Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Tidak wajar tangguh sidang khas, segerakan usul undi percaya PM

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan tindakan Perdana Menteri menetapkan pembentangan usul undi tidak percaya terhadapnya pada September depan sebagai amat tidak wajar.

Majlis Presiden menerusi kenyataan berkata isu kestabilan dan keberkesanan kerajaan tidak dapat diselesaikan selagi sidang khas Parlimen ditangguh.

“Isu sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mesti diputuskan sekarang.

“Raja-Raja Pemerintah telah bertitah pada 16 Jun yang lalu betapa pentingnya kerajaan itu stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat,” menurut kenyataan diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Tambahnya, kerajaaan wajib menyelesaikan kemelut politik terkini kerana rakyat terus tertekan akibat masalah ekonomi dan pandemik selain jumlah kes harian dan kematian meningkat setiap hari.

“Majlis Presiden PAKATAN mengulangi pendirian kami serta semua parti dalam blok pembangkang termasuk ahli parlimen yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin iaitu mendesak diadakan sidang khas Parlimen pada Isnin, 9 Ogos untuk memutuskan isu ini.”

Semalam, Muhyiddin mendakwa masih mempunyai sokongan majoriti walau lapan ahli parlimen Umno telah menarik diri daripada gabungan kerajaan PN.

Beliau juga berkata satu usul undi percaya akan dibentangkan di Parlimen pada September bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

Melalui cara ini, katanya, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan PN kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua pembangkang mahu usul undi tidak percaya terhadap PM

SHAH ALAM, 29 JULAI: Ketua pembangkang menghantar usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mewakili ahli dewan mendesak Muhyiddin yang merupakan ahli parlimen Pagoh dipecat daripada jawatan dengan segera mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Ahli Dewan Rakyat mengambil maklum dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat dilakukan tergesa-gesa tanpa perbentangan di Parlimen.

“Kenyataan bercanggah dan mengelirukan di Parlimen itu bukan hanya gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang tetapi juga membelakangkan fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Anwar berkata pihaknya turut mendesak Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun juga meletak jawatan masing-masing.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara menerusi kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.

Menurut Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda juga menzahirkan dukacita kerana perkara diperkenan dan dititahkan pada 24 Julai lalu kepada Takiyuddin dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun supaya pembatalan Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen tidak dilaksanakan.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN mahu ruang berbahas isu pandemik, bukan kemuka undi tidak percaya

SHAH ALAM, 18 Julai: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) mahu ruang berbahas isu pandemik Covid-19 pada sidang Dewan Rakyat nanti, bukannya untuk mengemukakan undi tidak percaya.

PAKATAN berkata ia selaras dengan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang “secepat mungkin” untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan Covid-19.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2021 menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19.

“Seri Paduka Baginda menitahkan pandangan yang sama pada 24 Februari dan 29 Jun 2021. Titah pandangan Seri Paduka Baginda senada dengan aspirasi rakyat yang mahu pengakhiran kemelut wabak pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi dihadapi negara ketika ini,” menurut kenyataan PAKATAN.

Kenyataan yang dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng juga menyebut pada 12 Julai lalu Ketua Pembangkang telah menghantar usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membahaskan perkara-perkara yang digesa Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan oleh Pakatan Harapan yang mahu tumpuan diberikan hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

“Malangnya kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 15 Julai menyatakan persidangan Dewan Rakyat pada 26 Julai hingga 2 Ogos hanyalah satu persidangan khas bagi mendengar penerangan atau ceramah Menteri-Menteri tanpa sebarang perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen,” katanya.

PAKATAN juga mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan kerajaan Perikatan Nasional agak tidak derhaka terhadap titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan terus membuka ruang perbahasan serta diputuskan bagi membolehkan Parlimen berfungsi semula secara normal.

Categories
SELANGOR

Abdul Khalid enggan buat spekulasi usul undi tidak percaya

Oleh: AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 9 JULAI: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan membuat sebarang spekulasi berhubung kemungkinan usul undi tidak percaya dilakukan sebagai usaha untuk beliau meletakkan jawatan.

Walaupun perkara berkenaan boleh dilakukan mengikut peraturan dan terkandung di dalam Enakmen Negeri Selangor, Abdul Khalid dengan tenang berkata, beliau tidak kisah berkenaan dakwaan kononnya akan wujud usul undi tidak percaya terhadapnya.

“Tidak apa, itu ada peruntukannya dalam Enekmen Negeri Selangor. Jadi bila sudah ada dalam enakmen, apa pun boleh dibuat mengikut peruntukan.

mb“Saya tidak buat spekulasi dalam hal usul tidak percaya ini,” katanya ketika ditemui media di Hotel Holiday Villa Subang Jaya, semalam.

Sejak kebelakangan ini, wujud desakan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu meletakkan jawatan supaya digantikan dengan ‘individu yang lebih layak’.

Namun, tinjauan Selangor Kini terhadap suara rakyat di laman sosial berkata sebaliknya dan memberikan kepercayaan penuh kepada Menteri Besar Selangor pertama daripada Pakatan Rakyat itu.

-NFN-