Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

PKR: BN terpisah dari realiti kepayahan golongan muda

ptptn

PETALING JAYA 22 OGOS: Walaupun BN tunduk dengan bantahan mendadak rakyat berhubung isu CCRIS namun tindakan menteri terbabit menjelaskan BN begitu terpisah dari realiti kepayahan hidup golongan Muda yang dibebani oleh PTPTN.

PKR yang mengadakan sidang media hari ini memperjelaskan permasalahan golongan lepasan siswazah yang dibebani hutang disaat mereka akan memulakan hidup baru.

Ikuti kenyataan media lengkap tersebut.

KAJIAN KEBERHUTANGAN PTPTN DAN TWEETUP #PTPTN 29 OGOS 2013

KEADILAN memandang berat cadangan PTPTN yang dibawa oleh Menteri Pendidikan II, Dato? Seri Idris Jusoh untuk menyenaraikan peminjam PTPTN di dalam CCRIS yang diumumkan minggu ini. Walaupun Barisan Nasional akhirnya tunduk kepada bantahan mendadak rakyat, cadangan yang dibawa menteri itu menunjukkan bahawa Barisan Nasional begitu terpisah dari realiti kepayahan hidup golongan muda yang dibebankan oleh PTPTN ini.

Sehingga kini, kita tidak pernah dimaklumkan sama ada sebarang kajian khusus telah dibuat oleh PTPTN atau Barisan Nasional untuk memahami apakah sebab-sebab sebenar kenapa majoriti peminjam PTPTN menghadapi kesukaran untuk membayar PTPTN.

Kerajaan Persekutuan juga tidak pernah mengumumkan perincian-perincian berikut yang sangat penting untuk memahami masalah ini dengan menyeluruh agar langkah susulan itu tepat dengan punca masalahnya, iaitu:

1. Profail pendapatan bulanan bersih peminjam-peminjam PTPTN ? berapa ramai yang bergaji di atas RM2,500 sebulan, berapa ramai yang bergaji di bawah RM1,000 sebulan dan lain-lain

2. Profail kejayaan mendapatkan kerja atau mendapatkan kerja yang setaraf dengan kelulusan atau jurusan ? berapa ramai yang masih menganggur, berapa lama diperlukan sebelum mendapat kerja yang setimpal, berapa orang pemegang ijazah yang mendapat kerja berkelulusan lebih rendah seperti diploma dan lain-lain

3. Profail kualiti IPTS yang membawa kesan kepada kemampuan seorang pemegang mendapat kerja ? berapa ramai peminjam yang berakhir dengan ijazah yang tidak diiktiraf, berapa banyak kolej yang tidak menyediakan kemudahan bertaraf university, peratusan kejayaan graduan kolej-kolej swasta dan IPTS mendapat kerja selepas tamat pengajian

Ini adalah contoh-contoh maklumat yang sangat diperlukan untuk membentuk satu pemahaman yang adil mengenai masalah keberhutangan golongan muda.

Barisan Nasional tidak pernah berminat mendalami masalah keberhutangan golongan muda ini dan mengambil pendekatan kasar dengan memukul rata kononnya semua peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran tidak bersyukur dan tidak bertanggungjawab.

KEADILAN menggesa Dato? Seri Idris Jusoh supaya tidak lagi pandai-pandai mengumumkan langkah baru menekan peminjam PTPTN sehinggalah maklumat-maklumat ini dikaji sepenuhnya dan dibentangkan di Parlimen.

Sementara itu, KEADILAN akan merintis jalan ke arah memahami masalah keberhutangan peminjam PTPTN dengan melancarkan kajiselidik keberhutangan peminjam PTPTN untuk mengumpulkan maklumat-maklumat yang disenaraikan di atas. Kajiselidik ini boleh disertai oleh semua peminjam PTPTN dengan mengisi satu borang kajiselidik yang boleh dicapai di internet bermula esok, 23 Ogos 2013. Kajiselidik ini akan disebarkan melalui laman-laman sosial, Twitter dan blog.

Keputusan dari kajiselidik awal ini akan dibentangkan dalam satu perjumpaan tweetup #PTPTN yang akan diadakan pada hari Khamis, 29 Ogos 2013 jam 830 malam di Perpustakaan MBPJ, Petaling Jaya. Semua peminjam/aktivis anti-PTPTN dan pimpinan masyarakat dijemput turut serta di dalam tweetup tersebut yang turut bertujuan menyusun gerakan anti-PTPTN dalam sebuah pertubuhan rasmi yang lebih tersusun.

Sudah tiba masanya peminjam-peminjam PTPTN membentuk satu pertubuhan lobi yang berpengaruh supaya mana-mana pihak berunding dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat cadangan, bagi mengelakkan berulangnya peristiwa cadangan penyenaraian CCRIS.

NURUL IZZAH ANWAR
Naib Presiden
Ahli Parlimen Lembah Pantai

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan

NIK NAZMI AHMAD
Pengarah Komunikasi
Timbalan Speaker DUN Selangor

22 OGOS 2013 – mza