Categories
NASIONAL

Skandal Trevino: Najib Didesak Beri Penjelasan Pulihkan Imej Malaysia

nik-nazmi batik 01

 

SHAH ALAM, 11 MAC : Skandal Trevino di mana Kerajaan Malaysia membayar wang kepada penulis menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mula mendapat liputan luas di media antarabangsa.

Terbaru, laporan ‘The Wall Sreet Journal (Malaysia’s U.S Propaganda March 7, 2013) menyertai beberapa media antarabangsa lain yang mendedahkan pembayaran sejumlah wang oleh Kerajaan Malaysia kepada Joshua Trevino, bekas penulis ucapan Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush.

Biarpun disebarkan luas di media antarabangsa, namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak sehingga kini tidak memberikan sebarang maklumbalas terhadap pendedahan tersebut.

Trevino juga dibayar untuk mempromosikan pentadbiran Najib.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa Trevino dibayar AS $389,724.70 (RM 1,209,511.82) oleh Kerajaan Malaysia menerusi syarikat pro-Israel APCO Worldwide.

Bayaran itu bagi tujuan memuji ciri-ciri ‘wasatiyyah’ atau kesederhanaan yang diamalkan dalam pentadbiran Najib serta memburukkan imej Anwar.

Malah, Trevino dipaksa meletakkan jawatan sebagai kolumnis di akhbar United Kingdom (UK), The Guardian berikutan beliau tidak mengumumkan peranannya sebagai konsultan kepada FBC Media yang menjadi medium penulisannya bagi memuji Najib.

Menurut Nik Nazmi, pada tahun 2011, Najib mengakui bahawa Kerajaan Malaysia membayar RM 94 juta kepada FBC Media diantara tahun 2007 sehingga 2010.

FBC turut membayar AS $70,000 (RM 217,770.03) kepada APCO Worldwide untuk melobi kerajaan Amerika Syarikat bagi pihak pentadbiran Najib.

Apabila skandal pembayaran dan pengaturan berita ini didedahkan, BBC dan CNBC menamatkan kontrak FBC kerana melanggar etika kewartawanan.

Dengan Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin hampir, Najib didesak supaya segera memberikan penjelasan mengenai jutaan ringgit wang rakyat yang digunakan bagi tujuan propaganda dan fitnah.

Categories
NASIONAL

PKR Dedahkan Umno-BN Bayar Penulis Pro-Israel Hentam Anwar

nik-nazmi batik 01

PETALING JAYA, 6 MAC: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan dokumen transaksi yang melibatkan pembayaran terhadap konsultan perhubungan awam Amerika Syarikat (AS) untuk menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pendedahan ini ekoran pengesahan yang dibuat bekas penulis ucapan Presiden Amerika Syarikat minggu lalu, Joshua Trevino.

Joshua telah memfailkan rekod kepada Kerajaan AS bahawa beliau telah dibayar kerajaan Malaysia menerusi APCO Worldwide di dalam kempen mempromosikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menyerang Anwar.

Rekod tersebut mendedahkan, Trevino dibayar AS$389,724.70 (RM 1,209,511.82) oleh kerajaan Malaysia, parti pemerintah Umno-BN ataupun kepentingan yang berkaitan.

Menurutnya, Najib perlu menjelaskan berapa banyak wang rakyat yang dibayar kerajaan kepada konsultan perhubungan awam, khususnya luar negara untuk menulis bahan-bahan anti-Pakatan Rakyat dan anti-Anwar.

“Selain daripada APCO di AS dan FBC di United Kingdom (UK) di manakah lagi BN melantik konsultan pembangkang dan siapa yang terlibat dalam melantik konsultan ini?

“Apakah bahan yang diberikan kepada konsultan-konsultan ini mengenai bahan-bahan berkaitan Anwar Ibrahim memandangkan kebanyakan kerja yang dibuat adalah untuk menyerang semata-mata?” Soalnya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Selain itu, Nik Nazmi turut membangkitkan adakah kerajaan sedar bahawa konsultan yang dilantik terkenal dengan pandangan ekstrem, anti-Islam, anti-Ikhwanul Muslimin serta penyokong tegar Israel.

Pada Ogos tahun lepas, Trevino dipaksa meletak jawatan sebagai kolumnis akhbar di UK, The Guardian berikutan beliau tidak menggumumkan peranannya sebagai konsultan kepada FBC Media dimana beliau menulis memuji tentang ciri-ciri ‘kesederhanaan’ Najib.

Pada 2011, Najib mengakui bahawa kerajaan membayar RM 94 juta kepada FBC Media antara 2007 hingga 2010.

FBC turut membayar AS $70,000 (RM 217,279.77) kepada APCO Worldwide untuk melobi kerajaan AS mewakili pentadbiran Najib.