Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cadangan jadikan i-Suri mandatori dalam masa tiga tahun

PUTRAJAYA, 12 OKT: Cadangan menjadikan Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) mandatori kini dikaji di peringkat Jabatan Peguam Negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, ia akan mengambil masa tiga tahun untuk menjadikan caruman dua peratus dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kini dijalankan secara sukarela sebagai mandatori.

“Itu masih lagi dalam peringkat Attorney-General’s Chambers. Kita nak buat ia mandatori tetapi tertakluk kepada Akta KWSP,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat B.I.J.A.K: Selamat dan Lindung sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (1), di sini, hari ini.

Wan Azizah berkata, caruman itu kini dijalankan secara sukarela oleh para suami kerana isteri yang telah membantu membina keluarga.

“Kita kena berikan satu penjelasan kepada para suami tentang kebaikan caruman ini untuk masa depan bersama dan ia akan berikan lebih lunak buat kita buat satu akta untuk pastikan suami memberi dua peratus caruman kepada isteri,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam, kerajaan mengumumkan program i-Suri ditambah baik dengan beri peluang suami sumbang dua daripada 11 peratus carumannya ke dalam akaun KWSP isteri.

Selain itu, Wan Azizah turut menyambut baik insentif buat pasangan yang ingin mendapatkan rawatan kesuburan.

Beliau berkata, ia adalah satu langkah baik untuk golongan B40 dan M40 yang ingin mendapat anak, yang sebelum ini turut menjadi perhatian Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Wan Azizah berkata, insentif tersebut bukan sahaja mengurangkan bebanan kewangan tetapi membawa kebahagiaan kepada pasangan yang inginkan anak, sekaligus memberi satu perasaan yang tidak boleh dibeli.

Belanjawan itu turut mengumumkan KWSP akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti in-vitro fertilisation (IVF).

Selain itu, turut diumumkan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan untuk penyakit serius akan diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memegang Belanjawan 2020 selepas membentangkan belanjawan tersebut di Parlimen hari ini.
Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan)
-Foto BERNAMA

Secara keseluruhannya, Wan Azizah berkata, Belanjawan 2020 lebih seimbang (balanced) dan menyeluruh kerana kaum wanita dan kanak-kanak turut diberi keutamaan.

Beliau berkata, pembentangan Belanjawan 2020 semalam telah memperuntukkan RM10 juta untuk penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) baru di bangunan kerajaan dan sejumlah 66 TASKA telah mendapat manfaat berbanding sasaran awal 50 TASKA.

“Bagi 2020, kerajaan telah bertindak prihatin dengan meningkatkan peruntukan kepada RM30 juta untuk menyediakan lebih banyak lagi TASKA di bangunan kerajaan, terutamanya di hospital dan sekolah pada tahun hadapan.

“InnsyaAllah lebih banyak TASKA akan dapat diwujudkan dan lebih banyak keluarga, ibu bapa dan anak-anak yang akan mendapat manfaat daripada peruntukan ini,” katanya.

Selain itu, Wan Azizah berkata bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang menghantar anak untuk pendidikan awal ke TASKA dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) berdaftar, pelepasan cukai individu bagi yuran yang dibayar akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000.

“Kita berharap lebih ramai ibu bapa atau penjaga akan memilih untuk menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak lebih terjamin,” katanya

Dalam bidang pendidikan bagi Kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU), Wan Azizah berkata kerajaan memperuntukkan RM 23 juta kepada sekolah kebangsaan untuk meningkatkan kemudahan dan tahap aksesibiliti sekolah untuk menjadikannya lebih mesra OKU.

“Ini selari dengan dasar penolakan sifar yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan di mana tiada kanak-kanak OKU dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka. Alhamdulillah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM20 juta panjangkan manfaat i-Suri

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan memperuntukkan RM20 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memanjangkan manfaat Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) pada tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata, program itu akan ditambah baik bagi membolehkan suami memilih untuk menyumbang secara sukarela sebanyak dua peratus daripada 11 peratus carumannya ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) isteri.

i-Suri diperkenal pada 15 Ogos tahun lalu bertujuan bagi memastikan kesejahteraan golongan suri rumah serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada ahli keluarga dan pembangunan negara.

Katanya, KWSP juga akan memperluaskan perlindungan kepada pekerja kontrak di bawah kontrak untuk perkhidmatan dan profesional.

“Sebagai permulaan, skim ini akan dijalankan secara sukarela bagi pekerja dalam industri seni dan hiburan melalui kerjasama antara KWSP dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebelum diperluas ke sektor lain,” katanya.

Guan Eng berkata Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) oleh Perkeso juga akan diperluas bagi membolehkan 18 kumpulan yang bekerja sendiri seperti nelayan, petani, pemilik tunggal dan perkongsian mencarum dalam skim itu mulai tahun depan.

SKSPS diwujudkan pada Jun 2017 untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri dan sebagai permulaan skim itu diwajibkan ke atas pemandu teksi, e-hailing (perkhidmatan pengangkutan penumpang) dan pemandu bas.

Katanya, Perkeso juga akan membina sebuah pusat rehabilitasi baharu dengan kos RM500 juta di Perak selepas kejayaan Pusat Rehabilitasi Perkeso di Melaka.

“Pusat baharu ini akan dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk robotik, rawatan trauma dan pusat kecemerlangan bagi mencegah kemalangan dengan kerjasama agensi berkaitan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

i-Suri diperluas kepada Orang Asli, Orang Asal Sabah dan Sarawak

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kumpulan sasar yang layak memohon i-Suri akan diperluas kepada masyarakat Orang Asli dan Orang Asal Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihaknya akan memanjangkan penyelarasan daftar pemohon program berkenaan dengan agensi bertanggungjawab termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk mendapatkan senarai mereka yang layak.

“Kita ambil maklum bahawa pihak Orang Asli dan mungkin Orang Asal Sabah dan Sarawak memerlukan jaringan ini, kalau boleh kita sama-sama selaraskan dengan data, data itu kita mesti adakan pemutihan juga kerana ada pertindihan banyak.

“Ideanya baik, tetapi sebab (dana) terhad kita kena fikir mana keperluannya,” katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Datuk Isa Ab Hamid yang ingin tahu sama ada daftar pemohon i-Suri akan diperluas kepada masyarakat Orang Asli yang tidak termasuk dalam senarai e-Kasih yang digunakan kerajaan bagi menentukan pemohon yang layak bagi program itu.

Sementara itu, menjawab soalan asal Senator Asmak Husin mengenai pencapaian program berkenaan, Dr Wan Azizah menarik perhatian anggota Dewan Negara bahawa sasaran pendaftaran 100,000 suri rumah dan wanita di bawah program yang dilancarkan pada Ogos tahun lepas, kini telah tercapai.

Malah, beliau berkata sehingga 30 April, jumlah mereka yang mendaftar melebihi sasaran iaitu sebanyak 107, 619 orang.

Terdapat tiga fasa pelaksanaan program berkenaan iaitu caruman secara sukarela dengan insentif kerajaan melalui sumbangan ke akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Fasa kedua ialah caruman secara sukarela dengan insentif kerajaan melalui sumbangan ke akaun KWSP dan perluasan perlindungan sosial kepada suri rumah di bawah kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Fasa ketiga pula caruman wajib suami melalui potongan dua peratus caruman KWSP kepada isteri atau suri rumah,” katanya.

Tambah beliau, bagi fasa ketiga, draf pindaan Akta KWSP 1991 telah disediakan dan dijangka dibentang di Parlimen, Julai ini dan pelaksanaannya dijangka bermula pada suku ketiga tahun hadapan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Seramai 4,365 suri rumah sudah mencarum i-Suri – Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Seramai 4,365 suri rumah telah mendaftar untuk Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) sejak ia dikuat kuasa pada 15 Ogos lepas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pelaksanaan skim i-Suri bukan bertujuan semata-mata untuk melaksanakan janji dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan tetapi lebih daripada itu untuk menjaga kemaslahatan wanita terutamanya golongan suri rumah.

“Kerajaan memandang serius dan komited dalam memastikan insentif berkenaan dan kebajikan wanita agar sentiasa terjaga. Kerajaan percaya wanita sentiasa memberi sumbangan kepada pembangunan negara sama ada secara langsung atau tidak termasuklah suri rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Santapan Malam Hari Wanita 2018 anjuran Majlis Pertubuhan Kebangsaan Wanita Malaysia (NCWO) yang bertemakan ‘Mengilham Harapan, Memacu Wawasan’, di sini malam tadi.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,berkata skim tabungan di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Fasa pertama menyasarkan golongan suri rumah yang merupakan isteri kepada Ketua Isi Rumah (KIR), KIR dalam kalangan ibu tunggal, KIR wanita berstatus balu dan KIR wanita bujang yang berdaftar di dalam pangkalan data kemiskinan nasional, e-kasih,” katanya.

Dalam majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan melancarkan buku ‘Sri Kandi :Biografi Penerima Pingat Mas Tun Fatimah 1974 -2013’ hasil tulisan Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim.

Turut hadir, Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor bagi Kesihatan, Kebajikan dan Pemerkasaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud dan Yang Dipertua NCWO, Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Sehubungan itu, Wan Azizah menyeru NCWO yang mewakili wanita pelbagai kaum, agama, latar belakang sosio-ekonomi dan pegangan politik, untuk berganding bahu dan senafas dengan iltizam baharu kerajaan.

“Iltizam ini berlandaskan keyakinan bahawa penglibatan wanita dalam pembangunan bukan hanya soal keadilan dan hak, tetapi yang lebih penting adalah keperluan bagi negara kita untuk mencapai status maju,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap agar wanita tidak mudah goyah dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang selain perlu berani menongkah arus mengikut peredaran masa.

Katanya, wanita perlu bangkit dan memotivasikan diri untuk mencipta kejayaan diri demi pembangunan negara dan menumpukan perhatian kepada perkara asas yang selalu menyekat penglibatan wanita.

“Saya percaya masih banyak lagi usaha yang perlu kita laksanakan, bukan hanya tertumpu pada inisiatif kerajaan tetapi juga memerlukan kolaborasi yang erat dengan pelbagai pemegangan kepentingan termasuklah badan-badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

SUMBER: BERNAMA