Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan sedia bawa pulang 78 rakyat Malaysia di Wuhan

PUTRAJAYA, 29 JAN: Malaysia bersedia membawa pulang rakyatnya yang kini berada di Wuhan, China berikutan wabak koronavirus 2019 jika dibenarkan kerajaan negara itu, kata Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata untuk tujuan itu, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar akan memulakan rundingan secepat mungkin dengan kerajaan China, lapor Bernama.

“Mereka (rakyat Malaysia) sekarang tidak boleh keluar dari Wuhan tetapi kita ingin runding dengan kerajaan China supaya rakyat Malaysia yang tidak sakit boleh balik ke sini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat 78 rakyat Malaysia di Wuhan ketika ini dan jika dibenarkan pulang, mereka dikuarantin terlebih dahulu bagi memastikan bebas jangkitan koronavirus, sebelum dibenarkan pulang ke kediaman.

“Mereka akan tertakluk kepada 14 hari kuarantin bagi menentukan mereka tidak menghidap jangkitan virus tersebut,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga ingin menghantar barangan bantuan berupa makanan, penutup hidung dan mulut serta sarung tangan ke Wuhan.

Katanya ini berikutan terdapat laporan bahawa rakyat Malaysia mempunyai bekalan makanan yang mencukupi hanya untuk empat hari sahaja.

“Kita berminat juga untuk bantu Wuhan, jadi kalau kita terpaksa hantar kapal terbang untuk ambil balik rakyat kita, kalau dibenar oleh kerajaan China, kita akan bawa makanan, sarung tangan dan penutup hidung dan mulut kalau kita ada, sebab di sana pun dah kekurangan bekalan,” katanya.

Ditanya secepat mana rakyat Malaysia di Wuhan boleh dibawa pulang, Dr Mahathir berkata ini bergantung kepada kebenaran daripada kerajaan China.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada majoriti dua pertiga sukarkan kerajaan penuhi manifesto

KUALA LUMPUR, 25 JÁN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) menghadapi kesukaran dalam memenuhi tuntutan manifestonya yang memerlukan pindaan undang-undang berkaitan Perlembagaan kerana ia tidak mempunyai dua pertiga majoriti dalam Dewan Rakyat.

“Ya, kita dah lakukan banyak yang kita janji dalam manifesto tapi berkenaan dengan meminda ataupun menggugurkan satu-satu undang-undang, yang ada kaitan dengan Perlembagaan, dia perlu persetujuan dua pertiga daripada dewan (Dewan Rakyat).

“Jadi inilah masalah kita, bukan kita tak nak buat tetapi nak tukar undang-undang kadang-kadang kita kena rujuk kepada Perlembagaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Mahathir mengulas pertanyaan pemberita berhubung beberapa manifesto PAKATAN yang masih belum dilaksanakan antaranya penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang mungkin boleh menjejaskan kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) pada tahun ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata usaha kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori yang merupakan antara manifesto PAKATAN juga, tidak dipersetujui beberapa pihak.

“Sementara kita nak hapuskan hukuman mati, tapi ada orang yang tak bersetuju kerana ada anggota keluarga mereka telah dibunuh dan sebagainya.

“Jadi kita bukan boleh buat dengan secara mudah perkara ini, ia mengambil masa,” katanya.

Dr Mahathir berkata hal ini juga bersamaan dengan penubuhan IPCMC yang mana jelas beliau ia tidak mudah untuk dilaksanakan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Tiada rancangan larang kemasukan pelancong China

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tiada rancangan untuk melarang pelancong China memasuki negara ini buat masa ini susulan merebaknya wabak koronavirus di Wuhan, China.

Buat masa sekarang, kerajaan hanya akan menjalankan saringan ke atas penumpang dan pelancong yang tiba di negara ini, katanya.

“Jangan halang mereka. Kita akan periksa mereka (pelancong), dengan memeriksa (mereka) ia akan membolehkan kita mengesan (sebarang tanda virus itu) pada peringkat awal,” katanya pada persidangan akhbar selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini, hari ini.

Hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan tiga daripada lapan warga China yang dikuarantin di Johor Bahru positif koronavirus, atau disebut juga Wuhan koronavirus.

Ketiga-tiga pesakit itu, yang diasingkan dan dirawat di Hospital Sungai Buloh, adalah keluarga rapat kepada seorang lelaki warga China berumur 66 tahun dari Wuhan, yang tiba di Singapuara pada 20 Januari dan disahkan pada 23 Januari sebagai kes pertama Singapura dengan individu yang sah positif mengalami virus itu.

Ketiga-tiga kes positif itu di Malaysia terdiri daripada isteri pesakit di Singapura, 65, dan dua cucu pasangan berkenaan.

Ketika ditanya jika kerajaan akan mengkaji semula pengecualian visa 15 hari bagi pelancong dari China sekiranya wabak itu bertambah buruk, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak akan berbuat demikian pada masa sekarang.

“Pada masa sekarang belum lagi tetapi kita akan memeriksa semua pelancong yang datang ke sini terutama mereka dari China,” katanya.

Mengulas mengenai tiga warga China yang disahkan positif koronavirus, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia perlu terus berjaga-jaga dan memakai topeng mulut dan hidung bila berada di kawasan ramai orang.

Beliau berkata adalah sukar untuk sesebuah kerajaan mengekang penularan wabak tertentu terutamanya dalam situasi dunia kini di mana manusia dan barangan dengan mudah bergerak dari satu negara ke negara lain.

“Oleh itu, membendung daripada jangkitan penyakit adalah lebih rumit daripada dulu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan biar perkara remeh gugat keharmonian kaum

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Rakyat Malaysia tidak harus membiarkan perkara remeh menjadi penyebab mereka membenci satu sama lain dan sebaliknya perlu berusaha mengukuhkan lagi hubungan antara kaum di negara ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menegaskan rakyat perlu berwaspada dengan penghasut yang mempunyai agenda jahat bertujuan memecah-belahkan keharmonian kaum di Malaysia.

“Jika kita tidak rasional dan mula membenci satu sama lain hanya kerana perkara yang remeh, maka puak-puak jahat ini pasti menganggap mereka telah berjaya,” kata perdana menteri dalam ucapan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2020.

Dr Mahathir menarik perhatian bahawa kekuatan negara ini sebenarnya terletak pada sikap matang rakyat yang tidak mudah termakan dakyah penghasut.

Beliau berkata setelah berdekad lamanya, masyarakat menerima hakikat bahawa Malaysia ialah negara berbilang kaum yang memerlukan toleransi antara mereka dan hidup mesra dalam kalangan jiran dan rakan taulan.

“Kita tidak mahu membiarkan negara ini porak peranda dengan kebencian kaum,” tegas beliau.

Dalam ucapan itu, Dr Mahathir berkata perasaan syukur perlu dizahirkan kerana negara tidak menyaksikan rusuhan dan peperangan seperti yang dilihat di beberapa negara lain.

“Realitinya, Malaysia pada hari ini adalah aman dan rakyat dapat hdup dengan harmoni antara satu sama lain,” katanya sambil menambah ini satu kemenangan besar bagi setiap warganegara Malaysia.

Masyarakat Malaysia, katanya, hidup bersatu padu dan saling membantu dan bekerjasama walaupun berlainan kaum atau agama selain boleh bekerja di sesebuah organisasi tanpa mengira keturunan kerana sikap sayangkan keamanan yang dimiliki mereka.

“Ini adalah satu rahmat yang mungkin kita tidak sedar. Tapi percayalah, Malaysia tidak akan maju, aman dan tenang seperti sekarang jika terdapat konflik perkauman berpanjangan,” kata Dr Mahathir.

Perdana menteri seterusnya memberitahu bahawa kerajaan mempunyai cara untuk menguatkan ekonomi negara, namun ia memerlukan sedikit masa dan kesabaran rakyat, terutama pihak swasta.

Dr Mahathir menarik perhatian bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini yang diunjurkan antara 4.3 peratus dan 4.8 peratus juga masih memberangsangkan, dan menjadi antara negara dengan kadar pertumbuhan yang tinggi berbanding negara lain di Asia.

“Kita sedar ekonomi negara kita masih kecil, tetapi pertumbuhan menggalakkan ini adalah bukti rakyat negara kita boleh berganding bahu menjayakan pembangunan Malaysia.

“Apabila negara stabil dan rakyatnya cukup kemahiran untuk bekerja, pelabur dari dalam dan luar negara juga tertarik untuk melabur di Malaysia,” kata perdana menteri.

Kerajaan, katanya, meluluskan pelaburan berjumlah RM149 bilion dalam sembilan bulan pertama 2019, nilai yang lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Ini kerana kerajaan lebih aktif dalam menarik pelabur untuk melabur di Malaysia,” ujar Dr Mahathir sambil berkata ini secara tidak langsung dapat menjana peluang pekerjaan yang banyak untuk negara.

Mengakhiri ucapan itu, beliau dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menggesa masyarakat Malaysia agar meneruskan tradisi kunjung mengunjung ke rumah rakan yang mengadakan rumah terbuka, dan mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada kaum Cina.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM terima kunjungan hormat pemimpin Hamas

PUTRAJAYA, 22 JAN: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan hormat daripada pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dan delegasinya di pejabatnya di Perdana Putra, di sini.

Perdana Menteri dalam catatan di Twitter rasminya memaklumkan kedua-dua mereka membincangkan perkembangan terkini dan nasib yang menimpa rakyat Palestin dalam pertemuan kira-kira 45 minit.

Menurut catatan itu, pemimpin Hamas turut merakamkan ucapan terima kasih atas usaha Dr Mahathir yang membawa idea segar dunia Islam menerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada Disember lalu.

Dalam pertemuan itu, Ismail turut menyatakan penghargaan atas usaha dan sokongan berterusan Dr Mahathir buat rakyat Palestin.

Ismail dilaporkan tiba di Malaysia semalam dalam siri lawatannya ke beberapa negara Islam antaranya Iran, Oman, Turki and Qatar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: 5G tingkat aspirasi pembangunan negara

LANGKAWI, 20 JAN: Malaysia boleh mencapai objektif menjadi negara maju lebih awal dari 2030 sekiranya ia menerapkan teknologi 5G dengan teratur untuk pembangunan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana Menteri berkata, wawasan itu boleh dicapai mungkin menjelang 2025.

Malaysia boleh ditadbir lebih baik dengan adanya teknologi 5G kerana ia membolehkan produktiviti meningkat apabila orang ramai boleh membuat pilihan dengan lebih cepat dan tepat, katanya pada persidangan akhbar.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Al-Ishsal Ishak.

Dr Mahathir berkata. “5G begitu komprehensif dan menyalurkan maklumat yang begitu banyak bagi membantu anda membuat keputusan. Malaysia perlu ditadbir lebih baik dengan menggunakan 5G kerana banyak perkara boleh dilakukan dengan lebih cekap dan dilakukan pula oleh orang yang berpengetahuan.

“Jika anda tidak mempunyai pengetahuan, anda boleh sentiasa mengakses orang yang berpengetahuan.

“Jadi, saya berharap agar semua orang belajar bagaimana hendak mengguna 5G; persekitaran berbeza sepenuhnya, tidak lagi seperti sebelum ini.”

Terdahulu Dr Mahathir melawat Pusat Kawalan 5G di ibu pejabat polis Langkawi di sini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memberi contoh, dengan aplikasi 5G, parademik boleh mendapatkan maklumat daripada pakar dan mereka boleh seterusnya membuat keputusan perkara yang patut dilakukan.

Pada waktu yang sama, katanya, jika seseorang itu pergi ke hospital, hospital berkenaan akan bersedia untuk menerima pesakit kerana ia telah mempunyai maklumat terlebih dahulu.

Dr Mahathir berkata, begitu juga dengan kes yang melibatkan pertanian, jabatan-jabatan kerajaan dari segi pentadbiran dan dalam kes polis.

“Sudah tentu, anda akan mendapati bahawa apa yang anda lakukan itu sebenarnya diketahui oleh polis. Jika anda melakukan sesuatu kesalahan, anda akan berhadapan masalah meskipun parkir di tempat yang salah.

“Kini, kita mendedahkan diri kita untuk diketahui oleh polis dan mereka yang lain. Berhati-hatilah sekarang kerana kita telah ada 5G di Langkawi. Jadi, bila anda datang ke Langkawi, tolonglah berkelakuan baik,” katanya dengan diiringi tawa dari hadirin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M harap tahun tikus erat hubungan Malaysia-China

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan harapan tahun ini iaitu ‘Tahun Kebudayaan dan Pelancongan’ antara Malaysia dan China akan mempertingkatkan hubungan serta persahabatan dengan signifikan antara kedua-dua negara tersebut.

Perdana Menteri menyatakan hubungan antara kedua-dua negara sudah berakar umbi sejak kurun ke-15 semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dan Dinasti Ming serta berkembang sejak itu.

Malah, beliau berkata Malaysia dan China negara pertama di rantau ini menjalinkan hubungan diplomatik atas dasar kepercayaan dan rasa hormat.

“Pada 2018, Perdana Menteri Li Keqiang dan saya sendiri berpendapat itu adalah masa yang baik untuk meraikan hubungan rapat yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan memberi tumpuan kepada pertukaran rakyat dengan rakyat menerusi kebudayaan dan pelancongan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Tahun Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia-China 2020, di sini malam tadi.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Dr Mahathir berkata seperti kebudayaan kedua-dua negara itu terikat, begitu juga ekonomi mereka.

”Sebagai rekod, pada 1971 perdagangan dua hala Malaysia-China bernilai US$159 juta (RM644.32 juta) dan jumlah itu meningkat hampir 700 kali ganda kepada US$108 bilion(RM437.65 bilion) pada 2018,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata program bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 menjadikannya lebih bermakna, sambil berkongsi mengenai aspek kehidupan masyarakat berbilang kaum yang membolehkan negara ini menyaksikan kewujudan pelbagai budaya.

“Saya juga pasti tetamu kami dari China akan dapat mengaitkan dengan banyak amalan, makanan, adat dan budaya dan mungkin dapat mengesan asal usulnya di wilayah tertentu di China.

“Sudah tentu, budaya lain dari India dan penduduk pribumi dari Sabah dan Sarawak mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap kebudayaan di Semenanjung dan sebaliknya. Kami berbangga dengan kepelbagaian ini yang berhasil dalam membolehkan kita berkembang,” katanya.

Dr Mahathir juga mengambil peluang untuk mengucapkan kemakmuran, kesihatan, kekayaan dan kebahagiaan kekal kepada kedua-dua rakyat negara itu yang menyambut Tahun Baharu Cina, minggu depan.

”Semoga Tahun Tikus Logam ini melambangkan penegasan semula persahabatan dan kerjasama antara Malaysia-China serta satu langkah permulaan ke hadapan.

Dalam pada itu, Li Keqiang dalam ucapannya yang disampaikan oleh Naib Menteri Pelancongan dan Kebudayaan China, Zhang Xu, berharap program Tahun Kebudayaan dan Pelancongan akan menjadi platform untuk mengembangkan pertukaran budaya dan kerjasama dalam bidang pelancongan.

Selain itu, katanya, ia juga menggalakkan lebih banyak lawatan antara rakyat dan rakyat.

“Kami berharap dapat teruskan persahabatan tradisional ini berdasarkan peningkatan persefahaman dan meletakkan asas sosial yang kukuh bagi perkongsian strategik secara menyeluruh untuk China-Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: 5G jana pendidikan berkualiti

LANGKAWI, 20 JAN: Teknologi 5G boleh menjamin kualiti pendidikan bergerak maju dan berkembang jauh, menghubungkan kelompok di kawasan luar bandar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri dalam ucapannya pada majlis pelancaran Projek Demonstrasi 5G di sini malam tadi menegaskan pendidikan kunci utama memastikan teknologi dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata dengan 5G, pembelajaran boleh bergerak melampaui ruang kelas dan pelajar dapat berinteraksi dengan cara berbeza berbanding dilakukan hari ini.

“Sekarang bertambah penting untuk membangunkan kemahiran dalam kalangan anak muda Malaysia, yang memerlukan bukan hanya kemahiran berasaskan data tetapi ketangkasan mental.

“Pendidikan dan pemahaman teknologi dalam kalangan pelajar dan mereka yang berada dalam kelompok tenaga kerja tidak lagi boleh bertangguh. Ia perlu diberi penekanan dan dipromosi sekarang,” katanya pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir masuk pejabat menteri pendidikan hari ini

PUTRAJAYA, 16 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memangku jawatan Menteri Pendidikan memasuki pejabat kementerian itu buat kali pertama hari ini.

Ketibaan Dr Mahathir kira-kira 2.40 petang di kementerian itu disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas serta pengurusan tertinggi kementerian.

Selepas bersalaman dan bergambar di lobi kementerian, Dr Mahathir kemudian diiring ke tingkat 18 bangunan yang menempatkan pejabat menteri pendidikan.

Di situ, Dr Mahathir diberikan penerangan ringkas oleh Mohd Gazali yang turut disertai oleh Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Selepas itu, Dr Mahathir dibawa ke tingkat 17 bagi menghadiri taklimat bersama pihak pengurusan tertinggi kementerian.

Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 8 Januari lepas memutuskan Dr Mahathir memangku sementara jawatan Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3 Januari susulan peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sehari sebelum itu.

Isnin lepas Dr Mahathir dilaporkan berkata beliau akan memasuki pejabat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat di mana antara keutamaan adalah untuk meneliti masalah yang berlaku dalam kementerian itu sebelum membuat sebarang keputusan.

Perdana Menteri juga dilaporkan sedia untuk mempertimbangkan cadangan memecahkan Kementerian Pendidikan dan mewujudkan semula Kementerian Pendidikan Tinggi.

Dr Mahathir pernah menyandang jawatan Menteri Pendidikan pada 1974 sehingga 1978 sewaktu pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn selaku Perdana Menteri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Perlu usaha global bantu Australia atasi kebakaran

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, komuniti global perlu membantu Australia dalam menangani kebakaran hutan yang telah memusnahkan kawasan yang luas di negara itu.

Beliau berkata, kebakaran yang membadai Australia bukanlah semata-mata urusan bersendirian Australia.

“Malah ia menjejas keseluruhan dunia. Ia satu bencana antarabangsa,” katanya menerusi hantaran dalam laman blognya, Chedet, hari ini.

“Seluruh dunia perlu membantu Australia memadamkan kebakaran itu,” kata Dr Mahathir, dan menambah bahawa malangnya, perkara ini tidak dilakukan.

Malaysia telah menawar untuk menghantar pasukan pemadamnya ke Australia bagi membantu menangani krisis kebakaran hutan itu. Sejumlah negara telah pun mula membantu Australia dalam usaha memadamkan kebakaran itu.

Adalah dilaporkan lebih 7.3 juta hektar hutan terbakar melibatkan enam negeri di Australia dengan New South Wales dilaporkan mengalami keadaan yang paling teruk.

Manakala sekurang-kurangnya 28 orang di seluruh Australia terbunuh dalam kebakaran yang disifatkan sebagai kebakaran hutan paling teruk dalam beberapa abad ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Rombakan kabinet bukan tugas mudah

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata rombakan Kabinet bukanlah tugas yang mudah kerana ia mengambil masa dan perlu diterima oleh semua parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Rombakan bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia perlu diterima bukan sahaja saya, tetapi juga (empat) parti dalam gabungan ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Integriti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) 2020 di sini hari ini.

Menjawab soalan pemberita mengenai pelantikan Menteri Pendidikan yang baharu bagi menggantikan Dr Maszlee Malik, yang meletakkan jawatan awal bulan ini, Dr Mahathir berkata beliau belum lagi membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Saya belum memutuskan apa-apa,” kata Perdana Menteri, yang dilantik bagi memangku jawatan Menteri Pendidikan, yang dipersetujui oleh Kabinet semasa satu mesyuarat pada 8 Januari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan cari penyelesaian tindakan India henti beli minyak sawit

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertegas akan terus bersuara walaupun terdapat laporan India mahu memboikot minyak sawit Malaysia.

Beliau juga menjelaskan isu perdagangan itu harus dicari penyelesaiannya.

“Jika kita biarkan perkara salah berlaku dan hanya memikirkan mengenai jumlah wang yang terlibat, banyak perkara salah akan terus dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Integriti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) 2020 di sini hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan mengenai sama ada kerajaan bimbang terhadap tindakan India menghentikan belian minyak sawit Malaysia susulan kritikan beliau mengenai tindakan India di Kashmir selain undang-undang baharu kewarganegaraan.

Ditanya sama ada kritikan Perdana Menteri terhadap India akan mengorbankan industri memandangkan India merupakan pengimport terbesar minyak sawit Malaysia, Dr Mahathir berkata penyelesaian perlu dicari.

“Itu kita perlu lakukan, cari penyelesaian.

“Namun hakikatnya ialah apa yang berlaku di India itulah yang menimbulkan lebih banyak masalah dan rasa tidak gembira dalam kalangan penduduk di sana,” katanya dan menambah ‘seluruh dunia merasakan tindakan diskriminasi terhadap sesiapa di sana adalah tindakan yang salah’.

Laporan berita baru-baru ini menyebut bahawa kerajaan India meminta pengimport minyak sawit negara itu menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia, namun semalam, Menteri Industri Utama Teresa Kok mengatakan berita itu tidak benar.