Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: Guna penutup mulut, hidung tiga lapis cegah jangkitan

SHAH ALAM, 30 JAN: Penutup mulut dan hidung tiga lapis paling sesuai digunakan berbanding satu lapis atau N95, kata pakar perunding penyakit berjangkit di Hospital Sungai Buloh.

Dr Benedick Sim bagaimanapun berkata penutup itu perlu ditukar dalam tempoh beberapa jam kerana ia biasanya menjadi lembab, lapor Berita Harian.

“Penutup mulut dan hidung yang sesuai adalah jenis tiga lapis. Penggunaan topeng muka N95 menyebabkan rasa tidak selesa dan kesukaran bernafas kepada pengguna,” katanya pada sesi taklimat isu jangkitan koronavirus di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, beliau berpendapat situasi semasa penularan koronavirus pada masa ini tidak menjadi tuntutan kepada orang awam untuk memakai penutup hidung dan mulut di tempat awam.

“Namun, jika orang awam mahu memakai juga, ini adalah langkah yang baik sebagai usaha pencegahan. Pada asasnya, tiada keperluan mendesak untuk memakainya,” katanya.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga lagi kes terbaharu koronavirus 2019 membabitkan rakyat China di negara ini, menjadikan tujuh kes direkod setakat ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan naikkan harga topeng muka – Fomca

SHAH ALAM, 28 JAN: Peniaga digesa tidak menaikkan harga topeng muka susulan penularan wabak koronovirus ketika ini, kata timbalan presiden gabungan persatuan pengguna Malaysia (Fomca).

Sebaliknya peniaga digalak menurunkan harga atau mengedarkannya secara percuma seperti di Jepun.

“Setakat ini Fomca belum terima aduan. Namun jika ada, peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan sebaliknya mereka perlu memainkan peranan bantu kerajaan dengan melaksanakan tanggungjawab sosial.

“Tidak boleh mengaut keuntungan sewenang-wenangnya dalam hal ini,” kata Mohd Yusof Abdul Rahman kepada SelangorKini.

Pada masa sama beliau mahu pengguna buat aduan kepada pihak berwajib jika terdapat kenaikan harga.

“Kerajaan perlu menguar-uarkan harga topeng muka kepada orang awam supaya mereka tahu harga yang ditetapkan dan pengeluar juga harus mempertingkatkan bekalan supaya cukup untuk pengguna,” katanya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menetapkan lima jenis topeng muka sebagai barangan harga terkawal.

Lima jenis topeng muka terbabit adalah:

(i) Topeng muka (pembedahan/perubatan) satu lapisan (gelung telinga) – Harga borong RM5 sekotak , harga runcit RM7 sekotak.

(ii) Topeng muka (pembedahan/perubatan) 2 lapisan (gelung telinga) – Harga Borong RM8 sekotak, harga runcit RM10 dan RM0.20 sen seunit.

(iii)Topeng muka (pembedahan/perubatan) tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala) – harga borong RM25 sekotak, harga runcit RM0.80 sen seunit.

(iv) Topeng muka (pembedahan/ perubatan) tiga lapisan (ikatan pada kepala) – harga borong RM30 sekotak, harga runcit RM0.80 sen seunit.

(v) Topeng muka (pembedahan / perubatan) N95 – harga borong RM100 sekotak, harga runcit RM6 seunit.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jerebu: YIDE edar 1,000 penutup mulut

SHAH ALAM, 22 SEPT: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) mengedarkan 1,000 penutup mulut dan air mineral kepada orang awam di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, di sini, pada 20 September lalu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, edaran itu dilakukan sebagai langkah awal penjagaan kesihatan terutama ketika menghadapi fenomena jerebu yang semakin membimbangkan pada masa kini.

Katanya, selain mengedarkan penutup mulut pihaknya bersama jemaah masjid turut melaksanakan solat sunat Istisqa’ memohon hujan turun, sekali gus meredakan jerebu.

“Edaran penutup mulut ini dilakukan sebagai sebahagian tanggungjawab sosial YIDE yang juga badan berorentasikan kebajikan di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“YIDE menyeru orang awam khususnya kanak-kanak untuk menjaga kesihatan serta mengikut mengikut panduan dalam menangani fenomen jerebu ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kanak-kanak turut dibekalkan penutup mulut dan hidung oleh YIDE sebagai persediaan berdepan cuaca jerebu. – Foto Facebook YIDE

Terdahulu, YIDE turut mengedarkan 1,000 penutup mulut di sekitar kawasan Johan Setia.

Sementara itu, berdasarkan laporan rekod bacaan jerebu di portal Jabatan Alam Sekitar, Johan Setia sebagai kawasan tunggal di Selangor merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di paras sangat tidak sihat dengan bacaan 202 setakat jam 2 petang tadi.

Manakala, lima kawasan di Selangor direkodkan pada paras tidak sihat iaitu Kuala Selangor (161), Shah Alam (138), Petaling Jaya (134), Klang (133) dan Banting (121).

Berdasarkan rekod, bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di http://apims.doe.gov.my/public_v2/api_table.html.

Categories
SELANGOR

Jerebu: Selangor sediakan 100,000 topeng muka untuk rakyat

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 MAC: Berikutan jerebu yang semakin membimbangkan, Kerajaan Selangor mengambil langkah segera menyediakan 100,000 topeng muka untuk diedar kepada orang ramai.

Exco Kesihatan, Dr Daroyah Alwi, berkata ia diberi kepada semua Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mencatat kadar Indeks Pencemaran Udara (IPU) tinggi.

Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahupun pegawai PKM boleh mendapatkan bekalan berkenaan dalam masa terdekat.

“Orang awam boleh mendapatkan topeng muka itu secara percuma di PKM di DUN masing-masing.

“Kuantitinya akan ditambah dari masa ke masa bergantung kepada keadaan semasa jerebu,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, Banting mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu 130, Petaling Jaya (123), Pelabuhan Klang dan Shah Alam (121), Kuala Selangor (105) dan Batu Muda, Kuala Lumpur (115).

Mengikut Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU antara 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana); 101-200 (tidak sihat); 201-300 (amat tidak sihat) manakala lebih 301 (berbahaya kepada kesihatan).

Disposable_Face_Mask1Pada kenyataan media sama, Daroyah juga menasihati orang ramai supaya peka terhadap bacaan IPU bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko kesihatan.

Katanya, jerebu memberi kesan buruk kepada semua orang terutama golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit asma, paru-paru atau jantung.

“Rakyat disaran meningkatkan pengambilan air dan mengurangkan aktiviti luar serta sentiasa menggunakan topeng muka di luar rumah.

“Pesakit yang mengambil ubat-ubatan dinasihatkan supaya mengambil ubat secara teratur. Jika sukar bernafas, segera bertemu doktor,” katanya.

Selain itu, katanya perokok diminta mengurangkan tabiat mereka selain mengelakkan merokok di kawasan tertutup seperti di rumah.

Beliau berkata, pengguna jalan raya pula dinasihati menjaga jarak antara kenderaan dan elakkan memandu jika jarak penglihatan kian teruk.

Hampir semua kawasan di Selangor dan Lembah Klang mencatat bacaan IPU tidak sihat ekoran jerebu akibat pembakaran hutan di Sumatera hingga menjejaskan kualiti udara di Semenanjung Malaysia.

– FZL