Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno bertanggungjawab atas kelemahan berterusan Bumiputera

nik-nazmi batik 01SHAH ALAM, 15 SEPT : Dasar Ekonomi Baru dibawah urustadbir Umno-Barisan Nasional telah gagal mengangkat martabat ekonomi Bumiputera, disebalik pelbagai retorik dan peruntukan berbilion ringgit untuk memperkasa pembangunan Bumiputera.

Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Umno sering menggunalan istilah Melayu, Bumiputera dan pembangunan secara seiring, namun taraf ekonomi golongan majoriti itu kekal lemah dibawah Umno-BN tidak dapat dinafikan. Turut mendukacitakan adalah keadaan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang daif berbanding Bumiputera di Semenanjung Malaysia.

“Umno-BN mesti menjelaskan kepada semua rakyat Malaysia mengapa meskipun begitu lama DEB dilaksanakan dan berbilion-bilion ringgit dibelanjakan, tetapi mobiliti sosial Bumiputera kekal rapuh dan memperlukan sokongan Kerajaan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung  Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Universiti Teknologi Mara (UiTM), semalam.

Muhyiddin berkata agenda ini merupakan pengukuhan komitmen Umno kepada pembangunan ekonomi Bumiputera, dan Umno tidak akan apologetik kepada masyarakat bukan Bumiputera dalam memperjuangkan matlamat itu.

Nik Nazmi bagaimanapun berkata Umno terlebih dahulu perlu menjawab mengapa selepas 42 tahun DEB dikelola Umno-BN, golongan Bumiputera masih tidak mempunyai daya ekonomi untuk berdiri atas kaki sendiri.

“Mobiliti sosial hanyalah bermakna pada jangka masa panjang sekiranya fenomena ini dapat bertahan sendiri. Justeru, mobiliti sosial seharusnya dapat diwariskan kepada generasi akan datang tanpa bantuan yang berterusan,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, Umno perlu menjelaskan kebocoran RM54 bilion saham yang diperuntukkan untuk Bumiputera di Bursa Saham Kuala Lumpur, seperti yang dilaporkan Bernama, 30 Jun 2010.

“Tiga tahun lalu Najib mengakui bahawa daripada RM54 bilion nilai saham yang diperuntukkan kepada masyarakat Bumiputera, hanya RM2 bilion yang kekal di tangan masyarakat itu. Ke manakah pergi saham yang lain?” soal beliau.

Nik Nazmi juga mendesak Umno memberi alasan mengapa jurang sosioekonomi di dalam masyarakat Bumiputera semakin melebar, disebalik kepercayaan yang diberikan kepada parti itu.

“Banyak kelemahan-kelemahan masyarakat Bumiputera, termasuk hakikat bahawa pendapatan purata masyarakat Cina Malaysia adalah lebih tinggi berbanding Bumiputera dengan nisbah 1: 1.43 dan effective control terhadap syarikat korporat hanyalah 10 peratus,” katanya.

Hakikatnya, tegas Nik Nazmi, UMNO bertanggungjawab di atas kelemahan berterusan masyarakat Bumiputera.

“Berapa lamakah penyelesaian kepentingan dan masalah sebenar masyarakat bukan Bumiputera perlu ditangguhkan atau tidak diendahkan sementara Kerajaan memainkan sentimen masyarakat Bumiputera hingga hubungan antara kaum menjadi korban?

Beliau berkata, inisiatif terbaru Najib tidak memberi keyakinan bahawa isu pokok yang dihadapi masyarakat Bumiputera sekarang dapat diatasi.

Malah katanya, langkah-langkah yang diumumkan itu adalah lebih kepada memastikan survival politik terhadap individu tertentu, bukannya keprihatinan sebenar untuk mengangkat martabat Bumiputera.

“Semua rakyat menjadi mangsa kegagalan dasar-dasar Kerajaan Umno-BN yang lebih mementingkan retorik daripada perkara-perkara substantive. Pendekatan Kerajaan hanyalah membelanjakan wang untuk semua masalah dengan harapan masalah tersebut akan selesai,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR: Tindakan segera selamatkan universiti awam

universitiSHAH ALAM 11 SEPTEMBER : Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan kebimbangan penurunan kedudukan universiti-unversiti awam negara dalam senarai kedudukan universiti dunia, Quacquarelli Symonds World University Ranking 2013.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata Kerajaan Pusat dan rakyat Malaysia umumnya perlu menghadapi kenyataan institusi pengajian awam negara perlu diselamatkan.

“Hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan.

“Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya universiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Senarai ini adalah salah satu daripada tiga senarai kedudukan universiti antarabangsa yang berpengaruh dan diikuti ramai, disamping Times Higher Education World University Rankings dan Academic Ranking of World Universities.

Laporan itu menunjukkan enam daripada tujuh universiti awam Malaysia corot.

Laporan dibuat berdasarkan kepada enam ciri penting iaitu pencapaian akademik, kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan, nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti, rujukan penyelidikan, keantarabangsaan pelajar dan tenaga pengajar fakulti.

Enam universiti tempatan yang mengalami kemerosotan adalah Universiti Malaya (UM) daripada kedudukan 156 pada tahun 2012 ke kedudukan 167 pada tahun ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) daripada kedudukan 261 ke 269, Universiti Sains Malaysia (USM) daripada kedudukan 326 ke 355 pada tahun ini.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula merosot daripada 360 ke kedudukan 411-420, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) daripada kedudukan 401-450 ke kedudukan 501-550 dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) daripada kedudukan 601 ke 701 pada tahun 2013.

Manakala hanya satu sahaja institusi pendidikan tinggi awam negara iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meningkat daripada 358 pada tahun 2012 ke kedudukan 355 pada tahun ini.

“Masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya graduan Melayu Bumiputera banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang setiap tahun disahkan oleh kedudukan ranking universiti awam negara,” jelas Rafizi.

Beliau menyarankan enam langkah untuk memulihkan integriti dan mutu universiti awam negara dalam masa 10 tahun akan datang, yang beliau tegaskan perlu digerakkan mulai sekarang.

Langkah-langkah tersebut adalah: mengembalikan kebebasan akademik dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campurtangan Kerajaan; pemilihan kepimpinan universiti mengikut merit bersandarkan kepada kredibiliti, pengalaman dan integriti; menghentikan sebarang aktiviti atau program yang berunsur propaganda politik atau yang mengongkong pemikiran kritikal siswazah; sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada pelajar terbaik di universiti-universiti terbaik di Malaysia; dan pemerkasaan kredibiliti akademik fakulti dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia.

“Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran UM berada di tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Tidak Akan Berkompromi Isu Kebersihan Premis Makanan

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

SEMENYIH, 6 JULAI: Kerajaan Selangor tidak akan berkompromi terhadap peniaga-peniaga makanan yang gagal mematuhi garis panduan kebersihan di premis masing-masing.

Antara tindakan yang diambil termasuklah mengarahkan para peniaga makanan yang gagal mematuhi garis panduan kebersihan seperti mana di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 ditutup selama dua minggu seperti mana yang diarahkan kepada 17 peniaga di Seksyen 2, Shah Alam baru-baru ini.

Keputusan tersebut diambil pada 4 Mei lalu, selepas diperiksa dan dinilai oleh 75 pegawai penguat kuasa jabatan tersebut dan mendapati persekitaran dan makanan yang disediakan premis terbabit mampu memudaratkan kesihatan para pengguna khususnya pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mendiami kawasan terbabit.

“Kita tidak akan berkromopmi dengan keselamatan pengguna lebih-lebih lagi pelajar yang kena keluar cari makan dan makanan pula tidak menyihatkan, jadi kita memang tidak mahu ianya berlaku.

“MBSA memang sangat tegas dalam hal ini dan ini hanya untuk sementara waktu.  Biasanya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan tutup dan mereka peniaga akan membuat pembaikan mengikut syarat yang ditetapkan kalau okey baru boleh buka,” kata Dr Daroyah.

Selain itu menurut Dr Daroyah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor juga diberikan kebebasan untuk melaksanakan syarat yang sepatutnya dikenakan kepada peniaga bagi meningkatkan kebersihan premis perniagaan makanan di Selangor.

Categories
SELANGOR

Selangor Sedia Bantu Khalid Ismath Dapatkan Khidmat Guaman

SHAH ALAM, 12 JUN : Kerajaan Negeri Selangor sedia membantu mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khalid Mohd Ismath sekiranya ingin membuat permohonan berhubung penggantungan pengajiannya selama tiga semester di institusi berkenaan.

Menurut Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar bantuan tersebut merangkumi pelbagai aspek antaranya kewangan dan khidmat guaman.

?Sekiranya ada permohonan daripada Khalid, saya sedia berbincang dengan Exco Kerajaan Negeri yang lain untuk pertimbangkan apa jua bantuan yang diperlukan Khalid termasuk kewangan,? katanya semasa sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Dr Xavier juga mendakwa tindakan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar adalah tidak adil dan berbaur politik serta meminta Khalid membuat rayuan supaya hukuman itu ditarik balik.

Beliau turut mendesak UiTM untuk menarik balik penggantungan penuntut jurusan undang-undang itu dan menasihatkan Sahol supaya memberi tumpuan bagi meningkatkan kedudukan universiti itu daripada kedudukan 601 kepada 100 terbaik di dunia.

?Hanya kerana dia beri komen atas perkara tertentu (ugut polis dalam akaun Facebook miliknya), dia digantung belajar. Ia boleh jejaskan pengajiannya. Biarkan dia habiskan pengajiannya, selepas itu dia boleh berhujah untuk diri sendiri,? katanya.

Tambahnya, sepanjang tahun 2008 hingga 2012, Kerajaan Negeri mengeluarkan pinjaman hampir RM9.7 juta kepada pelajar UiTM melibatkan 1,665 orang, manakala seramai 7,420 pelajar universiti itu mendapat hadiah RM1,000 selepas memasuki IPT berkenaan.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri menyifatkan tindakan penggantungan pengajian Khalid adalah sebagai percubaan pihak berkepentingan yang takut dengan kebangkitan mahasiswa.

Menurutnya, sekiranya penggantungan pengajian Khalid tidak ditarik balik, AMK tidak teragak-agak untuk mendedahkan isu tersebut kepada orang ramai menerusi siri jelajah mahasiswa di seluruh Selangor.

Katanya, siri pertama akan dijalankan di Taman Setia, Jalan Johan Setia, Klang, pada 17 Jun ini.

?Saya ada bukti yang menunjukkan kebanyakan program di UiTM lebih cenderung untuk sokong BN. Malah, ada program motivasi yang diadakan menyatakan, sekiranya BN jatuh pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), UiTM juga akan jatuh. Itu semua tidak benar, malah kami akan pertahankan UiTM,? katanya.