Categories
NASIONAL

Dr Mahathir tolak dakwaan Belanjawan 2019 ciplak kerajaan dahulu

SHAH ALAM, 3 NOV: Tun Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan pembangkang kononnya Belanjawan 2019 yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) semalam menciplak apa yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Perdana menteri berkata pembangkang boleh berkata apa sahaja, tetapi mereka tidak mempunyai kuasa.

“Dia (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) boleh kata apa sahaja sebab (dia) tiada kuasa.

“Kita tak hutang berbilion-bilion ringgit,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Hidup Aktif (WALK) di Oval Lawn Setia City Park di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Mahathir mengulas kenyataan Ahmad Zahid bahawa Belanjawan 2019 tiada kelainan berbanding bajet yang dibentangkan sebelum ini di mana kerajaan lebih menyentuh perkara yang tidak membawa ‘keajaiban besar’ untuk manfaat rakyat.

Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa pembentangan Belanjawan 2019 meminggirkan negeri di Pantai Timur, Dr Mahathir berkata, perkara itu tidak benar.

“Kita ada program khusus (untuk negeri di Pantai Timur),” katanya.
Tuan Ibrahim ketika mengulas Belanjawan 2019 berkata kerajaan PH langsung tidak menyentuh aspek pembangunan wilayah khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dikuasai pembangkang.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dr Mahathir cadang pejabat kerajaan, swasta peruntuk 15 minit buat senaman

SHAH ALAM, 3 NOV: Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar kakitangan pejabat kerajaan mahupun swasta memperuntukkan masa selama 15 minit melakukan aktiviti senaman sebagai budaya mengamalkan gaya hidup sihat.

Perdana Menteri berkata kakitangan boleh berbuat sedemikian dengan berehat seketika sekitar pukul 11 pagi di luar pejabat berhawa dingin.

“Saya syorkan semua pejabat kerajaan mahupun swasta pukul 11 pagi berhenti kerja (seketika) dan membuat senaman…kalau boleh di luar bilik penghawa dingin.

“Saya syorkan semua (kakitangan) keluar selama 15 minit buat senaman dan selepas itu balik kerja semula,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Promosi Hidup Aktif atau WALK (When Active Living Kicks) peringkat kebangsaan Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Mahathir turut menasihatkan rakyat mengamalkan tiga petua untuk kekal sihat iaitu mengelakkan pengambilan makanan berlebihan, tidak merokok dan menghindarkan pengambilan minuman beralkohol.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M: Sasar jadi negara industri tinggi menjelang 2025

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kerajaan meletakkan sasaran mencapai tahap negara berteknologi industri sepenuhnya atau tinggi menjelang 2025.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sehubungan itu pelbagai pendekatan akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran ditetapkan itu.

“Kerajaan menyasarkan bagi mencapainya pada 2025.

“Namun kalau boleh kita berharap mencapai sasaran itu lebih awal,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Polisi Nasional Untuk Industri 4.0 di Dewan Perdana, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Timbalannya, Dr Ong Kian Ming dan Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai.

Categories
NASIONAL

PM dijadualkan ke Singapura bincang isu perjanjian air

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual mengadakan lawatan ke Singapura pada 12 November ini yang antara lain bagi membincangkan isu perjanjian air dengan republik itu.

Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahya berkata, kerajaan bertegas dengan pendirian untuk terus mengadakan perbincangan dengan kerajaan Singapura bagi mengkaji semula harga air yang dibekalkan kepada negara berkenaan.

“Kita akan terus beri komitmen, saya harap dengan kerjasama semua anggota Parlimen akan dapat beri kekuatan atas usaha kembalikan harga sepatutnya kepada kerajaan Malaysia,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohd Shahar ingin tahu tentang titik noktah yang ditetapkan bagi perbincangan semula harga air yang dibekalkan kepada Singapura.

Mengulas lanjut, Marzuki berkata berdasarkan peruntukan dalam Perjanjian Air 1961 dan 1962, harga air mentah yang dibekalkan oleh Malaysia pada kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen itu boleh dikaji semula selepas 25 tahun.

Justeru, katanya Malaysia sudah berhak mengkaji semula isu itu sejak 1986 dan 1987 seperti mana yang diperuntukkan oleh perjanjian dan perkara tersebut tidak boleh dipertikaikan.

Menurutnya antara langkah-langkah awal diambil Malaysia ialah menyatakan secara jelas pendirian negara berhubung hak untuk semak semula harga air mentah semasa pertemuan dua hala dengan Singapura.

“Saya juga ingin tekankan bahawa kerajaaan sentiasa komited menyuarakan hak untuk kaji semula harga air dan sedang laksanakan penyelarasan lanjut dengan pihak-pihak berkenaan khususnya kerajaan Johor agar isu ini dapat diselesaikan tanpa jejaskan kepentingan negara,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M: Belanjawan pertama PAKATAN pastikan kemakmuran rakyat

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Belanjawan pertama Pakatan Harapan yang akan dibentang pada Jumaat ini akan meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih kukuh dan memastikan kemakmuran rakyat dan generasi akan datang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita sekarang sedang dalam penyusunan semula, ia merupakan sesuatu yang perlu dilakukan untuk menyediakan keupayaan kita untuk menyerap kejutan global atau sebarang pergolakan kewangan di hadapan,” katanya dalam ucaptama pada persidangan tahunan Persekutuan Analisis Teknikal Antarabangsa 2018 di sini hari ini.

Perdana menteri memberi jaminan bahawa ekonomi Malaysia mampu menyerap kejutan global dan menembusi cabaran global dan ketidakpastian melalui dasar-dasar yang akan sentiasa menjadi mesra perniagaan dan responsif terhadap idea dan cadangan baharu.

Beliau menegaskan bahawa, kerajaan tetap yakin bahawa dasar-dasar baru akan mewujudkan asas yang lebih kukuh, keseimbangan antara perbelanjaan berhemat dan memastikan sektor swasta diberi rangsangan yang kuat.

“Saya juga ingin memberi jaminan kepada para pelabur bahawa sebarang perubahan dasar tidak akan memudaratkan perniagaan dan usaha mereka,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Menyentuh mengenai pasaran modal di Malaysia, Dr Mahathir berkata negara juga telah mengalami pelbagai perubahan daripada penyatuan kepada peraturan dan penyesuaian teknologi baharu dan teknologi yang dinaik taraf serta pengenalan penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelabur runcit dan institusi.

Beliau percaya, kecairan yang lebih besar akan memastikan pasaran modal yang berkembang maju membawa lebih banyak peniaga, pemaju sistem, ahli strategi pasaran dan lebih banyak pemain.

“Pemain institusi yang tidak mengambil risiko, memerlukan saham modal yang lebih kecil dan meningkatkan idea penyertaan mereka secara langsung atau tidak langsung. Pelabur runcit dan peniaga pula perlu mengasah kemahiran mereka,” katanya.

Menurut beliau, sementara pelaburan jangka panjang adalah kritikal, perdagangan jangka pendek akan mendorong penyertaan lebih jauh dalam pasaran dengan itu meningkatkan kecairan keseluruhan dalam pasaran saham.

Dr Mahathir mengetengahkan bahawa kemahiran perdagangan bukan sahaja penting kepada kewangan profesional tetapi ia juga sangat relevan kepada keseluruhan orang awam yang melabur.

“Sekiranya lebih ramai orang mula berdagang dan memahami konsep asas, mangsa skim cepat kaya akan berkurangan dan bertambahnya jumlah individu yang celik kewangan akan membina masyarakat yang lebih berpengetahuan dan negara celik kewangan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dengan semua idea ini, adalah penting untuk kekal relevan dari segi infrastruktur dan pengetahuan agar dapat berkembang maju dalam dunia tanpa sempadan

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mukhriz: Ajakan Annuar pelawa Tun M masuk Umno tindakan nakal

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Pelawaan Setiausaha Agung Umno Malaysia, Tan Sri Annuar Musa mengajak Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamed menyertai Umno dianggap sebagai pelawaan nakal, kata Ahli Parlimen (MP) Jerlun, Dato’ Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Katanya, mempelawa seorang yang kini sudah bergelar Perdana Menteri adalah perkara yang amat mustahil.

“Saya fikir itu cuma pelawaan nakal, mungkin sahaja beliau mahu mempelawa seorang yang sudah bergelar Perdana Menteri merangkap pengerusi parti kerajaan untuk masuk ke parti pembangkang.

“Tun Dr Mahathir sendiri sudah keluar dari parti terbabit, saya pula dipecat, kenapa secara tiba-tiba beliau mempelawa? Saya fikir ia sudah terlambat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas tamat sesi pertama Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen ke-14, di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, masalah dihadapi Umno buat masa ini biar ahli mereka sahaja menyelesaikannya kerana ia membabitkan kepimpinan dan struktur parti terbabit.

“Pada pandangan saya, memang sukar untuk Umno menyelesaikan masalah mereka kerana terlalu banyak kepincangan penyelewengan berlaku dalam parti itu yang tidak dapat ditangani dengan baik.

“Ia sekali gus menjadi punca hilang keyakinan rakyat terutama masyarakat Melayu terhadap kewibawaan Umno,” katanya.

Semalam, Annuar membuat pelawaan kepada Tun Dr Mahathir dan ahli-ahli PPBM untuk kembali ke pangkuan Umno semula.

 

Categories
GLOBAL

Malaysia ikrar ‘apa saja yang termampu’ tamatkan konflik di Selatan Thailand

BANGKOK 25 OKT: Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjanjikan bantuan “apa saja yang termampu” yang boleh dihulurkan Malaysia kepada Thailand bagi menghentikan kitaran keganasan di wilayah selatan negara itu.

Beliau yang sedang dalam rangka lawatan dua hari ke Thailand berkata, konflik di selatan negara itu merupakan satu peluang kepada kedua-dua negara untuk mempamerkan semangat kesetiakawanan antara mereka.

“Kami berikrar untuk membantu dengan apa saja cara yang termampu bagi menamatkan keganasan di selatan Thailand.

“Saya amat yakin dengan kekuatan hubungan kerjasama antara kita dalam menyelesaikan masalah bersama, sejujurnya kami mahu membantu mengurangkan atau menamatkan terus masalah sepenuhnya,” katanya dalam satu persidangan media bersama dengan rakan sejawatannya Jen Prayut Chan-o-cha di bangunan pentadbiran kerajaan di sini, semalam.

Terdahulu kedua-dua pemimpin serta delegasi masing-masing mengadakan mesyuarat dua hala di lokasi yang sama di mana mereka berbincang pelbagai isu yang mempunyai kepentingan bersama.

Malaysia merupakan fasilitator kepada rundingan damai antara kerajaan Thailand dengan Majlis Syura Patani (MARA Patani).

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pembunuhan Jamal Khashoggi satu kezaliman – Dr Mahathir

SHAH ALAM 23 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi merupakan satu kezaliman yang amat sangat dan tidak boleh diterima.

Beliau berkata negara ini tidak menyokong perbuatan membunuh seorang pengkritik kerajaan.

“Kita ada orang yang kita tidak suka, tetapi kita tidak boleh bunuh dia sebab tidak suka dia. Nasib baik, pasal saya dulu pun orang tidak suka. Kalau kita ada sistem macam sistem Arab mungkin saya tidak boleh cakap hari ini.

“Alhamdulillah di negara kita tiada kezaliman macam itu,” katanya pada program Bicara Minda di Dewan Karangkraf di sini, semalam.

Perdana menteri berkata demikian ketika ditanya berkenaan pendirian Malaysia berhubung pembunuhan tersebut.

Pada Sabtu lepas, Agensi Akhbar Saudi melaporkan Arab Saudi mengakui Khashoggi dibunuh di dalam konsulatnya di Istanbul.

Menurut laporan itu perbincangan di antara kolumnis akhbar Washington Post itu dan pihak yang ditemuinya di konsulat tersebut berubah menjadi satu pergaduhan yang membawa kepada kematiannya.

Susulan pembunuhan Khashoggi, komuniti antarabangsa memberi tekanan kepada Arab Saudi dengan beberapa negara dilaporkan membatalkan penyertaan dalam persidangan pelaburan Arab Saudi di Riyadh.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penahanan bekas pemimpin ikut undang-undang- PM

LANGKAWI, 20 OKT: Penahanan beberapa bekas pemimpin yang kini menghadapi beberapa pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah tidak bermotifkan politik sebaliknya ia tertakluk kepada undang-undang negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata undang-undang akan menentukan mereka yang menghadapi pertuduhan itu sama ada bersalah atau sebaliknya.

“Undang-undang tidak mengira sesiapa dan di Malaysia, raja pun tertakluk kepada undang-undang. Pemimpin atau bukan pemimpin tertakluk kepada undang-undang ini.

“Kita ada cara, bukan tangkap dan (terus) tahan dalam penjara. Ini bukan cara kita, sebaliknya mereka ada pendakwaan, mereka boleh sediakan peguam dan macam-macam cara boleh dibuat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pertemuan Warga Peladang di Bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan Langkawi di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas isu beberapa pemimpin UMNO yang ditahan dan dihadapkan di mahkamah atas pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa dengan yang terbaru membabitkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

 

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata sebelum kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, terdapat beberapa salah laku pemimpin terdahulu termasuk menekan pihak tertentu untuk membayar cukai yang tinggi.

“Ini cara luar daripada undang-undang. Undang-undang negara tidak boleh menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk kenakan cukai lebih tinggi,” katanya.

Katanya berbeza dengan kerajaan kini yang tidak menekan sesiapa sebaliknya membenarkan undang-undang berjalan mengikut proses yang dibenarkan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gagal kesan dana negara, kerajaan timbang lepaskan aset bayar hutang

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Kerajaan kehilangan berbilion ringgit apabila dana negara yang dilaburkan pentadbiran kerajaan terdahulu tidak dapat dikesan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keadaan ini menyebabkan pentadbiran baru mengambil pelbagai langkah untuk memulihkan kewangan dan ekonomi negara.

“Dalam situasi yang sebenar, duit digunakan untuk melabur dan mendapatkan dividen dan kita tahu duit itu dilaburkan di mana.

“Jika kita tahu duit itu di mana dilaburkan tetapi sekarang kita tidak tahu di mana wang itu berada sebab itu kita kena cari sumber lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Malaysia Confrence 2018: A Malaysia New Dawn anjuran RHB, Maybank dan CIMB Bank di Hotel Shangrila di sini, hari ini.

Mahathir berkata, pada masa ini terdapat cadangan supaya kerajaan melepaskan aset seperti tanah untuk dijual kepada pelabur tempatan.

Katanya, hasil pembangunan itu akan disalurkan kembali kepada kerajaan.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Lawatan Tun M ke AS dan UK berjaya tarik minat pelabur, bantu pulihkan ekonomi

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Kerajaan berusaha menarik minat pelabur asing untuk melabur di negara ini bagi mengatasi kemelut ekonomi dan kewangan negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antaranya dengan mengadakan lawatan ke luar negara untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menguntungkan.

“Dalam lawatan saya ke Amerika Syarikat dan United Kingdom sebelum ini, kita telah berjaya menarik minat pelabur di sana untuk datang ke Malaysia.

“Saya pasti masa itu akan tiba dan ia akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang hutang negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Malaysia Confrence 2018: A Malaysia New Dawn anjuran RHB, Maybank dan CIMB Bank di Hotel Shangrila di sini, hari ini.

Mahathir turut melahirkan rasa kecewa di atas sikap tidak bertanggungjawab pentadbiran kerajaan terdahulu sehingga menyebabkan negara mempunyai hutang terlalu besar dan kehilangan dana berbilion ringgit.

Beliau berkata, akibatnya pentadbiran Kerajaan hari ini terpaksa mencari jalan menyelesaikan bebanan yang tidak sepatutnya.

Sementara itu, forum yang diadakan hari ini menarik kehadiran kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada pelabur, penganalisis ekonomi dan lain-lain.

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

PM yakin ulangi kebangkitan krisis kewangan 1997, kembali sebagai Harimau Asia

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Malaysia mampu bangkit kembali daripada krisis kewangan seperti yang pernah dihadapi pada tahun 1997-1998 sekaligus kembali menjadi Harimau Asia yang digeruni di rantau ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, senario dihadapi negara hari ini hampir sama dengan apa yang berlaku pada masa itu.

“Krisis 1997/1998 kita cari solusi sendiri dan sekarang situasi agak sama di mana mata wang rendah, ekonomi juga perlahan.

“Masalah ketika ini ialah kita perlu cari duit untuk bayar hutang yang besar oleh kerajaan sebelum ini dan kita yakin kita mampu atasi krisis ini kerana kita sudah tempuhi dan berjaya tangani masalah itu sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Malaysia Confrence 2018: Malaysia A New Dawn anjuran RHB, Maybank dan CIMB di Hotel Shangrila di sini, hari ini.

Mahathir berkata, antara usaha dijalankan kerajaan termasuk menggalakkan pelabur asing untuk melabur di Malaysia.

Ketika ditemui media, Mahathir memberitahu, kerajaan juga bercadang memperkenalkan cukai baru yang mampu mengurangkan beban rakyat.

“Ia cukai yang berbeza tetapi akan mengurangkan beban rakyat dan inilah tujuannya untuk bayar hutang kerajaan,” katanya.