Categories
PBT SELANGOR

Mural bersejarah hiasi dinding GM Klang

KLANG, 23 JUL: Seramai 70 mahasiswa Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam berjaya menghasilkan mural memaparkan tempat bersejarah di daerah ini yang menghiasi dinding Blok C GM Klang di sini.

Dekannya, Prof Dr Ruslan Abdul Rahim berkata, projek yang mengambil masa lebih setahun itu bermula sejak Februari tahun lalu adalah kerjasama bersama UiTM, GM Klang dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Katanya, mural sepanjang kira-kira 76.2 meter itu dihasilkan sendiri mahasiswa Jabatan Seni Reka Perindustrian dengan bimbingan lima pensyarah selaku penasihat projek berkenaan.

“Kita turut mengusulkan beberapa cadangan kepada GM Klang sebelum persetujuan dicapai untuk menghasilkan mural berkonsepkan tempat bersejarah di daerah ini dan mereka bersetuju menaja kos sebanyak RM40,000.

“Selain itu, ia juga salah satu pembelajaran luar kelas mahasiswa dengan komuniti dan sebagai persediaan awal untuk mereka memasuki pasaran kerja,” katanya ketika sidang media Majlis Pelancaran ‘Heritage X-Plore’ GM Klang di sini, hari ini.

Perasmian lukisan mural diberi nama Heritage X-Plore itu dirasmikan Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan turut dihadiri Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok.

Sementara itu, Lim berkata, projek terbabit sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat bersempena sambutan ulang tahun ke-10 GM Klang.

Katanya, pihaknya sudah lama berminat untuk memiliki lukisan mural di GM Klang kerana seni artistik itu sangat bernilai dan mampu menarik perhatian orang ramai untuk mengambil foto.

“Laluan di Blok C antara lokasi strategik untuk melakarkan seni mural disebabkan ia adalah laluan pengunjung terutama yang datang dari luar Klang menaiki bas sekali gus dapat melihat lukisan memaparkan tempat menarik di Klang.

“Terima kasih diucapkan dan kami berharap akan ada lagi pihak yang berminat untuk menjalin kerjasama dalam menghasilkan bakat kreatif mereka di GM Klang pada masa akan datang,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
AGENDA SUKANKINI

MoU UiTM, ISN sasar tingkat prestasi, pencapaian atlet negara

SHAH ALAM, 22 JUL: Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Sukan Negara (ISN) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam bidang sains, perubatan dan teknologi sukan.

MoU itu diadakan dengan objektif mempertingkatkan prestasi dan pencapaian atlit negara.

UiTM diwakili Naib Kanselor, Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim manakala ISN diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Faedzal Md Ramli dalam majlis di Dewan Anjung Sri Budiman (Annex), UiTM di sini, hari ini.

Perjanjian disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu juga membolehkan pertukaran kepakaran antara UiTM dan ISN membabitkan ahli akademi, penyelidikan, pelajar serta kakitangan bagi tujuan akademi juga penyelidikan.

Mohd Azraai berkata, beliau yakin kolaborasi antara kedua pihak akan lebih menyeluruh dan merentasi pelbagai bidang ilmu seperti Kejuruteraan Sukan, Sains Sukan dan Perubatan Sukan.

“Untuk makluman semua, di UiTM penyelidikan dalam bidang teknologi, perubatan dan Sains Sukan berjaya menghasilkan beberapa inovasi yang boleh dibanggakan,” katanya.

Antara inovasi terbabit adalah sistem pemantauan yang dipanggil ‘Biomechanical Injury Risk Assessment Procedure’ berteraskan kecerdasan buatan sukan dan ‘Corecentrix’ bagi mengumpul data dalam latihan fizikal.

Selain itu, ‘iCobra’, ‘Activride’ dan ‘Virtual Cardio’ juga adalah inovasi dibangunkan penyelidik di UiTM.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

Categories
PENDIDIKAN

Prof Dr Normah Omar dinobat wanita kedua paling berpengaruh

SHAH ALAM, 19 JUN: Pengarah Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Normah Omar dinobatkan sebagai wanita paling berpengaruh dalam bidang Kewangan Islam oleh Cambridge International Finance Advisory.

UiTM dalam satu kenyataan hari ini berkata, penganugerahan itu diumumkan pada majlis ‘The 2nd WOMANi Gala Dinner and Awards’ di JW Marriott Marquis Hotel, Dubai, Isnin lepas.

Cambridge International Finance Advisory adalah sebuah organisasi perkhidmatan kewangan yang berpusat di United Kingdom, iaitu menyediakan khidmat nasihat strategik kepada badan kerajaan, institusi kewangan dan organisasi dua-hala dalam memajukan pasaran kewangan.

“Prof Dr Normah disenaraikan di tempat kedua, selepas Datuk Noripah Kamso, Pengerusi Bank Rakyat.

“Anugerah ini sekali gus mengiktiraf dedikasi dan kesungguhan Prof Dr Normah dalam usaha beliau memajukan kajian perlakuan jenayah dalam bidang Kewangan Islam atau Kriminologi Kewangan Islam,” kata UiTM.

Normah adalah penyelidik perintis dalam bidang Kriminologi Kewangan Islam di mana sumbangan dan kesungguhan beliau telah berjaya mencapai aspirasi Malaysia sebagai hab kewangan Islam.

Di bawah pimpinan beliau juga, ARI telah diberikan status Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia sejak 2010 dan institut itu secara berterusan meletakkan penyelidikan dalam bidang Kewangan Islam sebagai fokus utama.

“Selaras dengan kepakarannya dalam bidang itu, Prof Dr Normah telah banyak memberikan sumbangan dengan menjalin kerjasama dengan agensi dan badan kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah, Persatuan Pakar Bertauliah Anti-Pengubahan Wang Haram dan beberapa persatuan lagi, “ kata kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM dilantik panel industri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai panel industri di Fakulti Kejuruteraan Awam.

Ketua Perhubungan Awam dan Media, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, UiTM mewujudkan Panel Industri bagi setiap fakulti dan keahliannya terdiri daripada tokoh terkemuka di kalangan pihak kerajaan dan swasta.

Katanya, ia bertujuan untuk mendapatkan input terkini daripada pihak organisasi luar dalam bidang professional berkaitan.

“Panel Industri ini diharap dapat memberikan pandangan dan nasihat bagi memantapkan sistem pengurusan kualiti akademik universiti dalam melahirkan graduan yang berkualiti disamping dapat merapatkan hubungan antara UiTM dan pihak industri.

“KDEBWM menyambut baik dan amat berbesar hati menerima pelantikan ini untuk berkongsi kepakaran dalam membantu UiTM meninggikan prestasi akademik seiring dengan keperluan industri di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Justeru, Mahfuzah berharap, menerusi lantikan itu ia dapat memanfaatkan kedua-dua belah pihak khususnya membabitkan bidang kejuruteraan awam.

MoU yang akan berkuatkuasa bermula 1 Julai itu ditandatangani Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir pada Majlis Pelancaran Greenation@UiTM yang dianjurkan baru-baru ini.

Categories
NASIONAL

Vivy Yusof dilantik Ahli Lembaga Pengarah UiTM

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 27 MEI: Pemilik empayar Kreatif Fashion Valet dan dUCk Group, Datin Vivy Yusof dilantik sebagai salah seorang daripada ahli lembaga pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Lantikan itu dikongsikan melalui laman rasmi facebook UiTM dan laman Instagram beliau, semalam.

“Alhamdulillah, saya diberi tugasan ini oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjadi ahli lembaga pengarah termuda di UiTM dan saya berharap dapat memberi sumbangan dari segi idea dan pembaharuan universiti ini.

“Saya sangat menghormati pengerusi serta barisan ahli lembaga pengarah yang lain walaupun tidak memiliki pengalaman yang setara dengan mereka.

“Semoga sumbangan dari segi idea dan beberapa pembaharuan kepada UiTM mampu memberi manfaat kepada industri pendidikan dalam pelbagai cabang,” tulisnya menerusi akaun Instagram.

Vivy, graduan Ijazah Sarjana Muda lulusan undang-undang London School of Economic di United Kingdom berjaya menempa nama di persada antarabangsa selepas bergelar Pengasas FashionValet yang memasarkan lebih daripada 150 jenama tempatan di bawah satu bumbung.

Dalam dunia keusahawanan, Vivy meraih pelbagai anugerah antaranya Bella Business Award 2013, Women’s Weekly Malaysia’s Finance and Commerce Nominee untuk anugerah Great Women of Time Awards 2015, 60 Wanita Inspirasi Nona, Youn dan Entrepreneur Award daripada Tribute To Women Malaysia.

 

Categories
SELANGOR

FKPM UiTM rai 88 golongan kurang bernasib baik

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 23 MEI: Seramai 88 golongan kurang bernasib baik diraikan Fakulti Komunikasi Pengajian dan Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Shah Alam sempena Ramadan kali ini.

Pada majlis itu, mereka yang terdiri daripada ibu tunggal khususnya golongan B40, mualaf dan pelajar asnaf menerima sumbangan hamper serta wang tunai sebagai persiapan Aidilfitri bakal tiba.

Bertempat di Hotel Grand Blue Wave, di sini, majlis serahan sumbangan berjumlah keseluruhan lebih RM12,000 disempurnakan Dekan FKPM, Prof Dr Azizul Halim Yahya.

Keceriaan jelas terpancar pada wajah penerima kerana sumbangan terbabit membolehkan mereka meraikan Ramadan dan menyambut Aidilfitri dengan lebih sempurna seperti umat Islam lain.

Pensyarah FKPM merangkap penasihat program, Dr Ahlam Abdul Aziz berkata, ia bertujuan mengimarahkan hubungan fakulti bersama masyarakat setempat supaya menikmati Ramadan dengan gembira.

“Saya berharap sumbangan diberikan pihak fakulti sedikit sebanyak membantu dan meringankan beban mereka dalam menyambut kehadiran Syawal.

“Pada tahun lalu, program ini membabitkan dalam skala kecil maka tahun ini pihak fakulti mengembangkan golongan sasaran terutamanya menyambut kehadiran saudara mualaf baharu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Dazzling Al-Kareem Discovering New Hopes di Hotel Grand Bluewave, di sini, semalam.

Katanya, program berkenaan membabitkan lima kursus di bawah FKPM iaitu komunikasi pengurusan dan polisi, penyiaran, komunikasi antarapersonal, pengiklanan dan penerbitan.

“Kebanyakan pelajar hanya tertumpu kepada teori sahaja, menerusi program ini ia membuka peluang kepada mereka untuk mempraktikkan serta mengendalikannya setelah mereka tamat pengajian.

“Pada masa sama, ia melatih pelajar menghargai kelebihan dalam berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” katanya.

Turut hadir, pensyarah FKPM, kakitangan pentadbiran dan pelajar serta diserikan dengan Tazkirah Ramadan oleh penceramah jemputan, Pencetus Ummah Hafiz.

Categories
PENDIDIKAN

Kursi kepimpinan Islam Sultan Brunei bakal ditubuhkan di UITM

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Kursi Kepimpinan Islam Sultan Hassanal Bolkiah dicadang ditubuhkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata penubuhan kursi itu memfokuskan kajian kepemimpinan Islam, pengurusan dan pelaksanaan serta undang-undang syariah.

Kursi itu diharap bakal menjadikan Malaysia dan Brunei sebagai pusat pengembangan ilmu yang berkaitan dengan kesultanan Melayu khususnya dan kepimpinan umumnya di peringkat antarabangsa.

“Cadangan penubuhannya telah dipersembahkan dan memohon perkenan Sultan Hassanal Bolkiah hari ini.

“Dengan itu, kursi ini boleh dijadikan pusat pengajian, penyelidikan, rujukan dan pengumpulan dokumentasi berkaitan kesultanan Melayu dan kepimpinan Islam,” kata kementerian itu semalam..

Sultan Hassanal Bolkiah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor (Kepimpinan Islam) sempena Istiadat Konvokesyen ke-90 UiTM Mac lalu.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik selain menghadap Sultan Hassanal Bolkiah, turut mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya, Datuk Seri Awang Hamzah Sulaiman di Brunei.

Maszlee di samping itu mencadangkan kolaborasi pendidikan melalui pertukaran guru antara Brunei dan Malaysia diadakan.

– BERNAMA

 

NKAH PR ROS

Categories
SUKANKINI

UiTM Lions garap misi Johan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 FEB: Pasukan Ragbi Universiti Teknologi MARA (UiTM), UiTM Lions mensasarkan akan beraksi ke pentas akhir pada Kejohanan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019 yang akan bermula pada 17 Februari hingga 24 Mac ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Dato’ Dr Abdullah Mohammad Said berkata, kali terakhir pasukan itu berentap ke pentas akhir adalah pada 2013 selepas bertemu pasukan Keris Conlay.

“Kita optimis mara ke peringkat akhir dan pada masa sama berusaha menjadi juara pada Kejohanan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019.

“Walaupun 70 peratus pemain kebanyakan baru kali pertama beraksi dalam kejohanan ini, kita yakin UiTM Lions mampu mencapai sasaran pada kejohanan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Memperkenalkan Jersi dan Penaja serta Pemain Pasukan Ragbi Uitm Lions Musim 2019 Kejohonan Liga Ragbi Malaysia di Kompleks Sukan, UiTM, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, UiTM Lions yakin mendominasi perlawanan apabila hadirnya empat pemain import dari Fiji yang mula menjalani latihan bersama pasukan mulai semalam.

Beliau berkata, kapten pasukan skuad 15 sebelah negara, Mohd Syahir Asyraf Rosli juga akan membuat penampilan kali pertama membarisi pasukan UiTM Lions bagi musim kali ini.

Difahamkan, lapan pasukan akan bertanding dalam Kejohanan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019 dan UiTM Lions diundi dalam kedudukan Kumpulan A bersama juara bertahan Keris Conlay, UPM Angels dan SSTMI Tsunami.

UiTM Lions yang dibarisi oleh mahasiswa UiTM mula menjalani latihan pusat bermula 17 Januari lalu bagi mempersiapkan pasukan untuk memberi cabaran kepada semua pasukan bertanding.

 

Categories
SUKANKINI

UiTM Lions terima suntikan empat penaja

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 FEB : Pasukan ragbi Universiti Teknologi MARA (UiTM), UiTM Lions mendapat suntikan moral tambahan menjelang saingan kejohanan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019.

Bagi musim ini, UiTM Lions mendapat suntikan empat penaja dalam membantu pasukan antaranya Syarikat Kumibrothers, Hyba Quest dan SkyWorld Development Sdn Bhd selain Fitech PIT selaku penaja jersi.

Ketua Jurulatih UiTM Lions, Zamri Abd Kahar berkata, jersi yang bakal digunakan itu diyakini membantu pemain untuk merasa lebih selesa dan sesuai mengikut keadaan fizikal serta cuaca di Malaysia.

“Penajaan ini sekali gus dapat membantu syarikat tempatan dalam menghasilkan fabrik pakaian sukan yang lebih berkualiti setaraf jenama sukan dari luar negara.

“Sokongan syarikat itu secara tidak langsung dapat memastikan pasukan ragbi UiTM mampu untuk terus bertanding ke peringkat lebih kompetitif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Memperkenalkan Jersi dan Penaja serta Pemain Pasukan Ragbi Uitm Lions Musim 2019 kejohonan Liga Ragbi Malaysia di Kompleks Sukan, UiTM, di sini, hari ini.

UiTM Lions akan membuat kemunculan kali ketujuh di Kejohanan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019 yang akan bermula dari 17 Februari hingga 24 Mac ini.

Pasukan itu diundi dalam kedudukan Kumpulan A bersama juara bertahan Keris Conlay, UPM Angels dan SSTMI Tsunami.

UiTM Lions yang dibarisi mahasiswa UiTM mula menjalani latihan pusat sejak 17 Januari lalu bagi mempersiapkan pasukan dalam memberi cabaran kepada semua pasukan bertanding.

Malah, ia turut diperkuatkan dengan kehadiran empat pemain import dari Fiji.

 

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

UiTM IPTA tunggal miliki Bas Penyelamat Keselamatan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 JAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tunggal memiliki Bas Tujuan Khas Penyelamat Kecemasan Bergerak atau Emergency Mobile Rescue (UEMR), di negara ini.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Dato’ Dr Hassan Said berkata, bas itu menggunakan sepenuhnya konsep dan kelengkapan seperti bilik kecemasan berdasarkan Garis Panduan Perkhidmatan Kecemasan dan Ambulans oleh Fasiliti Kesihatan Primer.

Katanya, reka bentuk kenderaan itu sama seperti bas penumpang lain, tetapi berbeza daripada segi modifikasi lantai yang direndahkan bagi memudahkan pesakit, terutama dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Fungsi utama UEMR adalah digunakan sebagai Klinik Medan semasa penganjuran program sukan atau dalam situasi bencana, malahan dapat memberikan pilihan, selain mendirikan bilik atau khemah khas sebagai tempat merawat serta menstabilkan kes kecemasan sebelum dirujuk di hospital.

“Ia juga berperanan sebagai ‘command centre’ untuk semua ambulans dan paramedik yang bertugas serta digunakan dalam pendidikan kesihatan, saringan dan khidmat nasihat, juga pemberian ubat semasa kempen kesihatan.

“Bas ini juga memberikan perkhidmatan rawatan pesakit luar, pembedahan kecil dan berkhatan ke lokasi yang diperlukan secara berkala sama ada di dalam atau luar UiTM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Bas Klinik Bergerak UEMR, di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, dengan adanya kemudahan UEMR itu, Pusat Kesihatan UiTM boleh memperluaskan lagi skop perkhidmatan bukan sahaja dalam kampus, tetapi memberikan perkhidmatan kesihatan kepada pesakit mahupun komuniti di luar kampus.

“Perkhidmatan ini dapat diberikan menerusi program khidmat masyarakat bersama pelajar, terutama pelajar Fakulti Perubatan, Pergigian dan Sains Kesihatan,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN

UiTM – JBPM meterai MoU, kukuh hubungan dua hala

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 DIS: Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Bangunan Canseleri, UiTM, di sini, hari ini.

Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof Dato’ Dr Abdullah Mohamad Said berkata, MoU itu bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala bersama JBPM dalam bidang akademik dan latihan pengukuhan.

“MoU ini dilaksana untuk menawarkan kursus kokurikulum Siswa Bomba bantuan kepada mahasiswa UiTM.

“Ia juga sebagai usaha menerap ilmu kebombaan dalam kalangan mahasiswa selama tempoh lima semester membabitkan aspek pembelajaran langkah keselamatan kebombaan, pencegahan, asas memadam kebakaran dan perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis MoU UiTM dan JBPM yang turut dihadiri Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, di sini, hari ini.

Dr Abdullah berkata, MoU itu bersesuaian dengan usaha UiTM yang sentiasa mengambil langkah kehadapan bagi memastikan mahasiswa dapat dilatih berasaskan ciri graduan holistik dan seimbang.

“Saya optimis menerusi kerjasama ini, lebih banyak program akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan akan dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.

Pada masa sama, katanya, UiTM akan berbincang dengan JBPM bagi menjalinkan kerjasama untuk anggota bomba melanjutkan pengajian di universiti terbabit.

“Mungkin perbincangan lebih terperinci dilakukan selepas ini, untuk anggota bomba melanjutkan pengajian di UiTM pada masa akan datang,” katanya.

Difahamkan, sehingga kini seramai 1,143 mahasiswa dari seluruh UiTM menjalani latihan kokurikulum Siswa Bomba bantuan dan dijangka ditauliahkan September 2019.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA pertingkat pantau kebersihan premis makanan

MBSA pantau kebersihan premis makanan 1

SHAH ALAM 30 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan terus mengadakan operasi bersepadu memantau kebersihan premis makanan di kawasan Seksyen 2 agar peniaga di kawasan itu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

MBSA pantau kebersihan premis makanan 4

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar, Dr Roslan Fadzil berkata, pihak MBSA akan mengadakan operasi sama setiap bulan agar pemantauan terhadap mutu kebersihan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa.

MBSA pantau kebersihan premis makanan 7

“Hari ini kita buat operasi di Seksyen 2 ini kerana kita lihat ramai antara pengunjung premis makanan ini terdiri daripada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Operasi ini bagi memastikan orang ramai dapat makanan yang mematuhi syarat Kementerian Kesihatan,” kata Dr Roslan.

Pengarah Perlesenan dan Penguatkuasaan, Rosli Bakar, berkata operasi kali ini turut melibatkan rampasan dan arahan penutupan selama 14 hari terhadap premis yang gagal mematuhi peraturan kebersihan premis makanan.

MBSA pantau kebersihan premis makanan 9

“Kita sudah menutup satu gerai menjual air yang dilihat keadaan penyediaan air minuman tidak mematuhi aspek kesihatan,” kata Rosli yang juga Ketua Operasi berkenaan.

MBSA pantau kebersihan premis makanan 3

Selain arahan penutupan premis, MBSA turut merampas kerusi, meja, payung, tempat pemanggang dan dapur memasak kerana meletakkan barang tersebut di luar kawasan premis.

Operasi yang bermula jam 10.00 pagi itu dijalankan terhadap premis makanan di Medan Selera Prima 2 dan restoren di sekitar Seksyen 2 yang melibatkan 150 kakitangan dari pelbagai jabatan MBSA.

MBSA pantau kebersihan premis makanan 2

-EZY