Categories
SELANGOR

Permohonan atas talian rumah PR1MA sukar, tidak mesra pengguna

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SUBANG BESTARI, 8 MEI : Sistem permohonan atas talian Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tidak mesra pengguna dan menyukarkan pemohon mengisi borang permohonan melalui sistem berkenaan.

Nadeeia Salimi Suleiman, 32, berkata, akses untuk menggunakan capaian Internet pada laman sesawang berkenaan terhad terutamanya pada penggunaan waktu puncak.

interview 2“Bila kita attach (lampiran) beberapa dokumen seperti kad pengenalan dalam sistem itu, talian terus terputus dan saya tidak boleh akses laman itu semula.

“Memang diakui ramai orang yang cuba mengisi borang permohonan atas talian sebab ia lebih mudah. Tetapi kemudahan yang sepatutnya mudah itu jadi sukar kerana kegagalan sistem tersebut.

“Sepatutnya perlu ada kemaskini dan penambahbaikan yang lebih memudahkan masyarakat,” katanya kepada SelangorKini.

Rumah-PRIMA-2Justeru, beliau mengambil peluang mengisi permohonan Rumah SelangorKu yang diyakini mampu merealisasikan hasratnya sekeluarga memiliki kediaman sendiri.

“Sebagai penduduk Selangor, inisiatif Rumah Selangorku ini diharap dapat membantu kami sekeluarga memiliki rumah pertama selepas beberapa permohonan rumah PR1MA kami tidak diluluskan sebelum ini ,” katanya.

interview 1Sementara itu, Rohizuan Ab Rahman, 45, berharap permohonannya mendapatkan kediaman rumah mampu milik diluluskan selepas berkhidmat di Selangor sejak 14, tahun lalu.

“Selepas hampir 14 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam Selangor, saya berharap permohonan saya diluluskan.

“Lebih-lebih lagi dengan mengambil kira keadaan fizikal saya sekarang ini, saya memang memerlukan kediaman sendiri untuk saya dan anak-anak,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Kerajaan Persekutuan hanya tabur janji bina rumah PR1MA

Oleh: HAFIZAN TAIB

PERMATANG PAUH, 2 MEI: Kerajaan Persekutuan tidak konsisten dan sekadar membuat pengumuman pembinaan projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) sehingga kini didakwa tidak dibina di Pulau Pinang.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo, berkata sebaliknya Kerajaan Pulau Pinang sudah merancang menyediakan sebanyak 22,512 unit perumahan mampu milik di semua daerah di negeri berkenaan.

_MG_1751“Ia merangkumi jenis perumahan mampu milik iaitu daripada unit kos rendah berharga RM42,000, kos sederhana rendah (RM72,500), dan beberapa jenis unit mampu milik (RM200,000 hingga RM400,000) di bahagian pulau dan RM150,000 hingga RM250,000 di bahagian seberang.

“Berbanding Kerajaan Persekutuan cuma membuat pengumuman demi pengumuman tetapi sehingga kini tiada permohonan rasmi di kemukakan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) memainkan isu perumahan dalam kempen pilihan raya Permatang Pauh tetapi ia sendiri menganaktirikan warga Pulau Pinang di dalam penyediaan rumah mampu milik di bawah PR1MA.

Katanya, ia langsung tidak boleh diterima memandangkan warga Pulau Pinang adalah pembayar cukai ketiga tertinggi di negara ini.

“Kerajaan Persekutuan mengumumkan di dalam bajet tahun lalu peruntukan RM1.3 bilion disalurkan pembinaan 80,000 unit perumahan mampu milik di bawah PR1MA di seluruh negara.

“Sekiranya Kerajaan Persekutuan mempunyai niat membinanya, Kerajaan Pulau Pinang sudah pasti tiada halangan terhadap permohonan itu malah mengalu-alukannya,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Donald Lim Kelirukan Rakyat Tentang RMM

SHAH ALAM,25 OKT : Kerajaan Selangor menempelak kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai bahawa kerajaan negeri tidak membina rumah mampu milik (RMM).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, tuduhan yang dilemparkan itu tidak berdasarkan fakta dan mengelirukan.

Mengikut jawapan Iskandar di dalam Dewan Negeri Selangor pada bulan Mac 2012, bagi tempoh April 2008 sehingga Mac 2012, sebanyak 23,637 unit rumah mampu milik dibina oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ujarnya, Kerajaan Selangor telah menggalakkan pemaju membina RMM di kawasan-kawasan yang tidak sesuai untuk dibina Rumah Kos Rendah atau di mana tidak ada permintaan untuk Rumah Kos Rendah.

“Rakyat sedia maklum akan projek-projek perumahan Rumah Mampu Milik yang dibina di Negeri Selangor sama ada oleh Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Kerajaan Negeri atau pemaju-pemaju swasta.

“Beberapa siri lawatan telah turut saya lakukan untuk projek-projek tersebut malah harga  jualan Rumah Mampu Milik di Selangor adalah di antara RM 85,000 hingga RM 150,000 iaitu jauh lebih murah dari projek Rumah Mampu Milik Kerajaan Persekutuan, PRIMA yang dijual sehingga RM300,000,” kata Iskandar dalam satu kenyataan media.

Baru-baru ini, dilaporkan Donald telah mendakwa bahawa tiada RMM dibina di Selangor.

Iskandar berkata, beliau akan mengumumkan senarai projek-projek RMM yang sedang dibina dan yang telah diluluskan pada 1 November 2012 untuk memberi peluang kepada Donald untuk menarik balik dakwaan beliau.

“Jika beliau gagal maka beliau tidak ada pilihan lain selain dari meletakkan jawatan,” tegas Iskandar.

Iskandar juga berkata untuk jangka masa 2011 hingga 2021, PKNS merancang untuk membina lebih daripada 11,000 unit RMM di seluruh Selangor yang mana 16 tapak yang terletak di Seksyen 3 Bangi telahpun dimulakan pembinaanya.