Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir rasmi majlis bacaan al-Quran di Kota Kinabalu malam ini

KOTA KINABALU, 16 FEB: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan malam ini.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba pada 1.30 tengah hari dan disambut ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Wilfred Madius Tangau, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew.

Turut berada di lapangan terbang beberapa menteri dan pembantu menteri serta pegawai kanan kerajaan di Sabah.

Beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabah dan ahli parti itu serta ahli Parti Warisan Sabah turut menyambut ketibaan Perdana Menteri.

Dr Mahathir dijadual merasmikan majlis tilawah al-Quran itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada 8.30 malam ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: PPSMI diputuskan tahun depan

LANGKAWI, 15 FEB: Keputusan sama ada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan semula atau sebaliknya akan diputuskan tahun hadapan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri, yang memangku jawatan menteri pendidikan berkata kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti perkara itu dan akan menyediakan kertas cadangan yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.

Katanya, Kabinet seterusnya akan menentukan sama ada PPSMI dilaksanakan semula atau membuat keputusan mengekalkan kaedah pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan.

“Isu PPSMI akan diputuskan mengikut pendapat majoriti anggota Kabinet. Saya tidak boleh buat keputusan…ia mesti dibuat oleh Kabinet.

“(Sebelum ini) saya beritahu kepada pegawai, bukan buat pengumuman (kepada umum mengenai memperkenalkan semula PPSMI), tetapi entah macam mana ia tiris dan orang ramai diberitahu bahawa saya telah buat keputusan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Medical Outreach di Masjid Nurul Islam, Kampung Sungai Itau, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata sebuah jawatankuasa Kabinet dibentuk untuk mengkaji perkara itu memandangkan terdapat tentangan daripada orang ramai terhadap cadangan berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM mahu pelumba basikal negara bersaing pada Tour de France

LANGKAWI, 14 FEB: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melahirkan keyakinan pelumba basikal negara mampu bersaing pada kejohanan utama dunia termasuk Tour de France.

Beliau berkata kejayaan yang dicapai pelumba negara pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 membuktikan rakyat negara ini memiliki kebolehan tersebut.

“Tahun ini merupakan penganjuran kali ke-25 LTdL, pelumbaan basikal peringkat tertinggi di negara ini. Saya lihat bahawa buat kali pertama seorang pelumba dari Malaysia memakai jersi merah (Raja Bukit).

“Ini menunjukkan bahawa kita mempunyai kebolehan yang penting, latih diri sepanjang masa hingga perlumbaan seterusnya, saya harap mereka (pelumba basikal negara) akan dapat mencapai kejayaan yang lebih daripada hari ini hingga menjadi juara bertaraf dunia dan akan bertanding dalam Tour de France dan perlumbaan lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam sidang media selepas berakhirnya perlumbaan Peringkat Kelapan LTdL di Pekan Kuah di sini hari ini.

Pelumba Malaysia Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff dari Team Sapura Cycling, dinobatkan sebagai Raja Bukit (Jersi Merah).

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau berharap LTdL akan diteruskan pada masa depan kerana perlumbaan tersebut mendapat liputan meluas di seluruh dunia.

“Satu dari sebab kita mengadakan LTdL ialah semasa perlumbaan diadakan, stesen televisyen di banyak negara akan memberi liputan. Mereka di negara itu akan dapat lihat seluruh negara kita dari Sabah, Sarawak, Terengganu dan lain-lain negara ini ialah satu pengiklanan yang baik untuk menarik pelancong ke Malaysia,” katanya.

Menurutnya menerusi penganjuran perlumbaan basikal LTdl bertaraf dunia, Malaysia mampu menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

“Tahun ini ialah Tahun Melawat Malaysia 2020 kita harap ramai akan datang ke negara ini tetapi kita hadapi masalah dengan penularan virus epidemik koronavirus 2019 (Covid-19). Kita sekarang akan tumpu menarik pelancong dari negara Barat, Asia Tengah dan Amerika jika dapat.

“Kita juga akan galakkan pelancongan dalam negara kerana mereka yang ingin pergi ke China, Jepun, Korea dan sebagainya tidak dapat pergi dan mereka dapat melancong dalam negara dengan itu hotel-hotel kita pun akan maju juga,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M umum pakej rangsangan ekonomi 27 Februari

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini yang bertujuan untuk mengurangkan impak ekonomi luaran akibat wabak koronavirus 2019 (Covid-19) terhadap Malaysia di samping memelihara kebajikan rakyat.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, pakej rangsangan ekonomi tersebut bukanlah Belanjawan baharu mahupun sebahagian daripada dasar-dasar Belanjawan 2020 tetapi merupakan bantuan kepada industri yang terjejas.

“Sebaliknya, bantuan akan disalurkan kepada sektor-sektor yang terkesan bagi membolehkan ekonomi negara bangkit semula dengan sebaik mungkin dan menerima manfaat daripada pemulihan semula ekonomi yang dijangkakan berlaku setelah wabak Covid-19 berakhir,” katanya.

Koronavirus, kini dikenali sebagai Covid-19, kali pertama dikesan di Wuhan, China. Di Malaysia, 19 orang telah disahkan dijangkiti virus tersebut, dengan 13 merupakan warganegara China dan enam rakyat Malaysia.

Seramai tiga orang telah diberi rawatan dan dibenarkan keluar dari hospital di Malaysia.

Menjelas lebih lanjut, Lim berkata perhatian utama diberikan kepada aliran tunai, dan syarikat-syarikat yang terkesan hendaklah memastikan supaya mereka terus kekal beroperasi dan berupaya meraih manfaat daripada lonjakan semula ekonomi.

“Kerajaan akan membantu syarikat-syarikat tersebut, tetapi penekanan harus diletakkan terhadap usaha meneroka ruang pendapatan alternatif, seperti peralihan kepada penggalakan pelancongan domestik, dan mendapatkan sumber daripada pasaran lain,” katanya.

Ini juga melibatkan langkah mengekalkan daya tahan pasaran tenaga kerja tempatan selain memastikan infrastruktur fizikal dan perkhidmatan juga perlu kekal tersedia sewaktu kekurangan permintaan dalam jangka masa pendek.

Menurutnya, Kementerian Kewangan sedang menyediakan program rangsangan tersebut dan bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berserta pelbagai agensi.

Kerajaan telah mengadakan sesi rundingan dengan beberapa peserta industri utama dalam sektor pelancongan, logistik, dan kewangan. Kementerian-kementerian tersebut juga telah mengadakan mesyuarat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan juga tabung dan syarikat berkaitan kerajaan.

Dalam pada itu, Lim berkata, Kementerian Kesihatan telah melakukan yang terbaik dalam membendung wabak Covid-19 di Malaysia, tanpa menimbulkan rasa cemas di khalayak ramai walaupun sering dilanda berita palsu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Langkah kerajaan berkesan kawal Covid-19

LANGKAWI, 14 FEB: Kerajaan Malaysia dilihat berkesan dalam mengawal penularan epidemik koronavirus 2019 (Covid-19) di negara ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berharap usaha itu dengan kerjasama pelbagai pihak diteruskan bagi melindungi rakyat Malaysia daripada dijangkiti virus itu.

“Kita berjaga-jaga dari awal, kita memeriksa mereka yang datang ke Malaysia terutama dari China dan kalau kita sangka mereka membawa virus itu kita masukkan mereka dalam kuarantin 14 hari.

“Orang kita di Wuhan yang dibawa balik juga dikuarantin 14 hari …dengan cara ini setakat ini kita bernasib baik kerana ada 19 kes sahaja dan daripada 19 itu kebanyakan orang (rakyat) China juga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Fasa 2: Villa Sirehan dan melawat tapak projek 1: Rebungan Resort Langkawi di Ulu Melaka, di sini hari ini.

Mengulas perbualan telefon dengan Presiden China Xi Jinping berhubung wabak itu semalam, Dr Mahathir berkata beliau menyatakan rasa simpati kepada pemimpin itu dan menyifatkan China telah mengambil tindakan luar biasa untuk menangani wabak itu.

“Kita menyatakan perasaan simpati kita pada Xi Jinping dan berterima kasih kerana jelas sekali presiden China mengambil berat tentang perkara ini dan mengambil tindakan luar biasa untuk banteras penularan penyakit.

“Saya fikir dia (kerajaan China) membuat apa (sahaja) yang mungkin (dapat) dilakukan dan kita berterima kasih dia tolong kita (Malaysia) dapat bawa balik rakyat kita yang ada di sana,” kata perdana menteri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Malaysia belum bersedia untuk tenaga nuklear

CYBERJAYA, 10 FEB: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak akan membina loji tenaga nuklear sehingga terdapat cara selamat untuk melupuskan sisa radioaktif yang dijana.

Beliau menegaskan Malaysia tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam bidang itu.

“Jika anda ada loji tenaga nuklear, anda akan mengumpul sisa nuklear yang merupakan radioaktif dan sehingga kini mereka tidak tahu bagaimana untuk terbalikkan proses itu. Sebab itu kenapa kita tidak boleh guna bahan nuklear kerana ia akan kekal selama berjuta-juta tahun.

“Kita tidak mahu negara ini penuh dengan sisa seperti itu yang dibuang di serata tempat dan menjejaskan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan komuniti perniagaan Perancis di Malaysia, di sini, hari ini.

Dr Mahathir pada dialog itu ditanya berhubung visi Malaysia mengenai sumber tenaga boleh diperbaharui, selepas ikrar dibuat Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin bahawa Malaysia akan meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui kepada 20 peratus menjelang 2025.

Menegaskan perlunya sumber tenaga boleh diperbaharui yang tidak menyebabkan pencemaran, Dr Mahathir berkata Malaysia sedang berusaha mengurangkan penggunaan sumber tenaga tradisional seperti minyak, gas dan arang batu untuk mengurangkan kadar pencemaran udara.

“Kita sedang berusaha untuk menjana lebih banyak kuasa menerusi panel solar. Juga terdapat kemungkinan untuk kita mengeksport tenaga bersih kepada jiran-jiran kita.

“Kita ada banyak ruang, malah kita boleh gunakan laut untuk memasang lebih banyak panel (solar), jadi trendnya adalah ke arah itu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dasar persyarikatan Malaysia diberi nafas baharu

CYBERJAYA, 10 FEB: Kerajaan akan memberi nafas baharu kepada Dasar Persyarikatan Malaysia untuk memperkukuh lagi kerjasama di antara kerajaan dengan sektor swasta, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan Malaysia komited dalam usaha menyediakan persekitaran perniagaan yang stabil untuk para pelabur.

“Menerusi pelbagai agensi yang terlibat dalam pengalakan pelaburan asing seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Invest KL dan Malaysia Digital Economy Corporation, kerajaan Malaysia telah menubuhkan organisasi yang diperlukan dan mengadakan kemudahan untuk melancarkan operasi pelaburan asing di Malaysia,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama semasa dialog anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Perancis Malaysia.

Selain itu kerajaan juga menumpukan usaha mewujudkan ekonomi stabil, melaksanakan disiplin fiskal dan tadbir urus yang baik, memastikan ketelusan dalam menjalankan perniagaan, menangani rasuah serta melancarkan pembaharuan institusi sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Mei 2018, katanya.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia diiunjurkan berkembang pada 4.8 peratus pada 2020 walaupun mengharungi tempoh sukar yang berlarutan.

“Berlandaskan disiplin fiskal yang baik, defisit belanjawan kami akan mengecil kepada 3.2 peratus tahun ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata pengurusan bakat turut menjadi aspek yang amat penting.

“Pembangunan pendidikan merupakan satu keutamaan untuk memastikan negara dapat mewujudkan bakat Malaysia yang diperlukan bagi abad ke-21 atau era digital.

“Kami turut mengalu-alukan ekspatriat dan bakat asing ke Malaysia di samping menyediakan pelbagai pekerjaan serta pas kemastautinan kepada bakat berkemahiran tinggi dan pakar asing,” katanya.

Dr Mahathir berkata banyak infrastruktur berkualiti telah siap dan dinaik taraf bukan hanya di Lembah Klang malah di Pulau Pinang, Johor dan negeri lain di Malaysia.

Sektor pembuatan pula bersedia sepenuhnya untuk menjayakan objektif Industri 4.0 (IR4.0) susulan pelancaran dasar nasional IR4.0, Dasar Industry4WRD, katanya.

“Kesimpulannya, Malaysia amat terbuka kepada perniagaan. Kami akan melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang turut akan membuka peluang kepada syarikat asing untuk menyertai dan meraih manfaat (daripadanya),” katanya.

Dr Mahathir berkata sektor perkhidmatan, termasuk kejuruteraan, aeroangkasa, peruncitan dan pelancongan, akan terus menyumbang kepada pewujudan Malaysia sebagai hab perniagaan serantau di samping menjadi destinasi pelancongan.

Malaysia menerima lebih 25 juta pelancong setiap tahun, katanya.

Beliau berkata Malaysia juga berperanan sebagai tuan rumah kepada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik bagi 2020.

“Justeru, saya ingin menggalakkan anda supaya mengambil bahagian dalam apa jua cara yang anda boleh. Kami akan mengadakan ekspo perdagangan, jadi anda boleh mengetengahkan produk anda kepada perniagaan dan pihak-pihak di negara ASEAN,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Kerajaan timbang lancar pakej rangsangan ekonomi

PUTRAJAYA, 10 FEB: Kerajaan sedang menimbang melancarkan pakej rangsangan ekonomi untuk meningkatkan ekonomi tempatan berikutan cabaran yang dihadapi akibat daripada penularan pantas koronavirus 2019, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata industri pelancongan merupakan sektor yang paling terjejas akibat daripada penularan virus itu kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Justeru itu, katanya, kerajaan telah merangka rancangan untuk mengurangkan impak koronavirus ke atas ekonomi.

“Sewaktu kita mengumumkan kempen tersebut, kita tidak menjangkakan penularan koronavirus ini. Tetapi sekarang kita perlu menghentikan penerbangan ke beberapa kawasan di China,” katanya semasa sesi soal jawab bersama syarikat multinasional Perancis, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata pelancong China menyumbang bahagian yang besar daripada pasaran pelancong oleh itu keseluruhan industri akan berdepan dengan impak ekoran ketiadaan mereka akibat penularan virus tersebut.

Dilaporkan bahawa syarikat penerbangan seluruh dunia termasuk Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan banyak penerbangan ke dan dari China di tengah-tengah kebimbangan terhadap koronavirus.

Setakat hari ini lebih 900 kematian akibat koronavirus direkodkan dengan lebih 40,000 kes disahkan dicatatkan di seluruh dunia.

Sementara itu mengenai pengambilalihan Malaysia Airlines, Dr Mahathir berkata kerajaan masih belum memutuskan siapa yang akan mengambil alih syarikat penerbangan nasional itu.

Sebelum ini media melaporkan beberapa syarikat penerbangan menunjukkan minat untuk mengambil alih Malaysia Airlines.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PPSMI mantapkan penguasaan sains di peringkat sekolah

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah bertujuan memantapkan penguasaan bidang sains bermula di peringkat persekolahan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata menguasai bidang sains, rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana bidang itu berkembang di negara barat melalui bahasa tersebut.

“Bagi saya penguasaan bahasa Inggeris dalam bidang sains amat penting kerana ia bukan ilmu yang datang dari kita. Ia datang dari luar hasil daripada budaya yang berlainan daripada kita.

“Budaya kita dahulu apabila berhadapan dengan masalah, kita salahkan kuasa ghaib dan makhluk halus. Itu pendekatan kita. Tetapi pendekatan saintis mereka ingin tahu apa sebenar berlaku dengan membuat penyelidikan,” katanya menerusi temu bual eksklusif bertajuk #PMJawab keluaran The Malaya Post malam tadi.

Dr Mahathir, yang juga Pemangku Menteri Pendidikan berkata, saintis negara barat sentiasa berusaha mencari kebenaran terhadap sesuatu masalah melalui proses penyelidikan dan berkongsi setiap penemuan dalam bahasa Inggeris.

“Hari-hari mereka keluarkan pendapat (penemuan) baharu yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Memang kita boleh terjemah tetapi kita kena fasih (faham) bidang sains. Kalau tidak faham, kita tidak boleh terjemah ke dalam bahasa Melayu,” katanya.

Justeru, beliau berpendirian bahawa perkara itu perlu diterima semua pihak sekiranya ingin melihat negara maju ke hadapan.

Buat masa ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk pelaksanaan PPSMI di sekolah dan menurut Dr Mahathir, kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti pelaksanaan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat secepat mungkin.

Menerusi temu bual selama hampir sejam itu, Dr Mahathir turut ditanya mengenai model Sekolah Wawasan yang pernah dilancarkan bawah pentadbirannya sebagai perdana menteri keempat pada 1997, beliau berkata walaupun agak sukar untuk diperkenalkan namun ia menjadi pusat perpaduan antara kaum di negara ini.

“Bila ada sekolah seumpama ini, kita akan ada tiga sekolah dalam satu kampus. Walaupun guna bahasa berlainan tetapi apabila ada perhimpunan waktu pagi mereka akan berkumpul bersama, bersukan bersama di dalam satu pasukan campuran. Dengan ini, pelajar dapat berjumpa dan berhubung,” katanya.

Menyentuh senario politik pula, Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengamalkan prinsip demokrasi dalam setiap agenda yang ingin dilaksanakan menerusi perbincangan bagi mencapai kata sepakat daripada kesemua parti dalam PAKATAN.

“Suasana politik sekarang sudah berubah, tidak macam dahulu. Sebab dahulu parti berkuasa adalah UMNO sehingga mereka boleh buat apa sahaja, sehingga ada pemimpin buat silap tetapi masih kekal,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata beliau turut mengamalkan prinsip terbuka untuk mendengar pendapat daripada semua pihak seperti parti lawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang berasaskan kaum, serta badan-badan agama.

“Kalau saya tidak tahu pendapat mereka, maka masalah yang timbul tidak dapat ditangani oleh saya. Itu yang berlaku.

“Tapi ada orang yang mentafsirkan perjumpaan saya dengan pemimpin parti lawan bermakna saya sedang berusaha membuat parti campuran yang baharu. Ini tidak benar,” katanya mengulas mengenai kemungkinan tertubuhnya kerajaan baharu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AUKU bakal diganti dengan undang-undang lebih baik

PUTRAJAYA, 6 FEB: Kementerian Pendidikan giat melaksanakan usaha untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan menggantikannya dengan undang-undang lebih baik dan komprehensif, kata Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata usaha itu selaras Janji 50 Kerajaan dalam manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk mengembalikan kewibawaan universiti awam dan pendidikan tinggi.

“Saya berharap akta baharu menggantikan AUKU akan menjurus kepada kualiti dan kecemerlangan universiti bagi mewujudkan institut pengajian tinggi yang peka dan berupaya untuk bertindak balas dengan keperluan perubahan persekitaran,” katanya yang juga pemangku menteri pendidikan.

Pada majlis amanat dan aspirasi bersama warga Kementerian Pendidikan di sini hari ini, Dr Mahathir melahirkan harapan Majlis Pendidikan Tinggi Negara dapat diaktifkan semula untuk memantapkan sistem tadbir urus dan pengharmonian Akta Pendidikan Tinggi baharu yang sedang digubal.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata sinergi ekosistem penyelidikan dan inovasi akan ditambah baik pada tahun ini selaras peruntukan RM400 juta yang disediakan untuk penyelidikan, bagi membolehkan universiti menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi.

Beliau berkata tumpuan seharusnya diberikan terhadap pengukuhan kolaborasi dengan institusi yang disenaraikan sebagai Top 100 di dunia oleh QS World University Rankings.

Dalam menggalakkan penyelidikan yang dipacu permintaan atau ‘demand driven’, katanya pelaksanaan Public Private Research Network 2.0 dan Prototype Research Grant Scheme pada tahun ini akan memberi tumpuan terhadap penyelesaian masalah yang dihadapi industri kecil sederhana melalui bidang berasaskan teknologi.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kementerian membangunkan dokumen ‘Way Forward for Private Higher Education Institutions (PHEIs): Education as An Industry (2020-2025)’ yang akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi menjadi sumber rujukan institusi pendidikan tinggi swasta dalam menentukan hala tuju menjelang 2025.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir pemimpin sebenar dunia Islam – Imran Khan

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan hari ini menyuarakan kekagumannya terhadap rakan sejawatannya dari Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dianggapnya sebagai seorang pemimpin yang sebenar.

Imran Khan berkata Dr Mahathir adalah contoh seorang pemimpin yang berpendirian teguh, terutama untuk kebaikan Islam dan umat Islam.

“Sesungguhnya ada perbezaan di antara seseorang yang menjawat jawatan dan seorang pemimpin. Pemimpin sentiasa mempunyai sistem kepercayaan dan ideologi.

“Seorang pemimpin sentiasa mempunyai pendirian yang teguh, dan itu sebabnya kita amat menyayangi dan menghormati Perdana Menteri Dr Mahathir,” katanya, merujuk yang kepada kelantangan Dr Mahathir bersuara mengenai India.

Imran Khan, yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Visi untuk Keamanan dan Keselamatan Serantau’ di Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) di sini hari ini, berkata demikian ketika ditanya oleh seorang hadirin mengenai langkah India menghentikan pembelian minyak sawit Malaysia, berikutan kritikan Dr Mahathir berhubung tindakan India di Kashmir dan undang-undang kerakyatannya yang baharu.

Bekas bintang kriket itu berkata Dr Mahathir juga dilihat sebagai suri teladan dan negarawan di dalam dunia Islam yang mengubah nasib ramai.

“Kita telah melihat bagaimana Malaysia menjalani pembaharuan dan membangun di bawah kepimpinan Dr Mahathir. Tetapi apa yang saya suka mengenai Malaysia ialah ia mempunyai masyarakat yang sangat beradab dan bertamadun.

“Saya dapati terdapat keharmonian antara agama dan kumpulan etnik di sini, yang saya fikir adalah ciri-ciri masyarakat bertamadun.

“Di era kegemilangan Islam dahulu, orang ramai dengan pelbagai agama hidup aman bersama. Terdapat toleransi dan penerimaan …dan anda melihat di Malaysia orang ramai hidup dalam suasana harmoni, dan pada pendapat saya ia benar-benar sesuatu yang perlu dikagumi,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Imran Khan berkata 1.3 bilion umat Islam di dunia perlu menyuarakan pandangan mereka mengenai isu Kashmir, terutamanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Pada pandangan saya, keadaan boleh menjadi lebih parah, jika anda tinjau sejarah, apabila ada orang yang mencetuskan api nasionalisme melampau dan menghalakan kebencian kepada komuniti lain, ia biasanya akan membawa kepada pertumpahan darah,” katanya.

Perdana menteri itu juga berkata Pakistan sentiasa bersedia untuk berdamai dengan sebuah negara India yang percaya kepada kemakmuran dan pembasmian kemiskinan di rantau berkenaan.

Beliau berkata antara perkara pertama yang dilakukannya selepas menjadi Perdana Menteri adalah menghubungi rakan sejawatannya dari India.

“Sebilangan besar penduduk miskin tinggal di kawasan tertentu India dan cara terbaik kita dapat mengurangkan kemiskinan di kawasan itu adalah jika kedua-dua negara memulakan hubungan yang baik.

“Tahap ketegangan ketika ini semakin berkurangan, dan sekiranya kita mengurangkan perbelanjaan untuk sektor pertahanan, suasana akan jadi lebih makmur,” katanya, namun menyatakan bahawa Pakistan terus ditolak oleh negara jirannya itu.

Dalam sesi ceramah itu juga Imran Khan turut mengetengahkan visinya mengenai Pakistan, yang menurutnya diilhamkan dari kejayaan Nabi Muhammad SAW membangunkan Madinah sebagai negara Islam pertama dengan kebajikan rakyat dan kedaulatan undang-undang sebagai prinsip utama.

Beliau berkata Pakistan telah memulakan usaha menjadi negara kebajikan, di mana buat pertama kali dalam sejarah negara, insurans kesihatan diberikan kepada segmen masyarakat yang paling lemah, yang memberi manfaat kepada enam juta keluarga.

Perdana Menteri itu turut berkata universiti-universiti di dunia Islam perlu melakukan penyelidikan terperinci mengenai kota Madinah sebagai resipi untuk membina sebuah negara yang berjaya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM tekankan keperluan mengajar Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menekankan tentang perlunya menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Dr Mahathir, yang juga pemangku Menteri Pendidikan, berkata ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara.

“Sangat penting untuk kita memberi masa kepada bahasa Inggeris, khususnya dalam pembelajaran Sains dan Matematik. Geografi dan Sejarah boleh datang dalam mana-mana bahasa tetapi Sains dan Matematik bukan bidang ilmu peribumi (bagi rakyat Malaysia).

“Ia datangnya dari luar negara. Kebanyakannya datang kepada kita dalam bahasa Inggeris, oleh itu kita perlu menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik, “katanya semasa mesyuarat khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya semalam.

Klip video mengenai kenyataan beliau dimuat naik dalam Facebook.

Dr Mahathir juga berkata beliau mendapati mereka yang belajar Sains dalam bahasa Melayu kemudiannya sukar untuk bekerja di mana bahasa Inggeris diperlukan.

Perdana Menteri juga mengakui bahawa negara dan rakyat ingin melihat pembaharuan dalam dasar pendidikan negara.

“Saya dari dulu pun mempunyai idea berkenaan peranan pendidikan dalam pembangunan negara kita … Saya perhatikan kelemahan tertentu yang perlu dihadapi. Jadi, saya ingin mencatatkan pandangan saya mengenai pendidikan supaya kita boleh bekerjasama untuk mencapainya.

“Sudah tentu, pandangan saya tidak selalu popular atau tidak selalu diterima oleh ramai orang, tetapi saya merasakan saya perlu mendorong perkara-perkara tertentu untuk memastikan anak-anak kita membesar dan mendapati diri mereka dapat mengatasi masalah kehidupan dewasa. Itulah tujuan pendidikan,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata bahawa masalah tertentu timbul daripada hakikat bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum, tetapi ini juga sesuatu yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

“Malahan, banyak soal pembangunan negara ini didasarkan pada hubungan kerja yang baik antara kaum yang berlainan. Jika negara ini tidak stabil, jika kita berperang, anda boleh melupakan pembangunan, “katanya.

-BERNAMA