Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP, GoGet perkenal program simpanan saraan bersepadu bagi pekerja gig

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan GoGet Malaysia bekerjasama untuk melindungi kewangan dan menyediakan komuniti pekerja gig yang turut dikenali sebagai ‘GoGetters’ semasa persaraan mereka, melalui pelancaran program simpanan bersepadu.

GoGet, aplikasi kerja atas permintaan akan menjadi yang pertama di Malaysia untuk memasukkan ciri caruman KWSP dalam platformnya yang bersepadu dan boleh disesuaikan sebagai antara usaha menggalakkan GoGetters menyumbang kepada simpanan persaraan melalui program caruman sukarela seperti i-Saraan dan caruman sendiri.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berkata pekerja gig yang mempunyai akaun KWSP sedia ada hanya perlu memberi kebenaran untuk menyertai program ini dan menetapkan kadar caruman mereka.

Katanya bonus yang diterima GoGetters daripada GoGet akan turut menjadi sebahagian daripada pendapatan yang dicarumkan kepada KWSP.

GoGetters yang bekerja secara sambilan dengan majikan formal atau mereka yang berumur 55 tahun ke atas, turut digalakkan menyumbang melalui program caruman sendiri, yang terbuka kepada semua individu yang boleh menyumbang pada bila-bila masa sehingga maksimum RM60,000 setahun.

Ciri ini sangat fleksibel berikutan GoGetters dapat melaraskan kadar sumbangan mereka atau menarik diri daripada program itu pada bila-bila masa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata GoGetters memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi, namun akan memberikan kesan buruk kepada sosioekonomi dalam masa terdekat sekiranya mereka dibiarkan tanpa jaringan keselamatan sosial untuk persaraan.

“Pandemik Covid-19 telah banyak mengubah landskap kerja dan kami melihat peningkatan mendadak bilangan individu yang bekerja sendiri di Malaysia.

“Bagi sesetengah orang, bekerja sendiri boleh menjadi laluan kerjaya yang menarik. Namun, ia tidak disertakan dengan pelan persaraan yang tersendiri. Di sinilah peranan KWSP menjadi penting kerana kami mahu mereka mendapat sokongan pelan persaraan rasmi untuk jaminan persaraan mereka,” katanya.

CEO GoGet Francesca Chia berkata GoGetters akan mendapat manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen dengan memulakan simpanan awal dan konsisten walaupun melibatkan jumlah yang kecil.

Sebagai contoh, individu yang menyimpan RM50 sebulan selama 30 tahun akan dapat mengumpulkan simpanan sebanyak RM47,000 selepas 30 tahun atau lebih dua kali ganda jumlah caruman mereka sebanyak RM18,000.

“Jika GoGetters menjimatkan RM140 sebulan, mereka akan dapat memaksimumkan insentif i-Saraan dan mengumpulkan RM131,000 di sebalik RM50,400 jumlah caruman dalam masa 30 tahun,” kata Chia.

Pada September 2021, KWSP telah menandatangani MoU dengan Grab Malaysia untuk tujuan yang sama.

Pada masa ini, lebih separuh daripada tenaga buruh Malaysia tidak dilindungi untuk jaminan pendapatan persaraan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

i-Sinar: Ramai tarik nafas lega tetapi ada masih keliru

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Suri rumah, pemandu bas sekolah, kru filem dan pekerja hotel kini boleh menarik nafas lega apabila mereka dinyatakan sebagai antara kategori yang bakal mendapat kelulusan secara automatik program i-Sinar, bermula pertengahan bulan ini.

Ini susulan kategori itu turut dipaparkan laman sosial Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas institusi tersebut membuat pengumuman berhubung kriteria dan butiran kemudahan i-Sinar, Rabu lepas.

Seorang suri rumah Kamilia Mohd, 28, berkata kelulusan secara automatik itu memudahkannya kerana tidak perlu berhadapan prosedur  melecehkan membuat pengeluaran caruman KWSP.

“Suami bekerja sendiri dan sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada Mac lepas pendapatan memang agak terjejas kerana pada waktu itu dia tidak boleh keluar untuk berniaga dan sekarang pun pendapatannya tidak serancak sebelum ini.

“Jadi apabila ada program i-Sinar dan sebagai suri rumah, walaupun saya tidak lagi mencarum hampir 10 tahun, agak memudahkan kerana tidak perlu melalui prosedur melecehkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pemandu van sekolah Noria Rashid, 45, pula menyifatkan pengeluaran wang diluluskan secara automatik kepada pemandu van dan bas sekolah yang menjadi ahli KWSP sepertinya, secara tidak langsung memberi sedikit harapan kepada kumpulan pekerjaan sangat terjejas pendapatan.

Noria berkata buat masa ini dia terpaksa menjual aiskrim Malaysia sebagai sumber pendapatan alternatif susulan penutupan sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang sejak 14 Okt lepas.

“Saya tahu program i-Sinar, tetapi tidak tahu kami sebagai pemandu van dan bas sekolah boleh dapat secara automatik, jika benar insya-Allah kami akan memohon.

“Adanya sedikit duit (KWSP) dapatlah kami bernafas buat sementara sebelum sekolah dapat dibuka dan perkhidmatan kami beroperasi semula,” katanya.

Ayuni Zamani, 36, seorang penulis skrip bebas turut senada dan menyifatkan program itu dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang perlu melunaskan beberapa komitmen tertangguh sebelum ini.

Katanya walaupun jumlah caruman KWSP yang boleh dikeluarkan tidak besar, sedikit- sebanyak dapat membantu ketika keadaan industri perfileman dan drama tempatan terjejas oleh Covid-19.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pejabat KWSP di ibu negara mendapati kebanyakan pencarum  ditemui memilih berjumpa pegawai KWSP bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kemudahan pengeluaran caruman daripada Akaun 1.

Mereka berpandangan bertemu pegawai KWSP bukan sahaja membolehkan mereka mendapat maklumat terperinci tetapi juga mengelakkan kekeliruan berhubung kemudahan berkenaan memandangkan ada dakwaan proses pengeluaran merumitkan.

Zahari Shamsudin, 36, seorang peniaga yang juga pencarum kategori 1 i-Sinar, meluahkan rasa lega dengan penjelasan pegawai KWSP berhubung proses dan maklumat lebih terperinci pengeluaran carumannya.

“Baca di media sosial banyak sangat maklumat yang kadang-kadang mengelirukan, jadi saya datang ke pejabat KWSP berbincang dengan pegawai untuk maklumat lanjut,” katanya.

Tidak terkecuali penghantar makanan Amirul Amir Ismail, 30, yang hadir di pejabat KWSP untuk mengetahui sama ada dia layak memohon pengeluaran hingga RM10,000 program itu.

Bekas petugas sektor perhotelan itu berkata kemudahan pengeluaran caruman berkenaan membantu meringankan bebannya yang kini terpaksa menjadi penghantar makanan selepas diberhentikan kerja Julai lepas.

“Bila berjumpa dengan petugas KWSP, selain beri maklumat, mereka juga beri saranan pengurusan wang yang akan dikeluarkan nanti,” katanya.

Mohd Nasrul Naim, 39, pula berpendapat KWSP seharusnya menggunakan pendekatan mudah dengan menyenaraikan semua kategori layak serta diberikan kelulusan automatik kerana rata-rata pencarum masih keliru dengan pelaksanaan program yang turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka.

“Bila tiada penerangan, pencarum juga keliru dan akhirnya terpaksa ke pejabat KWSP untuk dapatkan kepastian, ini menyulitkan keadaan bukan sahaja pencarum tetapi juga kepada pihak KWSP,’’ kata pemilik kedai makan itu.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 28 November lepas mengumumkan program i-Sinar diperluaskan kepada lapan juta orang berbanding dua juta ahli yang layak dengan jumlah pengeluaran maksimum turut dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM10,000 bagi mereka yang mempunyai simpanan kurang daripada RM90,000 dalam Akaun 1, membabitkan peruntukan RM70 bilion.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Caruman KWSP sembilan peratus mulai Januari 2021

SHAH ALAM, 6 NOV: Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan daripada 11 kepada sembilan peratus mulai Januari tahun depan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata langkah itu bagi meningkatkan pendapatan boleh guna dalam tempoh 12 bulan.

“Ini akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga RM9.3 bilion,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.

Kadar caruman berkanun syer pekerja beberapa kali diturunkan sebelum ini.

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang dibentang pada 5 Mac mengumumkan kadar tersebut diturunkan daripada 11 kepada tujuh peratus berkuat kuasa April.

 

Categories
SELANGOR

LZS laksana kempen terkini, mudahkan pencarum semak penyata

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan Kempen Tambah Caruman Zakat Melalui Potongan Gaji bagi menggalakkan pencarum zakat sedia ada menyemak semula jumlah potongan zakat mereka, di sini, hari ini.

Kempen itu dilaksanakan selama tiga bulan bermula 15 Mac hingga 15 Jun ini.

IMG_5947Pada majlis sama, LZS  mengadakan Majlis Anugerah dan Penghargaan LZS 2014 khusus bagi wakil firma audit dan percukaian, ejen syarikat, bank, pejabat pos serta penolong amil institusi pengajian tinggi (IPT) fitrah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hussin Mohd Ali berkata, penghargaan diberi kepada pembayar zakat perniagaan yang terlibat membantu LZS dalam menjalankan kewajipan membayar zakat seluruh Selangor.

Beliau berkata, selain itu LZS turut menyumbangkan lori bergerak kepada golongan asnaf yang berniaga secara kecil-kecilan.

IMG_6041 (1)“Sebanyak 45 buah lori LZS bernilai RM55,000 setiap satu termasuk modal pusingan dan peralatan diserahkan kepada asnaf fakir miskin dari sembilan daerah di Selangor.

“Paling utama, LZS akan melancarkan Kempen Tambah Caruman iaitu lebih daripada 60 peratus melalui skim potongan gaji,” katanya kepada Selangor Kini.

Peningkatan kutipan  2014 berjumlah RM615 juta memberi peluang kepada LZS menguruskan zakat dengan telus, adil dan memastikan keberkesanan agihannya.

-NFN-