Categories
NASIONAL

Jakim bantu perjelas isu suntikan vaksin dari sudut fatwa

KUANTAN, 2 MAC: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membantu Kementerian Kesihatan untuk membuat dasar berkenaan suntikan vaksin imunisasai dari sudut pandangan fatwa sama ada perlu mewajibkan pengambilannya atau sebaliknya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, dalam masa yang sama Jakim akan turut membantu memperjelaskan kepada orang ramai mengenai suntikan vaksin itu memandangkan terdapat sesetengah ibu bapa berpandangan ia mempunyai elemen yang tidak halal.

“Kita akui hak mereka sebagai ibu bapa tetapi kalau kita lihat dari sudut lebih besar apabila anak itu (tidak mendapatkan suntikan vaksin) mungkin tidak terlindung daripada sesetengah penyakit dan kemudian dia boleh merebak membawa penyakit itu kepada orang lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Moh Sambung Belajar 2019 Kolej Poly-Tech Mara Kuantan di sini, hari ini.

Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kemaslahatan ummah perlu sentiasa difikirkan di samping menghormati pendirian golongan ibu bapa terhadap soal anak-anak mereka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata, pihaknya akan membentangkan cadangan dan dasar kepada jemaah menteri supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Katanya, kementerian mendapat ‘desakan’ kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbang mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan menyebabkan berlaku jangkitan penyakit yang membawa kematian.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Zahid ‘cabar’ Waythamoorthy letak jawatan Timb. Menteri

gambar hiasan
gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,P. Waythamoorthy supaya berhenti memegang jawatannya sekarang berikutan tidak puas hati dengan tindakan pihak polis.

Cabaran Zahid ekoran Waythamoorthy mempersoalkan tindakan pihak polis berhubung kes tembakan ke atas lima penjenayah yang disyaki ahli kongsi gelap 04 di Pulau Pinang Ahad lalu.

Menurut Zahid sebagai seorang anggota kerajaan Waythamoorthy tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar yang ditentukan kerajaan.

“Jangan ingat beliau masih lagi pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) saya cadangkan dia (Waythamoorthy) berhenti (memegang jawatan timbalan menteri) kalau nak bercakap di luar dari bidang dia.” kata Zahid yang dipetik dari laporan media cetak arus perdana.

Waythamoorthy sebelum ini mempersoalkan tindakan pihak polis kerana mendakwa sukar mempercayai berlaku kejadian tembak -menembak selepas melihat gambar mayat yang mati ditembak.

Sebelum ini juga Pakatan Rakyat juga turut membuat bantahan berikutan persepsi yang sama dengan apa yang dicetuskan Waythamoorthy. – mza