalam dan luar negara ditangguhkan berikutan Covid-19.

Jakim adalah urus setia MTHQA yang merupakan acara tahunan negara sejak 61 tahun lepas, katanya.

Setiap tahun acara itu disertai oleh lebih 60 negara dari seluruh dunia bagi memperdengarkan bacaan dan hafazan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Aktiviti sukan motor tangguh

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) memutuskan menangguhkan semua penganjuran aktiviti sukan permotoran ke satu tarikh ditentukan kelak.

Menurut MAM, dalam kenyataan hari ini, keputusan tersebut dibuat berdasarkan nasihat kerajaan Malaysia, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

“MAM terus memantau situasi semasa dan sentiasa memaklumkan maklumat terkini kepada komuniti sukan permotoran .

“Kami berharap semua dapat mengambil langkah pencegahan lebih rapi dan menjaga kebersihan sepanjang tempoh ini,” menurut MAM.

Semalam, kerajaan memutuskan semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April berikutan penularan Covid-19.

Sementara itu, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) juga membuat keputusan untuk membatalkan atau menangguhkan semua acara yang berlangsung di Litar Sepang hingga ke satu masa yang ditentukan kemudian.

Keputusan dibuat ini menyebabkan penganjuran perlumbaan ujian GT Asia, penganjuran Malaysia Speed Festival (MSF) dan Desmo Cup, dibatalkan manakala pusingan pertama dan kedua Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) dijadualkan pada 27-29 Mac dan 10-12 April dan pusingan pertama Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) (3-5 April) ditangguhkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Tangguh perjalanan ke wilayah kawasan wabak Covid-19

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah atau bandar di Korea Selatan, Jepun, Itali, Iran selain China yang sebelum ini telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga jam 8 pagi ini, sejumlah 81,398 kes Covid-19 yang melibatkan 2,770 kematian dilaporkan di seluruh dunia.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, empat peratus atau 3,200 kes dilaporkan di luar China yang melibatkan 52 kematian.

“Daripada pemantauan yang dijalankan didapati Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran menunjukkan ada peningkatan kes yang ketara dalam tempoh seminggu lalu.

“Berdasarkan situasi semasa Covid-19 di Malaysia dan perkembangan terkini di peringkat global, KKM ingin menyarankan kepada rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke wilayah-wilayah atau bandar-bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham juga mengingatkan khususnya pengembara yang berada di negara itu dan selepas pulang ke Malaysia untuk mengamalkan langkah pencegahan kesihatan diri seperti kerap mencuci tangan, etika batuk yang baik selain segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti deman, batuk dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan.

Selain itu semasa dalam tempoh lawatan, mereka juga diingatkan untuk mengelak daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung serta elakkan memakan atau minum sebarang produk haiwan yang mentah dan elakkan ke ladang haiwan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Perlawanan PKNS FC dan Kedah dipinda 9 Mei

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 MAC: Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengumumkan tarikh perlawanan Liga Super 2017 antara PKNS FC dan Kedah dari 6 Mei dipinda kepada 9 Mei ini.

PKNS FCPindaan tarikh dibuat disebabkan PKNS FC akan mewakili Selangor pada perlawanan Piala Sultan Selangor di Singapura.

“PKNS FC dititahkan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mewakili Selangor di Singapura, pada 6 Mei ini,” katanya.

Perlawanan itu bakal dilangsungkan, di Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun, perlawanan Sarawak menentang Selangor kekal bermain, pada 9 Mei ini.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Shah Alam On Wheel ditangguhkan atas masalah teknikal

Oleh :LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 JULAI: Pejabat Bergerak ‘Shah Alam On Wheel’ (SAOW) yang dijadualkan singgah di Plaza Shah Alam hari ini ditangguhkan atas masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata SAOW akan beroperasi seperti biasa pada masa lain yang akan ditentukan kemudian.

MBSAUntuk itu, pihaknya memohon maaf atas penangguhan operasi SAOW yang mungkin menimbulkan kesulitan kepada warga Shah Alam.

“MBSA memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang berlaku. Pengoperasian perkhidmatan SAOW akan beroperasi seperti biasa pada tarikh dan masa yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang, semalam.

Sebelum ini, MBSA mengumumkan SAOW akan beroperasi di Plaza Shah Alam pada hari ini bermula jam 10 pagi hingga 3 petang dengan menawarkan 18 jenis perkhidmatan.

MBSASejak awal bulan ini, SAOW singgah di beberapa lokasi bagi memudahkan urusan warga Shah Alam seperti di Giant Seksyen 13, Giant Seksyen 18 dan Seksyen 32, di sini.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Korporat & Pembangunan Komuniti di talian 03-5510 5133 samb. 1507 atau 1358 atau 1373 atau hubungi Shahrin sendiri di talian 013-3380551.

-NFN-