Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Perbelanjaan pelancong dijangka meningkat lapan peratus tahun ini

PETALING JAYA, 16 SEPT: Tourism Malaysia menjangka perbelanjaan pelancong meningkat lapan peratus tahun ini daripada RM28.1 bilion yang dicatatkan tahun lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Musa Yusof berkata, antara aspek yang boleh membantu meningkatkan perbelanjaan pelancong ialah menampilkan Malaysia sebagai destinasi membeli-belah, terutama dengan kempen Year-End Sale atau Jualan Akhir Tahun (YES), kerana membeli-belah merupakan bahagian terbesar perolehan pelancongan pada 2018.

“Bagi perbelanjaan pelancong tahun ini, kami menyasarkan peningkatan sebanyak lapan peratus, jika tidak, sekurang-kurangnya lima peratus. Dari Januari hingga Mac 2019, perbelanjaan membeli-belah menunjukkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus pada RM7.05 bilion. Biasanya pada suku ketiga, ia (perbelanjaan) akan meningkat lebih banyak lagi.

“Kita tentunya mengharapkan prestasi pelancongan yang positif pada tahun ini. Antara Januari dan Jun 2019, ketibaan pelancong mencatatkan 13.35 juta, peningkatan 4.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya semasa sidang akhbar selepas pelancaran kempen YES Malaysia di sini, semalam.

Musa berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Tourism Malaysia, barang-barang yang menjadi pilihan utama dibeli pelancong semasa kunjungan mereka ke Malaysia tahun lepas adalah kraftangan, pakaian, produk kecantikan dan kasut.

Beliau berkata, kempen YES juga boleh mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menyasar untuk menarik 30 juta pelancong dan RM100 bilion dalam perolehan pelancongan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Kempen melawat Malaysia dilancar di beberapa bandar raya utama di India

NEW DELHI, 22 JUL: Tourism Malaysia melancarkan kempen “Melawat Malaysia 2020” di beberapa bandar raya utama di India pada Isnin untuk meningkatkan ketibaan pelancong dari pasaran utama sumber

Tiga puluh tujuh pemain industri pelancongan dari Malaysia, termasuk sembilan hotel, tiga syarikat penerbangan dan beberapa operator pelancongan, menyertai kempen dari 22 hingga 25 Julai di Amritsar, Mumbai dan Hyderabad.

Malaysia menerima 295,609 pelancong dari India antara Januari dan Mei tahun ini, mencatatkan peningkatan sebanyak 15.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Sasaran untuk 2019 adalah 728,000 pelancong dari India.

Sulaiman Suip, pengarah Tourism Malaysia di Delhi, melancarkan kempen meliputi tiga bandar raya itu di Amritsar, di utara India.

Beliau berkata tarikan baharu yang diperkenalkan seperti destinasi percutian pantai Desaru di Johor dan tarikan kehidupan Laut di Legoland Malaysia Resort akan menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelancong dari India.

“Malaysia mempunyai pelbagai tarikan menarik untuk setiap segmen, sama ada untuk mereka yangt hendak membeli-belah, pencinta alam, berbulan madu atau pelancong berkeluarga. Untuk mempromosikannya dengan lebih baik, kami telah meningkatkan fokus pada kempen digital dan platform media sosial,” kata Sulaiman.

Pejabat Tourism Malaysia di Mumbai, Delhi dan Chennai sedang meningkatkan keterlibatan dengan syarikat pelancongan tempatan untuk melancarkan pelbagai kempen promosi secara bersama. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tahun Melawat Malaysia 2020 akan dipromosi di ITB Berlin 2019

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Malaysia akan menggunakan kesempatan sebagai negara rakan kongsi rasmi ITB Berlin 2019, pameran perdagangan pelancongan terbesar di dunia untuk meningkatkan promosi tahun ini sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Kenyataan Tourism Malaysia berkata, pameran ITB Berlin 2019 itu akan diadakan di CityCube Berlin bermula 6 hingga 10 Mac dan sebagai negara rakan kongsi rasmi Malaysia akan mempersembahkan pertunjukan kebudayaan berwarna-warni oleh Istana Budaya ketika majlis perasmian pada 5 Mac.

“Pavilion Malaysia di Dewan 26A akan memaparkan seni bina silam Terengganu’” menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa selain menjadi tempat bagi pertemuan dan rangkaian kerjasama, persembahan kebudayaan juga akan diadakan di pavilion sepanjang pameran itu berlangsung.

Pengunjung juga boleh merasai pelbagai masakan Malaysia yang enak serta mendapatkan sampel rempah-ratus serta ubat-ubatan herba.

Malaysia akan menghantar delegasi yang besar pada ITB 2019 terdiri daripada lembaga pelancongan negeri, operator pelancongan, pemilik produk pelancongan, pemilik hotel, pengendali syarikat penerbangan, penyedia perkhidmatan pelancongan dan banyak lagi.

Selain itu 136 peserta mewakili 83 pertubuhan dari Malaysia akan turut serta.

Delegasi Malaysia akan diketuai oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Haslina Abdul Hamid serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) juga akan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan yang berpatutan dan berkualiti, sementara Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) akan mempromosikan Malaysia sebagai syurga pemerhati burung dan menonjolkan aspek budaya yang unik di negara ini.

Malaysia menyasarkan untuk menerima kedatangan 30 juta pelancong dari seluruh dunia yang berbelanja RM100 bilion.

Jerman adalah pasaran yang kukuh untuk Malaysia terokai,” menurut kenyataan itu.

Tahun lalu, 128,895 pelancong Jerman mengunjungi Malaysia dan menyasarkan kedatangan 147,000 pelancong dari negara itu tahun ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Tourism Malaysia rancang tarik pelancong Rusia dan Asia Tengah

LANGKAWI, 1 Dis: Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya menyasarkan lebih ramai pelancong dari bahagian timur Rusia serta negara Asia Tengah melawat Malaysia, pada tahun hadapan.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, lebih kurang 52,000 pelancong Rusia melawat Malaysia tahun lalu dan jumlah itu disasarkan mencapai 100,000 menjelang akhir tahun depan.

“Jumlah kedatangan pelancong dari negara Asia Tengah seperti Uzbekistan dan Kazahkstan amat menggalakkan dan kita mahu menembusi pasaran itu lebih lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan renang antarabangsa ‘Oceanman’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia Tourism Promotion Board (Tourism Malaysia) mempunyai pejabat di Moscow dan Seoul yang boleh dijadikan sebagai landasan untuk menjalankan usaha promosi di Rusia dan Asia Tengah.

“Kita merancang mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa pelancongan di Thailand dan Indonesia yang sejak sekian lama menerima ramai pelancong dari Rusia bagi membawa pelancong itu melawat negara ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Bakhtiar berkata, perancangan Qatar Airways untuk memulakan penerbangan ke Langkawi pada April tahun depan, akan mampu meningkatkan jumlah pelancong ke pulau peranginan ini.

Beliau berkata, kementeriannya akan terus menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa menyertakan Langkawi dalam laluan mereka selain memberi kemudahan bagi penganjuran lebih banyak acara antarabangsa untuk menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini.

Katanya, seperti kejohanan ‘Oceanman’ ini adalah antara acara antarabangsa yang sejajar dengan perancangan kementerian untuk meningkatkan jumlah pelancong ke pulau ini.

“Sejumlah 280 peserta daripada 19 negara mengambil bahagian dalam pertandingan ini dan memberi kesan berganda apabila mereka membawa bersama anggota keluarga dan penyokong untuk melancong di Pulau Langkawi,” katanya

SUMBER: BERNAMA

JURNAL BERITA – MB: Projek pembangunan di Selangor dilaksana secara teliti

1- MB: Projek pembangunan di Selangor dilaksana secara teliti

2- Anwar: PKR halang kenaikan tol melalui pegangan saham Kerajaan Selangor

3- Populariti Najib Razak menjunam daripada 62 peratus kepada 52 peratus – NAJIB JUNAM

4- PR Selangor amal dasar beri kebajikan secara adil

5- MB: Orang ramai digalak lapor kejadian curi pasir

6- Pemaju jual rumah kos rendah harga tinggi disenarai hitam

7- Cadangan bernas Program Adun Muda dibawa ke Kerajaan Negeri

8- 3 kali menteri bertukar, Khalid Samad ‘dilarang’ lawat Hospital Shah Alam

9- AKTIVITI YB: 150 peserta sertai pertandingan kereta kawalan jauh

10- DUN Sementa anjur Karnival Usahawan Peringkat Daerah Klang

11- Tourism Malaysia lancar peraduan foto pelekat TMM 2014 – TOURISM MALAYSIA

Categories
SELANGOR

Tourism Malaysia lancar peraduan foto pelekat TMM 2014

Oleh : REMY ARIFIN

SHAH ALAM 19 DIS : Tourism Malaysia melancarkan Peraduan Foto Pelekat/Sticker Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 bagi meningkatkan penerimaan kempen itu dalam kalangan rakyat tempatan dan ekspatriat secara serentak di seluruh negara, hari ini.

Peraduan itu akan berlangusng selama tiga dengan menyediakan pelbagai hadiah menarik termasuk pakej pelancongan domestik bagi 30 peserta yang berjaya setiap bulan bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2014.

Tourism MalaysiaBagi peringkat Selangor, program pelancaran itu dirasmikan Pengarah Tourism Selangor, Mohammad Nor serta disertai Unit Pelancongan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan wakil Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Plaza Tol Batu Tiga, di sini.

Pelekat kenderaan TMM 2014 itu menampilkan gambar monyet proboscis yang juga maskot rasmi kempen berkenaan membabitkan 15 lokasi edaran iaitu enam lokasi tol dan satu kawasan rehat dan rawat (R&R) di bawah seliaan PLUS termasuk di negeri yang tidak dihubungkan lebuh raya berkenaan.

Dalam perasmian itu, Mohammad bersama wakil PDRM dan PLUS mengagihkan pelekat kenderaan TMM 2014 kepada pengguna lebuhraya di plaza tol berkenaan.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Penolong Pengarah kanan Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Ida Harlina Mohd Idris di talian 03-88918437 atau e-mel [email protected]

 

Categories
SELANGOR

MB Galak Tumpu Pelancongan Domestik

SHAH ALAM 8 JULAI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyarankan agar tumpuan industri pelancongan negeri disasarkan kepada usaha pembangunan pelancongan domestik.

Langkah ini penting kerana menurutnya, industri pelancongan dunia kini sedang mengalami transisi perubahan ‘trend’ kesan daripada kejatuhan ekonomi global.

“Perkara ini dapat dilihat dengan statistik pelancongan penduduk Eropah dan Amerika yang lebih menjurus kepada perkhidmatan pelancongan dalam negara akibat pendapatan yang berkurangan.

“Maka kita juga harus mengambil langkah sama iaitu fokus kepada pelancongan domestik dengan enam puluh peratus usaha haruslah dilipatgandakan kepada kerja meningkatkan pasaran pelancongan domestik

“Antara lain kita boleh mempergiatkan usaha penganjuran aktiviti yang mampu menarik pelancong sedia ada dalam negeri untuk turut serta,” jelasnya.

Beliau menyampaikan amanat ini dalam ucapannya sewaktu merasmikan Majlis Appresiasi Pelancongan Selangor 2012 di Hotel De Palma di sini petang tadi.

Majlis yang julung-julung kalinya diadakan hasil kerjasama antara Jawatankuasa Pelancongan Negeri Selangor dengan Tourism Selangor Sdn Bhd ini bertujuan memberi penghargaan kepada pengusaha atau pihak-pihak berkenaan yang banyak membantu dalam perkembangan industri pelancongan Selangor.

Penghargaan diberikan kepada kepada 17 kategori penerima antaranya pihak hotel, restoran, agensi pelancongan, eko-pelancongan, pelancongan warisan dan sebagainya.

Kesemua pihak dinilai oleh jawatankuasa panel khas terdiri daripada Kerajaan Negeri, Persatuan Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Exco Pelancongan, Elizabeth Wong serta Ahli Exco Negeri, Rodziah Ismail.