Categories
NASIONAL

Tun M: Prosedur perundangan terhadap Rosmah ikut undang-undang

PUTRAJAYA, 4 OKT: Prosedur perundangan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dibuat mengikut undang-undang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Merujuk kepada dakwaan oleh anak perempuan Rosmah, Nooryana Najwa Najib, bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agak melampau bertindak menangkap ibunya, Dr Mahathir berkata tindakan itu dibuat tanpa niat dendam.

“Jika ia bertentangan dengan undang-undang, proses perundangan akan dijalankan, itu janji kita dan tidak ada niat untuk berdendam dan apa jua seumpamanya.

“Undang-undang menyebut (bahawa) jika anda mencuri wang, anda akan didakwa di mahkamah. Sama ada mahkamah bersetuju atau tidak, itu perkara lain,” katanya kepada pemberita selepas melrasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Asean mengenai Pengurusan Bencana kali keenam dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan di sini hari ini.

Nooryana Najwa, dalam hantaran Instagram semalam, berkata beliau boleh menerima hakikat tindakan ke atas bapanya Najib, tetapi penangkapan ibunya dan penggeledahan rumah neneknya Tun Rahah Mohammad Noah adalah keterlaluan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Teks penuh Tun Dr Mahathir pada UNGA ke-73

Berikut adalah Kenyataan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sesi Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi yang ke-73 (UNGA) pada 28 Sept, di New York:

Puan Presiden,

Saya ingin menyertai mereka yang lain untuk mengucapkan tahniah kepada anda atas pelantikan anda sebagai Presiden sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ketujuh Puluh Tiga (ke-73) (UNGA).

Saya yakin dengan kebijaksanaan dan pengalaman luas anda, sesi ini akan mencapai objektif-objektif temanya pada sesi kali ini. Saya memberi jaminan bahawa Malaysia memberi sokongan dan kerjasama penuh ke arah pencapaian matlamat yang mulia tersebut.

Izinkan saya untuk memberi menghormatan kepada Presiden terdahulu Tuan Yang Terutama Miroslav Lajcak, atas dedikasi dan kepimpinan beliau dalam menyelesaikan kerja-kerja pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-72..

Saya memuji Setiausaha Agung dan kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atas usaha mereka yang tidak mengenal lelah dalam memandu dan menguruskan aktiviti PBB di seluruh dunia.

Khasnya kepada mendiang Kofi Annan, Setiausaha Agung Ketujuh PBB dari 1997 – 2006, yang dengan dukacitanya meningal dunia pada bulan Ogos tahun ini. Malaysia telah mempamekan penglibatan yang kuat dan aktif semasa tempoh perkhidmatan beliau.

Puan Presiden,

Tema bagi Perhimpunan Agung ke-73 ini “Menjadikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Relevan Kepada Semua: Kepemimpinan Global dan Perkongsian Tanggungjawab Untuk Masyarakat yang aman, Saksama dan Lestari” terus menjadi aspirasi kepada para bapa pengasas kita. Temanya sangat relevan dan kena pada masanya. Ia sangat penting dalam konteks Malaysia baharu. Kerajaan baharu Malaysia, yang baru-baru ini mendapat mandat yang kuat daripada rakyat, komited untuk memastikan setiap warga Malaysia mendapat bahagian yang sama daripada kekayaan dan kemakmuran negara.

Sebuah Malaysia yang baharu muncul selepas Pilhan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun ini. Rakyat Malaysia telah memutuskan untuk menukar kerajaan mereka yang telah memerintah selama 61 tahun, iaitu sejak kemerdekaan. Kami melakukan ini kerana kerajaan terdahulu mengamalkan politik kebencian, pemikiran sempit perkauman dan agama selain rasuah yang berleluasa. Proses perubahan itu telah dicapai secara demokratik, tanpa keganasan dan kehilangan nyawa.

Rakyat Malaysia mahukan Malaysia baharu yang mempertahankan prinsip-prinsip keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kedaulatan undang-undang. Mereka mahukan Malaysia yang bersahabat dengan semua dan tidak memusuhi sesiapa. Malaysia yang kekal berkecuali dan tidak memihak.

Malaysia yang membenci peperangan dan keganasan. Mereka juga mahukan sebuah negara Malaysia yang berani menyatakan pandangannya terhadap apa yang benar dan apa yang salah, tanpa berasa takut atau memihak. Malaysia baharu yang pecaya kepada kerjasama berasaskan sikap saling menghormati demi keuntungan bersama.

Malaysia baharu yang menawarkan perkongsian berasaskan ‘memakmurkan jiran-jiran’. Kami percaya kepada kebaikan untuk bekerjasama bahawa jiran yang makmur dan stabil akan menyumbang kembali kepada kemakmuran dan kestabilan kami.

Malaysia baharu ini menyokong prinsip-prinsip yang dianjurkan oleh PBB dalam keterlibatan antarabangsa kami. Ini termasuk prinsip kebenaran, hak-hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, kesaksamaan, kebertanggungjawaban dan akauntabiliti, selain kelestarian. Dalam konteks inilah kerajaan baharu Malaysia telah berikrar untuk meratifikasikan baki instrumen-instrumen teras PBB yang berkaitan dengan perlindungan hak-hak asasi manusia.

Ia tidak mudah untuk dilaksanakan oleh kami memandangkan Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai budaya dan pelbagai bahasa. Kami akan meluangkan ruang dan masa untuk semua bersuara dan membuat keputusan secara bebas berlandaskan demokrasi.

Puan Presiden,

Kali terakhir saya berucap di sini ialah pada 2003, saya telah melahirkan kesedihan kerana dunia telah kehilangan arah. Saya sedih kerana hakikatnya negara-negara kecil terpaksa tunduk kepada kehendak yang berkuasa besar. Saya berhujah mengenai perlunya negara-negara membangun berusaha keras untuk melaksanakan reformasi, mempertingkatkan pembinaan keupayaan dan mempelbagaikan ekonomi. Kita mesti mampu mengekalkan hala tuju kita.

Tetapi hari ini, 15 tahun kemudian dunia tidak banyak berubah. Malah keadaan dunia hari ini jauh lebih buruk daripada 15 tahun lepas. Hari ini dunia dalam keadaan huru-hara daripada segi ekonomi, sosial dan politik.

Berlaku perang perdagangan antara dua kuasa ekonomi paling besar. Dan seluruh dunia terkena tempiasnya.

Daripada segi sosial pula, nilai-nilai baharu telah mengancam kestabilan negata-negara dan rakyatnya. Kebebasan telah membawa kepada penolakan konsep perkahwinan dan keluarga, pantang-larang moral, rasa hormat dan lain-lain lagi.

Tetapi huru-hara yang lebih buruk ialah dalam arena politik. Kita melihat aksi keganasan di mana-mana. Orang mengikat bom pada diri mereka dan membunuh diri di tempat-tempat keramaian. Trak-trak dipandu untuk merempuh orang ramai. Berlaku peperangan dan ada orang yang dipenggal kepala mereka dengan pisau pendek.

Aksi keganasan ini ditayangkan ke seluruh dunia secara siaran langsung. Berduyun-duyun manusia menggadai nyawa untuk melarikan diri tetapi dinafikan daripada mendapat perlindungan suaka politik, dan terpaksa tidur di kawasan lapang dan akhirnya mati kesejukan. Beribu-ribu yang lain kebuluran dan berpuluh-puluh ribu lagi mati akibat wabak penyakit kolera.

Tiada sesiapa, tiada negara yang selamat. Pemeriksaan keselamatan menyusahkan mereka yang melakukan perjalanan. Tiada cecair dibenarkan dibawa ke dalam pesawat. Secikit kecurigaan akan membawa kepada penahanan dan soal siasat yang tidak menyenangkan.

Untuk melawan “pengganas” pelbagai langkah keselamatan dilaksanakan, pelbagai peranti dan peralatan digunakan. “Abang Besar” sentiasa memerhati. Tetapi aksi keganasan tetap juga berterusan.

Malaysia telah berlawan dengan penjahat dan pengganas untuk mencapai kemerdekaan dan telah mengalahkan mereka. Memang kami ada menggunakan kekuatan ketenteraan. Tetapi bersama-sama dengan itu dan yang lebih penting adalah kempen untuk memenangi hati dan minda rakyat.

Peperangan melawan pengganas pada masa ini tidak akan berakhir sehingga akar kepada permasalahan itu ditemui, dihapuskan dan hati dan minda rakyat dimenangi.

Apakah punca akar kepada masalah-masalah ini. Pada 1948, tanah air Palestin telah dirampas untuk membentuk negara Israel. Warga Palestin disembelih dan dipaksa meninggalkan tanah mereka. Ladang-ladang dan rumah-rumah mereka dirampas.

Mereka cuba berperang secara konvensional dengan bantuan jiran-jiran yang bersimpati. Rakan sekutu Israel telah memastikan bahawa cubaan mereka itu gagal. Lebih banyak tanah rakyat Palestin dirampas. Dan penempatan rakyat Israel dibina di atas lebih banyak tanah-tanah rakyat Palestin yang dirampas dan rakyat Palestin dihalang daripada memasuki kawasan-kawasan penempatan itu yang dibina di atas tanah-tanah mereka.

Penduduk Palestin pada mulanya cuba melawan dengan menggunakan lastik dan batu-batu. Mereka ditembak menggunakan peluru hidup dan ditangkap. Beribu-ribu dipenjarakan.

Kecewa dan marah ,tidak mampu melawan dalam peperangan konvensional, warga Palestin mengambil jalan kepada apa yang kita panggil keganasan.

Dunia tidak peduli pun apabila Israel mencabuli undang-undang antarabangsa, merampas kapal-kapal yang membawa ubat-ubatan, makanan dan bahan binaan di perairan antarabangsa. P

enduduk Palestin cuba melancarkan roket-roket tetapi tidak memberi kesan dan tidak mencederakan sesiapa pun. Tetapi dibalas secara besar-besaran oleh Israel, dengan menghantar bom roket dan mengebom hospital-hospital, sekolah dan bangunan-bangunan lain, membunuh penduduk awam yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak sekolah dan pesakit-pesakit di hospital. Dan ramai lagi.

Dunia menghargai Israel dengan sengaja menimbulkan provokasi kepada Palestin dengan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Kemarahan dan kekecewaan rakyat Palestin dan pihak yang bersimpati telah membuatkan mereka menggunakan kaedah apa yang kita panggil keganasan. Tetapi penting bagi kita untuk menerima bahawa apa juga tindakan yang menimbulkan ketakutan kepada orang boleh dianggap sebagai tindakan keganasan. Dan negara-negara yang menggugurkan bom dan melancarkan roket yang mencedera dan membunuh manusia tidak berdosa juga menakutkan orang. Ini juga perbuatan-perbuatan keganasan.

Malaysia membenci keganasan. Kami akan memeranginya. Tetapi kami percaya bahawa satu-satunya cara untuk memerangi keganasan ialah dengan menghapuskan puncanya. Berilah rakyat Palestin pulang untuk menuntut kembali tanah-tanah mereka. Biarlah wujud negara Palestin. Biarlah wujud keadilan dan kedaulatan undang-undang. Dengan memerangi mereka tidak akan menamatkan keganasan. Juga tidak mungkin dapat menghapuskan keganasan.

Kita perlu mengingatkan diri kita bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, seperti juga Liga Bangsa-Bangsa sebelum ini, ditubuhkan dengan niat murni untuk mengakhiri peperangan antara negara-negara.

Peperangan adalah mengenai pembunuhan orang. Peperangan di zaman moden ini adalah mengenai pembunuhan orang secara beramai-ramai dan menghancurkan seluruh negara. Masyarakat bertamadun membenci perbuatan membunuh walau apa pun alasannya. Apabila seseorang itu mematikan orang, dia melakukan jenayah membunuh. Dan hukuman kepada pembunuh adalah hukuman mati.

Tetapi peperangan, sebagaimana kita sedia maklum, menggalakkan dan menghalalkan perbuatan membunuh. Malah pembunuhan itu dianggap mulia, dan para pembunuh itu dipanggil wira-wira. Mereka disematkan dengan pingat di dada mereka dan tugu-tugu dibina untuk memperingati mereka, dan nama mereka disebut-sebut dalam buku-buku sejarah.

Ada yang tidak kena dengan cara berfikir kita, dengan nilai-nilai kita apabila mematikan satu orang ia dianggap membunuh tetapi mematikan berjuta-juta orang anda menjadi wira. Dan sebahagian daripada kita masih percaya bahawa konflik antara negara-negara boleh diselesaikan dengan peperangan.

Dan sebab kita masih berfikiran begitu, maka kita harus bersiap-sedia untuk berperang. Peribahasa lama mengatakan “untuk mencapai perdamaian, perlu ada peperangan”. Dan kita akan selama-lamanya bersiap-sedia untuk berperang, mencipta lebih banyak senjata pemusnah. Kita kini mempunyai bom nuklear yang mampu memusnahkan seluruh bandar raya-bandaraya. Tetapi kita kini mengetahui bahawa radiasi yang terhasil daripada letupan-letupan ini bahkan boleh menjejaskan negara yang menggunakan bom tersebut. Peperangan nuklear akan menghancurkan dunia.

Ketakutan ini telah menyebabkan negara-negara Eropah dan Amerika Utara mempertahankan keamaan mereka selama lebih 70 tahun. Tetapi tidak bagi negara-negara lain. Peperangan di negara-negara lain itu boleh membantu ujian senjata baharu yang dicipta.

Dan mereka lalu menjualnya kepada negara-negara yang berperang. Dan kita melihat senjata-senjata ini digunakan dalam peperangan antara negara-negara yang lebih kecil. Ini bukan peperangan dunia tetapi kesan kemusnahannya tidak kurang buruknya. Beratus-ratus ribu orang telah terbunuh, seluruh negara diranapkan dan negara-negara menjadi muflis dek senjata-senjata baharu yang menakjubkan itu

Tetapi peperangan memberikan dividen yang berbaloi kepada pengeluar dan pedagang senjata. Perniagaan senjata kini adalah perniagaan terbesar di dunia. Mereka tidak berasa malu untuk memperoleh untung yang besar daripada kematian dan kemusnahan yang disebabkan oleh mereka. Malah negara-negara yang dikatakan mencintai keamanan sering mempromosikan perniagaan yang memalukan ini.

Pada hari ini senjata berharga jutaan tinggit. Jet tempur berharga kira-kira 100 juta dolar. Dan penyelenggaraannya memerlukan berpuluh-puluh juta lagi. Tetapi negara-negara miskin dipujuk untuk membelinya walaupun mereka tidak mampu. Mereka diberitahu bahawa jiran-jiran mereka atau musuh mereka memilikinya. Jadi, adalah penting untuk mereka memilikinya juga.

Jadi, walaupun rakyat mereka kebuluran dan menderita kerana dinafikan daripada mendapat pelbagai kemudahan, namun peratusan besar daripada bajet mereka diperuntukkan untuk membeli persenjataan. Pembelinya mungkin tidak akan menggunakannya langsung tetapi itu tidak menjadi masalah kepada penjualnya.

Puan Presiden,

Di Myanmar, umat Islam di negeri Rakhine sedang dibunuh rumah-rumah mereka dibakar dan berjuta-juta pelarian dipaksa melarikan diri, mati lemas di lautan luas, tinggal dalam pondok-pondok yang dibina sendiri, tanpa air atau makanan, tanpa sistem pembuangan najis yang paling daif sekali pun.

Namun, pihak berkuasa di Myanmar termasuk pemenang Hadiah Keamanan Nobel menafikan kejadian itu berlaku. Saya percaya kepada dasar tidak mencampuri urusan dalaman negara lain. Tetapi adakah dunia hanya akan memerhatikan pembunuhan dilakukan tanpa berbuat apa-apa? Negara-negara adalah merdeka. Tetapi adakah ini bermakna mereka mempunyai hak untuk membunuh rakyat mereka sendiri, disebabkan mereka merdeka?

Puan Presiden,

PERDAGANGAN

Sebaliknya, daripada segi perdagangan negara-negara tidak lagi merdeka. Perdagangan Bebas bermakna tiada perlindungan bagi industri baharu di negara-negara kecil. Mereka mesti menghapuskan sekatan tarif dan membuka negara mereka kepada lambakan produk-produk oleh mereka yang kaya dan sangat berkuasa.

Namun, produk keluaran negara-negara miskin tertakluk kepada sekatan-sekatan yang diwujudkan dengan secara bijaksana agar mereka tidak boleh menembusi pasaran negara kaya. Minyak sawit Malaysia dilabel sebagai berbahaya kepada kesihatan dan ladang-ladang memusnahkan habitat haiwan-haiwan.

Produk makanan yang dikeluarkan negara-negara kaya mendakwa kononya mereka bebas daripada minyak sawit. Sekarang minyak diesel berasaskan sawit dikecam kerana mereka memusnahkan hutan dara. Mereka yang prihatin ini terlupa bahawa pemboikotan mereka menafikan ratusan ribu orang daripada mendapat pekerjaan dan kehidupan yang selesa.

Kami di Malaysia mengambil berat soal alam sekitar. Kira-kira 48 peratus daripada negara kami masih kekal hutan dara. Bolehkah pengkritik-pengkritik kita membuat dakwaan serupa tentang negara mereka?

Puan Presiden,

Malaysia komited dengan pembangunan lestari. Kami telah mengambil langkah-langkah, misalnya menambah baik kaedah pengeluaran bagi memastikan pengeluaran minyak sawit kami adalah mapan. Menjelang Disember 2019, Standard Kelestarian Minyak Sawit Malaysia (MSPO) adalah sesuatu yang akan diwajibkan. Ini akan menjamin setiap titis minyak sawit yang dikeluarkan oleh Malaysia akan disahkan sebagai mapan menjelang 2020.

Puan Presiden,

Di seluruh dunia, kami perhatikan trend bahaya nasionalisme yang melihat ke dalam, mengenai kerajaan yang ingin menjadi poular, menarik diri daripada kerjasama antarabangsa, menutup pintu sempadan mereka kepada pergerakan bebas manusia, barangan dan perkhidmatan walaupun ketika mereka sedang bercakap mengenai dunia tanpa sempadan dan perdagangan bebas.

Meskipun globalisasi telah memberi kita beberapa manfaat, namun impaknya terbukti mengancam kepada kedaulatan negara-negara kecil. Kita malah tidak boleh bercakap atau bergerak ke mana-mana tanpa suara dan pergerakan kita dirakamkan, dan kerapkali digunakan terhadap kita. Data mengenai setiap orang dirakam dan diperdagangkan oleh negara-negara yang berkuasa dan syarikat-syarikat mereka.

Malaysia menyambut baik usaha PBB untuk menghapuskan kemiskinan melindungi bumi kita dan buba memastikan bahawa setiap orang menikmati keamaan dan kemakmuran. Tetapi saya ingin merujuk kepada keperluan untuk melaksanakan reformasi dalam pertubuhan ini.

Lima negara berdasaran kemenangan mereka lebih 70 tahun yang lalu, tidak boleh mendakwa bahawa mereka mempunhyai hak untuk menjadikan dunia sebagai tebusan mereka sepanjang masa.

Mereka tidak boleh menunjukkan moral yang tinggi, mengajarkan demokrasi dan perubahan rejim di negara-negara di dunia sedangkan mereka menafikan demokrasi dalam pertubuhan ini.

Saya telah mencadangkan supaya kuasa veto tidak boleh dilaksanakan oleh hanya satu anggota tetap tetapi oleh sekurang-kurangnya dua kuasa besar disokong oleh tiga anggota bukan tetap Majlis Keselamatan. Perhimpunan Agung patut menyokong keputusan itu dengan majoriti mudah. Saya tidak mahu berbakap lebih panjang.

Saya mengakui bahawa dunia tanpa PBB akan mengalami kerosakan yang dahsyat. Kita memerlukan PBB, kita perlu mempertahankkannya dengan dana yang mencukupi. Tiada sesiapa yang boleh mengugut pertubuhan itu dengan tidak memberi dana.

Puan Presiden,

 

Selepas 15 tahun dan pada usia 93 tahun, saya kembali ke podium ini dengan tugas berat untuk membawa suara dan harapan Malaysia baharu ke pentas dunia. Rakyat Malaysia, yang berbangga dengan pencapaian demokratik mereka baru-baru ini, menaruh harapan tinggi bahawa di seantero dunia – kita akan melihat keamanan, kemajuan dan kemakmuran. Dalam hal ini, kami amat berharap PBB sudi mendengar rayuan kami.

Terima kasih, Puan Presiden.

Categories
NASIONAL

PM tiba di New York hadiri Perhimpunan Agung PBB

NEW YORK 26 SEPT: Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini Selasa untuk lawatan kerja dan menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa- Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73.

Pesawat khas membawa Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Lapangan Terbang White Plains jam 1.12 petang waktu tempatan (1.12 pagi Rabu di Malaysia).

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah disambut Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Konsul Jeneral Malaysia di New York, Jeremiah Oliver Jitos.

Dr Mahathir dijadual menyertai beberapa mesyuarat peringkat tertinggi PBB sebelum berucap di Perhimpunan Agung PBB pada 28 September ini, hampir 15 tahun selepas beliau berbuat demikian sebelum ini.

Dr Mahathir juga dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin dunia termasuk dari United Kingdom, Iran dan Sri Lanka.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Dr Mahathir dijadual bertemu Theresa May, beberapa pemimpin di New York

NEW YORK, 24 SEPT: Tun Dr Mahathir Mohamad, yang akan tiba di sini pada Selasa (25 Sept), bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sesi ke-73 (UNGA) dari 25-29 Sept, dijangka mempunyai jadual mesyuarat yang ketat dengan beberapa ketua negara dan kerajaan yang menghadiri perhimpunan agung itu.

Perdana Menteri dijangka tiba di New York bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada tengah hari Selasa dari London, selepas melakukan lawatan kerja dari 22 Sept.

Antara pemimpin dunia yang akan mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir semasa UNGA ialah Perdana Menteri Britain Theresa May.

Kedua-dua Perdana Menteri itu, Dr Mahathir dan May, dijangka mengadakan pertemuan pada Rabu (26 Sept) bagi berkongsi pandangan berhubung perkara seperti ekonomi global dan maklumat terbaru mengenai langkah Brexit dan perkembangan ekonomi Malaysia.

Pada pertemuan pertama sejak Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14, kedua-dua pemimpin juga dijangka mengadakan perbincangan mengenai hubungan antara kedua-dua negara.

Sebaik tiba di New York, Dr Mahathir juga dijangka menemui Presiden Iran, Hassan Rouhani pada Selasa (25 Sept) di mana perbincangan akan tertumpu kepada situasi di Asia Barat.

Dr Mahathir juga dijangka menemui Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dan Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga berada di sini bagi mengiringi Dr Mahathir, juga dijangka menemui rakan sejawatannya dari Sudan Dr Dirdeiry M. Ahmad.

Terdahulu, Saifuddin berkata, kementerian beliau menerima beberapa lagi permintaan daripada para pemimpin negara lain untuk menemui Dr Mahathir semasa tempoh berkenaan, dan menambah bahawa sebarang perkembangan akan diumumkan kemudian.

Dr Mahathir kali terakhir berucap di UNGA hampir 15 tahun lepas, pada 25 Sept 2003, kira-kira sebulan sebelum beliau bersara sebagai Perdana Menteri keempat pada 31 Okt.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sambutan Hari Malaysia 2018 berbeza – Mahathir

KOTA KINABALU 17 SEPT: Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini berbeza kerana buat pertama kalinya disambut dengan kerajaan Persekutuan yang baharu dipimpin oleh gabungan parti politik berlainan, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu menyaksikan Pakatan Harapan telah menggantikan Barisan Nasional (BN), yang sebelum itu dikenali sebagai Perikatan, telah memerintah Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia sejak merdeka lagi iaitu selama 61 tahun.

“Perubahan ini bukan sesuatu yang kecil. Ini kerana sebelum PRU-14, penganalisis dan pemerhati politik rata-rata mengatakan adalah sukar (menumbangkan BN) malah ada yang mengatakan mustahil untuk menjatuhkan kerajaan yang sudah bertapak sejak 61 tahun lalu.

“Alhamdulillah, Pakatan Harapan berjaya (menumbangkan BN) walaupun tidak dijangka. Kejayaan ini adalah kehendak rakyat. Ia adalah sejenis “people’s power”- kuasa rakyat.

“Barang siapa membelakangkan rakyat akan menerima nasib sama (dijatuhkan menerusi kuasa rakyat). Justeru, Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah harus memahami hakikat ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka malam tadi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sambutan Hari Malaysia: Tun Dr Mahathir tiba di Sabah

KOTA KINABALU, 16 SEPT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Kota Kinabalu bagi menghadiri upacara sambutan Hari Malaysia malam ini.

Pesawat khas yang membawa perdana menteri mendarat di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira 12.20 tengah hari.

Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, anggota kabinet negeri dan persekutuan, ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri serta ribuan penyokong Pakatan Harapan Parti Warisan Sabah.

Kira-kira 7 malam ini, Dr Mahathir dijadualkan menghadiri acara sambutan Hari Malaysia yang berlangsung di Padang Merdeka.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun M: MIGHT boleh bantu rakyat faham kepentingan kereta nasional ketiga

PUTRAJAYA 16 SEPT: Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) boleh memainkan peranan untuk menonjolkan akan pentingnya mempunyai kereta nasional ketiga yang akan membantu memacu pembangunan dan pembinaan negara.

Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, MIGHT boleh memainkan peranan besar dalam memberi penjelasan kepada rakyat berhubung cadangan itu serta untuk menyokong industri lain Malaysia dalam mewujudkan ekonomi seimbang.

”Kami telah diberikan taklimat dan saya fikir MIGHT boleh memainkan peranan besar, untuk memberi penjelasan kepada rakyat dan untuk menyokong industri kerana industri hanya boleh mencatat pertumbuhan apabila rakyat menerimanya,” katanya dalam wawancara eksklusif oleh The Third Age Media Association dan Bernama News Channel (BNC) baru-baru ini di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebagai pengguna, rakyat akan mendapati sukar untuk memahami akan keperluan untuk menggalakkan percambahan industri tempatan yang amat penting untuk mewujudkan peluang kerja baharu dan juga untuk meningkatkan keupayaan eksport ke negara lain kerana mereka lebih fokus untuk membeli produk, daripada menciptanya.
Susulan itu, beliau berkata kerajaan perlu memikirkan cara untuk membangunkan negara dan ini termasuk kapasiti untuk mengeluarkan barang termasuk projek kereta nasional ketiga untuk menjana aliran masuk wang.

”Kerajaan merasakan perlu untuk memperoleh keupayaan kejuruteraan yang bermakna kita perlu mengeluarkan dan menghasilkan untuk diri kita sendiri supaya barangan boleh dijual ke negara lain, di mana terdapat aliran masuk wang.

“Aliran keluar wang adalah tidak baik untuk negara, itu cara kerajaan berfikir,” katanya.

Beliau turut menggesa rakyat Malaysia untuk melihat kepada negara seperti Jepun, Korea Selatan dan China, yang amat terkenal bagi keupayaan kejuruteraan dan lebih berminat untuk mengeluarkan barang dan mengeksportnya, yang membolehkan mereka mencatat pertumbuhan baik dari segi ekonomi.

Pada 11 Jun, Dr Mahathir mendedahkan pada Persidangan Nikkei Ke-24 bagi Masa Depan Asia di Jepun bahawa kerajaan merancang untuk mengeluarkan kereta nasional ketiga selepas Proton dan Perodua.

Mengakui sesetengah rakyat Malaysia tidak menyambut positif cadangan itu, Dr Mahathir berkata sebelum itu matlamatnya adalah untuk meningkatkan kapasiti kejuruteraan negara dan menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar daripada negara pengguna.

Ditubuhkan pada 1993, MIGHT, yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, memainkan peranan dalam mendapatkan konsensus dan penyelarasan bagi kerjasama Industri-Kerajaan dalam teknologi tinggi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PPBM usia 2 tahun sudah bentuk kerajaan, usaha tingkat prestasi Melayu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 SEPT: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad bersyukur baru sahaja memasuki usia dua tahun, parti itu sudah mampu bersama membentuk kerajaan.

Katanya, beliau gembira apabila parti itu mendapat kuasa sebagai anggota kerajaan campuran untuk membuat sesuatu bagi menjayakan orang Melayu selain mengurangkan jarak ekonomi dengan kaum lain.

Malah, katanya, kerajaan yang ada sekarang akan membuat sesuatu bagi menjayakan orang Melayu termasuk dalam aspek kewangan bagi mengurangkan jurang ekonomi mereka dengan kaum-kaum lain.

“Kita akan cipta dasar, peluang dan mengadakan kemudahan bagi orang Melayu meningkatkan prestasi mereka. Tetapi kali ini kita akan tentukan segala yang diberi kepada mereka tidak akan disalahgunakan.

“Jualan pemberian tidak akan dibenar. Kita akan tentukan mereka dilatih dengan cara-cara mengurus, terutama pengurusan wang. Kita akan semai ke dalam hati sanubari mereka nilai-nilai yang mulia. Kita tidak akan teragak-agak bertindak terhadap penyelewengan.

Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun kedua parti itu di Stadium Malawati, di sini, semalam.

Turut hadir isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Dato’ Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Timbalan Presiden KEADILAN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi DAP Tan Kok Wai dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dr Mahathir berkata kerajaan dan pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menentukan hanya mereka yang terlatih atau berpengalaman diberi pertimbangan semasa menilai tawaran mereka dalam tender.

“CV mereka akan diambil berat, terutama berkenaan tabiat mereka apabila berhutang termasuk hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional),” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kepimpinan PAKATAN termasuk PPBM tidak akan merampas hak atau atau harta sesiapa malah akan menitikberatkan dan mengambil kira soal persamaan satu sama lain.

“PPBM tidak akan jadi UMNO Najib. Kita tidak akan utama apa diri kita dapat. Keutamaan kita ialah untuk memajukan negara supaya menjadi negara maju. Tumpuan kita ialah agihan nikmat negara maju secara adil dan saksama,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tun M: Melayu perlu nilai diri sendiri dahulu, kuat kerja

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menegaskan kepada masyarakat Melayu supaya berhenti menuduh sebaliknya perlu menilai diri sendiri terlebih dahulu.

Dr Mahathir berkata, sekiranya seseorang itu dapat mengaku kesalahan sendiri maka perlu diperbetulkan kesalahan itu sewajarnya.

Mengulas mengenai Dasar Ekonomi Baru yang kurang berjaya dan tidak memuaskan, Dr Mahathir berkata, ia ekoran daripada kesalahan masyarakat Melayu sendiri yang bekerja sambil lewa dan tidak mengambil berat tanggungjawab masing-masing.

“Mirip kita ialah untuk menuduh orang lain. Mirip kita ialah untuk menuduh Kerajaan, menuduh kaum lain dan berbagai lagi. Mereka semua salah apabila kita gagal. Kita tidak pernah salah.

“Apakah kesalahan kita? Sesungguhnya terdapat banyak kesalahan yang kita lakukan. Yang pertama kita tidak bekerja sekuat orang lain. Bukan saja kita tidak kerja keras tetapi kerap kali kita tidak ambil berat tanggungjawab kita. Kita sering kurang meneliti sebelum kita membuat keputusan dan bertindak.

“Kita kurang kuasai ilmu dan maklumat yang diperlukan untuk kita membuat keputusan yang baik. Tanpa izin saya berani mendakwa kita malas. Kita lebih suka serah kerja kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulangtahun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ke-2 tahun, di Stadium Malawati, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kebelakangan ini Malaysia dibanjiri ramai warga asing dan amat sukar untuk bertemu dengan masyarakat tempatan terutama dalam pekerjaan sektor buruh.

“Ya, memang kerja itu berat. Mungkin kotor dan berbahaya. Kita cuma cari kerja yang ringan, dikilang berhawa dingin. Tetapi disitu pun daya keluaran atau produktiviti kita rendah.

“Kita cepat menuntut hak. Gaji dan upah perlu tinggi. Tetapi kita kerap membawa M.C. (surat sakit) apabila tidak hadir untuk bekerja. Ada sahaja sebab. Pelabur amat tidak suka mengambil kita bekerja. Dan kita marah lalu lapor kepada Kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, akibat tidak sanggup bekerja sekali gus pekerja asing mula membanjiri malah tanpa mereka Malaysia juga tidak dapat membangun seperti hari ini.

“Namun, Jika mereka tinggal lama di negara kita, secara tidak langsung atau secara langsung mereka akan memiliki negara ini. Anak dara kita akan berkahwin dengan mereka,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tun M: Pimpinan Umno sudah menyeleweng, lari daripada perjuangan asal

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 SEPT: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pimpinan Umno sudah menyeleweng serta lari jauh daripada landasan bahkan perjuangan Umno sebenar.

Beliau berkata pendirian serta kesetiaan ahli Umno kepada parti itu sehingga mereka tidak nampak perubahan yang telah berlaku dalam sikap kepimpinan Umno.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulangtahun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Stadium Malawati, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu Dr Mahathir mengakui bahawa PPBM merupakan parti yang memperjuangkan Bumiputera dan Melayu.

Katanya beliau sedar bahawa pasti ada yang memikirkan bahawa PPBM rasis dan bersifat perkauman tidak seperti parti lain dalam Pakatan Harapan yang berbilang kaum dan bangsa.

“Ya, ini mungkin hasrat kita. Tetapi hakikatnya ialah penduduk Malaysia, pengundi Malaysia masih terbahagi kepada berbagai kaum. Masing-masing ingin kekal identiti kaum.

“Ia jelas apabila kita meletak calon (dalam pilihan raya). Jika kita ingin menang tentukan kaum calon sama dengan tempat mereka bertanding.

“Hal itu jelas dilihat dilakukan oleh semua parti. Kita belum sampai ke tahap kaum calon tidak dipedulikan. Kita tahu orang Melayu kurang selesa jika kaum lain perjuangkan hak mereka.

“Begitu juga kaum lain. Sebab itu kita tidak dapat letak calon Melayu di bandar atau calon Cina atau India di luar bandar,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau faham sekiranya Melayu masih kurang senang akan keselamatan dan masa depan mereka jika tidak diwakili oleh wakil sebangsa dengannya.

“Walaupun parti berbilang kaum tetapi kaum diambil kira juga apabila meletak calon. Jika tidak, ia akan mengundang kekalahan.

“Di waktu parti Bersatu ditubuh kita sedar bahawa untuk mengalah parti perkauman UMNO, hanya parti Melayu sahaja boleh berjaya melakukannya. Jika tidak, maka parti lawan atau pembangkang akan gagal. Ini adalah kerana orang Melayu tidak percaya nasib mereka akan dibela oleh parti bukan Melayu atau parti campuran kaum,” katanya.

 

Categories
EKONOMI NASIONAL

Malaysia sedia runding kedudukan dalam CPTTP

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Kerajaan masih berunding bagi menentukan hala tuju Malaysia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata perjanjian yang ditandangani kerajaan terdahulu banyak merugikan Malaysia dalam usaha membangunkan negara.

“Kita mengkaji semula (CPTPP) dan mendapati banyak perkara yang merugikan kita dalam usaha membangunkan negara. Kita adalah sebuah negara membangun tetapi dalam kalangan CPTPP ini ada yang negara maju.

“Saingan antara yang (negara) membangun dan maju tentunya tidak adil. Kita perlu mendapat layanan yang istimewa bagi yang lemah.

“Ini pendirian kita dan kita akan runding lagi sehingga kita mendapat syarat yang tidak merugikan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 (KBN 2018) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dr Mahathir berkata, buat masa ini usaha rundingan itu dilakukan oleh kumpulan pakar negara bagi memastikan negara memperoleh manfaat sekiranya menyertai CPTPP.

“Kita (kumpulan pakar) mengadakan perjumpaan sebanyak dua kali dalam tempoh dua minggu dan dalam perjumpaan itu, kami membincangkan soal perjanjian ini untuk menentukan sama ada ia baik bagi kita atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, kita mengenalpasti banyak yang tidak baik bagi kita dan kita perlu runding semula berkenaan perjanjian ini,” katanya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Bumiputera peroleh peluang sama rata untuk berjaya

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas segelintir pihak menuduh kumpulan yang berjaya sebagai ‘kroni kerajaan’ sedangkan peluang diberikan sama rata kepada semua Bumiputera.

Katanya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) membuka peluang kepada golongan Bumiputera berusaha melakar kejayaan bagi meningkatkan pendapatan tetapi hanya segilintir yang serius untuk melaksanakan projek diberikan sehingga berjaya.

“Inilah hasil DEB, ramai yang berkata ia diberi kepada kroni, ia satu kesalahan. Sebenarnya ramai yang mendapat peluang tetapi tidak berjaya. Dari 100 hanya empat atau lima orang yang berjaya tetapi itulah digelar kroni kerajaan.

“Yang dapat peluang dan gagal itu lebih ramai tetapi ditakrif sebagai bukan kroni kerajaan. Mudah menuduh ia sebagai kronisme kerana memberi pertolongan kepada yang berjaya.

“Melihat yang berjaya ini, timbul rasa iri hati dan terus kecam kerajaan mengamalkan kronisme.

“Sebenarnya, kalau tak nak dituduh kronisme, kita kena pastikan semua gagal. Maka tidak dipanggil sebagai kroni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara 2018; Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan memperkenalkan dasar pemberian kontrak menerusi rundingan terus bagi membolehkan lebih ramai Bumiputera mendapat peluang selain mewujudkan ‘Approval Permit’ (AP) dan lesen walaupun keadaan itu menimbulkan rasa kurang senang kaum lain.